Thursday, March 29, 2012

To all Young Mommies & Daddies, kita masih belum terlambat!


27-MAC-2012. Saya serba salah dalam menulis entri ini. Pertama apabila memikirkan saya masih tiada hasil untuk menyampaikan (sebagai proof/bukti) perkongsian ini. Yang kedua, namun jika difikirkan kembali, jika tidak “direkodkan” sekarang, tiadalah apa-apa yang ditinggalkan jika saya dijemput ilahi. Apatah lagi, anak-anak pasti tidak akan tahu apa yang telah berlaku sepanjang kehidupan mereka sewaktu kecil. Kegusaran ini dikongsi dengan meminta pandangan suami.

“Abang rasa wajar atau tidak kalau Diana masukkan entri tentang perjalanan Uways dan Umayr, apa yang mereka lalui, iaitu apa yang Diana sebagai ibu mereka telah berusaha lakukan untuk mereka?”. Sebab kadang-kadang timbul perasaan serba-salah. Jika dikongsi, ia masih belum ada hasil, takut dan segan juga sebenarnya, namun jika tidak dikongsi, jika suatu hari nanti insyaallah hasil yang baik untuk Uways dan Umayr, itu sudah terlambat jika ada mereka diluar sana yang sepatutnya turut sama-sama melakukan perkara yang sama dan menampakkan hasil yang sama pada masa yang sama”. Suami saya memberikan pandangan, maka entri ini dimasukkan sebagai permulaan.

Point utama saya adalah, faktor dan pengaruh ibu dalam membentuk masa hadapan anak-anak. Ya sudah pasti hasil yang terbaik yang diinginkan. Pasti semua ibubapa menginginkan anak-anak mereka lahir dan membesar sebagai anak yang soleh, mereka yang hafiz al-quran bahkan turut cemerlang didalam pelajaran dan seterusnya didalam kehidupan. Sekalipun apa jua bidang yang mereka pilih, perisai utama yang tumbuh sebati di dalam jiwa mereka adalah bekalan al-Quran. Sekalipun mereka adalah seorang ustaz/ah, Doktor, Peguam, Usahawan, malah Artis sekalipun, bekalan yang dibawa bersama adalah ruh al-Quran dan nilai Islam serta sunnah junjungan mulia Nabi Muhammad SAW sebagai panduan. Bidang yang diceburi itu dibawa bersama perjuangan Islam.

Idealistik atau Realistik.

Saya mengimpikan sebuah masyarakat yang suatu hari nanti insyaallah adalah sebuah masyarakat yang generasi pelapisnya iaitu hasil yang dipersiapkan sekarang adalah generasi Islam yang bakal memimpin Malaysia, malahan dunia. Samada ianya terlalu idealistic atau realistic, hakikatnya ia kembali kepada perkara basic, iaitu bermula dari SENTUHAN DIDIKAN SEORANG IBU yang bersifat Holistik (menyeluruh). Saya yakin diluar sana ramai para ibu yang turut sama melakukan perkara yang sama, namun samada ianya disimpan menjadi rekod keluarga atau ianya turut dikongsi untuk kebaikan yang boleh diambil manfaat bersama.

Sesungguhnya Islam telah mencipta zaman-zaman kegemilangannya tersendiri, dan insyaallah akan kembali gemilang. Keizzahan Islam hasil usaha keras insan hebat Muhammad bin Abdullah (Rasulullah saw), Penaklukan Konstantinanpol oleh remaja hebat Muhammad al-Fateh, Kegeniusan Imam as-Syafie, Kepandaian dan kebijaksanaan Urwah dan ramai lagi insan hebat di dalam sejarah. Siapakah disebalik kehebatan insan-insan hebat ini? Ya, IBU yang bersifat Holistik bahkan IBU yang bercita-cita Besar.

Ada rahsia disebalik insan-insan hebat yang telah menjadikan Islam ini gemilang. Membaca kisah-kisah para ulama, individu-individu hebat sejak zaman Rasulullah saw sehingga kini, saya telah menemui beberapa titik pertemuan yang sama dimana titik persamaan itulah yang telah menjadikan mereka sebagai insan hebat yang telah mengizzahkan (menghebatkan) Islam. Itulah yang akan dikongsi bersama didalam entri ini dan entri yang akan datang insyaallah.

Namun, mengapakah keizzahan Islam itu semakin hari semakin tidak berisi? Ibarat hanya berbangga dengan masa silam kita namun kita tidak bangkit mengizzahkan ia kembali?

AL-QURAN PERISAI DIRI


Menyoroti Kelemahan Diri: Bekalan dari Generasi ke Generasi

Sejak saya di sekolah, Maktab Mahmud Alor Setar, ketika kami menganjurkan program Khemah Ibadah untuk pelajar sekolah luar samada dibawah Badan Pengawas dan Tatatertib atau Badan Dakwah dan Kebajikan, saya berhadapan dengan perkara ini. Kemudian apabila melanjutkan pelajaran di UIA sejak dari matrikulasi sehinggalah degree, ketika diamanahkan memegang jawatan sebagai Naqibah dibawah program Study Circle/Halaqah CCAC, saya juga berhadapan dengan perkara ini. Sejak saya mula berkhidmat  di UIA, mengajar Bahasa al-Quran (Bahasa Arab) ini kepada pelajar-pelajar, saya turut berhadapan dengan perkara yang sama. 

Seringkali saya bersedih. Kesedihan yang hanya dipendam didalam hati. Sering juga dikongsi bersama suami. Saya cuba sedaya upaya untuk membantu. Perkara yang sama yang disedihkan itu adalah “apabila berhadapan dengan bilangan pelajar yang tidak boleh / sukar membaca al-Quran didalam jumlah yang ramai”. Na’uzubillahiminzalik.

Jika mereka yang berprogram bersama saya ketika disekolah itu saya yakin, kini telah menjadi ibu dan bapa. Manakala orang yang berada dihadapan saya kini pula adalah bakal ibu dan bapa. Ibubapa yang bakal mendidik anak-anak mereka dengan bekalan al-quran. Ini adalah bekalan paling utama yang perlu diajar oleh ibubapa kepada anak-anak. Mengajar mereka al-Quran adalah hak setiap anak dan tangunggjawab ibubapa terhadap mereka.

Ketika seorang anak datang bertanya kepada Amirul Mu’min Umar r.a, ia bertanya kepadanya, “Apa hak seorang anak keatas orang tuanya wahai Amirul Mu’minin?”. Kemudian Amirul Mu’minin menjawab, “Iaitu agar dia memilih ibunya dengan baik, memilih namanya dengan baik, dan mengajarkannya Kitab Allah”. 

Bagaimana mereka nanti akan mengajarkan kepada anak-anak mereka? Carikan ustaz untuk mengajar? Hantar ke tuisyen al-Quran? Hakikatnya faktor pengaruh ibubapa itulah yang paling dominan. Sekalipun mereka dihantar berguru dengan ustaz yang hebat dengan bayaran yang mahal sekalipun, namun, jika tidak disusuli dengan pemantauan serta contoh dari ibubapa dirumah, ianya hanyalah sia-sia. 

Daripada pelajar-pelajar itu, saya terfikir beberapa perkara:

1)      Saya tidak 100% menyalahkan mereka. Mungkin ibubapa mereka terlepas pandang di dalam soal al-Quran ini. Na’uzubillahiminzalik.

2)      Kemungkinan juga ibubapa mereka telah memberikan bekalan al-quran dengan mengajar sendiri atau menghantar mereka belajar dari mana-mana ustaz/ah. Namun, mereka sendiri yang tidak terus menjadikan al-Quran sebagai makanan harian hati mereka. Nau’zubillahiminzalik.

Berbalik kepada kehebatan Ummat Islam dahulu, Titik pertemuan yang sama oleh insan-insan hebat tersebut adalah bekalan al-Quran yang diperolehi sejak dari kecil. Maka, tidak peliklah jika generasi Islam kini semakin hilang izzahnya kerana tiadanya bekalan dan sentuhan al-Quran yang memagari.

Oleh yang demikian, saya sangat berharap dan berdoa agar mudah-mudahan anak-anak saya bahkan generasi Islam pada masa akan datang (yang masih kecil kini), iaitu anak-anak saudara/i yang membaca, tidak akan lagi berlaku perkara yang sama. Ayuh para ibu dan bapa, kita masih belum terlambat!. Perbaiki diri dengan mempelajari al-Quran dan pada masa yang sama, kita hidangkan kepada anak-anak bekalan al-Quran sejak mereka kecil. Jadikan al-Quran sebagai halwa telinga mereka setiap hari. Luangkan masa untuk bersama mereka membaca dan mempelajari al-Quran. 

Entri yang saya muatkan ini hanyalah satu perkongsian. Hasrat saya didalam entri ini mudah-mudahan ianya akan menjadi panduan dalam beberapa perkara yang mungkin boleh turut sama-sama dilakukan.

Kita mempunyai tanggungjawab dan amanah yang cukup besar dalam membentuk generasi Islam terbaik ini. Ayuh kita sama-sama berkongsi pengalaman dan sebarkannya demi kebaikan umat Islam keseluruhannya. 

Sekalipun anak kita dirasakan agak ketinggalan, namun yakinlah para ibu dan bapa bahawa insyaAllah kita akan mendapat hasilnya jika ia dimulakan sekarang, walau sebesar manapun usia mereka.

Semoga video hasil perkongsian ibu hebat ini, Pn.Mazlina, ibu kepada adik Darwisya&Darwisy (TAHNIAH buat ibu ini, semoga Allah merahmatinya dan seluruh ahli keluarganya serta apa yang telah diusahakannya, serta membalasnya dengan segala kebaikan) menjadi inspirasi dan kekuatan untuk semua para ibubapa. Yakinlah dengan bekalan al-Quran itu mempunyai ruhnya yang hebat untuk generasi ummat Islam...insyaAllah Amiin YARABB..



Info: Memperdengarkan al-quran dapat Meningkatkan IQ bayi:  klik sini

(Entri ini masih ada sambungan- Persiapan apa yang perlu kita sediakan?)

Wednesday, March 21, 2012

Semester 1 2011/2012 berakhir dan Semester 2, 2011/2012 bermula





Entri ini sebagai kenang-kenangan dalam mengabadikan memori bersama pelajar-pelajar saya. Kebiasanya memang setiap semester saya akan memasukkan entri tentang mereka secara keseluruhannya.

Sebenarnya saya setiap kali masuknya semester baharu, saya akan berdoa mudah-mudahan akan mendapat pelajar-pelajar yang ok. Maksud ok ni, yang senang dan mudah berinteraksi. Tetapi untuk mendapatkannya secara keseluruhan pelajar, memang agak mustahil, namun sekurang-kurangnya yang mendominasi kelas. 

Kerana apa? Sebab pada saya, cara pelajar memberi respon itu turut mempengaruhi emosi orang yang mengajar. Kalau tiada respon, ibarat “nak tak nak”, diri pun akan terasa berat dan tiada mood. Tetapi kalau mendapat respon yang baik, Alhamdulillah, diri terasa lebih bersemangat!. :)

Semester 1 2011/2012

Jadi Semester lepas, Alhamdulillah ada pelajar yang ok dan ada pelajar yang kurang ok. Biasalah, ia adalah suatu perkara yang normal. Namun ia lebih mencabar apabila ada pelajar antarabangsa yang ibarat “ikut kepala angin sendiri”.

Semester ini saya diamanahkan untuk mengajar subjek LQ 1081(2 sections) dan LQ 1082 (1 section).
 
1) LQ 1082-section 3

LQ 1082 section 3- from left: Gelagaev Rustam (Chechnya), Besnik (Kosovo), Mohamed (Chechnya),  Yusoff (Indonesia), Amirul (Malaysia), Fazlan (Malaysia), Farzad (Afganistan), Faizah sofyan (Indonesia), Raja Amirah (Malaysia), Roza Amirah (Malaysia), Siti Amirah (Malaysia)...Jamuan kelas terakhir..All the best!!



 Coklat dari Chechnya.




Hadiah Kenangan dari pelajar Chechnya yang menjadi mercu tanda negara mereka


Video Pertandingan Youtube,alhamdulillah menang no. 2 (akan dimasukkan i.allah)


Untuk kedua-dua section ini, gambar habis hilang dari phone, ini sahaja yang ada.
 LQ 1081-section 3


LQ 1081-section 1


Semester 2, 2011/2012
Alhamdulillah, semester ini, saya diamanahkan mengajar subjek LQ 1081 dan LQ 2083. Setakat ini, Alhamdulillah pelajar-pelajarnya ok. Insyaallah mudah-mudahan oklah untuk sepanjang semester ini.

Semoga Allah permudahkan segala urusan..Amiin

Friday, February 24, 2012

Teknik "Menipu" Gaya Ibubapa


 (gambar hiasan)


Mungkin ini pernah berlaku?

“sayang mama, mari sini kita pakai pampers”, panggil si ibu dengan nada manja cuba memujuk si kecil.

Anak kecil seperti itu sudah pasti gembira apabila dapat “membebaskan diri” dari berpakaian setelah puas bermandi-mandi.

“sayang mama, marila sini sekejap”, panggil si ibu itu lagi.

Si anak kecil itu berlari-larian mengelilingi kerusi ruang tamu rumah dengan tujuan untuk melarikan diri dari ibunya daripada memakai pampers.

Si ibu mula penat memanggil, banyak lagi kerja rumah yang perlu dilakukan. Pada masa yang sama juga, beliau tidak ingin melepaskan peluang untuk bermain dengan si kecil ini.

“ha, mama ada 1 idea”, bisik hati kecilnya.

“Sayang mama, mama ada gula-gula ni, nak tak?”, kata si ibu untuk memancing si kecil dengan umpan gula-gula yang menjadi “kegilaannya”.

Dengar sahaja gula-gula, apa lagi, terkedek-kedek si kecil berlari ke arah ibunya.

“Yes, umpan mengena”, senyum si ibu.

“Ha!!! Mama dah dapat budak ni, harimau makan budak…ngaum..ngaum..”, si ibu berseloroh dengan anak kecilnya lagak gaya seekor harimau.

“mengekek-ngekek si kecil itu ketawa kerana digeletek si ibu”. 

“yeay..yeay kena tipu..mana ada gula-gula!!”, sambil mengusik dan menggeletek anak kecil yang masih terkekek-kekek ketawa dengan lawak si ibu..


Pada pandangan anda, apakah perasaan si anak kecil itu?

Gembira dan bahagia kerana mendapat usikan dan “geletekan” dari si ibu? 

Itu secara luarannya. Sama-sama bahagia dengan gelak tawa dan bermain bersama. Ya anak kecil masih belum mengerti apatah lagi untuk menyatakan sesuatu tentang perasaannya. Hanya menagis apabila inginkan sesuatu dan gembira apabila sukakan sesuatu.

Tetapi apakah si ibu itu sedar bahawa si anak tersebut telah mempelajari sesuatu daripadanya? 

Ya. “Jom berbohong”.

Betul itu adalah umpan yang paling menyengat bagi seorang budak kecil yang sangat gemarkan gula-gula. Tetapi dengan cara menyatakan padanya sesuatu yang tiada, sebenarnya itu adalah satu kebohongan. Secara tidak langsung ibubapa sendiri yang telah mendidik anak-anak supaya berbohong walaupun pada niat dan tujuannya bukan untuk menipu, hanya untuk mengumpan si anak supaya segera datang kepadanya.


Didikan Gaya Rasulullah SAW.

Perkara yang sama juga pernah berlaku pada zaman seorang Motivator HEBAT ini, Muhammad bin ‘Abdullah.

Diriwayatkan oleh ‘Abdullah ibnu ‘Amir yang menceritakan masa kecilnya, bahawa ibunya memanggilnya, ketika itu Rasulullah SAW sedang berada dirumah kami. Ibunya berkata: “kemarilah, aku akan memberimu sesuatu!”. Nabi bertanya kepada ibunya:: “Apakah yang akan engkau berikan berikan kepadanya?”. Ibunya menjawab: “Aku akan memberikannya buah kurma.” Melihat gelagatnya, Nabi SAW pun bersabda:

أَمَا إِنَّكِ لَوْ لَمْ تُعْطِهِ شَيْئًا كُتِبَتْ عَلَيْكِ كِذْبَةٌ
“ingatlah, jika engkau tidak memberinya suatu apa pun, nescaya akan dicatatkan sekali pendustaan terhadapmu”. (Abu Dawud, 4339)

Pesanan ini buat diri saya yang menulis juga buat saudara/i yang membaca. Sesungguhnya anak-anak ini sentiasa memerhati cara orang-orang dewasa dan akan meniru perbuatan mereka. Oleh itu,di dalam bab jujur atau berkata benar ini, janganlah sesekali kedua ibubapa berbohong kepada anak mereka dengan apa cara sekalipun.

Jadikan cara  didikan Rasulullah SAW ini sebagai panduan kita bersama. Mudah-mudahan kita akan beroleh kebaikan dunia dan akhirat. insyaAllah…

Monday, February 13, 2012

Konflik Ibu Menyusu : Yakinlah dengan “HAULAINI KAAMILAIN”

Nekad 4 Bulan yang lalu

Bulan November 2011 saya sudah give-up. Badan terasa sangat letih dan penat. Masakan tidak, Umayr yang asyik ingin berkepit, “Ummi, nak halib (Ummi, nak susu)”. Keadaan semakin stress apabila ianya berlaku setiap kali saya ingin melakukan kerja-kerja rumah terutamanya waktu memasak selepas pulang dari bekerja. Memang sangat memenatkan.

Hujung minggu itu, saya nekad. Kedai Manjaku di Sri Gombak telah saya pergi. Setelah mendapatkan drypers, deretan susu formula pula menarik perhatian saya. Tangan ingin mencapai pula susu formula. Mata melirik disetiap “keistimewaan” yang dimiliki oleh pelbagai jenama susu formula yang ada. Hampir 10 minit saya mencari “susu terbaik” untuk diberikan kepada Umayr.

Tiba-tiba ada suatu perasaan kecil timbul didalam hati. “Sabar diana, lagi 4 bulan sahaja untuk bertahan. Selama setahun lebih boleh bersabar menyusu, memerah, berkepit dengan Umayr, takkan lagi empat bulan ni saja sudah give-up?”, “Anak nak membesar sekali sahaja seumur hidupnya, susu ibu ini hak dia, takkan nak nafikan hak dia?”. Memang perasaan ini sering bermain-main didalam hati malah difikiran saya. Akhrinya, hanya drypers yang saya beli.



Fasa-fasa terakhir penyusuan susu ibu

Saya yakin,ramai dikalangan ibu-ibu tiada masalah untuk menyusukan bayi mereka diawal waktu kelahiran kerana ia merupakan fasa awal dimana penghasilan susu ibu memang sangat produktif (cumanya,kalau sejurus selepas bersalain dan 2-3 hari selepas bersalin.. Waktu ini kolustrum/susu awal yang sangat bagus memang sedikit kerana ia baru beroperasi-tempoh ini jangan risau dan jangan kata “tidak ada susu”. Memang macam itu, ia bermula dengan sedikit).

Begitu juga saya. Pengalaman Uways dahulu saya jadikan pengajaran dan ukuran. Semasa Umayr, sejurus bersalin, saya telah maklumkan pada nurse supaya jangan berikannya sebarang susu, bawa bayi kepada saya apabila ia lapar. Alhamdulillah saya sangat yakin, apabila kita mula memberikan susu formula kepada anak, penghasilan susu ibu akan automatic menjadi kurang produktif. Secara saintifiknya saya tidak pasti kenapa. Saya hanya mengaggap ianya sebagai satu “sumpahan keramat” sahaja. Hehehe.. :)

Alhamdulillah, 6 bulan secara eksklusif. Kemudian cukupkan setahun, seterusnya 2 tahun. Sewaktu tahun pertama penghasilan susu sangat memberangsangkan. Kadang-kadang, perahan sehingga 2 botol (4/5/6/8 0z) untuk sebelah sahaja!.Subhanallah!!.

Namun, Masalah (saya lebih suka gunakan konflik/dilema) yang timbul adalah apabila dihujung-hujung tahun (bagi mereka yang ingin menyahut saranan menyempurnakan penyusuan selama dua tahun penuh). Saya juga menghadapi cabaran yang sama. Penghasilan susu kurang produktif, tidak seperti diawal-awal tahun. Namun, maklumat yang saya dapati dari internet( seperti Kumpulan Ibu-ibu menyusukan, Susuibu.com dsb) Alhamdulillah banyak membantu.

Umayr Genap 2 tahun

(gambar dari 6 bulan -setahun)

Alhamdulillah tarikh 13 Februari 2012. Genaplah usia Umayr 2 tahun. Jika sekiranya saya tidak berjaya menyusukannya sehingga umurnya 2 tahun, saya tidak akan menulis entry ini. Saya gembira!

Sewaktu Uways, saya kurang pengetahuan tentang bagaimana untuk memastikan bekalan mencukupi sehingga 2 tahun. Ya 2 tahun satu tempoh yang sangat lama dirasakan untuk mencukupkan 2 tahun (sebenarnya sekajap sahaja 2 tahun itu berlalu). Apa yang dibuat, menyusu Uways hanya ketika dirumah dan disebabkan bekalan susu perahan yang tidak cukup di rumah pengasuh, saya terpaksa berikannya susu formula.

Namun, Saya sedih mengenangkan ada segelintir ibu yang tidak mahu menyusukan anak mereka dengan susu mereka sendiri atas alasan yang tersendiri. Tetapi ada juga yang berkeinginan tetapi kurangnya pengetahuan dan cara menyebabkan mereka telah berputus asa.

Menurut Penolong Pengarah Zat Makanan Kementerian Kesihatan Malaysia, Puan Rokiah Don, kadar penyusuan ibu di kalangan ibu-ibu bekerja terutamanya di kawasan bandar menurun. Antara faktor yang mempengaruhi atau menghalang ibu-ibu untuk terus menyusui bayi adalah kecetekan pengetahuan, tiada pengalaman dan tiada sokongan. Banyak memberi alasan menyusu badan tidak praktikal, menyusahkan, letih, suami tidak dapat memainkan peranan, bimbang kesihatan diri terjejas dan tidak yakin bayi mendapat bekalan susu mencukupi. Malah ada yang bimbang buah dada akan melendur.

Malah apa yang amat menyedihkan, ada segelintir para ibu yang sewaktu mengandung telah siap memikirkan susu formula mana yang terbaik untuk bakal anak yang dilahirkan. Walhal ibu itu tidak memikirkan sebenanrnya “susu cap gantung” (minta maaf istilah ini digunakan) nya itulah yang terbaik untuk anaknya.

Yakin dan Tahu Cara akan Berjaya

Saya juga menghadapi masalah (cabaran) yang sama.

Antara perkara yang dihadapi
1-      Terasa seperti susu sudah tidak ada dan merasakan anak tidak kenyang menyusu. (sebenarnya bagi sahaja makan makanan yang lain atau produk tenusu yang lain, bukan semata-mata susu ibu). Kita pub, apabila lapar, memang akan mencari makanan, bagi anak, susu ibu itulah lebih mudah untuknya. Kenyangkan dia dengan makanan berkhasiat yang lain dahulu, ini kerana susu bukan lagi menu utamanya).  
2-      Badan sangat penat dan letih bahkan menyebabkan agak stress (Apabila stress, memang sangat sukar untuk perah. Gunalah jenama yang paling mahal untuk memerah sekalipun, memang tidak boleh).
3-      Fikiran “nak bagi susu formula” lebih mudah sering bermain-main difikiran. (ubah mind-setting minda kepada “mesti boleh” dan cari penyelesaian, bukan terus berputus asa). insyaAllah boleh.

Namun, apa yang telah saya lakukan untuk diri sendiri:

1-      Minum air dan susu lebih banyak.
2-      Makan banyak (yang berkhasiat).
3-      Buat “double-pumping” (boleh search di internet tentang ini).
4-      Doa dan Tawakkal
5-      Sabar

Yakin dengan Fitrah Ilahi


Perkara besar yang menyebabkan saya terus bersabar bersama kekuatan yang Allah berikan adalah saranan tentang penyusuan susu ibu. Secara saintifiknya seperti yang diketahui umum memang tiada susu yang terbaik melainkan SUSU IBU (boleh search di internet, banyak maklumat tentang kebaikan susu ibu untuk anak & juga ibu). Tetapi kenapakah Allah menyarankan sehingga 2 tahun penuh, kenapa tidak setahun, setahun setengah? Rahsia itulah yang saya yakin, hanya Allah yang lebih mengetahui daripada apa yang kita ketahui setakat pengetahuan kita yang terbatas ini. (insyaAllah entry yang lain kita akan bincangkan tentang ini)

Di dalam firman Allah di dalam surah AlBaqarah ayat 233 yang bermaksud:

“dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap Iaitu bagi orang Yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara Yang sepatutnya. tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya; dan waris juga menanggung kewajipan Yang tersebut (jika si bapa tiada). kemudian jika keduanya (suami isteri mahu menghentikan penyusuan itu Dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya). dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) Yang kamu mahu beri itu Dengan cara Yang patut. dan bertaqwalah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, Sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua Yang kamu lakukan”.

Menurut Ibn Kathir, Ini adalah panduan dari Allah swt untuk para ibu  menyusukan anak-anak mereka dengan memberi makanan lengkap selama dua tahun kerana  tidak ada lagi penyusuan susu ibu selepas itu. Namun, disana juga tiada larangan samada untuk tidak dapat cukupkan 2 tahun, atau untuk melebihkan selepas 2 tahun.

Perkataan 2 tahun menyusu lagi:

“dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya Dengan menanggung kelemahan Demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah Dalam masa dua tahun; (dengan Yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)”.



Jadi para ibu dan bapa, usah risau. Kita cuba sedaya upaya dengan pelbagai ikhtiar dan doa, jika adanya rezeki, Alhamdulillah, tetapi janganlah bersedih kerana saranan Allah itu bukanlah satu kewajipan. Kerana itu Allah menyebut, “bagi mereka yang inginkan melengkapkan tempoh penyusuan”.



Selamat Mencuba!!! Semoga Allah memberikan kekuatan dan kesabaran kepada anda juga!!  :)



Friday, December 23, 2011

Umayr, Trip to Hatyai & Lagu Kegemarannya.. :)

 
Umayr 1thn 9bln..
Masa ni on the way nak ke Hatyai Dis 2011 baru-baru ni. Umayr excited pertama kali naik bas..Dok asyik menyanyi. Lagu ini Umayr belajar dekat sekolah dia..Bagi peluang kat si kecil ni, nnti hafal AQ pun mcm ni jg ya Umayr..insyaAllah..
Terimalah persembahan Istimewa untuk pakcik2 dan makcik2..:)
Lagu jongkang-jongket & ABC..hehe
Lirik lagu jongkang-jongket:
Jongkang-jongket
Buaian-buaian
Naik atas papan 2x
Gelonsor2x
(Ummi pula belajar dari Umayr ni..)

Monday, October 31, 2011

Umurku genap 28 tahun: Impian Bahagia sehingga ke Syurga..Ameen

Perkenalan saya dan suami bermula selepas dirisik oleh adik ipar yang juga merupakan junior saya di UIA pada tahun 2006. Saya berpegang dengan prinsip saya, “berkenalan” dengan tujuan untuk berkahwin, tiada istilah untuk bercouple, dan tidak untuk tempoh jangka masa yang lama. “Berkenalan” apabila diri bersedia untuk memberikan cinta hanya untuk seorang lelaki yang bakal bergelar suami, insyaAllah dunia dan akhirat. Ketika dirisik sebenarnya pada masa yang sama ada beberapa calon yang lain yang perlu dipertimbangkan juga. Setelah melakukan Solat Istikharah, Alhamdulillah hati terbuka untuk menerimanya.

(Ketika Konvo PhD beliau baru-baru ini)

Suami saya memiliki beberapa perkara yang saya yakini. Cukuplah syaratnya, seorang lelaki yang tidak merokok, saya yakin dengan agama dan akhlaknya, malah yang boleh menjadi bapa contoh untuk bakal anak-anak saya nanti. Hadis Rasulullah saw yang ada mengatakan bahawa jika ada lamaran dari seorang lelaki soleh, yang diyakini agamanya, maka terimalah jika tidak akan berlaku kerosakan dimuka bumi, menguatkan lagi tentang pilihan hati ini. Sepanjang perkenalan kami, tidak pernah keluar berdua, tetapi sebaliknya ditemani oleh ahli keluarganya dan rakan saya. Bahkan keluar itu juga dengan tujuan dan urusan penting. Untuk menjaga dalam tempoh sebelum berkahwin inilah yang menjadi cabaran yang begitu kuat.

Memang perasaan untuk keluar bersama, makan berdua bersama, bersembang-sembang santai, berjumpa selalu itu ada. Itulah fitrah. Namun, samada fitrah bertukar fitnah atau fitrah membentuk mawaddah wa rahmah, pilihan itu terletak pada kita. Wanita terutamanya, perlu bertegas. Tidak ada seorang lelakipun yang berhak dan layak untuk kita selagi belum berlangsungnya sebuah akad yang sah. Yakinlah bahawa jika ia dijaga dengan sebaiknya sebelum berlangsungnya sebuah pernikahan, insyaAllah kita akan nampak keberkatan selepas perkahwinan. Untuk tidak menjaga dan menangguk dosa sebelum berkahwin itu memang sangat mudah, tetapi akan menjadi parah dan susah selepas bernikah. Untuk menjaga sebelum berkahwin itu sekejap sahaja sebenarnya, bersabarlah, tiada sedikit rugipun sebenarnya, walau sebesar zarah. Kerana dirinya akan menjadi milik kita insyaAllah untuk selamanya selepas itu.

Saya yakin dan percaya, Alhamdulillah Allah telah memberikan seorang suami yang terbaik untuk saya. Melalui perkahwinan dengannya saya mempelajari banyak perkara. Melalui pelbagai peristiwa dan cabaran sepanjang kehidupan kami, saya juga belajar untuk memaafkan, mengasihi, menyayangi dan berubah diri untuk menjadi seorang insan dan hamba yang lebih baik. Perbezaan itulah pelengkap untuk sebuah kehidupan. Kekurangan saya, suamilah menjadi pelengkapnya. Suami telah membuatkan saya untuk belajar bagaimana untuk menjadi seorang isteri yang bijak, ibu yang bijak, pembantu yang setia, kekasih yang saling mengasihi kerana Allah.

Bahkan suami saya banyak membantu dalam memudahkan terealisasinya impian CINTA dan CITA-CITA (saluran @ wasilah yang Allah berikan). Suami Soleh yang mengikut sunnah Nabi junjungan mulia, Muhammad saw dalam membantu isterinya di dalam urusan rumahtangga dan sebagainya. “Ya Allah, hambaMu ini menyayangi dan mengasihi lelaki ini yang telah engkau anugerahkan kepadaku keranaMU”..


(Apsal Umayr nganga??..Dia terkedu naik bot.. :) )

Harapan saya dengan doa agar kehidupan kami sekeluarga sentiasa diberkatinya dan dibawah rahmat kasih sayangNya. Ya Allah, himpunkan zuriat keturunan kami di dalam syurgaMu, Amiin..

Alhamdulillah diatas nikmat Iman dan Islam selama 28 tahun menjadi hamba Allah..
Terima Kasih atas ingatan kalian buat sahabat-sahabat..


* Mardiana Mat Ishak, Batu Caves, Selangor, 31 Oktober 2011.

Friday, September 30, 2011

“Manisnya Hempedu, Pahitnya Madu”…

Pasti kita pernah mendengar atau membaca kisah tentang poligami. Samada melalui media cetak, elektronik mahupun kenalan sendiri. Memang tidak salah di dalam Islam, tetapi, ianya merupakan satu perkara yang sangat sensitif bagi kebanyakan wanita. Samada berkahwin muda ataupun sebaliknya.

Suatu hari..

“ingat tak ******(Nama)”, tanya suami. 


“Ha’ah ingat”,  jawab saya ringkas.

“Tau tak, dia dah kahwin dua rupanya”. Sambung suami. (Terdetik juga dihati, “Eh, kenapa tiba-tiba sahaja ni”. InsyaAllah tidak. Sekadar memaklumkan perkembangan kenalan). 

Terkejut juga mendengarnya. Bagaikan tidak percaya. Bukan menyalahkan mana-mana pihak. Apatah lagi sebagai orang luar yang langsung tiada kena mengena dengan mereka untuk membuat pelbagai andaian, apatah lagi memberi hukuman. Bukannya buat salah.

Jika mereka yang berkahwin itu adalah bermula sebagai pasangan muda, atau pasangan yang tidak punya apa-apa. Susah senang bersama. Apa yang lebih menyentuh jiwa dan rasa, apabila hanya motosikal menjadi kenderaan rasmi mereka. Apa yang lebih meruntun jiwa, jikalau si isteri yang berbadan dua sudah terbiasa meredah bersama si suami melalui jalan yang terhentak-hentak yang tidak rata.

Yang kedua datang setelah si suami “steady”. Bukan ingin menyalahkan yang kedua, mungkin ada sebab utama mereka.

Ingin saya tekankan, persoalan berkahwin ketika belajar atau berkahwin muda tiada kena mengena dengan isu pologami ya. Justeru usah mengatakan itu adalah punca dan alasannya.

Lebah: "Manis ke Pahit nih?"

Saya teringat satu survey yang telah dilakukan keatas lelaki yang berpoligami (minta maaf saya tidak ingat siapa dan bila ia dibuat, maka usah dijadikan hujah), tetapi apa yang saya yakin dan pasti, survey itu mendapati peratusan tertinggi daripada mereka mengatakan bahawa tidak gembira dan bahagia seperti yang disangka selepas berkahwin lagi. Lebih bertambah “bala” dan sengsara lagi. Para lelaki jangan marah, para wanita jangan terlalu gembira ya..

Kenyataan Survey itu dikuatkan lagi dengan beberapa kes kenalan yang turut berhadapan dengan situasi yang sama. Seronok hanya sebelum dan di awal-awalnya sahaja. Selepas itu, berserabut otak kepala. Hmm tapi saya yakin dan pasti, disana juga masih terdapat mereka yang bahagia dan gembira dengan berpoligami. Tapi dipihak mana? Apakah sudah semestinya bahagia dan gembira atau perlu berpura-pura menyimpan rasa? Harapnya memang betul bahagia dan gembira.

Keinginan untuk berkahwin lebih  pasti menjadi keinginan setiap lelaki (apatah lagi tiada halangan didalam Islam). Wanita juga ada yang berperasaan begitu. Itulah sebabnya terdapat kisah isteri yang curang. Na’uzubillahiminzalik. Islam tidak benarkan wanita berkahwin lebih dari satu atas faktor nasab keturunan. Hanya wanita yang boleh melahirkan. Sudah pastinya masyarakat akan menjadi “caca-merba” dek ketidakpastian anak siapakah dia.

 Namun, bagi lelaki yang rasional, apabila difikirkan kembali tanggungjawab dan beban yang akan berganda malah berkekalan pula, berbanding seronoknya “berkahwin lagi” yang hanya bersifat sementara, menjadikan banyak juga lelaki lebih bahagia dan gembira dengan hanya seorang bidadari syurga dunianya. Gaji yang asalnya sudah cukup dan selesa terpaksa dihimpit kembali dengan “cawangan baru”. Stress pula berganda. (Marah orang yang berpoligami pada saya dengan kenyataan ini)..

Seronok dan excited untuk berkahwin baru ibarat seronok dan excited untuk berkahwin buat pertama kalinya suatu ketika dahulu. Namun dari semasa ke semasa perasaan biasa-biasa sahaja atau “suam-suam kuku” bersilih ganti. Itulah lumrah alam yang Allah ciptakan untuk semua perkara dunia. 

Sewaktu kita inginkan gadjet yang terbaru, ketika fasa-fasa awal bersamanya, itulah yang paling istimewa. Kemudian akhirnya, biasa sahaja. Mencari pula yang terbaru.

Anak kecil apabila mendapat mainan baharu, ketika fasa-fasa awal bermain bersama mainan tersebut, itulah yang sukar dilepaskannya. Kemudian akhirnya, biasa sahaja. Inginkan pula yang lain.

(( اعْلَمُوا أَنَّمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَزِينَةٌ وَتَفَاخُرٌ بَيْنَكُمْ وَتَكَاثُرٌ فِي الْأَمْوَالِ وَالْأَوْلَادِ كَمَثَلِ غَيْثٍ أَعْجَبَ الْكُفَّارَ نَبَاتُهُ ثُمَّ يَهِيجُ فَتَرَاهُ مُصْفَرًّا ثُمَّ يَكُونُ حُطَامًا وَفِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ شَدِيدٌ وَمَغْفِرَةٌ مِّنَ اللَّهِ وَرِضْوَانٌ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ))-الحديد: 20

“Ketahuilah, bahwa sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-bangga tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan keampunan dari Allah serta keredhaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu”. (QS, 57:20)

Itulah fitrah yang Allah ciptakan bagi nikmat dunia yang hanya bersifat sementara ini. Yang akan ditanggung adalah pahala atau dosa yang samada akan meringankan atau memberatkan mizan (neraca timbangan).

Justeru, hargailah si dia yang setia disisi. Susah senang bersama sanggup dilalui.  Saya bersimpati pada mereka yang terpaksa melalui. Derita atau bahagia hanya si dia yang merasai. Saya berdoa agar Allah menjauhkan diri dari diuji dengan ujian berat sebegini. .

Bagi lelaki, daripada melihat hanya kepada sunnah berpoligami itu, lihatlah pada fakta yang lebih utama yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw. Baginda memiliki hanya seorang isteri, Khadijah yang istimewa, semasa dalam hayat beliau. Hanya selepas Khadijah wafat, baharulah Nabi berpologami. Cemburu itu timbul dek kerana sayang. Di dalam sejarah, Aisyah juga cemburu bilamana Rasullulah saw seringkali teringat akan cinta pertama, suri hidupnya Khadijah, walaupun Khadijah telah tiada. Bahkan ada ketika, isteri-isteri baginda juga cemburu dengan yang lain. Itu adalah lumrah hati dan perasaan manusia. Namun, Hebatnya Rasulullah saw dalam memberi contoh kehidupan berumahtangga buat kita semua ..

Di dalam menjalin bahagia bersama, ia bukan hanya sekadar berhenti selepas diijabkabulkan sahaja. Tetapi sebaliknya rasa ingin terus mengenali dan mencintai pasangan seadanya. Mudah-mudahan kehidupan berkeluarga yang dilalui itu diredhai olehNya bahkan akan berkumpul pula di Syurga sana. 

Dr. Les Parrott di dalam bukunya “saving your marriage before it starts”, ada mengatakan  “dua pasangan yang berdikari mampu untuk membentuk dan menjalani satu kehidupan bersama walaupun terpaksa mengharungi segala kesusahan dan perlu untuk belajar cara menyesuaikan diri antara satu sama lain. Segala kesusahan serta kesungguhan dalam melalui satu fasa baru bagi setiap pasangan adalah berbeza namun mereka tetap akan menghadapi kesusahan tersebut. Dalam peringkat ini pasangan perlu bersedia untuk mengatakan “ya” dan menerima hakikat bahawa saya redha untuk menerima pasangan yang tidak sempurna dan percintaan dengan seseorang yang sempurna hanyalah satu khayalan semata-mata. Walaubagaimanapun saya tetap terpikat dan terpesona dengan “misteri” serta “rahsia” siapa awak dan saya bersedia untuk terus menyintai awak serta menjalani kehidupan bersama demi sebuah “cinta” yang lebih bermakna”.

Mardiana Mat Ishak
Batu Caves, 2011.

Monday, September 12, 2011

Musibah Syawal


Kami gembira kerana Syawal kali ini tiba bersamaan tarikh ulangtahun perkahwinan kami yang ke-5. Alhamdulillah. Namun, dalam kegembiraan tersebut juga, ada musibah yang telah menimpa.

Musibah Pagi 1 Syawal

Selepas selesai menunaikan solat sunat hariraya Aidilfitri di Masjid Sultanah Bahiyah Alor Setar, sambil mendengar khutbah hariraya. Umayr bermain dengan beberapa kanak-kanak yang lain. Main lari-lari. Tiba-tiba dia ke bahagian hadapan yang dipenuhi jemaah lelaki, di bahagian kiri koridor masjid. Dia nampak tangga dan kasut yang banyak agaknya,terus menuruni anak tangga tersebut. Memikirkan bahaya kalau dibiarkan takut Umayr lari ke jalan pula saya terus mendapatkannya. Tetapi terjatuh pula di tepi longkang. Ada calar sedikit di bahagian kiri kepalanya.

 selepas Solat Sunat Hariraya Aidilfitri 1432H


Musibah Petang 1 Syawal

Kami beraya di rumah tok saya, di Pokok Sena Kedah. Umayr teruja melihat kawasan lapang yang membolehkannya untuk bebas bergerak, bermain dan berlari. Peghak (bahasa kedah-kagum dan teruja seolah-olah tidak pernah lihat) tengok burung dalam sangkar. Siap nak pergi ke kawasan semut api.

(gambar: luka selepas 4 hari) Bertukar syif, Abi memantau Umayr pula. Tetapi malang tidak berbau, ketika Umayr ingin melangkah satu longkang kecil, Abi tidak sempat sambut, kepala Umayr terhantuk di atas tepi tiles. Agak tajam. Apa lagi, darah tak henti-henti keluar. Baju abi terkena darah, saya terus menerpa mendapatkannya. Tudung saya juga ada sedikit kesan darah. Menyirap darah saya melihat luka (yang pada saya agak dalam sehingga menampakkan isi). Apatah lagi dengan darah yang tak henti-henti. Semua orang menjadi kelam kabut.  Yang Umayr pula, sambil menangis (tidak pula meraung), menangis manja sambil memegang kepalanya dan menyebut, “ayi…ayi..” (lari…lari). Ingatkan nak sebut sakit. Umayr..Umayr.. 

Dari Pokok Sena, kami terus ke KMC (Kedah Medical Centre). Kami risau kalau jahitan pada luka diperlukan. Ya, pastinya kalau jahitan pada kulit, kesannya parut yang tidak akan hilanglah jawabnya. Habislah muka anak ummi ni.. na’uzubillah..

Alhamdulillah, doktor kata hanya diletakkan gam pada kulit untuk mencantumkan semula kulit yang terkoyak. Umayr ni pula kira nak tarik plaster kecil yang dilekatkan. Ada pernah satu malam (semasa menonton filem Nur Kasih), Umayr sedang menyusu, tiba-tiba dia tarik dan mungkin terkena pada jari tangan, luka berdarah kembali. Apa lagi, saya yang sangat risau terus mengajak suami untuk ke KMC untuk ditampal semula luka. Alhamdulillah tiada bayaran lebih dikenakan. Saya minta jururawat letakkan plaster yang lebih kuat dan lebih besar. Jadi, agak susah Umayr tarik. Perlu dibiarkan selama 4 hari, kepala juga jangan dibasahkan. Apabila dipesan agar jangan tarik, memang mengangguk sakan kawan kita nih. Tapi..banyak cubaan untuk melakukannya.. memang kami tambahkan lagi plaster dengan menyilang. Memang agak sukar Umayr menarik. Hehehe..

Selalunya orang kata, kalau tidak ada luka sini sana, bukan budaklah namanya. Hero pula...  Sementara menanti membesar dan faham bahasa seperti abang Uways ni, macam-macamlah lagi.. Hhhmmm


KPI rumah tangga bina perkahwinan bahagia (versi editor)

KPI rumah tangga bina perkahwinan bahagia
 (versi editor)

Berita Harian, 8 September 2011

LAPORAN akhbar baru-baru ini (Berita Harian 6 September) menyatakan lebih 200,000 pasangan mendaftar cerai. Kebanyakan laporan diterima membabitkan usia perkahwinan yang kurang daripada enam tahun. Perkara ini sangat merisaukan bahkan akan turut memberi kesan kepada institusi kekeluargaan seterusnya aspek pembinaan modal insan yang cemerlang.

Sama ada berkahwin atas faktor suka sama suka atau dicadangkan orang ketiga ia akan bertemu satu titik persamaan, iaitu membina cinta. Apakah pasangan yang berkahwin didasari cinta bersama akan berhenti sekadar menjadi pasangan dengan ikatan perkahwinan? Apakah pasangan diatur pihak ketiga akan berhenti sekadar menjadi pasangan yang berkahwin selepas diijabkabulkan? Tidak. Cinta itu bermula dengan tindakan dan perbuatan. Cinta dan perasaan belas kasihan perlu ada. Maka atas dasar itulah Allah meletakkan ‘mawaddah warahmah’ yang perlu menjadi dasar dalam sebuah perkahwinan. Mawaddah (cinta) itu seperkara dan disusuli rahmah (belas kasihan). Di saat sinar kebahagiaan muncul di dalam jiwa, cinta itu menjadi paksinya, dan pada saat marah, belas kasihan pula perlu menjadi paksi serta sabar.
Masalah tidak mempunyai keinginan terhadap pasangan atau wanita menurut seorang pensyarah bidang al-Quran dan hadis disebabkan tiga faktor utama iaitu, sama ada pernah melakukan zina sebelum berkahwin, atau seorang homoseksual atau memang mempunyai masalah kesihatan. Di dalam masalah kesihatan, tidak perlu dipersalahkan mana-mana pihak jika sekiranya masing-masing tidak mengetahuinya sebelum berkahwin.
Apa yang menjadi kesalahan adalah diteruskan perkahwinan jika sekadar menutup mulut orang mengenai persoalan masih belum berkahwin. Saya ingin mencadangkan dua perkara mudah-mudahan ia membantu pasangan yang berumah tangga untuk terus membina bahagia bersama.

Pertama, pastikan hubungan sebelum perkahwinan itu dijaga dengan sebaik-baiknya dengan mengikuti apa yang Islam sarankan seperti tidak keluar berdua-duaan sebelum berkahwin, bersentuhan melakukan perkara ringan serta adengan boleh membawa kepada zina. Kedua, sebaik-baiknya diadakan KPI rumah tangga (penunjuk aras) agar ia sentiasa menjadi audit dalaman untuk memberikan yang terbaik buat pasangan. Dalami ilmu agama dan ilmu rumah tangga serta kekeluargaan secara berterusan. Sentiasa jadikan diri untuk memberi yang terbaik, daripada ingin menerima yang terbaik. KPI ini seelok-elokknya dibuat pada saat pasangan masih di dalam proses untuk berkahwin atau tempoh perkahwinan yang masih baru.

Jadikan KPI ini sebagai satu muhasabah bersama dengan meletakkan apa yang diharapkan dapat dilakukan dan perkara yang perlu dielakkan dalam membina kebahagiaan. Mudah-mudahan ia membantu kita untuk terus memburu kebahagiaan yang abadi.

MARDIANA MAT ISHAK,
Pensyarah dan Penulis Buku. 


 http://www.bharian.com.my/bharian/articles/KPIrumahtanggabinaperkahwinanbahagia/Article

Jalan-jalan Cari Makan (JJCM) TV3.. Alkisahnya…

Kelakar apabila melihat wahaj sendiri dalam  rancangan JJCM episode 14 tempohari (Ahad, 4 September 2011- 12 tgh). Ia berlaku secara kebetulan. Alkisahnya…

Selepas maghrib, kami bersiap-siap untuk ke dePalma Hotel Ampang kerana saya perlu menghadiri workshop silibus buku baharu Bahasa Arab selama tiga hari berturut-turut (29-31  Julai 2011). Setelah berbincang dengan encik suami petang itu, pilihan untuk makan diluar sahaja memandangkan stok bahan mentah telah dihabiskan kerana tiga hari tiada dirumah dan sebelum memasuki fasa Ramadhan minggu hadapan. 

Selepas maghrib, dalam mencari tempat yang sesuai dan memenuhi keperluan perut yang berbunyi, saya mencadangkan mencuba kedai Spring Potato. Kedai ini telah dilihat lama kerana untuk kerumah saya, pasti melalui Sri Gombak. Dari jauh kedainya nampak agak menarik sekalipun berada dikawasan deretan kedai yang kurang menarik. Kedai yang selesa, bersih dan kemas dan yang lebih penting adalah tokeynya adalah Islam dan bumiputera. 



Sewaktu kami sampai, telah ada 4 meja makan yang telah selesai makan. Kami sahaja pelanggan yang baru sampai. Kami mencuba makanan Korea Bul-go-gi dan Spring Potato. Semasa menunggu order, kami perasan ada 4 orang krew tv selesai menikmati makanan mereka. Ingatkan telah selesai pengambaran, dan tidak sangka pula mereka adalah krew JJCM. Hanya mereka berempat, pengacara JJCM Qi dan Amy Mastura tiada. Saya rasa, pengambaran bersama pengacara dan artis jemputan dibuat lebih awal dan sesi kedua hanya untuk mendapatkan pandangan pelanggan sahaja. Kerana plak JJCM telah sedia ada diatas meja kaunter.

Kami adalah orang terakhir yang ditemuramah. Sewaktu menjamah hidangan yang memang sedap itu, kami disapa, “Abang, kakak, boleh kami temuramah sikit untuk JJCM?”. Saya dan suami ketawa dan bersetuju. “Siapa yang akan cakap? Abang ke akak?”. Dengan selamba, suami kata, “bagi akaklah..”.. Alamak..oklah, ok ja… “Akak cakap panjang-panjang sikit ok..”. Ok, boleh je.. Adik tu tanya beberapa soalan, “bagaimana rasa makanan yang kami makan tu, fresh ataupun tidak”, “apa pandangan tentang kedai tersebut” dan beberapa soalan lagi. Dia kata akan keluar tv insyaAllah selepas raya. 

Ketika menghabiskan cuti hariraya di rumah abang saya di Penang, adik saya perasan ada iklan JJCM untuk 4 September 2011 di tv3.  “Eh Nampak macam muka abang Nizamla kat iklan JJCM, hampa pi kedai Spring Potato ka”. Kalau iklan Spring Potato dan muka en. Suami, memang sahlah. Tak sangka pula sejurus selepas raya. 


(promo iklan JJCM Ahad, 4 September tv3)


Hari Ahad jam 12 memang kami tunggu untuk tengok betul atau tidak. Kami di Ipoh. Memang kelakar tengok muka sendiri dan diusik juga oleh abang saya sebagai kuat makan dan perut stokin. Hmm..memang saya boleh habiskan 2-3 kali tambah. Nak buat macam mana, sebab lapar dan mungkin kerana masih menyusu penuh adik Umayr. Kata en. suami, tak apa selagi berselera dan Allah bagi nikmat makan.. Alhamdulillah..

Kalau nak tengok JJCM episode 14 temohari, boleh lihat di tonton.tv3…


Thursday, September 8, 2011

"Perkahwinan bukan satu Persinggahan"- versi asal

Senario yang sering berlaku..

“saya tidak cintakan dia”

“kami tidak serasi”

“dia tidak bertanggungjawab”

“dia curang”

Ini adalah antara beberapa perkara yang sering menjadi punca pergolakan rumahtangga. Laporan akhbar baru-baru ini (BH- 6 September 2011) yang menyatakan bahawa lebih 200,000 pasangan mendaftar cerai. Kebanyakan laporan yang diterima adalah usia perkahwinan yang kurang dari 6 tahun. Perkara ini sangat merisaukan bahkan akan akan turut memberi kesan kepada institusi kekeluargaan seterusnya aspek pembinaan modal insan yang cemerlang.

Cinta Rela dan Cinta Dipaksa

Samada berkahwin atas faktor suka sama suka atau dicadangkan oleh orang ketiga ia akan bertemu satu titik persamaan, iaitu membina cinta. Apakah pasangan yang berkahwin didasari cinta bersama akan berhenti sekadar menjadi pasangan dengan ikatan perkahwinan? Apakah pasangan yang diatur pihak ketiga akan berhenti sekadar menjadi psangan yang berkahwin setelah diijabkabulkan? Tidak. Cinta itu bermula dengan tindakan dan perbuatan. Cinta dan perasaan belas kasihan perlu ada. Maka atas dasar itulah Allah meletakkan “mawaddah warahmah” yang perlu menjadi dasar dalam sebuah perkahwinan. Mawaddah (Cinta) itu seperkara dan disusuli rahmah (belas kasihan). Disaat sinar kebahagiaan muncul didalam jiwa, cinta itu menjadi paksinya, dan disaat api kemarahan membara dijiwa, belas kasihan pula perlu menjadi paksinya bahkan ia menuntut satu kesabaran. Marah itu adalah satu perkara yang normal bagi manusia, namun apakah dengan api kemarahan itu akan terus dibiarkan membakar dan marak seterusnya meranapkan sebuah rumahtangga? Rasulullah SAW telah memberikan solusinya. Jadikan rumahtangga baginda sebagai model ikutan kita semua dalam membina bahagia dalam kehidupan.

Bagi mereka yang berkahwin dengan cadangan pihak ketiga, alasan “saya dipaksa berkahwin” atau “tidak ada cinta” dijadikan sebab setelah berlakunya aqad yang sah adalah sesuatu yang tidak rasional. Pilihan untuk berkahwin atau tidak itu terletak pada tangan diri sendiri. Ia boleh sahaja diterima atau ditolak secara baik selagi belum berlakunya proses ijab dan kabul. Apatah lagi jika sebab tidak cintakan pasangan malah dikatakan dipaksa pula dijadikan hujah untuk menamatkan sebuah perkahwinan. Lebih-lebih lagi setelah kemeriahan perkahwinan yang diraikan telah berlaku.

Perkahwinan bukan satu persinggahan. Contohnya, ketika zaman persekolahan dan memasuki gerbang institusi pengajian tinggi. Apabila dirasakan tidak serasi, terus bertukar tempat dan melarikan diri. Jika ini yang berlaku didalam sebuah institusi perkahwinan, ia bukanlah datang dari mereka yang matang dan bijak berfikir tentang kehidupan. Keserasian itu perlu dibina dan dicarigali secara berterusan. Malah setiap hari yang dilalui bersama itulah pelajaran yang cukup berharga untuk membina keserasian. Sememangnya gabungan dua cara kehidupan yang berbeza itu perlu dicari titik persamaan dalam membina sebuah kehidupan berkeluarga yang menuju redhaNya.

Punca

Daripada laporan yang diterima peratusan daripada tidak bertanggungjawab sehinggalah kepada masalah seksual atau masalah kesihatan. Masalah tidak mempunyai keinginan terhadap pasangan atau wanita menurut salah seorang pensyarah bidang al-Quran dan Hadith adalah disebakan tiga faktor utama iaitu, samada pernah melakukan zina sebelum berkahwin, atau seorang homoseksual atau memang mempunyai masalah kesihatan. Na’uzubillahiminzalik. Saya pernah mendengar antara sebab penceraian yang dilakukan kajian oleh Timbalan Pengarah IKIM yang sekarang merupakan rektor baru UIAM, Prof. Dato’ Dr. Zaleha Kamaruddin, didalam slot Mahligai Kasih di IKIM.fm tentang masalah seksual ini. Pelbagai jenis ubat kuat yang ditampal iklan itu sebenarnya telah membuka keaiban dan menunjukkan kelemahan pihak lelaki. Menurutnya, biasanya ego pihak lelaki sukar untuk menerima punca ini dan simpati dan malu pihak isteri pula sukar untuk melaporkan seterusnya cuba membantu untuk membuat rawatan. Apatah lagi masalah kesihatan ini diketahui setelah berlakunya ijab dan kabul. Akhirnya, pasangannya terpaksa menjadi mangsa keadaan. Di dalam masalah ini, tidak perlu dipersalahkan mana-mana pihak jika sekiranya masing-masing tidak mengetahuinya sebelum berlakunya perkahwinan. Apa yang menjadi kesalahan adalah diteruskan perkahwinan jika diketahui sedari awal untuk menutup mulut orang tentang persoalan, “kenapa masih belum berkahwin”. Berkahwin dan kemudian memutuskan perkahwinan telah menjadi pilihan penyelesaian yang terbaik. Malah, mencanang pelbagai kesalahan pasangan untuk menutup keaiban diri. Lebih memburukkan keadaan, jika orang lain yang tiada kena mengena turut sama campur tangan dan memberi komen itu dan ini.

Cinta Terpelihara dan K.P.I Rumahtangga

Saya ingin mencadangkan dua perkara ini, mudah-mudahan ia membantu pasangan yang berumahtangga untuk terus membina bahagia bersama. Pertama pastikan hubungan sebelum perkahwinan itu dijaga dengan sebaik-baiknya dengan mengikuti apa yang Islam sarankan seperti tidak keluar berdua-duaan sebelum berkahwin, bersentuhan melakukan perkara-perkara ringan, apatah lagi adegan-adegan ringan yang boleh membawa kepada penzinaan. Kemungkinan besar kebahagiaan dan ketenangan yang dirasai sebelum berkahwin akan bertukar menjadi kesengsaraan dan keperitan setelah berkahwin sebagai balasan dari Allah. Kebahagiaan sebelum berkahwin telah dihiasi oleh panahan syaitan. Kerana itu kenikmatan dunia adalah syurga bagi mereka yang melakukan maksiat dan neraka bagi mereka yang bertaqwa. Namun, pastinya kenikmatan akhirat adalah syurga bagi mereka yang bertaqwa dan neraka bagi mereka yang melakukan maksiat.

Kedua, sebaik-baiknya diadakan K.P.I (Key Personal Indicator) Rumahtangga (pununjuk aras) agar ia sentiasa menjadi audit dalaman untuk memberikan yang terbaik buat pasangan. Dalami ilmu agama dan ilmu rumahtangga serta kekeluargaan secara berterusan. Sentiasa jadikan diri untuk memberi yang terbaik, daripada ingin menerima yang terbaik. K.P.I ini seelok-elokknya dibuat disaat pasangan masih didalam proses untuk berkahwin atau tempoh perkahwinan yang masih baharu. Ini kerana, tempoh ini yang dikatakan sebagai Musim Cinta Sayang, pasangan masih lagi teruja untuk membina kebahagiaan bersama. Baik dan buruk pasangan masih lagi boleh diterima. Jadikan KPI ini sebagai satu muhasabah bersama dengan meletakkan apa yang diharapkan dapat dilakukan dan perkara yang perlu dielakkan dalam membina kebahagiaan. Mudah-mudahan ia membantu kita untuk terus memburu kebahagiaan yang abadi.

Mardiana Mat Ishak,

Pensyarah dan Penulis Buku “Bahagianya menjadi Pengantin Sepanjang Masa” (PTS-2011)