Friday, July 1, 2011

“Ummi, mana Allah?”

Petang Isnin (27/6/2011) ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dari Educare, tiba-tiba Uways buka tingkap untuk membuang tisu ditangannya.

“Eh, Uways, tak baik buang tisu rata-rata, nanti habis bumi, pokok tak cantik, Allah marah, Allah tak sayang”.

Terus Uways menutup tingkap, sambil mengulangi, “nanti pokok tak cantik?”.

“Ya, pokok tak cantik, bumi tak cantik”, saya menjawab. “Allah sayang orang yang buat baik”.

Tiba-tiba Uways menyoal, “Ummi, mana Allah?”.

Saya terdiam seketika mencari jawapan yang terbaik dan mudah untuk anak yang berusia 3 tahun 8 bulan ini (4 tahun).

“Tu Allah”, kata Uways sambil menunjuk tangannya ke kubah Masjid UIA dari dalam kereta.



“Eh, itu bukan Allah.. Itu masjid”.

Saya teringat ayat Allah yang menceritakan tentang dirinya, didalam Surah al-‘Araaf (54) dan juga didalam Surah al-Hadid (4);

هُوَ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضَ فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ يَعْلَمُ مَا يَلِجُ فِي الأرْضِ وَمَا يَخْرُجُ مِنْهَا وَمَا يَنْزِلُ مِنَ السَّمَاءِ وَمَا يَعْرُجُ فِيهَا وَهُوَ مَعَكُمْ أَيْنَ مَا كُنْتُمْ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ)) -الحديد:4


“Dialah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa; Kemudian Dia bersemayam di atas ‘Arsy, dia mengetahui apa yang masuk ke dalam bumi dan apa yang keluar daripadanya dan apa yang turun dari langit dan apa yang naik kepadanya. Dan Dia bersama kamu di mana saja kamu berada. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan. (QS. 57:4)


“Allah kat langit (‘Arasy), tapi kita tak nampak”. Saya berharap jawapan itu boleh diterima olehnya.

“Ooo kat langit”, sambil mengangguk. Faham lah agaknya.

“Kalau kita nak tengok Allah, kita kena masuk syurga. Kat Syurga, kalau kita nak apa-apa, semua Allah bagi. Tapi orang yang baik saja boleh masuk syurga. Uways nak masuk syurga?”.

“Nak”, jawapnya sepontan.

“kalau Uways nak masuk syurga, Uways kena buat benda baik, kena Solat, rajin baca Quran, sayang ummi, abi, adik umayr, sayang semua orang, tak buang sampah rata-rata, ok?”

“Ok”. Jawapnya ringkas sambil mengangguk.

Kalau Uways masuk syurga, Uways nak minta apa kat Allah? Semuanya Allah bagi”.

Jawapan yang tidak saya jangka diberi.

“Uways nak gula-gula!!”. Nak tergelak pun ada, tapi saya hanya senyum dan mengangguk, itulah antara fitrah seorang budak. Ok, lagi?.

“Uways nak BISKUT TIGER!!”.

Alamak, biskut tiger!, saya menjangkakan ultraman cosmos ka apa ka.. Gelihati saya mendengar jawapan diluar jangkaan dari abang Uways..lapar agaknya Uways ni yang baru balik dari sekolah. Walhal, pada masa itu dia telah makan roti yang dibeli.

“Ok, boleh boleh. Semua Allah bagi, tapi Uways kena buat baik, lagi kena buat apa?”.

“Kena Solat, baca Quran, sayang ummi, abi, tak buat adik umayr..” , jawapan yang mengulangi apa yang saya sebut.

“Ok, pandai anak Ummi”..Saya mengusap kepala Uways sambil berdoa agar mudah-mudahan Uways akan menjadi seorang anak yang Soleh serta menjadi seorang Hamba Allah yang bertaqwa dan Manusia yang berguna.

Umayr yang duduk dibelakang atas car seatnya masih belum memahami apa-apa sedang asyik menikmati roti ditangan. Juga doa untuk kedua-dua hero ini.

Petang itu, saya pulang dengan kepala yang berfikir dan yakin bahawa sesungguhnya bukannya mudah untuk ibubapa mendidik seorang anak menjadi Hamba Allah yang bertaqwa. Ini kerana hanya dengan Iman dan Taqwa, si anak pasti akan membesar menjadi seorang manusia yang berguna dan berakhlak mulia.

Untuk itu, amatlah perlu untuk ibubapa terus menerus menimba ilmu (dengan pembacaan dan sebagainya) dalam selok belok urusan keibubapaan terutamanya dalam urusan yang berkaitan dengan agama. Skill keibubapaan bukannya datang dengan sendiri tatkala lahirnya seorang anak di atas muka bumi. Ia memerlukan sokongan dan paduan usaha dan tenaga yang komited suami isteri. Mujahadah dan istiqamah yang tinggi. Ya Allah kuatkanlah semangat kami dalam mendidik generasi Islam amanahMu ini.. Amiin Ya Rabb..

p/s: Buat para ibubapa serta bakal ibubapa diluar sana khususnya mereka yang mempunyai anak-anak yang masih kecil, yakin dan percayalah bahawa suatu hari si anak pasti akan bertanya tentang kewujudan Allah. Bila? Di mana? Pada Siapa? Wallahua’alam..