Friday, December 14, 2012

Siapa kita diusia 40-an?















Seandainya kita diberikan oleh Allah peluang untuk hidup sehingga usia 40-an, perkara yang ingin saya kongsikan ini amat perlu untuk ditikberatkan dan sebagai persediaan di hari kemudian.

Life begins at 40s…

Apakah benar "life begins at 40s"? Apabila memasuki usia 40 tahun, pasti orang akan mengatakan kehidupan sebenar baru bermula. Kita yang belum mencapai usia 40-an pasti belum jelas dengan apa yang dimaksudkan sebenarnya. Namun, bagi mereka yang baru dan telah melepasi fasa 40-an, pasti mampu memberikan jawapannya. Jawapan itu sebenarnya menentukan dan menggambarkan siapa dirinya.

Di dalam al-Quran, Allah juga telah menyebut tentang usia 40-an ini. Allah berfirman,

 “dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya Dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya Dengan menanggung susah payah. sedang tempoh mengandungnya beserta Dengan tempoh menceraikan susunya ialah Dalam masa tiga puluh bulan. setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa Yang sempurna kekuatanNya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia Dengan berkata: "Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu Yang Engkau kurniakan kepadaKu dan kepada ibu bapaku, dan supaya Aku tetap mengerjakan amal soleh Yang Engkau redai; dan Jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke Dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya Aku bertaubat kepadaMu, dan Sesungguhnya Aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadaMu)". (al-Ahqaf:15)

Apabila manusia mencapai umur 40, pasti akan timbul didalam hati mereka perkara-perkara yang telah disebutkan Allah itu. Namun, Ia bukanlah dari semua manusia. Ia hanyalah untuk mereka yang beriman dan telah melakukan amal soleh bahkan kebaikan yang berterusan yang bermula sewaktu mereka masih muda. 

Sepatutnya, apabila seseorang itu telah melewati usia 40-an, Allah menyatakan, ada 5 perkara yang akan didoakan iaitu:

1)      Berikan kita agar tetap bersyukur dengan nikmatNya yang telah dikurniakan kepada kita dan kepada kedua ibu bapa kita. Nikmat rezeki dan kehidupan yang telah kita lalui sepanjang 40 tahun kehidupan sebelum ini.

2)       Doakan agar supaya kita tetap mengerjakan amal soleh Yang Allah redai, bukan amal kebaikan yang Allah murkai dan tiada keberkatan ilahi

3)       Jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunan kita. Ini bermakna, berdoa agar perkara-perkara buruk dan negatif tidak akan masuk kedalam jiwa mereka, namun jika sekalipun ia termasuk, tetapi ia tidak akan melekat lama dan akan hilang.
 
4)      Mohon untuk kita terus bertaubat kepadaNya. Bertaubat dan terus bertaubat dalam menjadikan kita hamba yang disayangi Tuhan.

5)      Akhirnya, berdoa agar kita sentiasa ditempatkan dari kalangan orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadaNya). Agar kita mati dalam Islam. Itulah jaminan dan kunci kecemerlangan dan kebahagiaan.

Semaian diwaktu muda itulah bekalan yang bakal dibawa ketika hari tua. Jika sewaktu muda, kita hanya bergelumang dengan maksiat dan tidak bertaubat sebelum sampai umur 40 tahun, itulah bekalan yang bakal diwarisi apabila usia menginjak 40-an dan seterusnya. 

Hidup akan terkapai-kapai tanpa arah tujuan dan matlamat hidup dan mati yang jelas. Namun, jika sebaliknya jika semaian yang dituai dan dibajak setiap hari dengan kebaikan dan taubat, insyaAllah bekalan itulah yang dibawanya kelak. Mudah-mudahan insyaAllah kita akan mati dengan Husnul Khatimah (penutup yang baik), insyaAllah.

Oleh kerana itu, Allah telah menunjukkan contoh yang cukup jelas. Nabi saw menerima wahyu pertama ketika baginda berusia 40 tahun. Tetapi sebelum itu, baginda telah dididik dan dilatih oleh Allah sedari kecil dengan pelbagai dugaan, cabaran, yang telah membentuk karakternya untuk menjadi seorang Nabi dan Rasul terakhir.

Kerana itulah, sewaktu muda ini, Input yang baik perlu dimasukkan agar ia sebati dengan jiwa dan mesra dengan kehidupan. Bukan menanti untuk bertaubat pada usia tua yang mungkin akan hilang dipertengahan jalan. 

Mati tidak pernah mengenal usia. Jika kita mati disaat diri bertaubat dan melakukan kebaikan, mudah-mudahan Allah menerima itu sebagai penyesalan seorang hamba dan akan dimasukkan kita kedalam syurga. Itulah yang kita harapkan dan impikan. 

Namun, jika kita mati tanpa sempat untuk bertaubat, nau’zubillahiminzalik, kita takut jika sekiranya amalan kebaikan kita sangat kurang apatah lagi yang melibatkan kewajipan sebagai seorang hamba dengan tuhannya. Bahkan maksiat yang kita lakukan tanpa taubat, bakal mengheret kita ke neraka jahannam sebagai balasan.

Semoga Allah sentiasa memberikan hidayahnya buat kita semua...