Monday, October 31, 2011

Umurku genap 28 tahun: Impian Bahagia sehingga ke Syurga..Ameen

Perkenalan saya dan suami bermula selepas dirisik oleh adik ipar yang juga merupakan junior saya di UIA pada tahun 2006. Saya berpegang dengan prinsip saya, “berkenalan” dengan tujuan untuk berkahwin, tiada istilah untuk bercouple, dan tidak untuk tempoh jangka masa yang lama. “Berkenalan” apabila diri bersedia untuk memberikan cinta hanya untuk seorang lelaki yang bakal bergelar suami, insyaAllah dunia dan akhirat. Ketika dirisik sebenarnya pada masa yang sama ada beberapa calon yang lain yang perlu dipertimbangkan juga. Setelah melakukan Solat Istikharah, Alhamdulillah hati terbuka untuk menerimanya.

(Ketika Konvo PhD beliau baru-baru ini)

Suami saya memiliki beberapa perkara yang saya yakini. Cukuplah syaratnya, seorang lelaki yang tidak merokok, saya yakin dengan agama dan akhlaknya, malah yang boleh menjadi bapa contoh untuk bakal anak-anak saya nanti. Hadis Rasulullah saw yang ada mengatakan bahawa jika ada lamaran dari seorang lelaki soleh, yang diyakini agamanya, maka terimalah jika tidak akan berlaku kerosakan dimuka bumi, menguatkan lagi tentang pilihan hati ini. Sepanjang perkenalan kami, tidak pernah keluar berdua, tetapi sebaliknya ditemani oleh ahli keluarganya dan rakan saya. Bahkan keluar itu juga dengan tujuan dan urusan penting. Untuk menjaga dalam tempoh sebelum berkahwin inilah yang menjadi cabaran yang begitu kuat.

Memang perasaan untuk keluar bersama, makan berdua bersama, bersembang-sembang santai, berjumpa selalu itu ada. Itulah fitrah. Namun, samada fitrah bertukar fitnah atau fitrah membentuk mawaddah wa rahmah, pilihan itu terletak pada kita. Wanita terutamanya, perlu bertegas. Tidak ada seorang lelakipun yang berhak dan layak untuk kita selagi belum berlangsungnya sebuah akad yang sah. Yakinlah bahawa jika ia dijaga dengan sebaiknya sebelum berlangsungnya sebuah pernikahan, insyaAllah kita akan nampak keberkatan selepas perkahwinan. Untuk tidak menjaga dan menangguk dosa sebelum berkahwin itu memang sangat mudah, tetapi akan menjadi parah dan susah selepas bernikah. Untuk menjaga sebelum berkahwin itu sekejap sahaja sebenarnya, bersabarlah, tiada sedikit rugipun sebenarnya, walau sebesar zarah. Kerana dirinya akan menjadi milik kita insyaAllah untuk selamanya selepas itu.

Saya yakin dan percaya, Alhamdulillah Allah telah memberikan seorang suami yang terbaik untuk saya. Melalui perkahwinan dengannya saya mempelajari banyak perkara. Melalui pelbagai peristiwa dan cabaran sepanjang kehidupan kami, saya juga belajar untuk memaafkan, mengasihi, menyayangi dan berubah diri untuk menjadi seorang insan dan hamba yang lebih baik. Perbezaan itulah pelengkap untuk sebuah kehidupan. Kekurangan saya, suamilah menjadi pelengkapnya. Suami telah membuatkan saya untuk belajar bagaimana untuk menjadi seorang isteri yang bijak, ibu yang bijak, pembantu yang setia, kekasih yang saling mengasihi kerana Allah.

Bahkan suami saya banyak membantu dalam memudahkan terealisasinya impian CINTA dan CITA-CITA (saluran @ wasilah yang Allah berikan). Suami Soleh yang mengikut sunnah Nabi junjungan mulia, Muhammad saw dalam membantu isterinya di dalam urusan rumahtangga dan sebagainya. “Ya Allah, hambaMu ini menyayangi dan mengasihi lelaki ini yang telah engkau anugerahkan kepadaku keranaMU”..


(Apsal Umayr nganga??..Dia terkedu naik bot.. :) )

Harapan saya dengan doa agar kehidupan kami sekeluarga sentiasa diberkatinya dan dibawah rahmat kasih sayangNya. Ya Allah, himpunkan zuriat keturunan kami di dalam syurgaMu, Amiin..

Alhamdulillah diatas nikmat Iman dan Islam selama 28 tahun menjadi hamba Allah..
Terima Kasih atas ingatan kalian buat sahabat-sahabat..


* Mardiana Mat Ishak, Batu Caves, Selangor, 31 Oktober 2011.

1 comment:

Unknown said...

cikgu mardiana!! :D ni saya dena . ingat tak? rindu nyaaa ! semoga relationship cikgu & husband berkekalan sampai syurga !