Friday, February 24, 2012

Teknik "Menipu" Gaya Ibubapa


 (gambar hiasan)


Mungkin ini pernah berlaku?

“sayang mama, mari sini kita pakai pampers”, panggil si ibu dengan nada manja cuba memujuk si kecil.

Anak kecil seperti itu sudah pasti gembira apabila dapat “membebaskan diri” dari berpakaian setelah puas bermandi-mandi.

“sayang mama, marila sini sekejap”, panggil si ibu itu lagi.

Si anak kecil itu berlari-larian mengelilingi kerusi ruang tamu rumah dengan tujuan untuk melarikan diri dari ibunya daripada memakai pampers.

Si ibu mula penat memanggil, banyak lagi kerja rumah yang perlu dilakukan. Pada masa yang sama juga, beliau tidak ingin melepaskan peluang untuk bermain dengan si kecil ini.

“ha, mama ada 1 idea”, bisik hati kecilnya.

“Sayang mama, mama ada gula-gula ni, nak tak?”, kata si ibu untuk memancing si kecil dengan umpan gula-gula yang menjadi “kegilaannya”.

Dengar sahaja gula-gula, apa lagi, terkedek-kedek si kecil berlari ke arah ibunya.

“Yes, umpan mengena”, senyum si ibu.

“Ha!!! Mama dah dapat budak ni, harimau makan budak…ngaum..ngaum..”, si ibu berseloroh dengan anak kecilnya lagak gaya seekor harimau.

“mengekek-ngekek si kecil itu ketawa kerana digeletek si ibu”. 

“yeay..yeay kena tipu..mana ada gula-gula!!”, sambil mengusik dan menggeletek anak kecil yang masih terkekek-kekek ketawa dengan lawak si ibu..


Pada pandangan anda, apakah perasaan si anak kecil itu?

Gembira dan bahagia kerana mendapat usikan dan “geletekan” dari si ibu? 

Itu secara luarannya. Sama-sama bahagia dengan gelak tawa dan bermain bersama. Ya anak kecil masih belum mengerti apatah lagi untuk menyatakan sesuatu tentang perasaannya. Hanya menagis apabila inginkan sesuatu dan gembira apabila sukakan sesuatu.

Tetapi apakah si ibu itu sedar bahawa si anak tersebut telah mempelajari sesuatu daripadanya? 

Ya. “Jom berbohong”.

Betul itu adalah umpan yang paling menyengat bagi seorang budak kecil yang sangat gemarkan gula-gula. Tetapi dengan cara menyatakan padanya sesuatu yang tiada, sebenarnya itu adalah satu kebohongan. Secara tidak langsung ibubapa sendiri yang telah mendidik anak-anak supaya berbohong walaupun pada niat dan tujuannya bukan untuk menipu, hanya untuk mengumpan si anak supaya segera datang kepadanya.


Didikan Gaya Rasulullah SAW.

Perkara yang sama juga pernah berlaku pada zaman seorang Motivator HEBAT ini, Muhammad bin ‘Abdullah.

Diriwayatkan oleh ‘Abdullah ibnu ‘Amir yang menceritakan masa kecilnya, bahawa ibunya memanggilnya, ketika itu Rasulullah SAW sedang berada dirumah kami. Ibunya berkata: “kemarilah, aku akan memberimu sesuatu!”. Nabi bertanya kepada ibunya:: “Apakah yang akan engkau berikan berikan kepadanya?”. Ibunya menjawab: “Aku akan memberikannya buah kurma.” Melihat gelagatnya, Nabi SAW pun bersabda:

أَمَا إِنَّكِ لَوْ لَمْ تُعْطِهِ شَيْئًا كُتِبَتْ عَلَيْكِ كِذْبَةٌ
“ingatlah, jika engkau tidak memberinya suatu apa pun, nescaya akan dicatatkan sekali pendustaan terhadapmu”. (Abu Dawud, 4339)

Pesanan ini buat diri saya yang menulis juga buat saudara/i yang membaca. Sesungguhnya anak-anak ini sentiasa memerhati cara orang-orang dewasa dan akan meniru perbuatan mereka. Oleh itu,di dalam bab jujur atau berkata benar ini, janganlah sesekali kedua ibubapa berbohong kepada anak mereka dengan apa cara sekalipun.

Jadikan cara  didikan Rasulullah SAW ini sebagai panduan kita bersama. Mudah-mudahan kita akan beroleh kebaikan dunia dan akhirat. insyaAllah…

No comments: