Showing posts with label Dunia Islam. Show all posts
Showing posts with label Dunia Islam. Show all posts

Sunday, September 14, 2014

Hijrah Artis: antara Musibah, Dakwah & Pahala Free

Pilihan artis atau selibriti untuk berhijrah adalah sesuatu yang tidak asing lagi kini. Kalau dahulu, apabila telah berhijrahnya seseorang artis (biasanya selepas kembali dari tanah suci), pasti akan ada "cakap-cakap" orang yang mengatakan, "tengoklah tu, sekejap sahaja, nanti buka baliklah tudung tu". Samada orang kata atau tidak, memang itu yang selalunya akan berlaku. Namun, itu semua cerita dahulu. 



Tetapi, kini, biasanya insyaallah dan alhamdulillah, apabila adanya artis atau selibriti yang berhijrah, insyaAllah hijrahnya itu akan kekal malah menjadi semakin baik. Alhamdulillah. Tindakan mereka yang memulakan tindakan itu saharusnya dipuji bukan dikeji walaupun pada permulaannya itu masih ada yang perlu diperbaiki. Itu tidak mengapa, mudah-mudahan mereka berkesedaran dan menjumpai apa yang sepatutnya. Kebaikan yang dilakukan itu perlu diraikan bersama. Kalau dikalangan manusia pun sudah dipuji, apatah lagi pada pandangan Allah dan Rasulnya.

Dakwah dan Pahala Free

Golongan ini menjadi golongan yang tindak tanduknya pasti mendapat perhatian. Agak berat apabila segala perkara yang mereka lakukan pasti akan ditiru peminat atau orang awam. Jika ianya sesuatu yang positif, Alhamdulillah betapa banyak pahala free yang telah dijana.




Selibriti samada seorang lelaki mahupun wanita, jika tindakan atau perbuatan baik yang mereka lakukan itu ditiru oleh orang lain, betapa banyaknya MLM pahala yang dikumpul. Bukankah tempat didunia ini untuk menjana pahala sebanyaknya? Jika bagi mereka yang yakin bahawa Allah akan membalasnya di akhirat kelak.

Firman Allah S.W.T.:

مَنْ عَمِلَ صَالِحاً مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَى وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُم
بِأَحْسَنِ مَا كَانُواْ يَعْمَلُونَ 

“Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.” (Surah an-Nahl: 97)



وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنْ الْمُسْلِمِينَ

“Siapakah yang terlebih baik perkataannya dari or­ang yang menyeru kepada Allah (agamaNya) dan beramal soleh.” (Surah Fussilat: 33)

Berdakwah dengan tindakan ini lebih berkesan daripada dengan kata-kata. Dakwah ini bukan hanya milik para ustaz ustazah dan orang agama sahaja. Secara umum, semua yang bergelar khalifah Allah bertanggungjawab untuk menyeru orang lain juga ke arah kebaikan.

Bagi golongan selibriti ini, untuk meraih dan menjana pahala sangat mudah dan banyak. Kuncinya satu sahaja, buat semua yang baik-baik, nasihati orang lain untuk turut sama berbuat baik. Bayangkan jika nasihat, perkara baik yang peminat lakukan, contohnya berubahnya seseorang daripada kejahilan kepada kebaikan atas sebab selibriti tersebut, betapa “pahala percuma” yang dia dapat. Apatah lagi betapa ramainya “follower” selibriti tersebut.

Satu kisah mudah. Jika selibriti yang belum menutup aurat. Beliau mengambil keputusan untuk menutup aurat dengan niat pada asalnya bahawa, “ingin berubah dan berhijrah”. Sekalipun pada ketika itu belum hadir “keikhlasan”. Namun atas keyakinan bahawa dia ingin patuh dan ikut perintah Allah.




Perubahan berperingkat dan terus mencari ilmu. Bermula dari mula memakai tudung dan tidak memakai pakaian yang ketat, kemudian labuhkan tudung dengan menutup bahagian dada dan seterusnya.

  1. Tindakan : berubah untuk menutup aurat
  2. Ilmu : usah lekok untuk terus mempelajari ilmu. Hadiri usrah atau majlis ilmu.
  3. Sokongan: mencari dan sentiasa bersama sahabat-sahabat yang turut mengambil langkah untuk berubah. Untuk saling mengingati dan menguatkan.
  4. Doa :jangan lupa untuk terus berdoa agar Allah tetapkan hati dalam membuat kebaikan. 
Izinkan saya mengambil satu sahaja contoh penghijrahan artis.  Irma Hasmie:

"Alhamdulillah, sudah sampai masa untuk saya bertudung, sukar nak jelaskan mengapa saya ambil keputusan secepat ini, tetapi ini semua kerja Tuhan, dan bila sudah sampai seru-Nya, saya hanya menerima.
"Kalau boleh, saya tidak mahu cerita saya bertudung terlalu diberi perhatian sebab takut disalahertikan niat sebenarnya, walaubagaimanapun saya yakin lambat laun semua orang akan mengetahui juga."Saya bersyukur dan gembira dengan kehidupan saya sekarang, saya lebih tenang dan lebih banyak belajar. Tiada siapa yang memaksa saya tampil begini, semuanya berlaku secara natural. Alhamdulillah, setelah dua minggu pulang ke Malaysia, ramai yang menerima baik niat saya ini,"

Berdoa di Mekah

Mengerjakan umrah bersama ibu dan adiknya, jelas Irma, dia mengambil kesempatan itu untuk berdoa sebanyak yang mungkin.
"Satu perkataan yang dapat saya gambarkan tentang Mekah adalah Subhanallah. Saya sangat bersyukur diberi peluang untuk menjejakkan kaki ke tanah suci ini."Memang seronok berada di sana, saya dapat lihat sendiri betapa hebat dan ajaibnya ciptaan Tuhan. Saya memang tidak mahu melepaskan peluang untuk berdoa, macam-macam doa saya minta.
"Selama 29 tahun saya hidup dibumi ini, saya mohon diampunkan segala dosa yang pernah dilakukan, diberi rezeki dan jodoh yang baik," jelas Irma yang turut memohon ditenangkan hati setiap masa.

 Musibah?



 Apa yang ingin dikatakan disini, bukanlah musibah kerana selibriti itu telah berubah. Sebaliknya “musibah” kepada segolongan penggiat seni yang tidak suka untuk mereka ini berubah. Pada mereka mungkin “tidak boleh cari makan”, mungkin akan "membantutkan" industri seni tanah air, ataupun mungkin akan timbul perasaan ,"Nanti semua orang buat baik sahaja, ini tidak boleh, dan itu tidak boleh". 

Musibah yang dimaksudkan juga adalah sebenarnya “dugaan, ujian serta cabaran” yang perlu dihadapi oleh selibriti tersebut dalam berhadapan dengan sesiapa yang tidak suka atau menyimpan hasad pada diri mereka.

Yakin hanya satu, kita buat kebaikan itu bukan untuk memenuhi keredhaan mereka, sebaliknya apa yang diburu adalah keredhaan Allah yang lebih utama.

Saya pernah menonton satu rancangan televisyen secara tidak sengaja yang memaparkan kembali lakonan dan program bual bicara yang “sudah basi” itu. Ia menampilkan selibriti yang telah berubah ini pada “zaman belum berhijrah” mereka. Satu sitcom "Spanar Jaya" lakonan Wardina Safiyyah dan satu lagi program bual bicara (saya tak ingat tajuknya) bersama Nora.


Saya tidak pasti apa niat sebenar “orang yang bertanggungjawab” itu menayangkan semula rancangan tersebut. Samada ia dilakukan oleh orang Islam sendiri atau sebaliknya wallahu’alam.  Apa yang pasti, selibriti tersebut sudah tidak berdosa kerana mereka sudah berhijrah. Orang yang bertanggungjawab itulah yang akan menaggungnya kelak.

Ada satu rancangan terbaru di Astro Ria. “Hijrah Selibriti” yang dihos oleh Mawar yang baik niat programnya namun, pada saya ada sedikit kelemahan yang perlu diperbaiki. Rancangan itu menceritakan detik penghijrahan selibriti. Alhamdulillah, mudah-mudahan  ramai yang mendapat manfaatnya. Namun, aspek gambar yang tidak menutup  aurat sebelum ini, amat wajar tidak didedahkan untuk tatapan umum. Yang berlalu, biarkan berlalu. Bukan kita ingin melihat selibriti tersebut pada kisah silamnya. Aspek positif perubahan itulah yang perlu ditonjolkan. 



Semoga lebih ramai selibriti berkesedaran untuk berhijrah. Saya yakin ramai yang mempunyai niat tersebut, Namun ada sedikit perasaan takut atau belum bersedia. Yakinlah untuk zahirkan niat kepada tindakan. Disamping belajar dan terus belajar dalam memperbaiki diri. InsyaAllah bukan hanya akan disayangi manusia sekeliling, yang lebih utama, akan disayangi Allah. Insyaallah keredhaan Allah untuk kebaikan dunia dan akhirat.

Friday, February 24, 2012

Teknik "Menipu" Gaya Ibubapa


 (gambar hiasan)


Mungkin ini pernah berlaku?

“sayang mama, mari sini kita pakai pampers”, panggil si ibu dengan nada manja cuba memujuk si kecil.

Anak kecil seperti itu sudah pasti gembira apabila dapat “membebaskan diri” dari berpakaian setelah puas bermandi-mandi.

“sayang mama, marila sini sekejap”, panggil si ibu itu lagi.

Si anak kecil itu berlari-larian mengelilingi kerusi ruang tamu rumah dengan tujuan untuk melarikan diri dari ibunya daripada memakai pampers.

Si ibu mula penat memanggil, banyak lagi kerja rumah yang perlu dilakukan. Pada masa yang sama juga, beliau tidak ingin melepaskan peluang untuk bermain dengan si kecil ini.

“ha, mama ada 1 idea”, bisik hati kecilnya.

“Sayang mama, mama ada gula-gula ni, nak tak?”, kata si ibu untuk memancing si kecil dengan umpan gula-gula yang menjadi “kegilaannya”.

Dengar sahaja gula-gula, apa lagi, terkedek-kedek si kecil berlari ke arah ibunya.

“Yes, umpan mengena”, senyum si ibu.

“Ha!!! Mama dah dapat budak ni, harimau makan budak…ngaum..ngaum..”, si ibu berseloroh dengan anak kecilnya lagak gaya seekor harimau.

“mengekek-ngekek si kecil itu ketawa kerana digeletek si ibu”. 

“yeay..yeay kena tipu..mana ada gula-gula!!”, sambil mengusik dan menggeletek anak kecil yang masih terkekek-kekek ketawa dengan lawak si ibu..


Pada pandangan anda, apakah perasaan si anak kecil itu?

Gembira dan bahagia kerana mendapat usikan dan “geletekan” dari si ibu? 

Itu secara luarannya. Sama-sama bahagia dengan gelak tawa dan bermain bersama. Ya anak kecil masih belum mengerti apatah lagi untuk menyatakan sesuatu tentang perasaannya. Hanya menagis apabila inginkan sesuatu dan gembira apabila sukakan sesuatu.

Tetapi apakah si ibu itu sedar bahawa si anak tersebut telah mempelajari sesuatu daripadanya? 

Ya. “Jom berbohong”.

Betul itu adalah umpan yang paling menyengat bagi seorang budak kecil yang sangat gemarkan gula-gula. Tetapi dengan cara menyatakan padanya sesuatu yang tiada, sebenarnya itu adalah satu kebohongan. Secara tidak langsung ibubapa sendiri yang telah mendidik anak-anak supaya berbohong walaupun pada niat dan tujuannya bukan untuk menipu, hanya untuk mengumpan si anak supaya segera datang kepadanya.


Didikan Gaya Rasulullah SAW.

Perkara yang sama juga pernah berlaku pada zaman seorang Motivator HEBAT ini, Muhammad bin ‘Abdullah.

Diriwayatkan oleh ‘Abdullah ibnu ‘Amir yang menceritakan masa kecilnya, bahawa ibunya memanggilnya, ketika itu Rasulullah SAW sedang berada dirumah kami. Ibunya berkata: “kemarilah, aku akan memberimu sesuatu!”. Nabi bertanya kepada ibunya:: “Apakah yang akan engkau berikan berikan kepadanya?”. Ibunya menjawab: “Aku akan memberikannya buah kurma.” Melihat gelagatnya, Nabi SAW pun bersabda:

أَمَا إِنَّكِ لَوْ لَمْ تُعْطِهِ شَيْئًا كُتِبَتْ عَلَيْكِ كِذْبَةٌ
“ingatlah, jika engkau tidak memberinya suatu apa pun, nescaya akan dicatatkan sekali pendustaan terhadapmu”. (Abu Dawud, 4339)

Pesanan ini buat diri saya yang menulis juga buat saudara/i yang membaca. Sesungguhnya anak-anak ini sentiasa memerhati cara orang-orang dewasa dan akan meniru perbuatan mereka. Oleh itu,di dalam bab jujur atau berkata benar ini, janganlah sesekali kedua ibubapa berbohong kepada anak mereka dengan apa cara sekalipun.

Jadikan cara  didikan Rasulullah SAW ini sebagai panduan kita bersama. Mudah-mudahan kita akan beroleh kebaikan dunia dan akhirat. insyaAllah…

Wednesday, August 10, 2011

Ayah, Ibu, ajarkan anakmu al-Quran…



Flash Back-Saya sedih hari ini (21 Mac 2011-Isnin). Saya memikirkan bagaimana saya boleh membantu pelajar ini. Bukan hanya untuk melepaskannya untuk subjek Bahasa Arab (BA) ini, tetapi bagaimana untuk melepaskannya dari menjadi insan dan hamba Allah yang tidak buta al-Quran.

Saya baru selesai menjalankan Oral Test BA untuk kelas saya semester 2, 2010/2011 yang lalu. Semester pertama untuk saya selepas saya dipindahkan dari PJ ke Gombak. Kelas ini untuk level 3 BA. Seorang pelajar datang untuk sesi oral.

Kemampuan Pelajar

Saya rasa sangat bersalah. Apakah saya menjadi punca kepada keadaan ini atau sebaliknya. Sehingga saya merasakan begitu teruk diri ini dalam memahamkan para pelajar tentang BA, bahasa al-Quran ini. Soalan oral yang saya kemukakan sangat senang, bahkan saya turut memberikan senarai soalan yang perlu dijawab, sekalipun tidak secara sepontan, peluang untuk menghafal juga dibenarkan. Namun, beliau tidak mampu untuk menjawab. Agak lama sesi bersamanya. Mencuba dan terus mencuba untuk membantunya menjawab sebagai syarat untuk perkiraan markah. Sesi oral untuknya agak mendukacitakan.

Saya bertanya kepada beliau, adakah cara saya selama ini boleh dikutinya atau tidak. Jawapannya, “saya agak susah untuk belajar BA ini, saya tidak sangka di UIA ada subjek wajib BA”. Level 1 beliau repeat, level 2 beliau lepas dan sekarang level 3, dengan saya. Allah, saya bertanya kepada beliau, kenapa beliau tidak nyatakan apa sahaja kemusykilan semasa sesi pengajaran saya dikelas, bahkan saya turut bertanya sekiranya ada apa-apa yang mereka tidak faham, malah saya turut pergi kepada seorang demi seorang. Kepada beliau jugalah saya memberi fokus sekiranya ada apa-apa yang tidak difahami dan amat mengalu-alukan untuk bertanya, namun, orang lain yang bertanya dan tidak pada beliau. Sehinggakan untuk membantunya membuka mulut didalam kelas, terpaksa saya minta beliau membacakan teks walaupun hanya satu ayat. Apa yang membuatkan saya berasa sedih adalah kesukaran beliau dan tidak mampu untuk membaca satu ayat daripada teks sekalipun berbaris.

Saya katakan bahawa jika tidak ingin bertanya kepada saya, beliau boleh bertanya kepada rakan-rakan yang lain, sekelas atau sebaliknya. Namun, katanya, beliau tiada kawan.Telahan saya sedari awal, memang tidak salah, beliau yang saya rasakan sering bersendirian mengakui bahawa beliau tiada kawan disekeliling untuk membantu. Hanya seorang roomate, yang itupun hanya biasa-biasa sahaja.

Apa yang malang juga, assignment yang perlu dihantar hari ini juga tiada. Katanya, “saya tiada kumpulan”. Allahuakbar.. Setelah seminggu baru beliau maklumkan bahawa beliau tiada kumpulan. Mungkin beliau ketinggalan kerana seminggu beliau tidak hadir atas sebab mempunyai masalah di kampung. Jika begitu, dimana ahli kumpulan yang sepatutnya? Saya telahpun berikan. Masalahnya disini, ahli kumpulan yang tidak memaklumkan kepadanya, tidak prihatin dengan rakan sekumpulan. Sedangkan saya sudah memberikan tugasan bersama kumpulan masing-masing. Maka untuk membantu beliau, saya berikan tugasan tambahan kepadanya.

Saya secara peribadi, saya tidak sangat risau sekiranya beliau sukar untuk mempelajari BA. Itu adalah normal bagi mereka yang baru mempelajarinya, namun apa yang membuatkan saya sangat sedih adalah kerana beliau tidak mampu untuk membaca al-Quran. Saya teringat akan kenyataan bahawa 80% pelajar IPT tidak faham maksud surah al-Fatihah. Itu faham maksud. Saya tidak pasti berapa jumlah pelajar IPT bahkan mereka yang mempunyai status “Islam” didalam Mykad yang buta al-Quran. Tidak perlu bertanya tentang maksud, hanya membaca. Kajian perlu dibuat dan penyelesaian perlu dilakukan.


Sesi Oral dan Sesi Kaunseling.

Akhirnya sesi oral bertukar menjadi sesi kaunseling. Saya bertanya kepada beliau beberapa perkara disebabkan kesukaran beliau untuk membaca teks BA yang berbaris. Ingin mencari sebab dan punca. Soalan pertama yang saya tanya adalah, adakah beliau membaca al-Quran dan sekerap mana beliau membacanya. Ini kerana, BA dan al-Quran adalah ibarat isi dengan kuku. Memang berkait rapat, tidak boleh dipisahkan. Mereka yang boleh membaca al-Quran, pasti insyaAllah boleh membaca teks BA yang berbaris.

Beliau menangis. “Saya sudah lama tidak baca al-Quran, saya tidak boleh baca al-Quran ustazah..saya sedih..”. Saya menahan sebak di dada.

Sambil memegang bahunya, saya berkata, “tak mengapa, Awak masih belum terlewat. Allah sayangkan awak sebenarnya. Peluang yang Allah berikan untuk belajar di UIA inilah yang perlu diambil, fikir positif, banyak hikmahnya yang kadang-kadang kita sendiri pun tidak sedar. Kalau Allah taqdirkan awak belajar ditempat lain, tidak pasti lagi awak akan dapat peluang macam ini ataupun tidak”. Saya turut bertanya beberapa perkara,

1) tentang mak dan ayah serta pekerjaan mereka. Ayah dan ibunya adalah Pegawai kerajaan dan kerani.

2) bilangan adik beradiknya. Beliau anak ke 4/9 org. Serta tempat belajar serta pekerjaan adik beradik yang lain.

3) dimana beliau belajar Al-Quran- ustz ke rumah seminggu sekali, itupun telah lama berhenti belajar.

Mencari Punca

Saya mencari punca dari kes pelajar saya tadi. Seorang Islam yang tidak mampu untuk membaca al-Quran. Seorang siswi yang bakal bergelar seorang isteri serta ibu. Seorang Ibu yang bakal mendidik anak-anaknya bermula dari dalam kandungan.

1) Adakah kerana adik beradik seramai 9 orang ini menjadikan dirinya terpinggir? Tidak mendapat kasih sayang dan perhatian yang secukupnya?. Jika ini antara sebabnya, kadang-kadang saya terfikir, biarlah anak sedikit tetapi berkualiti semuanya. Namun, sebab itu juga tidak kukuh kerana ramai juga yang mempunyai anak yang ramai tetapi kesemuanya menjadi dan berjaya, tiada seorang pun yang ketinggalan. Buktinya, kesan didikan tokoh para ibu mithali yang telah dinobatkan setiap tahun. Kesemua mereka mempunyai anak-anak yang ramai dan berjaya.

2) Adakah kerana kesibukan ibubapa bekerja maka mereka tiada masa untuk melihat dan membantu anak-anak membaca al-Quran?. Jawapan ini juga tidak kukuh kerana semua ibubapa bekerja dan terdapat mereka yang masih mempunyai masa untuk anak-anak. Bahkan, untuk mencari atau menyediakan orang yang boleh mengajar al-quran juga boleh.

3) Atau apakah beliau sendiri yang tidak ingin membaca kerana sudah lama tinggalkan al-Quran sehingga sudah lupa untuk membaca?

Allah…saya perlu membuat sesuatu..


Ibu, ajarkan anakmu Al-Quran.

Maka atas faktor itu, ia bertitik tolak dari asuhan serta didikan yang bermula dari rumah. Ibubapa. Bapa mempunyai peranan yang utama. Namun, jika kesibukan bapa yang membataskan proses pengajaran mereka, maka ibulah yang perlu memainkan peranannya.

Peranan ibu yang sangat penting dalam mendidik anak-anak. Saya juga mempunyai anak-anak yang masih kecil dan sangat memerlukan didikan dari seorang insan yang bergelar ibu. Melihat kepada dunia kini yang sangat mencabar menjadikan diri berasa sangat takut. Takut dan bimbang jika dengan alasan kesibukan kita menyebabkan anak-anak “membesar tanpa sedar”. Takut jika anak-anak akan mendakwa dihadapan Allah. “Ya Allah, ibubapaku inilah yang tidak mengajarku al-Quran, ibubapaku inilah yang tidak mengajarku Solat…”.

Buat para ibu, luangkanlah sedikit masa untuk mengajar mereka al-Quran dan Solat. Perkara asas dalam agama. Tidakkah kita inginkan harta anak soleh yang menjadi suatu amalan yang tidak akan putus setelah kita mati kelak? Sebagaimana hadis Rasulullah SAW…

عن أبي هريرة رضى الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : إذا مات ابن آدم انقطع عمله إلا من ثلاث: صدقة جارية أو علم ينتفع يه أو ولد صالح يدعو له

Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘Anhu berkata, Rasulullah SAW telah bersabda : Jika anak Adam meninggal, maka amalnya terputus kecuali dari tiga perkara, sedekah jariah (wakaf), ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang berdoa kepadanya.'' (HR Muslim).

Sekiranya amanah ini sudah kita tunaikan, berdoalan agar ia menjadi sesuatu yang bermanfaat untuk masa hadapan mereka. Hak mereka telah kita tunaikan. Amanah dari Allah juga telah kita laksanakan, namun apa yang bakal berlaku dikemudian hari, kita tidak mungkin dipersalahkan. Semoga mereka menjadi insan serta generasi soleh. Anak soleh yang sentiasa mendoakan kita kelak.

Saya tidak menafikan peranan bapa didalam mendidik anak-anak. Bapa juga perlu, namun disebabkan kelapangan waktu bapa yang lebih disalurkan untuk mencari nafkah, mungkin juga berdakwah, maka pendidik yang perlu mengambil alih tempatnya adalah ibu.

Ibu yang bekerja?. Sibuk, Letih dan penat. Ya, memang. Tetapi adakah disebabkan keletihan dan kepenatan itu menjadi sebab anak-anak membesar tanpa sempat kita mendidik mereka. Yakinlah bahawa pahala dan kesannya jauh lebih berharga dari sebuah kerehatan. Jika kita sempat membacakan buku cerita sebelum anak-anak tidur, luangkanlah sedikit masa untuk membacakan dan mengajar mereka al-Quran. Luangkan sedikit waktu selepas solat maghrib untuk membaca al-Quran bersama. Atau bila-bila waktu yang berkesempatan untuk setiap hari. Mudah-mudahan mereka sedar bahawa al-Quran adalah makanan jiwa harian mereka. Al-Quran akan menjadi peneman di dalam kubur. Al-Quran akan memberi syafaat di akhirat kelak..

Masih ingatkan kita kepada adik Darwisha yang sudah boleh membaca al-Quran seawal usia 3 tahun? Menurut ibunya, sedari bayi, beliau akan menunjukkan dan membacakan kepada anaknya flash card dan iqra’ malah sering memperdengarkan bacaan al-quran kepada anaknya. (Saya berasa sangat cemburu, maka saya juga perlu meniru ibu hebat ini!!)

Justeru, saya menyeru kepada diri sendiri dan para ibu diluar sana. Ayuh kita mempersiapkan generasi dan pewaris kita ini dengan bekalan akhirat. Bermula dengan al-Quran dan Solat.

Apa yg blh dilakukan oleh ibubapa untuk menggalakkan anak-anak dengan al-quran?

1- Luangkn sedikit masa sekalipun hanya 20-30 minit untuk ajarkan mereka al-Quran. Ini juga adalah “quality time” untuk mereka. Bagi bayi dan kanak-kanak yang masih kecil, ditunjukkan flash card atau buku iqra’.

2- Jika tidak mampu, cari mereka yang boleh mengajar al-Quran. Ibubapa juga, jika tidak berkemampuan untuk membaca, juga perlu belajar, buangkan sikap ego dan malu kerana takut dikatakan sudah tua tetapi tidak boleh membaca al-Quran. Belajar dan perbaiki bacaan sebagai bekalan di kemudian hari.

3- Di dalam kenderaan, pasangkan CD al-Quran agar menjadi halwa telinga kita dan mereka.

4- usah berkira dalam menyalurkan belanja untuk pendidikan al-Quran anak-anak. Samada untuk mencari orang mengajar, atau membeli bahan bacaan atau seumpamanya.

5- Perbaiki diri sendiri agar menjadi tauladan untuk anak-anak. Membaca al-Quran bersama-sama mereka atau dihadapan mereka.

Didalam surah an-Nahl, ayat 78, Allah berfirman:

}وَاللهُ أَخْرَجَكُم مِّن بُطُونِ أُمَّهَاتِكُمْ لاَ تَعْلَمُونَ شَيْئًا وَجَعَلَ لَكُمُ الْسَّمْعَ وَالأَبْصَارَ وَالأَفْئِدَةَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ{

Yang bermaksud, ““Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam Keadaan tidak mengetahui sesuatupun, dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan hati, agar kamu bersyukur”.

Allah mendahulukan perkataan as-Sam’u (pendengaran), kemudian diikuti al-absar (penglihatan) dan al-afidah (hati). Ini kerana fitrah kejadian manusia itu dimulakan dengan pendengaran. Sebagaimana saranan Rasulullah untuk mengazankan ketelinga bayi sewaktu ia dilahirkan. Agar mudah-mudahan kalimah Allah yang mulia itu yang mula-mula masuk kedalam jiwa mereka.

Begitu juga dengan pendidikan al-Quran anak-anak. Sejak mereka kecil, mereka tidak tahu untuk membaca namun mampu untuk mendengar. Wahai para ibu dan bapa, usah jemu untuk membacakan kepada mereka sekurang-kurangnya bermula dengan buku iqra’ yang kita bacakan untuk mereka.

Jika kesempatan waktu boleh dicari untuk membacakan mereka pelbagai buku cerita, lakukanlah perkara yang sama dengan al-Quran ini. Perdengarkan kepada mereka aluann ayat-ayat al-Quran dan zikrullah ketika dalam kenderaan bersama-sama mereka. Mudah-mudahan mereka menjadi insan yang celik al-Quran, pemimpin hebat masa hadapan.

Allahuakbar!. Betapa besarnya AmanahMu ini untuk kami ya Allah…Berikan kami kekuatan, ketabahan, ketaqwaan dalam mendidik anak-anak kami agar menjadi insan Soleh, berjaya didunia dan di diakhirat.

Semoga Madrasah Ramadán adalah masa yang terbaik untuk kita terus mengorak langkah!!! Amiin, insyaAllah…

Friday, August 5, 2005

al-fatihah

KAHERAH, 4 Ogos - Seorang tokoh pendakwah wanita terkenal, Puan Zainab al-Ghazali telah kembali ke rahmatullah pada 3 Ogos 2005 dalam usia 88 tahun setelah bergelumang dalam bidang dakwah selama 53 tahun bersama dengan gerakan al-Ikhwan al-Muslimun, Mesir.
Jenazahnya akan disempurnakan hari ini 4 Ogos 2005 di Masjid Ra’baah Adawiyyah di Nasr City seperti yang dimaklumkan ahli keluarganya yang terdekat. Beliau merupakan tulang belakang kepada gerakan Islam muslimat di dunia Arab merentasi beberapa buah negara Arab dan Islam sepanjang kerjaya sebagai pendakwah Islam sepenuh masa.
Al-marhumah yang dilahirkan pada 2 Januari 1917 di sebuah perkampungan di wilayah al-Buhairah (utara kota Kaherah), daripada keluarga yang berpegang kuat kepada ajaran Islam, kerana bapanya adalah salah seorang ulama’ al-Azhar yang cukup berpengaruh. Bapanya yang bertanggungjawab mentarbiahnya dengan ilmu-ilmu agama dan sentiasa berpegang kepada kebenaran, sehingga beliau dipanggil oleh bapanya dengan panggilan Nusaibah Binti Kaab iaitu salah seorang Sahabat wanita di zaman Rasulullah s.a.w.
Selepas kematian bapanya ketika berusia 10 tahun, beliau dibawa ibu dan saudaranya berpintah ke Kaherah bagi meneruskan pengajiannya di situ. Sebagai seorang yang aktif dalam bidang kemasyarakatan, beliau menganggotai sebuah pertubuhan wanita liberal yang dipimpin oleh Huda Syaarawi. Pandangan pertubuhan berkenaan, sering mendapat kritikan hebat daripada para ‘ulama al-Azhar kerana dikatakan tidak selari dengan Islam walaupun sering mengadakan forum antara kedua-dua belah pihak. Pandangan serong pertubuhan itu yang disifatkan amat merbahaya kepada umat Islam, akhirnya melarang mana-mana wakilnya menyampaikan ceramah dan sebagainya. Kesedaran kepada Islam menyerlah dalam diri al-Marhumah
Selepas sekian lama beliau menderita kerana sakit kronik yang boleh menyebabkan kematian, ketika itu beliau bersumpah jika Allah menyembuhkan penyakitnya, beliau berjanji akan meninggalkan pertubuhan wanita yang songsang itu, dan akan menubuhkan satu pertubuhan muslimat yang menumpukan perhatian kepada penyebaran dakwah Islam. Penyakitnya semakin sembuh, dan beliau mengotakan janjinya untuk menubuhkan pertubuhan muslimat dengan jayanya pada tahun 1936 khusus buat kaum Hawa di seluruh Mesir.
Dari masa ke semasa, pertubuhan muslimat yang diasaskannya telah mengadakan hubungan dengan gerakan al-Ikhwan al-Muslimun pimpinan al-Marhum Syeikh Hasan al-Banna iaitu pada tahun 1948 sebelum beliau mati ditembak. Sepanjang pengenalan al-Marhumah dengan Syeikh Hasan, dia mencadangkan agar pertubuhan muslimat itu menjadi anggota sayap gerakan al-Ikhwan khusus bagi muslimat dan beliau diminta menerajuinya.
Gerakan al-Ikhwan menerima pelbagai tribulasi hingga ramai di kalangan pimpinannya ditangkap atas arahan Perdana Menteri ketika itu, Mustafa an-Nuhhas, al-Marhumah telah memainkan peranan penting untuk menghubungi isteri-isteri pimpinan yang ditangkap dan membantu mereka dengan bantuan yang diperlukan. Tekanan demi tekanan yang diterima, hingga beliau diminta oleh Presiden Jamal Abdel Nasir pada ketika itu agar memimpin sayap wanita Parti Sosialis, tetapi beliau menolaknya dengan keras.
Keengganannya untuk menyertai wanita parti pemerintah telah menyebabkan Presiden Jamal mengeluarkan arahan agar pertubuhan muslimat pimpinan al-Marhumah dibekukan, segala bahan penerbitannya dihentikan . Beliau kemudiannya ditangkap pada Ogos 1965 dan dipenjarakan selama enam tahun dengan pelbagai ujian dan tribulasi.
Beliau ceritakan semuanya dalam bukunya “Aiyam min hayati” yang bermaksud hari-hari dalam hidupku yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu oleh al-Marhum Ustaz Mohammad Tahir Daeng Mengati. Dengan perantaraan dan campur tangan bekas Raja Arab Saudi, Raja Faisal Abdel Aziz, beliau telah dibebaskan di zaman pemerintahan Presiden Anwar Sadat pada Ogos 1971. Penyebaran Dakwah Islam
Setelah al-Marhumah dibebaskan, beliau memperlihatkan kesungguhannya dalam bidang dakwah hingga membuatnya terpanggil menyebarkan Islam bukan sahaja dalam negara asalnya Mesir, malah ke beberapa buah negara Arab dan Islam. Beliau juga dikatakan amat aktif dalam bidang penulisan yang dikaitkannya dengan dakwah. Pada pertengahan tahun lapan puluhan, beliau serta beberapa rombongan muslimat al-Ikhwan telah mengadakan lawatan ke Afghanistan ketika perang sedang berlangsung menghadapi kuasa besar Soviet Union beberapa kali..
Beliau bukan sahaja giat berdakwah dengan lisan menerusi ceramah, pidato, forom dan sebagainya, malah aktif menulis beberapa buah kitab. Antaranya “Nahwa Baa’thun Jadid” iaitu Kearah kebangkitan era baru dan “Nazarat fi Kitabillah” iaitu beberapa renungan terhadap kitab Allah.

Beliau berpendapat, bahawa masa depan kepada perkembangan dunia Islam perlu dijana menerusi program muslimat, kerana jatuh bangun sesuatu kebangkitan bermula dengan wanita/muslimat.
diambil dari : theqalam.com
p/s: Kehidupan serta penglibatan Zainab al-Ghazali di dalam medan dakwah perlu dijadikan panduan dan ikutan generasi muslimat kini yang ingin 'hidup dan mati bersama-sama Islam'..
"Rabbana atina fiddunya Hasanah wafilakhiratihasanah waqina 'azabannar"

Wednesday, August 3, 2005

gelombang 'tsu-shin chan' dan pengaruh 'ShinChanisme'

Image hosted by Photobucket.com
Image hosted by Photobucket.com
Image hosted by Photobucket.com
Kartun Shin Chan rosakkan pemikiran kanak-kanak

Saudara Pengarang,
KITA pernah mendengar istilah Tsumawi. Itu kisah gelombang Mawi peserta Akademi Fantasia 3 yang disanjungi oleh segenap lapisan usia kerana imej yang dibawanya.

Namun sedarkah kita bahawa gelombang Tsu-ShinChan atau pengaruh ShinChanisme semakin menular kini? Siaran kartun Shin Chan yang ditayangkan pada setiap hari Sabtu pukul 7 malam di salah sebuah stesen televisyen ini amat digemari oleh segenap lapisan masyarakat.

Comel dan kelakar adalah antara maklum balas bagi sesiapa yang menonton dan memandang siri kartun ini dari satu aspek. Pengotor dan gatal pula bagi mereka yang memandang dari suatu aspek yang lain.

Kebanyakan orang yang menonton siri kartun Shin Chan ini akan geli hati apabila melihat keletah Shin Chan. Rentak gaya bahasa yang senada dan selamba menjadikan gaya bahasa dan cara Shin Chan seringkali ditiru. Sehinggakan gambarnya turut menjadi muatan logo telefon bimbit!

Begitu besar pengaruh Shin Chan terhadap masyarakat. Namun, apa yang amat merisaukan saya adalah pengaruh Shin Chan terhadap pemikiran dan pembentukan akhlak dan peribadi kanak-kanak. Sedar ataupun tidak, pengaruh Tsu-Shin Chan atau Shin Chanisme ini telah memberi impak negatif yang amat besar terhadap pembentukan pemikiran dan akhlak mereka.

Pernah berlaku di salah sebuah sekolah rendah, di mana seorang anak murid telah mengajuk cikgu yang menulis di papan tulis sekolah sambil berkata dengan rentak dan gaya bahasa Shin Chan, ``Cikgu, punggung cikgu besarlah.''

Nah! Apakah kita tidak terkejut? Kata-kata tidak sopan ini telah terpacul dari seorang murid sekolah rendah? Adakah patut seorang anak murid mengatakan sedemikian kepada gurunya sendiri di dalam kelas?

Kita mendukung usaha kerajaan untuk memupuk budaya murni, soal budi bahasa, sopan-santun, dan adab tatasusila di dalam masyarakat. Namun, persekitaran yang telah meracuni pemikiran anak-anak generasi kita ini sebenarnya telah menjadi api dalam sekam. Bahkan telah menyekat usaha murni tersebut. Bagaimana slogan budi bahasa budaya kita mampu disemai dan dibajai sekiranya ini yang berlaku.

Justeru, semua pihak harus berperanan. Siri kartun seperti ini amat wajar disekat. Pihak televisyen tersebut wajar menilai semula segala bentuk rancangan kartun yang sesuai dengan kanak-kanak. Nilai positif yang perlu diambil kira, bukan sekadar hiburan semata-mata.

Di samping itu, ibu bapa harus berperanan dalam menghalang anak-anak mereka daripada terpengaruh dengan budaya negatif yang dibawa oleh Shin Chan ini. Anak-anak perlu dididik sedari awal. Benteng pertahanan perlu dipasak ketika usia mereka masih di peringkat rebung. Akhlak dan budi pekerti mulia perlu dipupuk. Anak-anak yang berkelakuan sedemikian perlu ditegur agar mereka mengetahui mana yang baik dan mana yang buruk.

Perkara ini pasti merisaukan kita semua terutamanya ibu bapa. Sekiranya dibiarkan dan tidak dibendung dari awal, kita takut pengaruh Shin Chan ini akan semakin menular dan merosakkan akhlak dan pemikiran generasi kita.
- BALQIS INSYIRAH, UIAM Gombak.
utusan malaysia, 2 Ogos 2005.