Thursday, September 8, 2011

"Perkahwinan bukan satu Persinggahan"- versi asal

Senario yang sering berlaku..

“saya tidak cintakan dia”

“kami tidak serasi”

“dia tidak bertanggungjawab”

“dia curang”

Ini adalah antara beberapa perkara yang sering menjadi punca pergolakan rumahtangga. Laporan akhbar baru-baru ini (BH- 6 September 2011) yang menyatakan bahawa lebih 200,000 pasangan mendaftar cerai. Kebanyakan laporan yang diterima adalah usia perkahwinan yang kurang dari 6 tahun. Perkara ini sangat merisaukan bahkan akan akan turut memberi kesan kepada institusi kekeluargaan seterusnya aspek pembinaan modal insan yang cemerlang.

Cinta Rela dan Cinta Dipaksa

Samada berkahwin atas faktor suka sama suka atau dicadangkan oleh orang ketiga ia akan bertemu satu titik persamaan, iaitu membina cinta. Apakah pasangan yang berkahwin didasari cinta bersama akan berhenti sekadar menjadi pasangan dengan ikatan perkahwinan? Apakah pasangan yang diatur pihak ketiga akan berhenti sekadar menjadi psangan yang berkahwin setelah diijabkabulkan? Tidak. Cinta itu bermula dengan tindakan dan perbuatan. Cinta dan perasaan belas kasihan perlu ada. Maka atas dasar itulah Allah meletakkan “mawaddah warahmah” yang perlu menjadi dasar dalam sebuah perkahwinan. Mawaddah (Cinta) itu seperkara dan disusuli rahmah (belas kasihan). Disaat sinar kebahagiaan muncul didalam jiwa, cinta itu menjadi paksinya, dan disaat api kemarahan membara dijiwa, belas kasihan pula perlu menjadi paksinya bahkan ia menuntut satu kesabaran. Marah itu adalah satu perkara yang normal bagi manusia, namun apakah dengan api kemarahan itu akan terus dibiarkan membakar dan marak seterusnya meranapkan sebuah rumahtangga? Rasulullah SAW telah memberikan solusinya. Jadikan rumahtangga baginda sebagai model ikutan kita semua dalam membina bahagia dalam kehidupan.

Bagi mereka yang berkahwin dengan cadangan pihak ketiga, alasan “saya dipaksa berkahwin” atau “tidak ada cinta” dijadikan sebab setelah berlakunya aqad yang sah adalah sesuatu yang tidak rasional. Pilihan untuk berkahwin atau tidak itu terletak pada tangan diri sendiri. Ia boleh sahaja diterima atau ditolak secara baik selagi belum berlakunya proses ijab dan kabul. Apatah lagi jika sebab tidak cintakan pasangan malah dikatakan dipaksa pula dijadikan hujah untuk menamatkan sebuah perkahwinan. Lebih-lebih lagi setelah kemeriahan perkahwinan yang diraikan telah berlaku.

Perkahwinan bukan satu persinggahan. Contohnya, ketika zaman persekolahan dan memasuki gerbang institusi pengajian tinggi. Apabila dirasakan tidak serasi, terus bertukar tempat dan melarikan diri. Jika ini yang berlaku didalam sebuah institusi perkahwinan, ia bukanlah datang dari mereka yang matang dan bijak berfikir tentang kehidupan. Keserasian itu perlu dibina dan dicarigali secara berterusan. Malah setiap hari yang dilalui bersama itulah pelajaran yang cukup berharga untuk membina keserasian. Sememangnya gabungan dua cara kehidupan yang berbeza itu perlu dicari titik persamaan dalam membina sebuah kehidupan berkeluarga yang menuju redhaNya.

Punca

Daripada laporan yang diterima peratusan daripada tidak bertanggungjawab sehinggalah kepada masalah seksual atau masalah kesihatan. Masalah tidak mempunyai keinginan terhadap pasangan atau wanita menurut salah seorang pensyarah bidang al-Quran dan Hadith adalah disebakan tiga faktor utama iaitu, samada pernah melakukan zina sebelum berkahwin, atau seorang homoseksual atau memang mempunyai masalah kesihatan. Na’uzubillahiminzalik. Saya pernah mendengar antara sebab penceraian yang dilakukan kajian oleh Timbalan Pengarah IKIM yang sekarang merupakan rektor baru UIAM, Prof. Dato’ Dr. Zaleha Kamaruddin, didalam slot Mahligai Kasih di IKIM.fm tentang masalah seksual ini. Pelbagai jenis ubat kuat yang ditampal iklan itu sebenarnya telah membuka keaiban dan menunjukkan kelemahan pihak lelaki. Menurutnya, biasanya ego pihak lelaki sukar untuk menerima punca ini dan simpati dan malu pihak isteri pula sukar untuk melaporkan seterusnya cuba membantu untuk membuat rawatan. Apatah lagi masalah kesihatan ini diketahui setelah berlakunya ijab dan kabul. Akhirnya, pasangannya terpaksa menjadi mangsa keadaan. Di dalam masalah ini, tidak perlu dipersalahkan mana-mana pihak jika sekiranya masing-masing tidak mengetahuinya sebelum berlakunya perkahwinan. Apa yang menjadi kesalahan adalah diteruskan perkahwinan jika diketahui sedari awal untuk menutup mulut orang tentang persoalan, “kenapa masih belum berkahwin”. Berkahwin dan kemudian memutuskan perkahwinan telah menjadi pilihan penyelesaian yang terbaik. Malah, mencanang pelbagai kesalahan pasangan untuk menutup keaiban diri. Lebih memburukkan keadaan, jika orang lain yang tiada kena mengena turut sama campur tangan dan memberi komen itu dan ini.

Cinta Terpelihara dan K.P.I Rumahtangga

Saya ingin mencadangkan dua perkara ini, mudah-mudahan ia membantu pasangan yang berumahtangga untuk terus membina bahagia bersama. Pertama pastikan hubungan sebelum perkahwinan itu dijaga dengan sebaik-baiknya dengan mengikuti apa yang Islam sarankan seperti tidak keluar berdua-duaan sebelum berkahwin, bersentuhan melakukan perkara-perkara ringan, apatah lagi adegan-adegan ringan yang boleh membawa kepada penzinaan. Kemungkinan besar kebahagiaan dan ketenangan yang dirasai sebelum berkahwin akan bertukar menjadi kesengsaraan dan keperitan setelah berkahwin sebagai balasan dari Allah. Kebahagiaan sebelum berkahwin telah dihiasi oleh panahan syaitan. Kerana itu kenikmatan dunia adalah syurga bagi mereka yang melakukan maksiat dan neraka bagi mereka yang bertaqwa. Namun, pastinya kenikmatan akhirat adalah syurga bagi mereka yang bertaqwa dan neraka bagi mereka yang melakukan maksiat.

Kedua, sebaik-baiknya diadakan K.P.I (Key Personal Indicator) Rumahtangga (pununjuk aras) agar ia sentiasa menjadi audit dalaman untuk memberikan yang terbaik buat pasangan. Dalami ilmu agama dan ilmu rumahtangga serta kekeluargaan secara berterusan. Sentiasa jadikan diri untuk memberi yang terbaik, daripada ingin menerima yang terbaik. K.P.I ini seelok-elokknya dibuat disaat pasangan masih didalam proses untuk berkahwin atau tempoh perkahwinan yang masih baharu. Ini kerana, tempoh ini yang dikatakan sebagai Musim Cinta Sayang, pasangan masih lagi teruja untuk membina kebahagiaan bersama. Baik dan buruk pasangan masih lagi boleh diterima. Jadikan KPI ini sebagai satu muhasabah bersama dengan meletakkan apa yang diharapkan dapat dilakukan dan perkara yang perlu dielakkan dalam membina kebahagiaan. Mudah-mudahan ia membantu kita untuk terus memburu kebahagiaan yang abadi.

Mardiana Mat Ishak,

Pensyarah dan Penulis Buku “Bahagianya menjadi Pengantin Sepanjang Masa” (PTS-2011)

No comments: