Friday, March 20, 2015

Dahsyatnya Redha Suami

Dahsyatnya Redha Suami

Kalau sebelum ini saya menulis buku “Dahsyatnya Doa Isteri” (PTS), maka kali ini pula artikel berkenaan “Dahsyatnya Redha (Izin) Suami”. Ia sebenarnya rifleksi kepada apa yang dirasai dan sebagai ingatan buat diri. :p
Suatu hari yang Dahsyat.ana-muslim-cartoon-ana-solehah
Saya Ini kategori bukanlah seorang kaki shopping. Apatah lagi untuk mudah tergoda dengan pelbagai sales yang ditawarkan terutamanya aksesori atau pakaian muslimah. Namun hari itu, saya tewas juga akhirnya. Sales yang dibuat sehingga tengah malam itu di sebuah butik. Sudah lama saya terpikat dengan jubbah BF dan design tudung terbaharu.
Mahu sahaja tangan saya ini buat pembelian secara online. Semuanya dihujung jari. Beria-ia juga saya mahu ke butik bagi memiliki jubah dan tudung idaman itu. Apatah lagi mendapat pula duit komisyen dari hasil jualan kecil-kecilan.
Hati kecil berbisik. Antara baik dan buruk.  “Alah beli jelah, aku kan kerja dan ada duit sendiri. Duit ini hak aku”, “duit komisyen ini pun ada lagi tambahan untuk itu!”.
“tapi, tak baik pula kalau tak inform suami lagi, tanpa pengetahuannya.”
“Ish, tapi dia tak boleh nak kata apa sebab ni duit aku, aku kan kerja”. Kenapa tidak reward diri sendiri?”
Pelbagai “Ish” dan “tapi” bersilih ganti.
Akhirnya saya memilih untuk sms meminta keizinan bagi memiliki jubah BF yang sebelum ini pernah dinyatakan lama kepada beliau.
Jawapan yang sudah dijangka setiap kali jika meminta izin. Sememangnya beliau izinkan. Namun, keizinan itu untuk saya minta untuk jubah BF, saya RAHSIAKAN untuk tudung (bukan lagi rahsia..hehe). Sebab takut diperli “berapa banyak tudung daa..”. hehe… Biasalah perempuan..
Pengajaran Allah.
Sebaik mendapat izin. Apalagi, hati berbunga-bungalah. Bersemangat waja mahu ke butik kerana sales hanya sampai malam itu saja. Sejurus selepas kelas, ditemani 2 hero dan heroin ini, petang itu saya mahu bergegas juga ke butik. Semangat waja kot nak beli baju baru! Hehe..pulun…
Saya mahu transfer duit jualan supaya saya dapat gunakan duit komisyen supaya tidak “terguna” duit yang bukan duit saya. Tuptup…Mesin Cash Deposit ada masalah!. Aduh.. Duit ditelan, namun tiada resit yang keluar, duit pula tidak masuk!. Alamak.. sudahlah saya mahu bergegas ke butik!. Kebetulan ada pegawai Bank Islam disitu. Maka urusan membuat report dibuat. Mengambil masa juga.
Saya tetap mahu bergegas ke butik supaya tidak terlepas sales. Saya nekad. Berbekalkan duit yang dikeluarkan dari simpanan yang lain. Di persimpangan jalan antara jalan ke butik dan jalan ke rumah.
Tuptup, mendapat panggilan telefon dari encik suami. Alamak…macam tau-tau je…
“Hello Assalamualaikum”
“Walaikumussalam..ye..”
“sayang kat mana?”
“hehe..dan nak balik rumah, tapi…boleh tak nak singgah butik kejap. Sekejap je..”
“oh tak beli lagi ka, ingat dah beli.. tapi dah petang sangat ni, abang ada kuliah lagi ni, takut tak sempat”
“Ala bolehlah pusing sekejaaap je”..
“Jem kawasan tu, tak sempat nanti..”
“Ala…bolehlah…sat ja…”
“Tengok tu, tak nak dengar cakap suami”..
“hehe…oklah ni dah on da way.. abang dah kat mana?
“abang dah kat rumah ni.”
 “ok jumpa kat rumah i.allah”..
Segigih mana semangat manusia, kalau tanpa izin suami, maka tiada jualah izin Allah. Maka terkuburlah hasrat yang berkobar kobar tadi. Pasrah. Pengajaran kerana BERAHSIA dengan suami (rahsia nak beli tudung, sedangkan minta izin nak beli baju!). Hehe..
Itu hanya secebis kisah contoh. Ada lagi beberapa situasi yang berlaku menyebabkan saya akui bahawa redha dan izin suami itu adalah kunci segala-galanya. Pada saya itu hanya sedikit pengajaran yang Allah berikan dalam aspek kehidupan dunia. Apatah lagi perkara yang melibatkan dosa pahala dan akhirat sana.
Ambil Peduli Nasihat Suami.
Justeru sebagai isteri, segala nasihat suami, jadikan ia sebagai panduan. Lelaki berfikir selalunya atas dasar rasional. Wanita berfikir selalunya atas dasar emosi.
Contohnya, Kalau suami memberi nasihat untuk wanita menutup aurat dengan sempurna; tiada lagi pakaian atau seluar ketat, tiada lagi tudung yang menampakkan buah dada. Ambil peduli nasihat beliau. Kemungkinan kita akan berkata, “eh dulu sebelum kahwin ok je…tak kisah pun?, kalau nak sangat kenapa pilih aku?”. Ketahuilah bahawa tindakan suami itu adalah satu tindakan yang betul. Allah telah mimilih seorang lelaki yang tepat buat kita. Kemungkinan beliau baharu mengetahui bahawa isterinya adalah tanggungjawabnya dunia akhirat. Beliau ingin bersama-sama isteri dan keluarganya di syurga kelak.
Contoh yang lain. Jika sekiranya si isteri itu lebih sedikit dari suami. Suaminya mungkin tiada apa-apa. Dalam kerjaya atau pendidikan contohnya. Buangkan sikap ego. Berlapang dada dan merendah diri kepada suami. Situasi dimana si isteri mendapat tawaran pengajian di luar Negara. Pastinya semangat berkobar-kobar apatah lagi itulah saat yang dinanti-nanti. Satu “test” dari Allah antara “keegoan si isteri” dan “keredhaan si suami”. Si suami berfikir (atas dasar rasional), kerana situasi keadaan keluarga mereka yang tidak mengizinkan, maka adalah lebih baik si isteri menyambung pelajaran di dalam Negara sahaja. Si isteri (atas dasar emosi) menganggap bahawa tindakan suaminya itu sebagai “jealous” dan bagi menghalang cita-citanya yang tersemai sejak sekian lama. Dek kerana mementingkan diri sendiri, tanpa memikirkan nasihat suami, si isteri gembira kerana cita-citanya tercapai. Namun, sudah pastinya, kalau tanpa redha suami, segala perjalanannya menjadi sukar. Pastinya satu persatu “petunjuk” Allah berikan. Samada mahu menerimanya sebagai pengajaran atau sebaliknya.
Semoga hadis ini menjadi ingatan buat wanita:
Rasulullah saw bersabda, : “Dan sebaik-baik wanita ialah mereka yang boleh menggembirakan engkau apabila kamu melihatnya, yang mentaati kamu apabila kamu menyuruhnya, dia memelihara maruah dirinya dan harta engkau ketika ketiadaanmu.” (Direkodkan oleh Nasa’I, Baihaqi. Ahmad dan al-Hakim)
Redha Allah pada Redha Suami.
Pengajaran penting buat diri. Kalau sebelum berkahwin, redha Allah pada redha ibubapa. Apabila sudah berkahwin, ia beralih kepada suami. Redha dan izin suami adalah kunci segala-galanya. Kalau dalam situasi saya tadi. Memanglah kalau diikutkan dalam agama, suami tidak berhak pun untuk “kacau” duit isteri yang bekerja. Nafkah semuanya dari suami. Namun, Saya “terlupa” bahawa:
  1. Saya bekerja pun kerana izin suami. (lebih-lebih lagi ekonomi keluarga masih tidak mengizinkan  untuk suami bekerja seorang diri)
  2.  NIAT saya untuk bekerja adalah bagi MEMBANTU ekonomi keluarga. Ia telah disepakati diawal-awal tahun perkahwinan. Maksudnya untuk kami, tiada istilah “duit engkau duit engkau”, “duit aku, duit aku”. Ataupun “duit engkau, duit aku”, dan “duit aku, duit aku”.  Sebaliknya, “duit engkau, duit aku, “duit aku, duit engkau”. InsyaAllah susah senang bersama. Perkongsian juga bagi menyeleasaikan hutang yang tak perlu (sewaktu itu, hutang PTPTN saya-orang yang tak berapa “terer” macam saya ni kena guna PTPTN lah… :p – dan hutang Personal Loan suami-kami tersilap langkah sebenarnya mengikut nasihat seorang advisor unit trust untuk membuat pelaburan dengan membuat Personal Loan!. Tolong jangan tiru aksi ini!). Tapi Alhamdulillah kami sudah bebas dari hutang-hutang tak patut itu. Hanya hutang rumah dan kereta. Alhamdulillah atas nasihat suami juga supaya konsisten mambayar hutang dan berdoa agar Allah mempermudahkan jalan menyelesaikan hutang).
Pengajaran buat diri:
  1. Tiada rahsia antara suami isteri.
Kalau dalam urusan dunia pun Allah sudah menunjukkan keberkatannya disitu, apatah lagi perkara yang melibatkan dosa pahala. Usah berahsia kepada suami.
  1. Minta izin suami dalam apa jua situasi.
Contoh kisah saya tadi. Saya faham bahawa apa yang Allah mahukan adalah “Meminta Izin Suami” dan “Tidak berahsia dengan suami”, sekalipun pada pandangan kita “it’s ok”, “suami faham”. Ya memang suami faham, dan jawapan yang bakal diterima juga kita sudah boleh jangka. Suami yang faham agama, sudah pasti akan menilai sesuatu perkara atas dasar agama. Beliau faham bahawa suami tiada hak atas gaji si isteri. Namun, satu “key word”- “Minta Izin Suami”.
Itu sahaja. :)
Ultimate Goal.
Apa tujuan akhir hidup kita? Pastinya kita impikan syurga bukan? Untuk wanita, insyaAllah laluannya mudah, namun ia tidak semudah yang disangka.
عن أبي هريرة رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : ( إذا صلت المرأة خمسها ، وصامت شهرها، وحصنت فرجها، وأطاعت زوجها، قيل لها: أدخلي الجنة من أي أبواب الجنة شئت )
“Apabila seorang wanita telah menunaikan solat lima waktu, mengerjakan puasa di bulan Ramadhan, memelihara diri dan kehormatannya, dan taat kepada suaminya, maka masuklah dia ke dalam syurga dari mana-mana pintu syurga yang dikendakinya” (Riwayat Ibn Hiban)
Mudah-mudahan kisah ini menjadi ingatan dan pengajaran buat diri dan bagi yang membaca. Semoga kita semua beroleh kebaikan di dunia dan akhirat. InsyaAllah..