Monday, September 12, 2011

KPI rumah tangga bina perkahwinan bahagia (versi editor)

KPI rumah tangga bina perkahwinan bahagia
 (versi editor)

Berita Harian, 8 September 2011

LAPORAN akhbar baru-baru ini (Berita Harian 6 September) menyatakan lebih 200,000 pasangan mendaftar cerai. Kebanyakan laporan diterima membabitkan usia perkahwinan yang kurang daripada enam tahun. Perkara ini sangat merisaukan bahkan akan turut memberi kesan kepada institusi kekeluargaan seterusnya aspek pembinaan modal insan yang cemerlang.

Sama ada berkahwin atas faktor suka sama suka atau dicadangkan orang ketiga ia akan bertemu satu titik persamaan, iaitu membina cinta. Apakah pasangan yang berkahwin didasari cinta bersama akan berhenti sekadar menjadi pasangan dengan ikatan perkahwinan? Apakah pasangan diatur pihak ketiga akan berhenti sekadar menjadi pasangan yang berkahwin selepas diijabkabulkan? Tidak. Cinta itu bermula dengan tindakan dan perbuatan. Cinta dan perasaan belas kasihan perlu ada. Maka atas dasar itulah Allah meletakkan ‘mawaddah warahmah’ yang perlu menjadi dasar dalam sebuah perkahwinan. Mawaddah (cinta) itu seperkara dan disusuli rahmah (belas kasihan). Di saat sinar kebahagiaan muncul di dalam jiwa, cinta itu menjadi paksinya, dan pada saat marah, belas kasihan pula perlu menjadi paksi serta sabar.
Masalah tidak mempunyai keinginan terhadap pasangan atau wanita menurut seorang pensyarah bidang al-Quran dan hadis disebabkan tiga faktor utama iaitu, sama ada pernah melakukan zina sebelum berkahwin, atau seorang homoseksual atau memang mempunyai masalah kesihatan. Di dalam masalah kesihatan, tidak perlu dipersalahkan mana-mana pihak jika sekiranya masing-masing tidak mengetahuinya sebelum berkahwin.
Apa yang menjadi kesalahan adalah diteruskan perkahwinan jika sekadar menutup mulut orang mengenai persoalan masih belum berkahwin. Saya ingin mencadangkan dua perkara mudah-mudahan ia membantu pasangan yang berumah tangga untuk terus membina bahagia bersama.

Pertama, pastikan hubungan sebelum perkahwinan itu dijaga dengan sebaik-baiknya dengan mengikuti apa yang Islam sarankan seperti tidak keluar berdua-duaan sebelum berkahwin, bersentuhan melakukan perkara ringan serta adengan boleh membawa kepada zina. Kedua, sebaik-baiknya diadakan KPI rumah tangga (penunjuk aras) agar ia sentiasa menjadi audit dalaman untuk memberikan yang terbaik buat pasangan. Dalami ilmu agama dan ilmu rumah tangga serta kekeluargaan secara berterusan. Sentiasa jadikan diri untuk memberi yang terbaik, daripada ingin menerima yang terbaik. KPI ini seelok-elokknya dibuat pada saat pasangan masih di dalam proses untuk berkahwin atau tempoh perkahwinan yang masih baru.

Jadikan KPI ini sebagai satu muhasabah bersama dengan meletakkan apa yang diharapkan dapat dilakukan dan perkara yang perlu dielakkan dalam membina kebahagiaan. Mudah-mudahan ia membantu kita untuk terus memburu kebahagiaan yang abadi.

MARDIANA MAT ISHAK,
Pensyarah dan Penulis Buku. 


 http://www.bharian.com.my/bharian/articles/KPIrumahtanggabinaperkahwinanbahagia/Article

No comments: