Friday, April 18, 2008

Muslimat Dakwah yang tersenyum.

Surat pembaca dibawah di tulis untuk memberi maklum balas kepada artikel seorang pembaca majalah I.
Muslimat Dakwah yang tersenyum.

"Muslimat dakwah... Senyumlah!" Begitulah artikel seorang pembaca Majalah I keluaran September 2006. Saya sebagai salah seorang yang bergiat aktif di dalam dakwah kampus mahupun di luar merasa terpanggil untuk membetulkan surat yang mungkin ditujukan kepada segelintir Muslimat dakwah yang dikenali oleh penulis.

Mungkin juga secara kebetulan muslimat-muslimat da'wah yang pernah ditemui oleh penulis surat tersebut berwatak "skema", tidak suka bergaul", mempunyai "klik", dan pelbagai lagi sifat-sifat negatif yang tidak perlu saya nyatakan disini. Saya kurang bersetuju jika saudari penulis memberikan gelaran ini kepada semua Muslimat Da'wah. Gambaran yang saudari berikan seakan-akan menafikan wujudnya muslimat da'wah yang tidak lokek senyuman dan santun budinya. Saudari tidak berlaku adil kepada muslimat da'wah yang mempunyai budi bahasa yang luhur.

Memberikan gambaran negatif secara umum begini tidak akan menjernihkan keadaan masyarakat kampus yang memerlukan santunan dakwah dari semua peringkat. Bahkan ianya mungkin akan memberikan satu persepsi negatif yang akan membuatkan masyarakat kampus semakin jauh dari nur dakwah. Sepanjang penulis berada di kampus, jumlah muslimat yang bertudung litup tidaklah seramai mana. Malah, mereka ini boleh dikategorikan sebagai "spesis yang hampir pupus". Kelibat mereka boleh dikira dengan jari. Sedangkan muslimat yang tidak memenuhi garis panduan menutup aurat mengikut kehendak syarak mendominasi persekitaran kampus. Kelibat mereka dapat dilihat di mana-mana. Sehinggakan seakan-akan wujud "klik" muslimat tidak bertudung litup dan berpakaian menjolok mata. "Klik" muslimat seperti ini seakan-akan cuba melarikan diri dari disapa oleh muslimat bertudung litup. Keramahan muslimat dakwah sering disalah tafsirkan.

Kebanyakan mereka merasakan muslimat bertudung litup cuba untuk menegur mereka yang tidak berpakaian "proper". Suasana tidak sihat ini wujud, mungkin berpunca dari sikap mereka yang tidak mahu membuat perubahan yang lebih baik. Bahkan muslimat yang tidak bertudung litup kadang-kadang memerhatikan muslimat dakwah ini dengan pandangan yang sinis, jelingan dan sindiran pedas seperti "macam la alim sangat!!".

Cuba saudari bayangkan jika sekiranya kesemua masyarakat kampus melihat muslimat-muslimat bertudung litup sebagai orang asing dan mungkin juga musuh serta ancaman. Bagaimanakah dakwah akan subur di dalam kampus??. Sampai bilakah benteng-benteng keras antara hidayah dan syaitan ini akan roboh jika sekiranya prasangka ini masih mengikat kita??

Sepanjang pengalaman di kampus saya memerhatikan kecenderungan muslimat-muslimat yang tidak bertudung litup tidaklah sama dengan muslimat bertudung litup. Mereka memberikan pelbagai alasan apabila diajak untuk menghadiri kuliah-kuliah agama (Tafaqquh fiddeen). Sebagai contoh, "Takpelah kuliah tu untuk orang yang bertudung labuh jer..". Sedangkan kuliah agama dibuka untuk semua, bukan jenis atau saiz tudung yang menjadi ukuran. Bahkan apabila kita memberikan risalah-risalah berbentuk peringatan mereka menyambut dengan senyuman sinis penuh makna. Sebenarnya ruang-ruang hidayah dan momentum untuk menjadi Muslimah yang tunduk pada Allah begitu luas. Tetapi kita sendiri yang menolaknya dengan alasan "alah muda lagi, "mudakan sekali, alah mana puas enjoy lagi, tak sampai seru lagi ar.." dan seribu satu macam alasan lagi.

Bagi penulis hati-hati mereka telah pun diketuk oleh pihak pentadbiran universiti dengan slogan-slogan kearah kebaikan serta penubuhan kelab-kelab agama. Mulakan dengan "tepuk dada tanyalah iman" anda.

Konklusinya, bukanlah niat saya untuk menghentam mana-mana pihak. Cuma sekadar untuk membuka minda kita supaya jangan cepat menghukum manusia secara keseluruhan, tetapi lihatlah mereka sebagai individu. Apatah lagi meletakkan "penglabelan bertudung litup, bertudung labuh, tudung pendek dan sebagainya". Sebenarnya penglabelan tudung sebegini tidak wajar diwujudkan. Renungkanlah firman Allah yang bermaksud, "Sesungguhnya tugas engkau Muhammad hanya menunjukkan mereka kejalan Allah…" (As-Syura:52).

Mardiana bt. Mat Ishak
Majalah I, September 2006.

P/S: nasihat dinaluzriq supaya kita semua dapat elakkan diri dari suka label-melabel orang.


Wednesday, April 16, 2008

setelah sekian lama tidak berblog..

Alhamdulillah..setelah sekian lama terpendam baru hari ini terasa kembali untuk berblog seperti waktu tengah rajin dulu..akibat kekangan masa dan hambatan waktu yang tidak menentu..insyaAllah dinaluzriq akan mencoretkan sesuatu untuk perkongsian bersama...
Pejam celik, pejam celik..hampir 2 tahun lebih dinaluzriq tidak menulis di blog.Nah sekarang sampai sudah berkahwin dan mempunyai seorang putera!..
Semoga Segalanya Khair...InsyaAllah... :)