Monday, August 15, 2005

alf mabruk..!


Image hosted by Photobucket.com
Senyuman kebanggaan.. :)


PASUKAN Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) masing-masing muncul juara Pertandingan Debat Bahasa Arab Antara Universiti Kali Ke-3 di UIAM, Gombak, baru-baru ini.
Sebagai pembangkang UIAM yang memenangi kategori Bahasa Arab sebagai Bahasa Kedua itu diwakili Nazri Atoh, Siti Salwa Mohd Noor, Amirah Ahmad Zain dan Nor Ratasha Kasim mengemukakan hujah bertajuk Senjata Nuklear Hak Eksklusif Negara-Negara Tertentu.
UKM pula memenangi kategori Bahasa Arab sebagai Bahasa Pertama pula diwakili Malik Abdul Karim, Mohammad Al-Kamel, Mohamed Mohamad Tolba dan Emad Sobhi Mohammad Battah bertindak di pihak kerajaan membahaskan tajuk ‘Masalah Sosial Tanggungjawab Kerajaan’.
Kedua-dua pasukan berkenaan menerima Piala Debat Bahasa Arab, wang tunai RM1,000 dan sijil penghargaan.
p/s: dinaluzriq tumpang berbangga dengan sahabat2 yang mewakili UIAM. Tak sia2 usaha gigih mereka selama ini..

Friday, August 5, 2005

al-fatihah

KAHERAH, 4 Ogos - Seorang tokoh pendakwah wanita terkenal, Puan Zainab al-Ghazali telah kembali ke rahmatullah pada 3 Ogos 2005 dalam usia 88 tahun setelah bergelumang dalam bidang dakwah selama 53 tahun bersama dengan gerakan al-Ikhwan al-Muslimun, Mesir.
Jenazahnya akan disempurnakan hari ini 4 Ogos 2005 di Masjid Ra’baah Adawiyyah di Nasr City seperti yang dimaklumkan ahli keluarganya yang terdekat. Beliau merupakan tulang belakang kepada gerakan Islam muslimat di dunia Arab merentasi beberapa buah negara Arab dan Islam sepanjang kerjaya sebagai pendakwah Islam sepenuh masa.
Al-marhumah yang dilahirkan pada 2 Januari 1917 di sebuah perkampungan di wilayah al-Buhairah (utara kota Kaherah), daripada keluarga yang berpegang kuat kepada ajaran Islam, kerana bapanya adalah salah seorang ulama’ al-Azhar yang cukup berpengaruh. Bapanya yang bertanggungjawab mentarbiahnya dengan ilmu-ilmu agama dan sentiasa berpegang kepada kebenaran, sehingga beliau dipanggil oleh bapanya dengan panggilan Nusaibah Binti Kaab iaitu salah seorang Sahabat wanita di zaman Rasulullah s.a.w.
Selepas kematian bapanya ketika berusia 10 tahun, beliau dibawa ibu dan saudaranya berpintah ke Kaherah bagi meneruskan pengajiannya di situ. Sebagai seorang yang aktif dalam bidang kemasyarakatan, beliau menganggotai sebuah pertubuhan wanita liberal yang dipimpin oleh Huda Syaarawi. Pandangan pertubuhan berkenaan, sering mendapat kritikan hebat daripada para ‘ulama al-Azhar kerana dikatakan tidak selari dengan Islam walaupun sering mengadakan forum antara kedua-dua belah pihak. Pandangan serong pertubuhan itu yang disifatkan amat merbahaya kepada umat Islam, akhirnya melarang mana-mana wakilnya menyampaikan ceramah dan sebagainya. Kesedaran kepada Islam menyerlah dalam diri al-Marhumah
Selepas sekian lama beliau menderita kerana sakit kronik yang boleh menyebabkan kematian, ketika itu beliau bersumpah jika Allah menyembuhkan penyakitnya, beliau berjanji akan meninggalkan pertubuhan wanita yang songsang itu, dan akan menubuhkan satu pertubuhan muslimat yang menumpukan perhatian kepada penyebaran dakwah Islam. Penyakitnya semakin sembuh, dan beliau mengotakan janjinya untuk menubuhkan pertubuhan muslimat dengan jayanya pada tahun 1936 khusus buat kaum Hawa di seluruh Mesir.
Dari masa ke semasa, pertubuhan muslimat yang diasaskannya telah mengadakan hubungan dengan gerakan al-Ikhwan al-Muslimun pimpinan al-Marhum Syeikh Hasan al-Banna iaitu pada tahun 1948 sebelum beliau mati ditembak. Sepanjang pengenalan al-Marhumah dengan Syeikh Hasan, dia mencadangkan agar pertubuhan muslimat itu menjadi anggota sayap gerakan al-Ikhwan khusus bagi muslimat dan beliau diminta menerajuinya.
Gerakan al-Ikhwan menerima pelbagai tribulasi hingga ramai di kalangan pimpinannya ditangkap atas arahan Perdana Menteri ketika itu, Mustafa an-Nuhhas, al-Marhumah telah memainkan peranan penting untuk menghubungi isteri-isteri pimpinan yang ditangkap dan membantu mereka dengan bantuan yang diperlukan. Tekanan demi tekanan yang diterima, hingga beliau diminta oleh Presiden Jamal Abdel Nasir pada ketika itu agar memimpin sayap wanita Parti Sosialis, tetapi beliau menolaknya dengan keras.
Keengganannya untuk menyertai wanita parti pemerintah telah menyebabkan Presiden Jamal mengeluarkan arahan agar pertubuhan muslimat pimpinan al-Marhumah dibekukan, segala bahan penerbitannya dihentikan . Beliau kemudiannya ditangkap pada Ogos 1965 dan dipenjarakan selama enam tahun dengan pelbagai ujian dan tribulasi.
Beliau ceritakan semuanya dalam bukunya “Aiyam min hayati” yang bermaksud hari-hari dalam hidupku yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu oleh al-Marhum Ustaz Mohammad Tahir Daeng Mengati. Dengan perantaraan dan campur tangan bekas Raja Arab Saudi, Raja Faisal Abdel Aziz, beliau telah dibebaskan di zaman pemerintahan Presiden Anwar Sadat pada Ogos 1971. Penyebaran Dakwah Islam
Setelah al-Marhumah dibebaskan, beliau memperlihatkan kesungguhannya dalam bidang dakwah hingga membuatnya terpanggil menyebarkan Islam bukan sahaja dalam negara asalnya Mesir, malah ke beberapa buah negara Arab dan Islam. Beliau juga dikatakan amat aktif dalam bidang penulisan yang dikaitkannya dengan dakwah. Pada pertengahan tahun lapan puluhan, beliau serta beberapa rombongan muslimat al-Ikhwan telah mengadakan lawatan ke Afghanistan ketika perang sedang berlangsung menghadapi kuasa besar Soviet Union beberapa kali..
Beliau bukan sahaja giat berdakwah dengan lisan menerusi ceramah, pidato, forom dan sebagainya, malah aktif menulis beberapa buah kitab. Antaranya “Nahwa Baa’thun Jadid” iaitu Kearah kebangkitan era baru dan “Nazarat fi Kitabillah” iaitu beberapa renungan terhadap kitab Allah.

Beliau berpendapat, bahawa masa depan kepada perkembangan dunia Islam perlu dijana menerusi program muslimat, kerana jatuh bangun sesuatu kebangkitan bermula dengan wanita/muslimat.
diambil dari : theqalam.com
p/s: Kehidupan serta penglibatan Zainab al-Ghazali di dalam medan dakwah perlu dijadikan panduan dan ikutan generasi muslimat kini yang ingin 'hidup dan mati bersama-sama Islam'..
"Rabbana atina fiddunya Hasanah wafilakhiratihasanah waqina 'azabannar"

Wednesday, August 3, 2005

gelombang 'tsu-shin chan' dan pengaruh 'ShinChanisme'

Image hosted by Photobucket.com
Image hosted by Photobucket.com
Image hosted by Photobucket.com
Kartun Shin Chan rosakkan pemikiran kanak-kanak

Saudara Pengarang,
KITA pernah mendengar istilah Tsumawi. Itu kisah gelombang Mawi peserta Akademi Fantasia 3 yang disanjungi oleh segenap lapisan usia kerana imej yang dibawanya.

Namun sedarkah kita bahawa gelombang Tsu-ShinChan atau pengaruh ShinChanisme semakin menular kini? Siaran kartun Shin Chan yang ditayangkan pada setiap hari Sabtu pukul 7 malam di salah sebuah stesen televisyen ini amat digemari oleh segenap lapisan masyarakat.

Comel dan kelakar adalah antara maklum balas bagi sesiapa yang menonton dan memandang siri kartun ini dari satu aspek. Pengotor dan gatal pula bagi mereka yang memandang dari suatu aspek yang lain.

Kebanyakan orang yang menonton siri kartun Shin Chan ini akan geli hati apabila melihat keletah Shin Chan. Rentak gaya bahasa yang senada dan selamba menjadikan gaya bahasa dan cara Shin Chan seringkali ditiru. Sehinggakan gambarnya turut menjadi muatan logo telefon bimbit!

Begitu besar pengaruh Shin Chan terhadap masyarakat. Namun, apa yang amat merisaukan saya adalah pengaruh Shin Chan terhadap pemikiran dan pembentukan akhlak dan peribadi kanak-kanak. Sedar ataupun tidak, pengaruh Tsu-Shin Chan atau Shin Chanisme ini telah memberi impak negatif yang amat besar terhadap pembentukan pemikiran dan akhlak mereka.

Pernah berlaku di salah sebuah sekolah rendah, di mana seorang anak murid telah mengajuk cikgu yang menulis di papan tulis sekolah sambil berkata dengan rentak dan gaya bahasa Shin Chan, ``Cikgu, punggung cikgu besarlah.''

Nah! Apakah kita tidak terkejut? Kata-kata tidak sopan ini telah terpacul dari seorang murid sekolah rendah? Adakah patut seorang anak murid mengatakan sedemikian kepada gurunya sendiri di dalam kelas?

Kita mendukung usaha kerajaan untuk memupuk budaya murni, soal budi bahasa, sopan-santun, dan adab tatasusila di dalam masyarakat. Namun, persekitaran yang telah meracuni pemikiran anak-anak generasi kita ini sebenarnya telah menjadi api dalam sekam. Bahkan telah menyekat usaha murni tersebut. Bagaimana slogan budi bahasa budaya kita mampu disemai dan dibajai sekiranya ini yang berlaku.

Justeru, semua pihak harus berperanan. Siri kartun seperti ini amat wajar disekat. Pihak televisyen tersebut wajar menilai semula segala bentuk rancangan kartun yang sesuai dengan kanak-kanak. Nilai positif yang perlu diambil kira, bukan sekadar hiburan semata-mata.

Di samping itu, ibu bapa harus berperanan dalam menghalang anak-anak mereka daripada terpengaruh dengan budaya negatif yang dibawa oleh Shin Chan ini. Anak-anak perlu dididik sedari awal. Benteng pertahanan perlu dipasak ketika usia mereka masih di peringkat rebung. Akhlak dan budi pekerti mulia perlu dipupuk. Anak-anak yang berkelakuan sedemikian perlu ditegur agar mereka mengetahui mana yang baik dan mana yang buruk.

Perkara ini pasti merisaukan kita semua terutamanya ibu bapa. Sekiranya dibiarkan dan tidak dibendung dari awal, kita takut pengaruh Shin Chan ini akan semakin menular dan merosakkan akhlak dan pemikiran generasi kita.
- BALQIS INSYIRAH, UIAM Gombak.
utusan malaysia, 2 Ogos 2005.