Friday, September 30, 2011

“Manisnya Hempedu, Pahitnya Madu”…

Pasti kita pernah mendengar atau membaca kisah tentang poligami. Samada melalui media cetak, elektronik mahupun kenalan sendiri. Memang tidak salah di dalam Islam, tetapi, ianya merupakan satu perkara yang sangat sensitif bagi kebanyakan wanita. Samada berkahwin muda ataupun sebaliknya.

Suatu hari..

“ingat tak ******(Nama)”, tanya suami. 


“Ha’ah ingat”,  jawab saya ringkas.

“Tau tak, dia dah kahwin dua rupanya”. Sambung suami. (Terdetik juga dihati, “Eh, kenapa tiba-tiba sahaja ni”. InsyaAllah tidak. Sekadar memaklumkan perkembangan kenalan). 

Terkejut juga mendengarnya. Bagaikan tidak percaya. Bukan menyalahkan mana-mana pihak. Apatah lagi sebagai orang luar yang langsung tiada kena mengena dengan mereka untuk membuat pelbagai andaian, apatah lagi memberi hukuman. Bukannya buat salah.

Jika mereka yang berkahwin itu adalah bermula sebagai pasangan muda, atau pasangan yang tidak punya apa-apa. Susah senang bersama. Apa yang lebih menyentuh jiwa dan rasa, apabila hanya motosikal menjadi kenderaan rasmi mereka. Apa yang lebih meruntun jiwa, jikalau si isteri yang berbadan dua sudah terbiasa meredah bersama si suami melalui jalan yang terhentak-hentak yang tidak rata.

Yang kedua datang setelah si suami “steady”. Bukan ingin menyalahkan yang kedua, mungkin ada sebab utama mereka.

Ingin saya tekankan, persoalan berkahwin ketika belajar atau berkahwin muda tiada kena mengena dengan isu pologami ya. Justeru usah mengatakan itu adalah punca dan alasannya.

Lebah: "Manis ke Pahit nih?"

Saya teringat satu survey yang telah dilakukan keatas lelaki yang berpoligami (minta maaf saya tidak ingat siapa dan bila ia dibuat, maka usah dijadikan hujah), tetapi apa yang saya yakin dan pasti, survey itu mendapati peratusan tertinggi daripada mereka mengatakan bahawa tidak gembira dan bahagia seperti yang disangka selepas berkahwin lagi. Lebih bertambah “bala” dan sengsara lagi. Para lelaki jangan marah, para wanita jangan terlalu gembira ya..

Kenyataan Survey itu dikuatkan lagi dengan beberapa kes kenalan yang turut berhadapan dengan situasi yang sama. Seronok hanya sebelum dan di awal-awalnya sahaja. Selepas itu, berserabut otak kepala. Hmm tapi saya yakin dan pasti, disana juga masih terdapat mereka yang bahagia dan gembira dengan berpoligami. Tapi dipihak mana? Apakah sudah semestinya bahagia dan gembira atau perlu berpura-pura menyimpan rasa? Harapnya memang betul bahagia dan gembira.

Keinginan untuk berkahwin lebih  pasti menjadi keinginan setiap lelaki (apatah lagi tiada halangan didalam Islam). Wanita juga ada yang berperasaan begitu. Itulah sebabnya terdapat kisah isteri yang curang. Na’uzubillahiminzalik. Islam tidak benarkan wanita berkahwin lebih dari satu atas faktor nasab keturunan. Hanya wanita yang boleh melahirkan. Sudah pastinya masyarakat akan menjadi “caca-merba” dek ketidakpastian anak siapakah dia.

 Namun, bagi lelaki yang rasional, apabila difikirkan kembali tanggungjawab dan beban yang akan berganda malah berkekalan pula, berbanding seronoknya “berkahwin lagi” yang hanya bersifat sementara, menjadikan banyak juga lelaki lebih bahagia dan gembira dengan hanya seorang bidadari syurga dunianya. Gaji yang asalnya sudah cukup dan selesa terpaksa dihimpit kembali dengan “cawangan baru”. Stress pula berganda. (Marah orang yang berpoligami pada saya dengan kenyataan ini)..

Seronok dan excited untuk berkahwin baru ibarat seronok dan excited untuk berkahwin buat pertama kalinya suatu ketika dahulu. Namun dari semasa ke semasa perasaan biasa-biasa sahaja atau “suam-suam kuku” bersilih ganti. Itulah lumrah alam yang Allah ciptakan untuk semua perkara dunia. 

Sewaktu kita inginkan gadjet yang terbaru, ketika fasa-fasa awal bersamanya, itulah yang paling istimewa. Kemudian akhirnya, biasa sahaja. Mencari pula yang terbaru.

Anak kecil apabila mendapat mainan baharu, ketika fasa-fasa awal bermain bersama mainan tersebut, itulah yang sukar dilepaskannya. Kemudian akhirnya, biasa sahaja. Inginkan pula yang lain.

(( اعْلَمُوا أَنَّمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَزِينَةٌ وَتَفَاخُرٌ بَيْنَكُمْ وَتَكَاثُرٌ فِي الْأَمْوَالِ وَالْأَوْلَادِ كَمَثَلِ غَيْثٍ أَعْجَبَ الْكُفَّارَ نَبَاتُهُ ثُمَّ يَهِيجُ فَتَرَاهُ مُصْفَرًّا ثُمَّ يَكُونُ حُطَامًا وَفِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ شَدِيدٌ وَمَغْفِرَةٌ مِّنَ اللَّهِ وَرِضْوَانٌ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ))-الحديد: 20

“Ketahuilah, bahwa sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-bangga tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan keampunan dari Allah serta keredhaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu”. (QS, 57:20)

Itulah fitrah yang Allah ciptakan bagi nikmat dunia yang hanya bersifat sementara ini. Yang akan ditanggung adalah pahala atau dosa yang samada akan meringankan atau memberatkan mizan (neraca timbangan).

Justeru, hargailah si dia yang setia disisi. Susah senang bersama sanggup dilalui.  Saya bersimpati pada mereka yang terpaksa melalui. Derita atau bahagia hanya si dia yang merasai. Saya berdoa agar Allah menjauhkan diri dari diuji dengan ujian berat sebegini. .

Bagi lelaki, daripada melihat hanya kepada sunnah berpoligami itu, lihatlah pada fakta yang lebih utama yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw. Baginda memiliki hanya seorang isteri, Khadijah yang istimewa, semasa dalam hayat beliau. Hanya selepas Khadijah wafat, baharulah Nabi berpologami. Cemburu itu timbul dek kerana sayang. Di dalam sejarah, Aisyah juga cemburu bilamana Rasullulah saw seringkali teringat akan cinta pertama, suri hidupnya Khadijah, walaupun Khadijah telah tiada. Bahkan ada ketika, isteri-isteri baginda juga cemburu dengan yang lain. Itu adalah lumrah hati dan perasaan manusia. Namun, Hebatnya Rasulullah saw dalam memberi contoh kehidupan berumahtangga buat kita semua ..

Di dalam menjalin bahagia bersama, ia bukan hanya sekadar berhenti selepas diijabkabulkan sahaja. Tetapi sebaliknya rasa ingin terus mengenali dan mencintai pasangan seadanya. Mudah-mudahan kehidupan berkeluarga yang dilalui itu diredhai olehNya bahkan akan berkumpul pula di Syurga sana. 

Dr. Les Parrott di dalam bukunya “saving your marriage before it starts”, ada mengatakan  “dua pasangan yang berdikari mampu untuk membentuk dan menjalani satu kehidupan bersama walaupun terpaksa mengharungi segala kesusahan dan perlu untuk belajar cara menyesuaikan diri antara satu sama lain. Segala kesusahan serta kesungguhan dalam melalui satu fasa baru bagi setiap pasangan adalah berbeza namun mereka tetap akan menghadapi kesusahan tersebut. Dalam peringkat ini pasangan perlu bersedia untuk mengatakan “ya” dan menerima hakikat bahawa saya redha untuk menerima pasangan yang tidak sempurna dan percintaan dengan seseorang yang sempurna hanyalah satu khayalan semata-mata. Walaubagaimanapun saya tetap terpikat dan terpesona dengan “misteri” serta “rahsia” siapa awak dan saya bersedia untuk terus menyintai awak serta menjalani kehidupan bersama demi sebuah “cinta” yang lebih bermakna”.

Mardiana Mat Ishak
Batu Caves, 2011.

7 comments:

jiaz said...

salam k.mardiana..

keep it up!! penulisan k.mardiana makin matang....write more...n more lah!

Haziq Asyraf said...

Benar ustazah. Kesannya lebih berat terhadap anak-anak. Apabila ibu-bapa stress, kewangan semakin tidak stabil lalu pendidikan dan tumpuan terhadap anak-anak juga semakin terjejas. Anak-anak akan mula berbanding-banding dengan keluarga lain.

Bapa saya juga berpoligami, tapi alhamdulillah, 'politik' dalaman kini semakin stabil. Tetapi kesan parut memang sukar untuk pudar.

dhiyauqalbii said...

kak.. ni alamat saya

smk bera bandar 32
28300 triang pahang

ASWJ said...

Tulisan blog ni ditujukan kpd siapa sbnrnya? :-)

dinaluzriq said...

terima kasih jiaz..insyaallah..:)

haziq:ustz bersimpati, xapa, yg penting sebagai anak. buat yg terbaik utk dunia n akhirat kita..

trm ksh atikah, alhamdulillah sudah dipos, harap sudah dapat dan sudi "menjamah" buku tersebut..

dinaluzriq said...

terima kasih jiaz..insyaallah..:)

haziq:ustz bersimpati, xapa, yg penting sebagai anak. buat yg terbaik utk dunia n akhirat kita..

trm ksh atikah, alhamdulillah sudah dipos, harap sudah dapat dan sudi "menjamah" buku tersebut..

dinaluzriq said...

ASWJ: oh, siapa2 sahaja yg kalau makan cili, akan terasa pedasnya..:) x penting pada siapa ia ditujukan..:)