Friday, December 23, 2011
Umayr, Trip to Hatyai & Lagu Kegemarannya.. :)
Monday, October 31, 2011
Umurku genap 28 tahun: Impian Bahagia sehingga ke Syurga..Ameen
Perkenalan saya dan
suami bermula selepas dirisik oleh adik ipar yang juga merupakan junior saya di
UIA pada tahun 2006. Saya berpegang dengan prinsip saya, “berkenalan” dengan
tujuan untuk berkahwin, tiada istilah untuk bercouple, dan tidak untuk tempoh
jangka masa yang lama. “Berkenalan” apabila diri bersedia untuk memberikan cinta
hanya untuk seorang lelaki yang bakal bergelar suami, insyaAllah dunia dan
akhirat. Ketika dirisik sebenarnya pada masa yang sama ada beberapa calon yang
lain yang perlu dipertimbangkan juga. Setelah melakukan Solat Istikharah,
Alhamdulillah hati terbuka untuk menerimanya.
(Ketika Konvo PhD beliau baru-baru ini)
Suami saya memiliki beberapa
perkara yang saya yakini. Cukuplah syaratnya, seorang lelaki yang tidak
merokok, saya yakin dengan agama dan akhlaknya, malah yang boleh menjadi bapa
contoh untuk bakal anak-anak saya nanti. Hadis Rasulullah saw yang ada mengatakan
bahawa jika ada lamaran dari seorang lelaki soleh, yang diyakini agamanya, maka
terimalah jika tidak akan berlaku kerosakan dimuka bumi, menguatkan lagi
tentang pilihan hati ini. Sepanjang perkenalan kami, tidak pernah keluar
berdua, tetapi sebaliknya ditemani oleh ahli keluarganya dan rakan saya. Bahkan
keluar itu juga dengan tujuan dan urusan penting. Untuk menjaga dalam tempoh
sebelum berkahwin inilah yang menjadi cabaran yang begitu kuat.
Memang perasaan untuk
keluar bersama, makan berdua bersama, bersembang-sembang santai, berjumpa
selalu itu ada. Itulah fitrah. Namun, samada fitrah bertukar fitnah atau fitrah
membentuk mawaddah wa rahmah, pilihan itu terletak pada kita. Wanita
terutamanya, perlu bertegas. Tidak ada seorang lelakipun yang berhak dan layak
untuk kita selagi belum berlangsungnya sebuah akad yang sah. Yakinlah bahawa
jika ia dijaga dengan sebaiknya sebelum berlangsungnya sebuah pernikahan,
insyaAllah kita akan nampak keberkatan selepas perkahwinan. Untuk tidak menjaga
dan menangguk dosa sebelum berkahwin itu memang sangat mudah, tetapi akan
menjadi parah dan susah selepas bernikah. Untuk menjaga sebelum berkahwin itu
sekejap sahaja sebenarnya, bersabarlah, tiada sedikit rugipun sebenarnya, walau
sebesar zarah. Kerana dirinya akan menjadi milik kita insyaAllah untuk
selamanya selepas itu.
Saya yakin dan percaya,
Alhamdulillah Allah telah memberikan seorang suami yang terbaik untuk saya.
Melalui perkahwinan dengannya saya mempelajari banyak perkara. Melalui pelbagai
peristiwa dan cabaran sepanjang kehidupan kami, saya juga belajar untuk
memaafkan, mengasihi, menyayangi dan berubah diri untuk menjadi seorang insan
dan hamba yang lebih baik. Perbezaan itulah pelengkap untuk sebuah kehidupan.
Kekurangan saya, suamilah menjadi pelengkapnya. Suami telah membuatkan saya
untuk belajar bagaimana untuk menjadi seorang isteri yang bijak, ibu yang
bijak, pembantu yang setia, kekasih yang saling mengasihi kerana Allah.
Bahkan suami saya
banyak membantu dalam memudahkan terealisasinya impian CINTA dan CITA-CITA
(saluran @ wasilah yang Allah berikan). Suami Soleh yang mengikut sunnah Nabi
junjungan mulia, Muhammad saw dalam membantu isterinya di dalam urusan
rumahtangga dan sebagainya. “Ya Allah, hambaMu ini menyayangi dan mengasihi
lelaki ini yang telah engkau anugerahkan kepadaku keranaMU”..
(Apsal Umayr nganga??..Dia terkedu naik bot.. :) )
Harapan saya dengan doa
agar kehidupan kami sekeluarga sentiasa diberkatinya dan dibawah rahmat kasih sayangNya.
Ya Allah, himpunkan zuriat keturunan kami di dalam syurgaMu, Amiin..
Alhamdulillah diatas nikmat Iman dan Islam selama 28 tahun menjadi hamba Allah..
Terima Kasih atas ingatan kalian buat sahabat-sahabat..
* Mardiana Mat Ishak, Batu Caves, Selangor,
31 Oktober 2011.
Friday, September 30, 2011
“Manisnya Hempedu, Pahitnya Madu”…
Pasti kita pernah
mendengar atau membaca kisah tentang poligami. Samada melalui media cetak, elektronik mahupun kenalan sendiri. Memang tidak salah di dalam
Islam, tetapi, ianya merupakan satu perkara yang sangat sensitif bagi
kebanyakan wanita. Samada berkahwin muda ataupun sebaliknya.
Suatu hari..
Suatu hari..
“ingat tak
******(Nama)”, tanya suami.
“Ha’ah ingat”, jawab saya ringkas.
“Tau tak, dia dah
kahwin dua rupanya”. Sambung suami. (Terdetik juga dihati, “Eh, kenapa
tiba-tiba sahaja ni”. InsyaAllah tidak. Sekadar memaklumkan perkembangan
kenalan).
Terkejut juga
mendengarnya. Bagaikan tidak percaya. Bukan menyalahkan mana-mana pihak. Apatah
lagi sebagai orang luar yang langsung tiada kena mengena dengan mereka untuk
membuat pelbagai andaian, apatah lagi memberi hukuman. Bukannya buat salah.
Jika mereka yang
berkahwin itu adalah bermula sebagai pasangan muda, atau pasangan yang tidak
punya apa-apa. Susah senang bersama. Apa yang
lebih menyentuh jiwa dan rasa, apabila hanya motosikal menjadi kenderaan rasmi
mereka. Apa yang lebih meruntun jiwa, jikalau si isteri yang berbadan dua sudah
terbiasa meredah bersama si suami melalui jalan yang terhentak-hentak yang
tidak rata.
Yang kedua datang
setelah si suami “steady”. Bukan ingin menyalahkan yang kedua, mungkin ada
sebab utama mereka.
Ingin saya tekankan, persoalan
berkahwin ketika belajar atau berkahwin muda tiada kena mengena dengan isu
pologami ya. Justeru usah mengatakan itu adalah punca dan alasannya.
Lebah: "Manis ke Pahit nih?"
Saya teringat satu survey
yang telah dilakukan keatas lelaki yang berpoligami (minta maaf saya tidak
ingat siapa dan bila ia dibuat, maka usah dijadikan hujah), tetapi apa yang
saya yakin dan pasti, survey itu mendapati peratusan tertinggi daripada mereka
mengatakan bahawa tidak gembira dan bahagia seperti yang disangka selepas
berkahwin lagi. Lebih bertambah “bala” dan sengsara lagi. Para
lelaki jangan marah, para wanita jangan terlalu gembira ya..
Kenyataan Survey itu
dikuatkan lagi dengan beberapa kes kenalan yang turut berhadapan dengan situasi
yang sama. Seronok hanya sebelum dan di awal-awalnya sahaja. Selepas itu,
berserabut otak kepala. Hmm tapi saya yakin dan pasti, disana juga masih
terdapat mereka yang bahagia dan gembira dengan berpoligami. Tapi dipihak mana?
Apakah sudah semestinya bahagia dan gembira atau perlu berpura-pura menyimpan
rasa? Harapnya memang betul bahagia dan gembira.
Keinginan untuk
berkahwin lebih pasti menjadi keinginan
setiap lelaki (apatah lagi tiada halangan didalam Islam). Wanita juga ada yang
berperasaan begitu. Itulah sebabnya terdapat kisah isteri yang curang. Na’uzubillahiminzalik.
Islam tidak benarkan wanita berkahwin lebih dari satu atas faktor nasab
keturunan. Hanya wanita yang boleh melahirkan. Sudah pastinya masyarakat akan
menjadi “caca-merba” dek ketidakpastian anak siapakah dia.
Namun, bagi lelaki yang rasional, apabila
difikirkan kembali tanggungjawab dan beban yang akan berganda malah berkekalan
pula, berbanding seronoknya “berkahwin lagi” yang hanya bersifat sementara,
menjadikan banyak juga lelaki lebih bahagia dan gembira dengan hanya seorang
bidadari syurga dunianya. Gaji yang asalnya sudah cukup dan selesa terpaksa
dihimpit kembali dengan “cawangan baru”. Stress pula berganda. (Marah orang
yang berpoligami pada saya dengan kenyataan ini)..
Seronok dan excited
untuk berkahwin baru ibarat seronok dan excited untuk berkahwin buat
pertama kalinya suatu ketika dahulu. Namun dari semasa ke semasa perasaan
biasa-biasa sahaja atau “suam-suam kuku” bersilih ganti. Itulah lumrah alam
yang Allah ciptakan untuk semua perkara dunia.
Sewaktu kita inginkan
gadjet yang terbaru, ketika fasa-fasa awal bersamanya, itulah yang paling
istimewa. Kemudian akhirnya, biasa sahaja. Mencari pula yang terbaru.
Anak kecil apabila mendapat
mainan baharu, ketika fasa-fasa awal bermain bersama mainan tersebut, itulah
yang sukar dilepaskannya. Kemudian akhirnya, biasa sahaja. Inginkan pula yang
lain.
(( اعْلَمُوا أَنَّمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا لَعِبٌ وَلَهْوٌ
وَزِينَةٌ وَتَفَاخُرٌ بَيْنَكُمْ وَتَكَاثُرٌ
فِي الْأَمْوَالِ وَالْأَوْلَادِ كَمَثَلِ غَيْثٍ أَعْجَبَ الْكُفَّارَ
نَبَاتُهُ ثُمَّ يَهِيجُ فَتَرَاهُ مُصْفَرًّا ثُمَّ يَكُونُ حُطَامًا وَفِي
الْآخِرَةِ عَذَابٌ شَدِيدٌ وَمَغْفِرَةٌ مِّنَ اللَّهِ وَرِضْوَانٌ
وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ))-الحديد:
20
“Ketahuilah, bahwa sesungguhnya
kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan
bermegah-megah antara kamu serta berbangga-bangga tentang banyaknya harta dan
anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian
tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi
hancur. Dan di akhirat (nanti)
ada azab yang keras dan keampunan dari Allah serta keredhaan-Nya. Dan
kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu”. (QS, 57:20)
Itulah fitrah yang
Allah ciptakan bagi nikmat dunia yang hanya bersifat sementara ini. Yang akan
ditanggung adalah pahala atau dosa yang samada akan meringankan atau
memberatkan mizan (neraca timbangan).
Justeru, hargailah si
dia yang setia disisi. Susah senang bersama
sanggup dilalui. Saya bersimpati pada mereka
yang terpaksa melalui. Derita atau bahagia hanya si dia yang merasai. Saya
berdoa agar Allah menjauhkan diri dari diuji dengan ujian berat sebegini. .
Bagi lelaki, daripada
melihat hanya kepada sunnah berpoligami itu, lihatlah pada fakta yang lebih
utama yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw. Baginda memiliki hanya seorang
isteri, Khadijah yang istimewa, semasa dalam hayat beliau. Hanya selepas
Khadijah wafat, baharulah Nabi berpologami. Cemburu itu timbul dek kerana sayang.
Di dalam sejarah, Aisyah juga cemburu bilamana Rasullulah saw seringkali teringat akan cinta
pertama, suri hidupnya Khadijah, walaupun Khadijah telah tiada. Bahkan ada ketika, isteri-isteri baginda juga
cemburu dengan yang lain. Itu adalah lumrah hati dan perasaan manusia. Namun, Hebatnya
Rasulullah saw dalam memberi contoh kehidupan berumahtangga buat kita semua ..
Di dalam menjalin
bahagia bersama, ia bukan hanya sekadar berhenti selepas diijabkabulkan sahaja.
Tetapi sebaliknya rasa ingin terus mengenali dan mencintai pasangan seadanya.
Mudah-mudahan kehidupan berkeluarga yang dilalui itu diredhai olehNya bahkan
akan berkumpul pula di Syurga sana.
Dr. Les Parrott di dalam
bukunya “saving your marriage before it starts”, ada mengatakan “dua pasangan yang berdikari mampu untuk
membentuk dan menjalani satu kehidupan bersama walaupun terpaksa mengharungi
segala kesusahan dan perlu untuk belajar cara menyesuaikan diri antara satu
sama lain. Segala kesusahan serta kesungguhan dalam melalui satu fasa baru bagi
setiap pasangan adalah berbeza namun mereka tetap akan menghadapi kesusahan
tersebut. Dalam peringkat ini pasangan perlu bersedia untuk mengatakan “ya” dan
menerima hakikat bahawa saya redha untuk menerima pasangan yang tidak sempurna
dan percintaan dengan seseorang yang sempurna hanyalah satu khayalan
semata-mata. Walaubagaimanapun saya tetap terpikat dan terpesona dengan
“misteri” serta “rahsia” siapa awak dan saya bersedia untuk terus menyintai
awak serta menjalani kehidupan bersama demi sebuah “cinta” yang lebih
bermakna”.
Mardiana Mat Ishak
Batu Caves,
2011.
Monday, September 12, 2011
Musibah Syawal
Kami gembira kerana Syawal kali
ini tiba bersamaan tarikh ulangtahun perkahwinan kami yang ke-5. Alhamdulillah.
Namun, dalam kegembiraan tersebut juga, ada musibah yang telah menimpa.
Musibah Pagi 1 Syawal
Selepas selesai menunaikan solat
sunat hariraya Aidilfitri di Masjid Sultanah Bahiyah Alor Setar, sambil
mendengar khutbah hariraya. Umayr bermain dengan beberapa kanak-kanak yang
lain. Main lari-lari. Tiba-tiba dia ke bahagian hadapan yang dipenuhi jemaah
lelaki, di bahagian kiri koridor masjid. Dia nampak tangga dan kasut yang
banyak agaknya,terus menuruni anak tangga tersebut. Memikirkan bahaya kalau
dibiarkan takut Umayr lari ke jalan pula saya terus mendapatkannya. Tetapi
terjatuh pula di tepi longkang. Ada calar sedikit di bahagian kiri kepalanya.
selepas Solat Sunat Hariraya Aidilfitri 1432H
Musibah Petang 1 Syawal
Kami beraya di rumah tok saya, di Pokok Sena Kedah. Umayr
teruja melihat kawasan lapang yang membolehkannya untuk bebas bergerak, bermain
dan berlari. Peghak (bahasa kedah-kagum dan teruja seolah-olah tidak pernah lihat)
tengok burung dalam sangkar. Siap nak pergi ke kawasan semut api.
(gambar: luka selepas 4 hari) Bertukar syif, Abi memantau Umayr pula. Tetapi malang tidak
berbau, ketika Umayr ingin melangkah satu longkang kecil, Abi tidak sempat
sambut, kepala Umayr terhantuk di atas tepi tiles. Agak tajam. Apa lagi, darah
tak henti-henti keluar. Baju abi terkena darah, saya terus menerpa
mendapatkannya. Tudung saya juga ada sedikit kesan darah. Menyirap darah saya
melihat luka (yang pada saya agak dalam sehingga menampakkan isi). Apatah lagi
dengan darah yang tak henti-henti. Semua orang menjadi kelam kabut. Yang Umayr pula, sambil menangis (tidak pula
meraung), menangis manja sambil memegang kepalanya dan menyebut, “ayi…ayi..”
(lari…lari). Ingatkan nak sebut sakit. Umayr..Umayr..
Dari Pokok Sena, kami
terus ke KMC (Kedah Medical Centre). Kami risau kalau jahitan pada luka
diperlukan. Ya, pastinya kalau jahitan pada kulit, kesannya parut yang tidak
akan hilanglah jawabnya. Habislah muka anak ummi ni.. na’uzubillah..
Alhamdulillah, doktor kata hanya diletakkan gam pada kulit
untuk mencantumkan semula kulit yang terkoyak. Umayr ni pula kira nak tarik
plaster kecil yang dilekatkan. Ada pernah satu malam (semasa menonton filem Nur
Kasih), Umayr sedang menyusu, tiba-tiba dia tarik dan mungkin terkena pada jari
tangan, luka berdarah kembali. Apa lagi, saya yang sangat risau terus mengajak
suami untuk ke KMC untuk ditampal semula luka. Alhamdulillah tiada bayaran
lebih dikenakan. Saya minta jururawat letakkan plaster yang lebih kuat dan
lebih besar. Jadi, agak susah Umayr tarik. Perlu dibiarkan selama 4 hari,
kepala juga jangan dibasahkan. Apabila dipesan agar jangan tarik, memang
mengangguk sakan kawan kita nih. Tapi..banyak cubaan untuk melakukannya..
memang kami tambahkan lagi plaster dengan menyilang. Memang agak sukar Umayr
menarik. Hehehe..
Selalunya orang kata, kalau tidak ada luka sini sana, bukan
budaklah namanya. Hero pula... Sementara
menanti membesar dan faham bahasa seperti abang Uways ni, macam-macamlah lagi..
Hhhmmm
KPI rumah tangga bina perkahwinan bahagia (versi editor)
KPI rumah tangga bina perkahwinan bahagia
(versi editor)
Berita Harian, 8 September 2011
LAPORAN akhbar baru-baru ini (Berita Harian 6 September) menyatakan lebih 200,000 pasangan mendaftar cerai. Kebanyakan laporan diterima membabitkan usia perkahwinan yang kurang daripada enam tahun. Perkara ini sangat merisaukan bahkan akan turut memberi kesan kepada institusi kekeluargaan seterusnya aspek pembinaan modal insan yang cemerlang.Sama ada berkahwin atas faktor suka sama suka atau dicadangkan orang ketiga ia akan bertemu satu titik persamaan, iaitu membina cinta. Apakah pasangan yang berkahwin didasari cinta bersama akan berhenti sekadar menjadi pasangan dengan ikatan perkahwinan? Apakah pasangan diatur pihak ketiga akan berhenti sekadar menjadi pasangan yang berkahwin selepas diijabkabulkan? Tidak. Cinta itu bermula dengan tindakan dan perbuatan. Cinta dan perasaan belas kasihan perlu ada. Maka atas dasar itulah Allah meletakkan ‘mawaddah warahmah’ yang perlu menjadi dasar dalam sebuah perkahwinan. Mawaddah (cinta) itu seperkara dan disusuli rahmah (belas kasihan). Di saat sinar kebahagiaan muncul di dalam jiwa, cinta itu menjadi paksinya, dan pada saat marah, belas kasihan pula perlu menjadi paksi serta sabar.
Pertama, pastikan hubungan sebelum perkahwinan itu dijaga dengan sebaik-baiknya dengan mengikuti apa yang Islam sarankan seperti tidak keluar berdua-duaan sebelum berkahwin, bersentuhan melakukan perkara ringan serta adengan boleh membawa kepada zina. Kedua, sebaik-baiknya diadakan KPI rumah tangga (penunjuk aras) agar ia sentiasa menjadi audit dalaman untuk memberikan yang terbaik buat pasangan. Dalami ilmu agama dan ilmu rumah tangga serta kekeluargaan secara berterusan. Sentiasa jadikan diri untuk memberi yang terbaik, daripada ingin menerima yang terbaik. KPI ini seelok-elokknya dibuat pada saat pasangan masih di dalam proses untuk berkahwin atau tempoh perkahwinan yang masih baru.
Jadikan KPI ini sebagai satu muhasabah bersama dengan meletakkan apa yang diharapkan dapat dilakukan dan perkara yang perlu dielakkan dalam membina kebahagiaan. Mudah-mudahan ia membantu kita untuk terus memburu kebahagiaan yang abadi.
MARDIANA MAT ISHAK,
Pensyarah dan Penulis Buku.
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/KPIrumahtanggabinaperkahwinanbahagia/Article
Jalan-jalan Cari Makan (JJCM) TV3.. Alkisahnya…
Kelakar apabila melihat wahaj
sendiri dalam rancangan JJCM episode 14
tempohari (Ahad, 4 September 2011- 12 tgh). Ia berlaku secara kebetulan.
Alkisahnya…
Selepas maghrib, kami
bersiap-siap untuk ke dePalma Hotel Ampang kerana saya perlu menghadiri
workshop silibus buku baharu Bahasa Arab selama tiga hari berturut-turut
(29-31 Julai 2011). Setelah berbincang
dengan encik suami petang itu, pilihan untuk makan diluar sahaja memandangkan
stok bahan mentah telah dihabiskan kerana tiga hari tiada dirumah dan sebelum
memasuki fasa Ramadhan minggu hadapan.
Selepas maghrib, dalam mencari
tempat yang sesuai dan memenuhi keperluan perut yang berbunyi, saya
mencadangkan mencuba kedai Spring Potato. Kedai ini telah dilihat lama kerana
untuk kerumah saya, pasti melalui Sri Gombak. Dari jauh kedainya nampak agak
menarik sekalipun berada dikawasan deretan kedai yang kurang menarik. Kedai
yang selesa, bersih dan kemas dan yang lebih penting adalah tokeynya adalah
Islam dan bumiputera.
Sewaktu kami sampai, telah ada 4
meja makan yang telah selesai makan. Kami sahaja pelanggan yang baru sampai.
Kami mencuba makanan Korea Bul-go-gi dan Spring Potato. Semasa menunggu order,
kami perasan ada 4 orang krew tv selesai menikmati makanan mereka. Ingatkan
telah selesai pengambaran, dan tidak sangka pula mereka adalah krew JJCM. Hanya
mereka berempat, pengacara JJCM Qi dan Amy Mastura tiada. Saya rasa,
pengambaran bersama pengacara dan artis jemputan dibuat lebih awal dan sesi
kedua hanya untuk mendapatkan pandangan pelanggan sahaja. Kerana plak JJCM
telah sedia ada diatas meja kaunter.
Kami adalah orang terakhir yang
ditemuramah. Sewaktu menjamah hidangan yang memang sedap itu, kami disapa,
“Abang, kakak, boleh kami temuramah sikit untuk JJCM?”. Saya dan suami ketawa
dan bersetuju. “Siapa yang akan cakap? Abang ke akak?”. Dengan selamba, suami
kata, “bagi akaklah..”.. Alamak..oklah, ok ja… “Akak cakap panjang-panjang
sikit ok..”. Ok, boleh je.. Adik tu tanya beberapa soalan, “bagaimana rasa
makanan yang kami makan tu, fresh ataupun tidak”, “apa pandangan tentang kedai
tersebut” dan beberapa soalan lagi. Dia kata akan keluar tv insyaAllah selepas
raya.
Ketika menghabiskan cuti hariraya
di rumah abang saya di Penang, adik saya perasan ada iklan JJCM untuk 4
September 2011 di tv3. “Eh Nampak macam
muka abang Nizamla kat iklan JJCM, hampa pi kedai Spring Potato ka”. Kalau
iklan Spring Potato dan muka en. Suami, memang sahlah. Tak sangka pula sejurus
selepas raya.
(promo iklan JJCM Ahad, 4 September
tv3)
Hari Ahad jam 12 memang kami
tunggu untuk tengok betul atau tidak. Kami di Ipoh. Memang kelakar tengok muka
sendiri dan diusik juga oleh abang saya sebagai kuat makan dan perut stokin.
Hmm..memang saya boleh habiskan 2-3 kali tambah. Nak buat macam mana, sebab lapar dan
mungkin kerana masih menyusu penuh adik Umayr. Kata en. suami, tak apa selagi
berselera dan Allah bagi nikmat makan.. Alhamdulillah..
Kalau nak tengok JJCM episode 14
temohari, boleh lihat di tonton.tv3…
Thursday, September 8, 2011
"Perkahwinan bukan satu Persinggahan"- versi asal
Senario yang sering berlaku..
“saya tidak cintakan dia”
“kami tidak serasi”
“dia tidak bertanggungjawab”
“dia curang”
Ini adalah antara beberapa perkara yang sering menjadi punca pergolakan rumahtangga. Laporan akhbar baru-baru ini (BH- 6 September 2011) yang menyatakan bahawa lebih 200,000 pasangan mendaftar cerai. Kebanyakan laporan yang diterima adalah usia perkahwinan yang kurang dari 6 tahun. Perkara ini sangat merisaukan bahkan akan akan turut memberi kesan kepada institusi kekeluargaan seterusnya aspek pembinaan modal insan yang cemerlang.
Cinta Rela dan Cinta Dipaksa
Samada berkahwin atas faktor suka sama suka atau dicadangkan oleh orang ketiga ia akan bertemu satu titik persamaan, iaitu membina cinta. Apakah pasangan yang berkahwin didasari cinta bersama akan berhenti sekadar menjadi pasangan dengan ikatan perkahwinan? Apakah pasangan yang diatur pihak ketiga akan berhenti sekadar menjadi psangan yang berkahwin setelah diijabkabulkan? Tidak. Cinta itu bermula dengan tindakan dan perbuatan. Cinta dan perasaan belas kasihan perlu ada. Maka atas dasar itulah Allah meletakkan “mawaddah warahmah” yang perlu menjadi dasar dalam sebuah perkahwinan. Mawaddah (Cinta) itu seperkara dan disusuli rahmah (belas kasihan). Disaat sinar kebahagiaan muncul didalam jiwa, cinta itu menjadi paksinya, dan disaat api kemarahan membara dijiwa, belas kasihan pula perlu menjadi paksinya bahkan ia menuntut satu kesabaran. Marah itu adalah satu perkara yang normal bagi manusia, namun apakah dengan api kemarahan itu akan terus dibiarkan membakar dan marak seterusnya meranapkan sebuah rumahtangga? Rasulullah SAW telah memberikan solusinya. Jadikan rumahtangga baginda sebagai model ikutan kita semua dalam membina bahagia dalam kehidupan.
Bagi mereka yang berkahwin dengan cadangan pihak ketiga, alasan “saya dipaksa berkahwin” atau “tidak ada cinta” dijadikan sebab setelah berlakunya aqad yang sah adalah sesuatu yang tidak rasional. Pilihan untuk berkahwin atau tidak itu terletak pada tangan diri sendiri. Ia boleh sahaja diterima atau ditolak secara baik selagi belum berlakunya proses ijab dan kabul. Apatah lagi jika sebab tidak cintakan pasangan malah dikatakan dipaksa pula dijadikan hujah untuk menamatkan sebuah perkahwinan. Lebih-lebih lagi setelah kemeriahan perkahwinan yang diraikan telah berlaku.
Perkahwinan bukan satu persinggahan. Contohnya, ketika zaman persekolahan dan memasuki gerbang institusi pengajian tinggi. Apabila dirasakan tidak serasi, terus bertukar tempat dan melarikan diri. Jika ini yang berlaku didalam sebuah institusi perkahwinan, ia bukanlah datang dari mereka yang matang dan bijak berfikir tentang kehidupan. Keserasian itu perlu dibina dan dicarigali secara berterusan. Malah setiap hari yang dilalui bersama itulah pelajaran yang cukup berharga untuk membina keserasian. Sememangnya gabungan dua cara kehidupan yang berbeza itu perlu dicari titik persamaan dalam membina sebuah kehidupan berkeluarga yang menuju redhaNya.
Punca
Daripada laporan yang diterima peratusan daripada tidak bertanggungjawab sehinggalah kepada masalah seksual atau masalah kesihatan. Masalah tidak mempunyai keinginan terhadap pasangan atau wanita menurut salah seorang pensyarah bidang al-Quran dan Hadith adalah disebakan tiga faktor utama iaitu, samada pernah melakukan zina sebelum berkahwin, atau seorang homoseksual atau memang mempunyai masalah kesihatan. Na’uzubillahiminzalik. Saya pernah mendengar antara sebab penceraian yang dilakukan kajian oleh Timbalan Pengarah IKIM yang sekarang merupakan rektor baru UIAM, Prof. Dato’ Dr. Zaleha Kamaruddin, didalam slot Mahligai Kasih di IKIM.fm tentang masalah seksual ini. Pelbagai jenis ubat kuat yang ditampal iklan itu sebenarnya telah membuka keaiban dan menunjukkan kelemahan pihak lelaki. Menurutnya, biasanya ego pihak lelaki sukar untuk menerima punca ini dan simpati dan malu pihak isteri pula sukar untuk melaporkan seterusnya cuba membantu untuk membuat rawatan. Apatah lagi masalah kesihatan ini diketahui setelah berlakunya ijab dan kabul. Akhirnya, pasangannya terpaksa menjadi mangsa keadaan. Di dalam masalah ini, tidak perlu dipersalahkan mana-mana pihak jika sekiranya masing-masing tidak mengetahuinya sebelum berlakunya perkahwinan. Apa yang menjadi kesalahan adalah diteruskan perkahwinan jika diketahui sedari awal untuk menutup mulut orang tentang persoalan, “kenapa masih belum berkahwin”. Berkahwin dan kemudian memutuskan perkahwinan telah menjadi pilihan penyelesaian yang terbaik. Malah, mencanang pelbagai kesalahan pasangan untuk menutup keaiban diri. Lebih memburukkan keadaan, jika orang lain yang tiada kena mengena turut sama campur tangan dan memberi komen itu dan ini.
Cinta Terpelihara dan K.P.I Rumahtangga
Saya ingin mencadangkan dua perkara ini, mudah-mudahan ia membantu pasangan yang berumahtangga untuk terus membina bahagia bersama. Pertama pastikan hubungan sebelum perkahwinan itu dijaga dengan sebaik-baiknya dengan mengikuti apa yang Islam sarankan seperti tidak keluar berdua-duaan sebelum berkahwin, bersentuhan melakukan perkara-perkara ringan, apatah lagi adegan-adegan ringan yang boleh membawa kepada penzinaan. Kemungkinan besar kebahagiaan dan ketenangan yang dirasai sebelum berkahwin akan bertukar menjadi kesengsaraan dan keperitan setelah berkahwin sebagai balasan dari Allah. Kebahagiaan sebelum berkahwin telah dihiasi oleh panahan syaitan. Kerana itu kenikmatan dunia adalah syurga bagi mereka yang melakukan maksiat dan neraka bagi mereka yang bertaqwa. Namun, pastinya kenikmatan akhirat adalah syurga bagi mereka yang bertaqwa dan neraka bagi mereka yang melakukan maksiat.
Kedua, sebaik-baiknya diadakan K.P.I (Key Personal Indicator) Rumahtangga (pununjuk aras) agar ia sentiasa menjadi audit dalaman untuk memberikan yang terbaik buat pasangan. Dalami ilmu agama dan ilmu rumahtangga serta kekeluargaan secara berterusan. Sentiasa jadikan diri untuk memberi yang terbaik, daripada ingin menerima yang terbaik. K.P.I ini seelok-elokknya dibuat disaat pasangan masih didalam proses untuk berkahwin atau tempoh perkahwinan yang masih baharu. Ini kerana, tempoh ini yang dikatakan sebagai Musim Cinta Sayang, pasangan masih lagi teruja untuk membina kebahagiaan bersama. Baik dan buruk pasangan masih lagi boleh diterima. Jadikan KPI ini sebagai satu muhasabah bersama dengan meletakkan apa yang diharapkan dapat dilakukan dan perkara yang perlu dielakkan dalam membina kebahagiaan. Mudah-mudahan ia membantu kita untuk terus memburu kebahagiaan yang abadi.
Mardiana Mat Ishak,
Pensyarah dan Penulis Buku “Bahagianya menjadi Pengantin Sepanjang Masa” (PTS-2011)
Friday, August 26, 2011
Syawal yang sangat Istimewa dan Bermakna
30 Ogos dan 31 Ogos 2011 kali ini kita bakal bergembira untuk menyambut 2 KEMERDEKAAN di bulan Syawal yang mulia. Tetapi saya, insyaAllah akan menyambut 3 kemerdekaan serentak.. :)
Kemerdekaan kita sebagai rakyat Malaysia untuk Negara tercinta yang ke-54! MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!. Semangat merdeka dan berbangga sebaga rakyat Malaysia perlu ada sekalipun ia sedikit sebanyak telah terkena tempias kurang diberi perhatian dek Raya Aidilfitri yang bakal menjelang. Hayati dan fahami erti kemerdekaan sebenar Negara dan jasa serta pengorbanan para pejuang kita.
Kemerdekaan kita sebagai umat Islam setelah berjaya bertarung dengan hawa nafsu dalam memenuhi tuntutan agama. ALLAHUAKBAR! ALLAHUAKBAR! ALLAHUAKBAR! WALILLAHILHAMD. Betapa beruntung bagi mereka yang telah berjaya dan merdeka dalam mengerjakan Ibadah Puasa. Betapa ruginya bagi insan yang masih leka dibuai mimpi indah dalam kehidupan dunia yang hanya sementara. Ramai dikalangan umat Islam (yang tertera Islam di dalam Mykad) masih tidak berpuasa, masih tidak bersolat, masih membuat maksiat dan terus melupakan pahala sebagai point untuk Akhirat. Na’uzubillahiminzalik. Allah, semoga Allah memberi hidayah buat kita dan mereka. Doakanlah mudah-mudahan kita tergolong dikalangan hamba-hamba Allah yang Soleh dan Bertaqwa seterusnya melayakkan kita untuk bertemu dengan Rasulullah SAW dan melihat wajah Allah, pemilik segalanya…
Apa yang paling menggembirakan saya dan suami, insyaAllah 30 Ogos dan 31 Ogos 2011 kali ini merupakan anniversary perkahwinan kami yang ke – 5!!.. ALHAMDULILLAH! ALHAMDULILLAH! ALHAMDULILLAH!. Alhamdulillah, syukur di atas nikmat Allah. Usia Perkahwinan yang masih bertatih selama 5 tahun ini kami telah direzekikan dengan 2 hero, Uways ( bakal 4 tahun), Umayr (1 tahun 6 bulan). Semoga Allah terus memberikan kami kekuatan untuk menjalankan amanah sebagai Suami dan Isteri serta amanah sebagai ibubapa untuk mendidik dan melahirkan generasi umat Islam yang Soleh dan Bertaqwa. Himpunkan kami untuk terus kekal Bahagia sehingga ke SyurgaMu..Amiin, insyaAllah..
Ramadhan ditangisi, Syawal dinanti.. :( (Ramadhan Kami)
<!--[if gte mso 9]> Normal 0 false false false EN-US X-NONE AR-SA MicrosoftInternetExplorer4 Sebelum ke Masjid (malam pertama tarawikh-sangat excited 2 hero ni)
Sepanjang Ramadhan kali ini, 2 kali saya ke Bazar Ramadhan, itupun hanya sekadar membeli Vadee & Masalodeh kegemaran Abi (yang dekat Greenwood). Kurang berselera untuk membeli juadah yang lain. Lebih baik menyediakan juadah iftar sendiri. Walaupun yang simple-simple sahaja. Takut (ragu-ragu) juga apabila melihat cara orang yang menjual. Berhati-hatilah kita dalam membeli “santapan fizikal” kerana ia mempengaruhi “santapan rohani”. Seperti nasihat Prof. Muhaya dan Bak kata Abi, “takut kalau makanan yang dibeli itu disediakan oleh mereka yang tidak bersolat dan menutup aurat”. Tetapi saya yakin dan percaya, dari penampilan dan kebersihan si penjual itu, kita (saya dan saudara yang membaca ini) sebagai manusia biasa yang serba kekurangan, tidak mampu menilai manusia,namun boleh berfikir secara waras dalam aspek ini..
Sedih rasanya untuk meniggalkan bulan yang penuh keberkatan dan rahmat ini.. Bulan untuk melatih diri untuk menjadi “hari ini lebih baik dari semalam”… Semoga kita diberi peluang oleh Allah lagi untuk bertemu dengan Ramadhan pada tahun hadapan..
Biasanya kami sekeluarga akan bersolat tarawikh di Masjid UIA. Itupun kalau Abi tidak ada kuliah. Kalau tidak, Uways dan Umayr lah ahli jemaah tetap Ummi (yang akan “membuat onar” di dalam bilik…hehe)
Subscribe to:
Posts (Atom)