Friday, November 12, 2010

3 sebab kenapa blog saya ini sunyi sepi..


Assalamualaikum wbt buat pembaca blog atau rakan-rakan yang membaca. Saya tidak pasti tulisan atau cerita saya ini sentiasa diikuti atau hanya secara kebetulan (berdasarkan rating-kadang-kadang tak sampai sepuluh pun..hehe). Adakah mereka diluar sana yang setia menanti posting terbaru dari saya? Kahkahkah..pastinya tidak saya rasa. Saya bukan seorang selebriti atau mereka yang terkenal..Hanya berkongsi dengan rakan-rakan atau mereka yang mengenali..

Lama sungguh saya tidak mencoretkan sesuatu di blog ini. Hmm..Entahlah, saya sebenarnya menjadi serba salah. Banyak benda dan perkara yang perlu dilakukan dan banyak juga perkara yang ingin dicoretkan. Kadang-kadang apabila mood ingin menulis di blog datang, tetapi ada kerja serta urusan lain yang perlu didahulukan, maka, blog terpaksa dianaktirikan.

Perasaan serba salah itu datang juga disebabkan masa yang begitu singkat dirasakan. Masa perlu diperuntukan untuk perkara yang lebih memerlukan saya untuk memberi fokus kepadanya.

Secara ringkasnya sebab utama blog ini sunyi adalah disebabkan:

1) Amanah Lama dan Baru

Saya baru berpindah dari Pusat Asasi UIAM PJ ke UIAM Gombak. Sebelum ini, amanah saya sebagai fellow Mahallah Zainab al-Jahsy untuk satu semester, Chief Fasilitator untuk Fardhu Ain, serta Asst. Course Coordinator for Sciences Programme.

Oktober 2010 adalah bulan terakhir saya berkhidmat di Matrik UIAM. Amanah baru pula sebagai Asst. Coordinator / Chairperson untuk Language Enhancement Program (Quranic Language) di Celpad Gombak. Saya bertanggungjawab untuk merangka program atau aktiviti pelajar untuk Bahasa Arab di Celpad, UIAM Gombak. Mudah-mudahan Allah permudahkan segala urusan saya disini.

2) Buku Sulung

InsyaAllah impian serta cita-cita saya untuk menjadi seorang penulis akan terealisasi tidak lama lagi. InsyaAllah akan saya maklumkan didalam blog ini. Itulah antara sebabnya masa untuk menulis diblog terpaksa diabaikan.

3) Mood dan Masa

Apa yang boleh saya ringkaskan, sekalipun mood datang, tetapi masa singkat yang ada terpaksa saya gunakan untuk aktiviti lain. Selalu juga terfikir, bestnya kalau ada ipod / gadget canggih yang boleh saya ‘link’kan terus apa yang ingin katakan walaupun ketika sedang menunggu suami. Tetapi apakan daya.. Perlu menjadi orang kaya lah jawabnya.. Hmm bersyukur dengan handphone yang ada. Walau hanya boleh menelefon dan bermesej sahaja. Hahaha…

Sehingga bertemu lagi…Salam dari saya.. :)

Friday, September 3, 2010

Perjalanan Bermula.. (Haramian 2)

24 Ramadhan 1431H, 3 September 2010.

Saat dan ketika ini, hati dan perasaan terasa rindu yang mendalam pada Makkah al-Mukarramah dan Masjid Nabawi Madinah al-Munawwarah.

Pada tarikh ini kami sibuk membuat persiapan untuk ke sana mengerjakan Umrah. Masih jelas terbayang segala cabaran dan dugaan untuk kesana terutamanya untuk meminta pelepasan bercuti.

Segala catatan disini adalah imbauan kenangan ketika kami bertiga sama-sama diizinkan Allah untuk merasai kenikmatan, cabaran dan dugaan dalam mengerjakan ibadah puasa di penghujung Ramadhan dan merasai suasana Syawal di sana pada September dan Oktober 2009.


Perjalanan bermula (haramain-2)

KLIA- BANGKOK

Agak letih. Saya dan suami turut risau dengan keadaan saya yang berbadan dua. Waktu itu 4 bulan. Menaiki pesawat yang mempunyai banyak transit dan memerlukan kekuatan untuk berjalan. Juga waktu berada di Makkah untuk mengerjakan Umrah. Hanya kekuatan dan bantuan dari Allah yang dipinta agar segala-galanya selamat.

Sejurus tamat waktu kerja. Dalam lepas zohor, kami berangkat ke KLIA. Paklong dan Maklong (sebelah suami) serta adik beradik suami saya mengiringi kami ke KLIA. Perasaan takut, risau dan gembira menyelubungi.

Menanti saat berbuka puasa bersama, Uways Nampak gembira sangat bermain dengan sepupunya Umaymah. Si kecil Uways yang ketika itu berusia 2 tahun masih belum mengerti perjalanan jauh kami sebenarnya.


Video: Sebelum berbuka puasa menunggu Abi check in barang-barang dan sebagainya.

“Uways, Uways nak pergi Makkah ni. Allah sayang Uways, Allah ajak Uways pergi ke Makkah”. “Kejap lagi Uways akan naik Aeroplane, best tak?”. Uways mengangguk dan mengatakan, “Best!!”. Selama ini hanya melihat dari kejauhan. Saya juga begitu, belum pernah berpengalaman menaiki kapal terbang dalam perjalanan yang jauh. Setakat KL-Alor Setar sahaja yang pernah. Itupun sekali sahaja ketika pulang menghadiri temuduga di USIM dalam keadaan berpantang. Uways belum cukup dua minggu lagi waktu itu juga turut bersama saya.

Setelah berbuka puasa yang dibelanja oleh Paklong, kami memasuki terminal pelepasan pada jam 8.00 malam. Flight dari KLIA ke Bangkok pada jam sejam dari sekarang. Ketika kami berjalan menghampiri kaunter, Uways dengan gembiranya melambai-lambai tangannya kepada Umaymah dan ahli keluarga yang lain, malah turut dibalas Umaymah dengan lambaian dan jeritan.

“Bye bye!!! Bye bye!!!”..Assalamualaikum..!!!. Jerit Uways.

Saya?. Gembira, Sedih, Teruja bercampur baur menjadi satu perasaan yang sukar untuk diterjemahkan…

Tuesday, August 31, 2010

For the Rest Of My Life...








Lagu ini ditujukan khas buat suami tercinta..

2006

2007

2010

Alhamdulillah, 31 Ogos 2006-31 Ogos 2010 genap 4 tahun kami melayari bahtera rumahtangga bersama..

Ya Allah kekalkan kami bersama sehingga ke Syurga bersama limpahan Rahmat, Kasih sayang dan Keberkatan dariMu ..Amiin..

Salam Ramadhan.. Salam Merdeka yang ke 53!!

Salam Ramadhan..Salam Merdeka yang ke 53!!..

(sumber gambar:cangkulhijau)


Banyak perkara yang ingin ditulis. Banyak perkara yang ingin dikongsi. Namun atas kekangan masa dan timbunan kerja yang tiada kesudahan, terpaksalah menganaktirikan blog ini sebentar.





Di kesempatan ini, (walaupun Ramadhan telah memasuki fasanya terakhir), saya ucapkan Selamat meneruskan Ibadah di dalam Madrasah Ramadhan.




Didoakan agar kita semua beroleh Lailatul Qadar insyaAllah dengan momentum taqwa yang tinggi dan amalan baik yang berterusan. Mudah-mudahan insyaAllah..

Thursday, August 5, 2010

Muslimah Attire: Old Fashion or Trendy?

Jom lihat video ini:
“Muslimah Attire: Old Fashion or Trendy” merupakan tajuk kepada talk yang telah diberikan kepada saya sempena Aurah Awareness Campaign oleh Mahallah Zainab al-Jahsy, Pusat Asasi UIAM PJ. Talk tersebut Alhamdulillah telah disampaikan pada hari Khamis, 29 Julai 2010, jam 9.00pm di Al-Malik Faisal Hall (AMF), Pusat Asasi UIAM PJ.


Saya telah dimaklumkan dua minggu awal oleh Mdm Asmeza Arjan a.k.a Kak Mimi, Principal Mahallah Zainab al-Jahsy tentang talk tersebut. Kemudian saya berurusan pula dengan committee Biro Disiplin, Mahallah Representative Council (MRC) Mahallah Zainab al-Jahsy.

Saya juga dimaklumkan oleh kak Mimi bahawa talk ini juga untuk memperkenalkan saya sebagai fellow baru bagi Mahallah Zainab. Saya menyambut jemputan dengan perasaan hati yang terbuka dan berlapang dada. Saya bukan sahaja dapat menyampaikan dan berkongsi sesuatu yang sangat berharga dan bernilai untuk seorang wanita/ muslimah, malah dapat juga saya bertemu mata bersama adik-adik Mahallah terutamanya.

Talk yang disampaikan selama 1 jam 15 min diselang selikan dengan slide yang telah saya sediakan. Talk ini di dalam Bahasa Melayu kerana semuanya adalah Melayu. Procedure UIAM untuk segala urusan yang berkaitan dengan pelaksaan mestilah di dalam Bahasa Inggeris (iaitu working paper dsb). Ada sedikit gementar di hati sebenarnya kerana ini merupakan kali pertama saya menyampaikan talk di dewan AMF. Dewan yang suatu ketika dahulu biasanya saya yang menjadi committee dan mendengar talk, tetapi kali ini sebaliknya pula. Mencabar juga sebenarnya dalam usaha untuk memberikan yang terbaik kerana isu aurat dan tudung ini adalah sesuatu yang orang sedia maklum. Tetapi, Alhamdulillah segalanya berjalan lancar.

Apa yang boleh saya simpulkan di sini, bahawa sesungguhnya Rahmat Allah sangat luas kepada hamba-hambanya. Betapa Allah sangat memahami kita. Allah tidak meletakkan uniform khusus dalam pemakaian seorang Muslimah, contohnya warna pakaian mestilah hitam sahaja atau labuh hijab sebagaimana kita (orang Melayu khususnya) bertelekung sembahyang. Sebaliknya Allah hanya meletakkan “limitation” di dalam berpakaian. Sebagaimana Firman Allah di salam surah–An-Nur: 31

• “Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung kedadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau Saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau budak- budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. dan janganlah mereka memukulkan kakinyua agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.”



• Rasulullah SAW ada menyatakan dengan maksudnya: “ akan muncul dalam kalangan umatku di akhir zaman, kaum lelaki yang menunggang sambil duduk di atas pelana, lalu mereka turun di depan pintu-pintu masjid. Wanita-wanita mereka( isteri mereka atau anak perempuan), berpakaian tetapi seperti bertelanjang ( nipis&ketat). Di atas kepala mereka pula(wanita) terdapat bonggolan (sanggul atau tocang) seperti bonggol unta yang lemah gemalai. Oleh itu laknatlah mereka semua. Sesungguhnya mereka adalah wanita-wanita yang terlaknat”
Hadith Riwayat Ahmad, jil.2, ms. 223.

Untuk berfesyen macam mana sekalipun, asalkan menepati sebagaimana yang Allah berikan dan Rasulullah SAW sampaikan. Iaitu:

1) Menutupi dada (atau lebih spesifik: dot dot).

2) Hanya menzahirkan muka dan tangan (tangan dari pergelangan tangan sehingga ke jari, bukan dari bahu tangan sehingga ke jari).

3) Pakaian itu dipastikan tidak ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh badan, apatah lagi bentuk punggung, bentuk kaki dan sebagainya.

4) Tidak melampau-lampau sehingga boleh menarik perhatian.

Wallahua’lam. Banyak lagi yang dikongsi sebenarnya terutamanya dalam isu tudung trendy Arab Style lah, Syria Style lah dsb (tetapi kalau daripada hadis itu pun sudah jelas hukumnya). Cukup sekadar ini yang ditulis.

Berbanggalah kita dengan status diri sebagai seorang Muslimah. Jaga diri dan hiasi peribadi dengan akhlak yang terpuji.

Bergambar bersama Principal dan beberapa orang MRC Mahallah Zainab al-Jahsy



1 Muslimah:

Kecantikan didahulukan, Syariat diutamakan… :)

Monday, July 19, 2010

Tetamu dari Jordan

Alhamdulillah pada 15 Mei 2010 yang lalu saya menerima dua orang tetamu, sahabat saya dari Jordan; Reem Turk dan rakannya. Saya mengenali mereka ketika menghadiri Conference di University of Jordan pada 27-29 Oktober 2009.


Ketika di Jordan, saya mengandung Umayr 4 bulan. Banyak pengalaman yang diperolehi ketika disana.
Mereka pernah maklumkan bahawa mereka akan menyambung pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia tidak lama lagi. Kali kedua bertemu ketika menghadiri Conference di UIAM pada bulan December tahun 2009.
Mereka datang untuk menziarahi kami anak beranak. Jenuh juga memikirkan juadah apa yang ingin dijamu. Jadi saya memasak Nasi Ayam. Makanan Malaysia yang menepati selera ramai.


Perancangan asal mereka ingin datang seminggu sebelumnya, tetapi disebabkan kekangan masa dan waktu yang tidak mengizinkan, ziarah mereka tertunda sehingga 15 Mei 2010. Saya sebenarnya ingin mengambil mereka di kediaman mereka di Putra Villa, tetapi mereka tetap berkeras untuk tidak mahu menyusahkan saya. Tetapi untuk pulang, saya pula berkeras untuk menghantar mereka. Terima kasih ya Allah atas kurniaan pertambahan kenalan seislam ini.

Sunday, May 16, 2010

Cinta Adam Maya vs Cinta Adam Hawa

Kisah Adam Maya







Hendak dikatakan mengikuti seratus peratus cerita slot Akasia drama bersiri TV3, Adam Maya tidaklah sangat. Hanya jika berkesempatan, sambil melipat baju, berehat, atau menjeling-jeling tengok ketika memasak.

Kisah Adam Maya memberi satu gambaran yang jelas banyak kisah pergolakan rumahtangga yang berlaku kesan gangguan pihak ketiga. Tetapi gangguan pihak ketiga juga tidak akan berterusan jika hanya sebelah pihak sahaja yang bertepuk sebelah tangan. Kes yang biasa berlaku adalah sikap suami yang bermain kayu tiga dibelakang isteri. Kisah Adam Maya pula adalah sebaliknya.


Kisah Adam Maya menceritakan sikap isteri yang bermain kayu tiga dengan bekas teman lelakinya. Walaupun Maya telah dijodohkan dengan Adam. Maya masih ‘melayan’ bekas teman lelakinya yang juga telah berkahwin dan mempunyai anak. Dani yang tidak bersyukur kerana telah berkeluarga menghabiskan banyak masa dan tenaga dalam usaha memiliki kembali Maya.
Dia lupa bahawa dia hanya bermain dengan alam maya sahaja. Segala-galanya yang dilakukan hanya untuk sesuatu yang bersifat ilusi dan fantasi bukannya realiti. Realitinya dia telah berkeluarga. Keluarga yang sepatutnya diberi komitmen sepenuhnya.
Kecurangan yang sering berlaku antara pasangan adalah disebabkan faktor diri sendiri. Mahu atau Tidak. Setiap pasangan perlu memahami batas pergaulan yang sepatutnya. Sebab itulah pentingnya setiap pasangan perlu saling melengkapkan diri dengan ilmu agama.
Ukuran mendidik dengan ilmu agama bukan hanya sekadar pandai bersolat tunggang terbalik dan pandai mengaji sahaja. Malah lebih dari itu. Bahkan mencari dan terus mencari ilmu perlu berterusan.
Faktor melengkapkan diri selepas berkahwin itulah yang lebih utama. KESEDARAN serta KEMAHUAN untuk berubah menjadi lebih baik. Dari solat tidak cukup, cukupkan solat 5 waktu, dari solat berseorangan solat secara berjemaah, dari sikap panas baran belajar untuk banyakkan bersabar.

Penulis novel terkenal Indonesia, Habiburrahman El-Syirazi pernah menjelaskan bahawa pentingnya faktor Misi dan Visi yang seiringan antara suami dan isteri dalam mengemudi rumahtangga.
Pengakhirannya adalah untuk menjadi hamba Allah yang Soleh. Jika berlainan Misi dan Visi, akibatnya akan musnahlah perkahwinan tersebut. Seorang Soleh@Solehah(baik) yang seorang lagi Toleh@Tolehah (jahat).
Namun tidak semua orang bernasib baik. Bagaimana pula jika sekiranya sudah puas berdoa tetapi masih mendapat suami yang tidak penyayang, tidak beragama?.


Yakinlah bahawa setiap ujian yang Allah berikan itu banyak hikmah yang lebih besar terselindung disebaliknya. Tuan empunya badan lebih memahami. Allah tidak akan memberikan sebarang ujian berat keatas hamba-hambanya melainkan dengan kemampuan dirinya sendiri. Allah lebih memahami kebaikan yang akan diberikan untuk hamba yang dikasihinya.




Sebagaimana Allah memberi jaminannya kepada mereka di dalam surah al-Baqarah ayat 286,


((لاَ يُكَلِّفُ اللهُ نَفْسًا إِلاَّ وُسْعَهَا ))
“Allah tidak memberi bebanan kepada seseorang hamba melainkan apa yang terdaya olehnya” .







Bahkan sesuatu ujian yang diberikan oleh Allah itu boleh jadi dari ujian yang baik atau yang buruk.




Di dalam Lisanu al-‘Arab, Ibn Manzur telah menyatakan bahawa bala’ merupakan ujian samada yang baik atau yang buruk. Allah juga telah menjelaskan perkara tersebut didalam surah al-Anbiyaa’;



(( وَنَبْلوكُمْ بٍالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً وَإِلَيْنَا تُرْجَعُوْنَ ))




“Dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai dugaan; dan kepada Kami-lah kamu semua akan dikembalikan". [Al-Anbiyaa’: 35]


Sebenarnya Allah ingin menguji hambanya dengan setiap musibah atau nikmat untuk melihat samada kita bersyukur atau kufur, kita sabar atau putus asa sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Al-Hafiz Ibn Katsir.


Menurut tafsiran pada ayat tersebut daripada Ibnu ‘Abbas bahawa Allah menguji hamba-hambanya melalui pelbagai cara. Dengan kecelakaan dan kesenangan, dengan kesihatan dan kesakitan, dengan kemewahan dan kemiskinan, dengan ketaatan dan kemaksiatan dengan perkara yang halal dan yang haram, serta dengan hidayah dan kesesatan. [Tafsir al-Quran al-‘Adzim, Ibn Katsir, Abu al-Fida’.]



Kisah Adam Hawa




“Kisah Adam dan Hawa sering dijadikan ikon cinta sesama manusia. Buktinya lagu Cinta Adam dan Hawa hasil nyanyian Misha Omar”. Kata seorang teman.
Saya sekadar membalas, "Ikon tunjuk jalan yang betul buktinya Cinta Adam dan Hawa kekal ke akhirnya dan kena dengan garis panduan syariat akan tetapi cinta kita pula bagaimana?".

Kisah suami isteri yang seiring dan sejalan dalam melayari kehidupan berumahtangga. Hasil Cinta Adam dan Hawa lahirnya dan membiaknya anak cucu cicit Adam dan Hawa yang berbilang bangsa, agama.
Sama-sama berdoa memohon keampunan dari Allah kerana telah menzalimi diri sendiri. Sama-sama telah melanggar larangan Allah dari memakan buah pohon Khuldi.



قَالَا رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا وَإِنْ لَمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ
“wahai tuhan kami! kami telah menganiaya diri sendiri,
dan jika engkau tidak mengampunkan kami
dan memberi rahmat kepada kami,
maka jadilah kami daripada golongan orang-orang yang rugi”

-Al A’raaf: 23

Kesan daripada taubat dari kesilapan yang telah mereka lakukan telah menjadikan diri mereka hamba-hamba Allah yang soleh. Belajar dari kesilapan untuk menuju kebaikan. Takut untuk menghadapi lagi sebarang kemurkaan.

Bagaimana pula dengan diri kita? Apakah kesilapan yang telah dilakukan menjadi titik permulaan bagi sebuah kehidupan yang lebih baik dan diredhai. Atau kesilapan tersebut menjadi titik noktah tanpa penambah baikan bagi episod sebuah kehidupan yang dimurkai?.


Kisah percintaan dan rumahtangga manakah yang ingin dijdikan
panduan?
Kisah Adam Maya atau Kisah Adam Hawa?

Tuesday, May 4, 2010

Anak-anak; Anugerah dan Amanah

“Sayang cuba teka dengan siapa abang berforum tadi?”. Tiba-tiba suami mengajukan soalan sewaktu beliau menghubungi saya sejurus tamat forum di Universiti Malaya pada28 Mac 2010 yang lalu. Ketika itu saya cuti berpantang di Alor Setar. Memang setiap malam beliau akan menghubungi saya. “Hmm forum di UM pasal Cinta Nabi, mesti dengan abang Hasrizal (Ustaz Hasrizal) kan?. Ustaz hasrizal merupakan seniornya sewaktu di Izzuddin Shah. “Pandailah isteri abang ni teka”, Mulalah si suami bergurau. “hehehe..biasalah..chewah”.


Buku yang diberi percuma. Saya juga mendapat manfaat daripadanya.



Banyak perkara yang dikongsi bersama saya, terutamanya dalam bab mendidik anak-anak. Kadang-kadang perasaan takut menyelubungi diri terutamanya dalam menelusuri sebuah perjalanan yang panjang dalam mendidik anak-anak. Suami dan isteri perlu sama-sama seiringan dalam membentuk mereka.

Saya masih ingat sepertimana yang Ustaz Hasrizal pernah menyebut, “biar mereka menangis sekarang daripada kita menangis kemudian”. Dalam bab menonton TV misalnya, kadang-kadang ibubapa merasakan dengan membuka siaran kartun menjadikan mereka “duduk diam”. Mereka tidak tahu memilih. Ibubapa yang sepatutnya memilih siaran untuk mereka. Banyak aksi-aksi kartun yang sebenarnya mendidik mereka menjadi seperti kartun. Aksi melompat, memukul dan sebagainya. Dalam usia 1 tahun sehingga 5 tahun adalah waktu yang paling kritikal dalam membentuk peribadi mereka.


Sekalipun kita menjaga dalam bab menonton TV, tetapi kemungkinan ruang untuk mereka terikut-ikut dengan kawan-kawan masih luas terbuka. Saya sringkali termenung memikirkan amanah besar yang dipikul dalam mendidik mereka. Saya takut dengan tahap kesabaran yang ada. “Hanya padaMu ya Allah aku memohon kesabaran dan ketabahan dalam mendidik anak-anak menjadi insane Soleh yang bermanfaat untuk ummat dan Islam”.


Saya ingin berkongsi dengan tetamu ziarah sekalian persoalan dalam mendidik anak-anak yang saya lontarkan berkenaan mendidik anak-anak kepada Prof. Dr. Sidek Baba sewaktu beliau membentangkan tajuk “The Role of an outstanding Murabbi in realizing Islamization of Knowledge”. Ketika saya berkampung di Felda Residence Trolak menghadiri kursus Ta’aruf and Intellecual Discourse (TIDE) pada 12-15 April 2010. Walaupun soalan saya agak sedikit tersasar daripada topik yang dibentangkan, namun saya tidak ingin melepaskan peluang dalam mengambil nasihat daripada seorang yang sangat berpengalaman. Saya ingin menjadi Murabbi kepada anak-anak saya dahulu sebelum saya menjadi Murabbi kepada anak-anak orang lain.


Di dalam mendidik anak-anak beberapa perkara perlu dititikberatkan oleh ibubapa, iaitu:


1) Tunjukkan kepada mereka “the real term” di dalam Islam contohnya Solat, bukan sembahyang, Rasulullah sebagai Qudwah.


2) Mulakan daripada peringkat umur yang masih muda.


3) Tunjukkan kepada mereka perkara-perkara yang elok dari aspek sikap dan cara kita.


4) Husband and wife relation. Biar mereka Nampak yang zahir dihadapan mereka sebuah keluarga yang baik, solehah, elok. Hubungan antara bapa dan ibu akan membentuk peribadi mereka. Mereka adalah apa yang mereka lihat.


Amanah Allah dalam mendidik anak-anak menjadi muslim yang sejati amat berat dan memerlukan tahap kesabaran dan ketabahan yang tinggi. Apakah kita hanya sekadar inginkan anak-anak yang cemerlang di dalam pelajaran tetapi hancur di dalam akhlak dan kelakukan? Nau’zubillahiminzalik. Ya Allah jadikan anak-anak kami penyejuk mata dan penawar hati kami, anak-anak yang Soleh berguna untuk masyarakat dan Islam.

Thursday, April 29, 2010

Sekalung Doa dan Segunung Harapan buat Sahabat..

Alhamdulillah 2 hari selepas tamat tempoh berpantang, saya berkesempatan menziarahi sahabat lama saya, juga merupakan adik kepada kakak ipar saya, ibu kepada anak susuan saya, Nurulazani binti Ahmad Ludin.

Pilu hati saya melihat keadaan fizikal beliau. Simpati kepada keadaannya. Nikmat sihat yang Allah ambil sedikit daripadanya. “Ya Allah sembuhkanlah segera sahabatku ini..”. Hati kecil saya berbisik. Azani tidak sesihat dan seceria dahulu. Kalau dahulu ketika di kampus badannya agak berisi, kali ini mengalami kesusutan yang teramat dahsyat.

Badannya kurus kering. Mukanya cengkung. Apakan daya, beliau kurang selera makan. Tambahan pula “beg kumbahan” terpaksa disambung dengan usus yang diletakkan dipinggang.

Untuk pengetahuan sahabat-sahabat yang masih belum mengetahui, Azani telah mengalami ketumbuhan di dalam usus beliau. Ketumbuhan tersebut hanya diketahui setelah beliau melahirkan anak pada Januari 2010 yang lalu. Tanda-tanda ketumbuhan didalam usus yang tidak diketahui terselindung disebalik masalah kesihatan yang lain (angin di dalam badan, sakit perut apabila makan makanan pedas, malah doktor hanya mengatakan bahawa ia hanyalah gastrik dan buasir).

Beliau menyampaikan salam pada sahabat-sahabat yang lain. Sama-sama kita doakan agar beliau kembali pulih seperti sediakala. InsyaAllah..


Umayr (kanan) bersama kakak susuannya Amni (anak Azani). Waktu ini usia Umayr baru sehari dan Amni sebulan lebih.

Wednesday, March 17, 2010

Dedikasi Khas buat Suami tercinta

Pada tahun 2004 (21 tahun) saya telah menulis satu puisi tentang lelaki (yang diolah dari puisi wanita di akhir zaman ini). Ketika itu kerisauan dalam hadirnya seorang lelaki untuk dijadikan suami. Risau jika tersalah dalam membuat pilihan.

Lelaki diakhir zaman ini..

Kuberfikir..
Lelaki diakhir zaman ini
Payah untuk kutemui
Yang
benar-benar sibuk
dengan urusan baiki diri
Yang ada kini hanya
Sibuk
dengan urusan mengumpul dunia
Walau diketahui dunia ini hanya penuh tipu
daya

Keberfikir..
Lelaki diakhir zaman ini
Susah untuk kutemui
Yang benar-benar takut pada Ilahi
Sentiasa mendambakan kasih Ilahi
Yang ada hanya mengharapkan kasih insani
Yang melalaikan orang dan diri
sendiri

Kuberfikir..
Lelaki diakhir zaman ini
Sukar untuk
kutemui
Ahli profesional yang bertaqwa
Yang benar-benar meletakkan Islam
dijiwa
Menggunakan profesionnya sebagai matlamat keakhirat sana
Yang ada
hanya ahli profesional yang lalai dan leka
Yang hidupnya lebih berat dari
barat
Ibadah dan amal terasa amat berat

Kuberfikir..
Lelaki
diakhir zaman ini
Payah untuk kutemui
Yang sentiasa bergelumang dengan
majlis ilmu yang bermanfaat
Yang sanggup bersusah dan penat
Dalam
mengejar dan memahami ilmu yang berkat
Yang ada kini hanyalah berbangga
dengan ijazah yang ada
Tapi ilmu fardhu ainnya kosong belaka

Kuberfikir..
Lelaki diakhir zaman ini
Susah untuk kutemui
Yang suka berbincang tentang ilmu akhirat
Syahid yang sentiasa menjadi
matlamat
Mensyiarkan Islam dan menjunjung syariat
Yang ada cuma
menghidupkan sunnah barat
Dan melupakan kehidupan akhirat

Kuberfikir..
Lelaki diakhir zaman ini
Sukar untuk kutemui
Yang sentiasa bermunajat dan berzikir
Sentiasa bertafakkur dan berfikir
Sunnah Rasulullah cuba dipahat dan diukir

Namun kutetap berfikir..
pasti masih ada lagi
Lelaki diakhir zaman ini
Seperti yang kufikir..


Mardiana Mat Ishak
UIAM (2004)


Namun, Alhamdulillah saya bersyukur dengan jodoh yang telah diberikan Allah. Pemberian seorang teman yang saya tafsirkan sebagai “pasti masih ada lagi lelaki diakhir zaman ini seperti yang kufikir”. Antara cirri-cirinya, saya inginkan seorang suami yang beragama, berilmu, penyayang, memahami dan boleh dijadikan teman susah dan senang.


Beragama: Agar saya dapat bersamanya mencari dan mendapat redha Allah dalam perjalanan menuju syurgaNya.

Berilmu: Agar saya dapat manfaat dari ilmunya malah boleh berkongsi bersamanya.

Penyayang: Agar saya dapat merasai kebahagiaan dan kasih sayang seorang teman yang bernama suami dan ayah kepada anak-anak kami. Saya ingin menjadi isteri dan ibu yang solehah dengan redha, bantuan dan nasihat daripadanya.

Persoalan siapa dan bagaimana jodoh saya terjawab akhirnya..Alhamdulillah. Mohd. Khairul Nizam bin Zainan Nazri adalah suami kepada Mardiana binti Mat Ishak.

18 Mac 2010 genap usia suami 30 tahun. Alamak! Dah 30 tahun??. Cepatnya masa berlalu.. Selamat ulangtahun kelahiran yang ke 30 untuk abang tersayang. Semoga Allah memakbulkan segala impian dan cita-citamu.. Amiin..

Abang ketika menerima ijazah MA di UIAM



Terima kasih untuk Abah (Tn. Haji Zainan Nazri) dan Mak (Hajah Fathilah) atas didikan sempurna yang telah diberikan kepadanya. Semoga segala bekalan didikan yang telah diberikan dapat disalurkan kepada anak-anak kami pula. Menjadi insan yang berilmu, beriman, bertaqwa, dan bermanfaat untuk ummat dan Islam. Amin, insyaAllah.

Ingin saya berkongi satu Hadis buat ingatan untuk diri sendiri serta buat para isteri atau yang bakal bergelar isteri. Kesetiaan seorang isteri kepada suami merupakan salah satu pintu syurga bagi seorang isteri.

Di dalam sebuah Hadis Sahih, Rasulullah saw bersabda kepada Asma’ binti Zaid,


“Perhatikanlah bagaimana sikapmu kepadanya. Dia adalah
Syurgamu dan Nerakamu”.

(HR Ahmad dan Nasae’i)

Kedudukan suami keatas isteri sangat tinggi dan mulia. Menjaga perasaannya ketika marah atau gembira adalah sesuatu yang perlu dilakukan oleh wanita atau Muslimah yang ingin masuk ke syurga. Semoga kita semua dapat menjadi penghuni syurgaNya. Amin, InsyaAllah.

Tuesday, February 23, 2010

Jemputan Umrah (Haramain-1)


Setelah hampir 6 bulan meninggalkan kenangan-kenangan manis yang cukup berharga semasa berada di Haramain (Makkah dan Madinah) baru kali ini saya berkesempatan untuk mencoretkan sesuatu sebagai satu diari kenangan yang ingin dikongsi bersama. Agar ianya tidak hilang begitu sahaja.

Tiada perasaan yang dapat dilafazkan melainkan rasa syukur yang tidak terhingga kepada Allah atas keizinanannya untuk menjadi tetamNya, lebih-lebih lagi pada waktu kemuncak 10 Ramadhan terakhir.

Hanya pernah berniat suatu hari nanti insyaAllah kami akan pergi mengerjakan Umrah bersama. Saya dan suami, dan jika ada rezeki bersama anak-anak. Namun, tidak pernah terfikir kami tiga beranak dapat pergi ke sana dalam masa terdekat ini. Semuanya berlaku secara terus. Kami membeli rumah dan mula memasuki rumah baru pada bulan Jun 2009, seterusnya bulan September 2009 dapat pergi mengerjakan Umrah.

Hanya Allah yang maha mengetahui. Percayalah bahawa rezeki itu adalah urusan Allah. Memang sedia maklum bahawa mengerjakan Umrah pada bulan Ramadhan terutamanya pada 10 Ramadhan terakhir memerlukan kos yang agak besar. Malah seakan-akan kos mengerjakan Haji.

Saya pernah terbaca iklan Umrah pada bulan Ramadhan adalah antara RM 7,000- RM10,000 seorang. Ini bermakna, kalau difikirkan logik akalnya, jumlah kami 3 beranak adalah sebanyak lebih kurang RM 20,000. Namun Alhamdulillah, tidak sampai sebanyak itu. Tapi tak perlulah saya nyatakan berapa disini.

Tetapi boleh dikatakan kami pergi dalam keadaan “koboi”. Tiada agen umrah yang diambil. Ini juga antara faktor yang telah mengurangkan perbelanjaan.

Tetapi risikonya, banyak transit yang perlu dilalui, namun, ia turut mengurangkan kos. Semuanya hanya dengan pengalaman suami yang pernah pergi mengerjakan umrah sebelum ini. Ini adalah Umrah pertama untuk saya dan Uways dan yang ketiga untuk suami.


Plan Asal.

Nak dikatakan secara kebetulan pun mungkin juga. Ini kerana perancangan asal adalah kami akan mengerjakan Umrah setelah tamat sesi pembentangan kertas kerja saya di Universiti of Jordan pada 28 -30 September 2009. Supaya saya tidak perlu memikirkan urusan pembentangan lagi dan saya boleh mengerjakan Umrah dengan lebih tenang.

Namun, setelah berbincang dengan rakan suami yang menguruskan Visa serta tiket penerbangan kami sepenuhnya, Saudara Farihal, bahawa tarikh untuk memasuki Makkah hanya dibenarkan pada bulan Ramadhan kerana kerajaan Arab Saudi akan membuat persiapan Haji bermula Syawal.

Plan bertukar untuk pergi lebih awal agar dapat kami mengerjakan Umrah dan kemudian baru selesaikan urusan pembentangan kertas kerja. Ini bermakna kami pergi mengerjakan umrah dan seterusnya ke Jordan selama seminggu bermula 27 September 2009.

Kemungkinan besar juga satu kebetulan, tarikh untuk saya pergi adalah tarikh sewaktu revision dan exam period di CFS IIUM. Alhamdulillah, saya telah mendapat pelepasan untuk pergi atas dua urusan, pertama untuk membentangkan kertas kerja dan kedua mengerjakan umrah. Itupun setelah mengharungi banyak dugaan dan rintangan untuk mendapatkan pelepasan dan sedikit pembiayaan dari UIAM untuk mereka yang membentangkan kertas kerja.

Fasa perjalanan kami adalah dari :

1- KLIA-BANGKOK-JORDAN-JEDDAH
2- JEDDAH-JORDAN
3- JORDAN-BANGKOK-KLIA


Gambar sebelum bertolak. Singgah di rumah ustaz Arif. Berada di KLIA dan memasuki balai berlepas sejurus berbuka puasa bersama. Beg yang dibawa telah dimuatkan dengan mampatnya agar tidak terlalu banyak.

p/s: Tarikh di Gambar tahun 2008 (terlupa untuk setting semula).




Bersambung…

Saturday, February 20, 2010

Our bundle of Joy!!!..

Alhamdulillah tanggal 13 Februari 2010 jam 5.19 pagi saya telah selamat melahirkan seorang lagi bakal pejuang Sunnah Rasulullah dan Islam. Khalifah kecil seberat 3kg di Pusat Perubatan ar-Ridzuan Ipoh Perak.

Rentetan kehadiran Imam kecil ini:
Jumaat (12 Februari 2010)
Jam 11.00 pagi.
Saya berjaya menyelesaikan segala kerja (1. menanda kertas jawapan pelajar dan mengisi kedalam online marksheet- peperiksaan akhir Bahasa Arab pada hari Khamis, dan hari Khamis itulah juga saya siap menanda kertas jawapan, 2. Menghantar report program Language Enhancement Program (LAC) ke Gombak, 3. Ke pejabat buku atas urusan).

Sebelum bertolak dari PJ ke Gombak (Uways ditinggalkan dahulu di IIUM Educare), saya terasa seperti “turun darah” yang menjadi salah satu tanda untuk bersalin. Agak panic sebenarnya kerana berbeza dengan Uways (pecah air ketuban). Saya sempat bertanyakan kak Zura tentang perkara tersebut. Maka atas nasihat Kak Zura, sepupu saya seorang doktor dan doktor yang akan menyambut baby agar segera dibuat pemeriksaan kalau-kalau jalan sudah terbuka.

Saya sangat risau dan “kecut perut” memikirkan banyak perkara lagi yang belum diselesaikan. Jangkaan bersalin adalah pada 28 Februari 2010 (kiraan kitaran haid) dan 19 Februari 2010 (tarikh pada scan). Baju saya, suami dan Uways yang belum berkemas, serta kereta baru kami yang dijangka akan diambil petang Jumaat ini. (Sudah bosan dengan karenah serta ragam kereta buatan Malaysia kami bertukar angin untuk mengambil kereta Toyota pula. Lebih terjamin kualitinya. Minta maaf bukan tidak menyokong kereta buatan Malaysia.)

Kami singgah ke klinik Hayati di Sri Gombak, Alhamdulillah masih belum terbuka jalan. Ini bermakna, insyaAllah mudah-mudahan kami sempat mengambil kereta petang ini dan bertolak ke Ipoh.

Solat Jumaat.

Selesai solat Jumaat di Masjid UIA, makan di Mok Ku Kafeteria di Econs (kali ini saya tidak lalu makan, saya hanya makan laksa (takut kempunan dalam pantang nanti) dan menjamah 2 mulut nasi suami. Kalau dulu suami yang banyak terkena panahan mengandung, tetapi kali ini baru saya merasakannya.

Kemudian terus ke Pj semula untuk mengambil Uways dan balik kerumah. Barang masih belum berkemas. Selesai solat Asar, salesman kereta telefon mengatakan bahawa kereta boleh diambil petang itu juga. Alhamdulillah hajat tercapai untuk mendapatkan kereta sebelum balik bercuti dan sebelum kehadiran orang baru.


Jam 6.00 petang.

(Dalam sakit-sakit pun masih sempat berposing.. :) )


Sejurus kereta diambil, kami terus ke Rawang untuk membuat sedikit penukaran tayar kereta yang sudah diidam lama. Kontraksi untuk bersalin semakin terasa.


Jam 8.30 malam.

Kontraksi terasa dengan jarak 15 minit. Saya menelefon Dr. Raofah (yang akan menyambut baby) masih sempat atau tidak untuk bertolak dari KL ke Ipoh. Insyaallah sempat katanya, tapi perlu segera bertolak. Alamak!, kami masih di Rawang, pakaian masih belum berkemas!!!.

Selesai solat dan mendapatkan penukaran tayar baru, terus pulang kerumah. Bersiap sesegera mungkin. Penat. Jam 10.00 malam kami bertolak dari KL ke Ipoh. Perut saya berkeroncong sakan. Manakan tidak hanya semangkuk laksa pada hari itu.

Debaran semakin terasa sepanjang perjalanan. Saya hanya mendiamkan diri seribu bahasa. Suami menasihati agar banyakkan berselawat dan yakin insyaAllah selamat. Perut saya lapar, kontraksi saya masih senada seperti tadi. Hanya berdoa dalam hati.

Jalan lama pula terpaksa dipilih untuk mengelakkan jam di highway memandangkan ramai yang bertolak pulang kekampung sempena cuti Raya Cina. Kalau jam di highway lagi susah.

Jam 1.00 pagi

Selamat sampai di Ipoh. Suami mengajak saya makan dahulu supaya ada tenaga untuk bersalin nanti. Ibarat orang megantuk disorongkan bantal, saya setuju. Saya teringin dari maghrib tadi nasi mamak. Ntah apa mimpinya nasi mamak yang saya teringin. Singgah di Nasmir, tidak berjauhan dari Pusat Perubatan Ar-Ridzuan.

Alhamdulillah selamat sampai di ar-Ridzuan. Jururawat yang bertugas membuat pemeriksaan bukaan. 4 cm. Kontraksi masih seperti tadi. Yang pastinya memang sakit. Sementara menunggu pemeriksaan jarak kontraksi, suami menghantar Uways ke rumah mak/abah. Bersiap semula untuk ke ar-Ridzuan.

4.30 am.

Kontraksi semakin dekat dengan jarak 5-10 minit. Suami setia menemani.

4.45 am.

Saya dibawa masuk ke labor room. Sakit hanya Allah yang tahu. Alhamdulillah setelah berjuang habis-habisan separuh nyawa, jam 5.19 am, lahirlah putera kedua kami… Welcome to the world sayang Ummi…

Terima kasih buat hubby tersayang. Kesian seharian tidak tidur. Pejam celik pejam celik sudah berempat kita..


Semoga kita terus kekal bahagia dalam RedhaNya sehingga ke akhir hayat..

Friday, February 19, 2010

"Expectation" dan Realiti di dalam Perkahwinan


(gambar diambil dari muhtarsuhaili.wordpress)

Tiba-tiba saya terasa ingin menulis tentang perkahwinan. Mungkin kerana terpengaruh dengan cerita-cerita tidak elok tentang lumrah kehidupan berumahtangga.

Sebelum berkahwin dan ketika memikirkan siapakah calon yang terbaik untuk dijadikan teman hidup, seringkali saya berfikir, “Apakah betul calon pilihan yang aku buat ini?”. Perasaan takut dan bimbang menyelubungi perasaan ketika itu. Takut sekiranya tersalah di dalam percaturan hidup. (Alhamdulillah pilihan tersebut tidak salah malah adalah yang terbaik untuk diri).

Lebih menakutkan, cerita-cerita tidak elok tentang realiti perkahwinan yang sering dilaporkan. Perasaan tidak bahagia dan rasa jemu terhadap pasangan. Realiti kehidupan yang dilalui tidak seperti yang dijangkakan dan diharapkan.

Nilaian Bahagia.

Apakah bahagia itu boleh diukur? Nilai bahagia itu terletak kepada pemiliknya. Ada pasangan yang dilihat bahagia tetapi hakikat yang dilaluinya tidak. Namun ada juga pasangan yang kelihatan tidak bahagia tetapi melalui kehidupan rumahtangga yang cukup bahagia. Bahagia hingga ke akhir hayat dan bahagia yang akan terus membawa ke Syurga.

Nilaian bahagia adalah sesuatu yang sangat subjektif. Seringkali saya terfikir, apakah mereka yang dikatakan hidup bahagia itu tidak pernah mengalami konflik di dalam rumahtangga? Apakah mereka sentiasa “sekepala” di dalam membuat sesuatu keputusan?

Adalah suatu yang mustahil dan dusta sekiranya ukuran bahagia diletakkan pada ketidakwujudan konflik dan masalah di dalam rumahtangga. “Happy Ending” seperti dalam fantasi kisah-kisah cinta di telivisyen.

“Expectation” terhadap pasangan.

Saya pernah “bersembang” dengan suami berkenaan “expectation” beliau terhadap saya dan “expectation” saya terhadap beliau. Suami tidak menjawab persoalan saya tetapi sebaliknya, kata-katanya yang insyaAllah akan saya ingat sampai bila-bila. “Perkahwinan bukan berdiri diatas paksi “expectation” tetapi adalah suatu yang realiti. Kita berhadapan dengan realiti, bukan atas “expectation”.

Semua orang boleh meletakkan “expectation” terhadap pasangan masing-masing. Sebelum berkahwin, kita tidak akan mengenali pasangan. Suatu yang tipu sekiranya dikatakan “bercinta” dan “berdua-duaan” sebelum berkahwin untuk mencari keserasian.

Sebenarnya “expectation” itulah yang akan mengeruhkan lagi hubungan di antara pasangan. Lebih-lebih lagi dengan meletakkan “expectation” yang tinggi terhadapnya. Apa yang diharapkan dan diimpikan lain dari realitinya. Samada berkahwin atas pilihan sendiri, pilihan jemaah, pilihan orang tua, bantuan orang tengah dan sebagainya.

Apabila berlakunya sesuatu konflik, perasaan kecewa menyelubungi. Maka timbullah segala macam perasaan tidak elok terhadap pasangan. Pelbagai “expectation” lama datang bertamu. Syaitan pula datang menyuntik. Sedangkan diwaktu awal perkahwinan, segala macam nikmat bahagia dirasakan. Tidak pula timbul soal “expectation” terhadap pasangan.

Justeru, buang segala macam “expectation” dan berinteraksi dengan realiti dihadapan dengan sebaiknya. Perbaiki diri sendiri dan pada masa yang sama perbaiki diri pasangan. Saling tegur menegur demi mencapai kebahagiaan bersama dalam menuju RedhaNya..

Terima diri pasangan seadanya adalah kunci segalanya. Tiada manusia yang sempurna termasuk diri kita sendiri. Memetik kata-kata dari kumpulan Scorpion, “What you give, you get back”.

Satu Misi dan Visi berpaksikan Taqwa.

Di dalam Al-Quran Allah berfirman, “Hai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Rabb-mu yang telah menciptakan kamu dari yang satu, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya; dan dari keduanya Allah memperkembangbiakkan laki-laki dan perempuan yang banyak. Dan bertaqwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.” (QS. 4:1)

Rasulullah saw menjadi Qudwah atau contoh terbaik untuk diikuti. Perkahwinan yang didasari Taqwa dan menuju cinta yang satu terhadap Allah dan Islam.

Apabila berlakunya sesuatu konflik, ingat semula bahawa salah satu tujuan perkahwinan adalah untuk mencari Redha Allah. Itulah juga niat sebelum kita berkahwin dengan pasangan. Wasilah atau jalan untuk mendapatkan Redha Allah adalah melalui pasangan kita sekarang. Hargai diri pasangan masing-masing.

Cintailah orang yang telah dikahwini, bukan “berkahwin” dengan orang yang dicintai. Kerana syaitan sentiasa mencari jalan untuk mengeruhkan sesebuah perkahwinan. Perasaan “cinta segera” yang hadir dari tipu daya syaitan itu adalah salah satu muslihatnya.

“Ya Allah suburkanlah cinta kami terhadap pasangan kami agar kami dapat terus mencintaiMu.. Rabbana hablana min azwajina wazurriyatina qurrataa’yun waj’allana lilmuttaqinaimama..”

Wednesday, January 6, 2010

Antara Nur Kasih dan Cinta Sempurna



“Nur..Nur janji dengan abang, Nur tak akan tinggalkan Abang?”.. “Nur tak akan tinggalkan abang, tapi abang mungkin akan tinggalkan Nur…”.(lebih kurang dialognya) Adam mengesat air mata Nur, Nur mencium tangan Adam. Tangisan beriringan dan berakhir dengan pelukan (sebagai suami isteri dalam cerita).


Saya masih ingat dialog dan babak ini (lebih kurang ayatnya) dalam drama Nur Kasih. Babak dan dialog antara Nur dan Adam tatkala timbulnya Katrina selepas majlis perkahwinan Aidil dan Aliya. Nur risau sekiranya Adam memilih Katrina dan akan meninggalkannya. Babak dihadapan sawah padi yang terbentang dihadapan rumah Adam. Saya tidak pasti kenapa tiba-tiba emosi saya terusik dalam babak tersebut. Sehinggakan saya boleh menitiskan air mata!.

Saya bukanlah seorang hantu drama. Agak sukar untuk saya menonton sesuatu drama, melainkan drama tersebut berjaya menambat hati saya untuk menontonnya. Saya tidak berminat menonton Nur Kasih pada awalnya, sangkaan saya seperti drama-drama biasa yang biasa saya tonton. Mungkin faktor UIAM yang menjadikan saya sedikit demi sedikit berminat untuk menontonnya.

Saya bukanlah orang yang terlibat dengan pengarahan drama atau filem. Entri kali ini hanya sekadar perkongsian pandangan peribadi sebagai seorang penonton.

Bukan juga niat untuk membandingkan antara drama Nur Kasih dan Cinta Sempurna. Mencari mana yang terbaik. Setiap drama ini mempunyai mesej tersendiri dan mempunyai kekuatan dan kelemahan tersendiri. Sekadar melontarkan beberapa aspek yang boleh diperbaiki (pada pandangan saya) atas nama “drama berunsur Islam” atau “drama islamik”.
Nur Kasih.

Nur Kasih telah menimbulkan satu fenomena baru dalam dunia “drama islamik”. Sempena hari raya korban 1430H tempohari ramai yang “terkorban” gara-gara Nur Kasih. Drama Nur Kasih menerima sambutan yang cukup menggalakkan.
Saya secara tidak sengaja saya juga telah “terjatuh hati” dengan jalan cerita serta lakonan watak yang ditonjolkan.
Cinta Sempurna.

Apa yang menarik minat saya untuk menonton drama ini setelah diwar-warkan oleh AbuSaif@Saiful Islam. Saya ingin melihat mesej yang ingin disampaikan. Agak teruja pada awalnya dan tidak sabar untuk menontonnya. Tetapi ada sedikit kecewa setelah menontonnya.

Antara beberapa faktor yang menjadi kekuatan dan kelemahan antara dua drama ini:

1) Jalan cerita

2) Masej

Masej Nur Kasih adalah hubungan kekeluargaan dan Isu Poligami yang ditonjolkan. Kemungkinan besar saya “terlekat” dengan drama ini atas faktor ini. Orang yang telah berkahwin lebih merasainya. Kalau saya meletakkan diri ditempat Nur (watak utama). Mugnkin itulah yang telah menyebabkan saya menitiskan air mata. Tidaklah terlalu menghayati jalan cerita, tetapi ianya berlaku secara sepontan sewaktu saya menontonnya berseorangan. Pengarah berjaya bermain dengan emosi penonton (Mungkin ini yang menjadi daya tarikan, kerana drama yang bermain dengan emosi dan perasaan lebih dekat dengan hati penonton). Tetapi pada saya agak meleret-leret. Mungkin juga untuk memanjangkan cerita. Ada saja perkara yang berlaku selepas satu.
Cinta Sempurna menampilkan masej Skeptik terhadap Agama atau Religious Skepticism sebagaimana yang telah dinyatakan oleh ustaz Hasrizal. Namun pada saya, masej utama agak tenggelam dan yang lebih menonjol dan ketara adalah cinta bersegi-segi antara watak-watak utama. Situasi berdua-duaan antara seorang ustaz dan madu’ juga saya rasa tidak sesuai, walaupun dengan niat untuk berdakwah.

3) Pelakon

Kedua-dua drama ini pada saya mempunyai pelakon yang cukup berbakat dan berjaya membawa watak masing-masing.
Watak-watak dalam Nur Kasih sesuai dengan gandingan pelakon yang dipilih. Semestinya saya sukakan gandingan Adam (lakonan Remy Ishak) dan Nur (Tiz Zaqiyah) walaupun hakikatnya pelbagai cerita artis yang kita dengar tentang mereka ini. Watak Sarah pula kena dengan pelakonnya. Perasaan benci penonton dengan sikapnya yang mengada-ngada itu telah membuktikan bahawa dia berjaya membawakan watak tersebut.
Saya memuji watak (pelakon wanita) yang ditampilkan dengan pakaian yang kebanyakan bertudung atau menutup aurat. Walaupun ada beberapa babak Katrina dan Adam pada zaman jahil mereka di permulaan cerita. Kalau tidak, macam mana? Itu logiknya.
Gandingan para pelakon dalam watak-watak untuk drama Cinta Sempurna tidak kurang juga hebatnya. Tetapi adakalanya cara watak tersebut ditonjolkan agak “mengada-ngada”. Terutamanya watak Shila (lakonan Quiara ). Walaupun mesej yang ingin ditonjolkan adalah sikap seorang anak orang kaya yang tidak pernah tahu tentang Islam itulah timbulnya Religious Skepticism. Gaya percakapan agak over, sehingga timbulnya persoalan benarkah wujudnya lagak dan gaya tersebut pada realitinya?.
Pada saya watak pelakon lain boleh diterima, cuma watak Shila yang agak ketara. Pada saya cara pemakaian yang ditonjolkan agak kurang sesuai. Rasa saya, walaupun rating penonton adalah ramai (menurut Ustaz Hasrizal sebanyak 109,000 orang penonton), tetapi rasa saya kebanyakan yang menonton adalah mereka yang “sudah baik”. Kemungkinan besar mereka ini kebanyakannya terdiri daripada peminat setia Ustaz Hasrizal (berdasarkan komen pembaca di blog saifulislam). Malah tayangannya juga pada bulan Ramadhan. Kebanyakannya tidak mahu melepaskan peluang untuk menonton drama yang cerita asalnya adalah Ustaz Hasrizal. Tidak putus-putus Ustaz Hasrizal mempromosikan drama Cinta Sempurna.

4) Tempoh Masa

Tempoh masa juga pada saya sangat mempengaruhi mood penonton. Nur Kasih ditayangkan seminggu sekali (Jumaat) dalam tempoh satu jam. Cinta Sempurna setiap Isnin sehingga Jumaat sepanjang Ramadhan dalam masa setengah jam. Walaupun Nur Kasih ditayangkan seminggu sekali, namun penonton masih boleh berpuas hati dengan episod setiap minggu itu dan menanti sambungan episod seterusnya. Cinta Sempurna walaupun ditayangkan setiap hari tapi dalam tempoh setengah jam (belum ditolak iklan kopi, selingan lagu Yuna dan sebagainya) sedikit sebanyak telah menganggu mood penonton. Sekejap sahaja menonton, tiba-tiba bersambung. Mungkin sasarannya untuk menghabiskan satu drama bersiri sepanjang Ramadhan, cukup-cukup dan “ngam-ngam” dengan masa. Mungkin pada masa akan datang, perlu difikirkan samada slot itu dibuat setengah jam bebas iklan ataupun satu jam dan beriklan.
5) Siaran TV / Channel

Sasaran “drama berunsur Islam” atau “drama islamik” antaranya adalah untuk mengubah persepsi atau sikap penonton terhadap sesuatu isu. Itulah dakwah melalui media. Pada saya Nur Kasih ditayangkan di TV3 adalah satu pemilihan yang cukup bijak. TV3 mampu menarik “crowdnya” atau peminatnya tersendiri. Setiap isi rumah yang mempunyai TV, sekalipun tidak mempunyai siaran tv berbayar Astro, pasti akan memilih TV3 kerana TV3 adalah channel yang terbaik antara channel-channel yang sedia ada (pada saya).
Cinta Sempurna ditayangkan melalui siaran tv berbayar Astro pada saya telah menyempitkan sedikit ruang dakwahnya. Ini kerana tidak semua isi rumah yang mempunyai TV melanggan Astro. Apatah lagi siarannya pula di saluran Astro Oasis (channel 106). Hanya mereka yang insaf dan ingin baik sahaja yang akan menonton saluran Astro Oasis. Banyak saluran yang lain yang menjadi saingan untuk mereka memilih. Namun pemilihan lagu daripadaYuna (Cinta Sempurna) sedikit sebanyak telah menarik peminatnya menonton Cinta Sempurna. Walaupun nyanyiannya adalah daripada suara seorang wanita. Niat untuk berdakwah, bolehkah? Anda cari jawapannya.

Sudut manakah yang Islamik?
Cuma persoalan yang ingin saya ajukan. Apakah yang dimaksudkan dengan “drama berunsur Islam” atau “drama islamik” ini? Apakah dengan jalan ceritanya sahaja? Atau pelakon yang ditonjolkan menutup aurat sebagaimana yang Islam kehendaki? Atau jalan cerita dan pelakon yang ditonjolkan menepati sebagaimana yang Islam inginkan? Atau apakah tiada langsung unsur-unsur yang bercanggah dengan Islam seperti lakonan sebagai pasangan suami isteri yang berpegangan tangan dan sebagainya? Anda berhak untuk menjawabnya.
Pada pandangan saya, jalan cerita, cara lakonan dan pemakaian pelakon itu yang memainkan peranan penting dalam meletakkan sesuatu drama itu sebagai islamik ataupun tidak. Mungkin akan timbul pula persoalan, sekiranya semuanya tidak boleh dan terbatas, tidak sampailah mesej dan tidak “real” pula kisahnya. Anda rasa bagaimana?
Apapun, syabas diucapkan kepada semua krew dan para pelakon yang terlibat dalam kedua-dua drama bersiri ini. Juga kepada Ustaz Hasrizal yang telah menyumbang idea untuk mengetengahkan isu Religious Skepticism ditengah masyarakat melalui medium hiburan. Diharap dapat diperbanyakkan lagi drama yang mempunyai mesej baik seperti ini. Media menjadi wasilah untuk berdakwah. Wallahua'lam.

Saturday, January 2, 2010

Istiqamah, Azam Sempena Tahun Baharu 2010

Istiqamah, azam sempena tahun baharu 2010 (Utusan Malaysia 1 Januari 2010 (Jumaat)/Rencana-Wacana Islam

Oleh MARDIANA MAT ISHAK

TAHUN baharu 2010 sudah membuka tirai. Dengan itu, ramai yang sibuk memasang azam masing-masing. Membuka diari hidup baru dan meninggalkan diari hidup yang lama.

Semua orang boleh berazam. Senarailah sebanyak mana sekalipun azam mereka. Satu hakikat yang pasti, semuanya bergantung kepada kekuatan diri mereka untuk terus istiqamah dalam melaksanakan sesuatu perkara.

Orang yang beristiqamah bermaksud seorang yang gigih tekun dan komited dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan sehingga tercapai matlamat yang telah dirancang.

Islam amat mementingkan istiqamah. Banyak hadis dan ayat al-Quran yang menyebut tentang istiqamah. Dalam konteks istiqamah dalam beribadah, ia merujuk kepada aspek tunduk, patuh, tekun dan taat dalam melaksanakan amal ibadah dalam kehidupan.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Sufian bin Abdilah, beliau berkata kepada Rasulullah SAW: "Wahai Rasulullah, jelaskan kepada saya mengenai Islam, supaya saya tidak perlu lagi bertanyakan kepada orang lain. Baginda menjawab, "(Islam itu adalah) kamu berkata 'Aku beriman kepada Allah dan beristiqamah'."

Ini bermakna, dua fokus utama yang ditekankan oleh hadis ini ialah keimanan kepada Allah dan komited serta konsisten dengan keimanan tersebut.

Kaitan Azam, Matlamat dan Istiqamah
Dalam konteks kehidupan sekarang, ia menuntut kita beristiqamah untuk terus berjaya. Menjadi seorang anak dan pelajar yang berjaya, pekerja yang berjaya, suami dan isteri yang berjaya. Semuanya memerlukan tahap kekuatan dan gerak kerja yang konsisten dan bukan sekerat jalan.

Setiap azam dan matlamat tidak akan dicapai tanpa kehadiran istiqamah. Azam akan menjadi suntikan semangat untuk mencapai matlamat. Maka dengan itu sifat istiqamah iaitu konsisten, tekun dan gigih berusaha perlu ada demi mencapai matlamat yang diimpikan.

Orang yang istiqamah adalah seorang yang mulia. Seperti kata Hamka, "Sebesar-besar karamah adalah memegang istiqamah".
Kalau para Nabi dan Rasul ditugaskan untuk menyampaikan dakwah dan beriman kepada Allah, itu adalah tugas mereka. Mereka terus beristiqamah dalam merealisasikan visi mereka. Hasilnya kita mendapat nikmat Islam dan iman yang kita kecapi kini.

Sebagaimana saranan dan galakan Allah kepada Nabi Muhammad SAW di dalam Surah Hud, ayat 12, "Maka beristiqamahlah engkau sebagaimana engkau diperintahkan."

Prasyarat kekal istiqamah
Untuk kekal konsisten beristiqamah menjadi cabaran untuk setiap orang. Sama ada berjaya atau tidak menyahut cabaran itu, lima aspek ini boleh dijadikan ukuran dan panduan untuk terus kekal beristiqamah seterusnya mencapai impian dan matlamat yang diimpikan setelah menetapkan azam.

1) Kemahuan
Sebanyak manapun azam atau niat yang disenaraikan, tanpa kemahuan yang bersungguh-sungguh, ia tidak akan tercapai. Bak kata pepatah, "Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan".

2) Percaya diri sendiri
Pastikan setiap apa yang direncanakan itu berpijak di bumi yang nyata. Yakin dan percaya pada diri sendiri bahawa kita mampu untuk merealisasikannya.

3) Motivasi
Mencari dan membaca bahan bacaan atau segala bentuk bahan motivasi yang boleh menyuntik semangat untuk terus berjaya agar semangat itu tidak pudar di tengah jalan.

4) Meletakkan tempoh dan masa
Meletakkan sasaran waktu dan tempoh tertentu akan menjadikan seseorang itu berdisiplin dengan kerjanya. Setiap orang mempunyai tanggungjawab yang lebih banyak daripada masa yang mereka ada. Setiap orang mempunyai masa 24 jam sahaja, tidak lebih daripada itu.

Dengan membahagi waktu dengan baik, ia akan menjadikan diri seseorang berbeza dengan yang lain. Jika diperhatikan, Islam juga mendidik umatnya dengan waktu.

Di mana syariat sembahyang lima waktu sehari semalam telah mengajar manusia untuk menghormati waktu.

Sebagaimana pesanan Rasulullah dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas'ud tentang sebaik-baik pekerjaan adalah solat pada awal waktunya.

5) Fokus
Dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan, anggota dan fikiran perlu bergerak seiringan. Jika anggota sahaja yang bergerak, akan menghasilkan kerja yang berkemungkinan besar tiada kualiti, kerana membuat sesuatu pekerjaan tanpa berfikir.

Sekiranya hanya berfikir dengan otak, tetapi tidak pula digerakkan dengan anggota, kerja langsung tidak akan berjalan. Pusatkan perhatian dan gerak kerja terhadap setiap pekerjaan yang sedang kita lakukan.

Percayalah bahawa walau hanya meletakkan satu atau dua sahaja azam tetapi kita tetap konsisten dalam merealisasikannya, itu adalah lebih baik daripada menyenaraikan sebanyak mungkin azam tetapi langsung tidak kita laksanakan.

Jangan jadi seperti pepatah, "Hangat-hangat tahi ayam", azam yang sama diulang pakai setiap tahun.



Penulis ialah Pensyarah Jabatan Bahasa Al-Quran, Pusat Asasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia


UTUSAN MALAYSIA-RENCANA-WACANA ISLAM
( 1 Januari 2010)-Jumaat