Friday, May 22, 2009

Jadikan Bidang Agama Juga Sebagai Pilihan Utama Pelajar Cemerlang

Syabas dan tahniah diucapkan kepada para ibubapa yang anak-anak mereka berjaya mendapat tempat di mana-mana IPTA/S samada di dalam Negara mahupun diluar Negara.

Kita berbangga kerana mempunyai anak-anak generasi pelapis yang semakin meningkat tahap kecemerlangan mereka dari semasa ke semasa. Namun tahap kecemerlangan perlu diukur bukan sahaja diatas kertas. Apa yang lebih penting adalah kecemerlangan dari aspek emosi, intelek, rohani dan jasmani yang berjalan seiringan.

Apa yang ingin dibangkitkan disini adalah terdapat segelintir di dalam masyarakat sejak dulu hingga kini yang menganggap bahawa pelajar atau anak-anak yang “kurang cemerlang” patut dimasukkan ke dalam jurusan agama. Ini mungkin disebabkan pelajar tersebut tidak layak diterima bagi mengikuti pengajian dalam bidang yang lebih profesional dan lebih komersial.

Ada benar penyataan yang menyatakan bahawa, daripada pelajar-pelajar ini tidak mendapat apa-apa langsung, sekurang-kurangnya, dengan mengikuti jurusan agama, dapat juga mereka bekalkan diri dengan ilmu agama dan mampu mengajar kelak.

Jurusan agama dianggap satu jurusan kelas kedua, tidak memiliki nilai komersial dan ketinggalan zaman. Maka atas faktor itulah sukar untuk kita temui para pelajar cemerlang memilih jurusan agama sebagai pilihan utama mereka. Jika ada yang memilih pun alasannya mudah, “Bidang agama ini subjek-subjeknya mudah untuk skor”.

Seharusnya kualiti pelajar yang diterima untuk mempelajari agama perlu seiring dengan tahap kecemerlangan para pelajar jurusan sains, perundangan dan sebagainya. Ini kerana untuk memahami agama memerlukan minda kelas pertama. Para pelajar yang bijak dan cemerlang bakal memahami agama dengan baik. Bahkan mereka boleh dianggap sebagai “Doktor” atau “Jurutera” pembangunan modal insan kepada masyarakat dan Ummah keseluruhannya.

Hakikatnya, bidang agama bukanlah bidang picisan yang tidak mempunyai nilai. Apatah lagi dianggap bidang yang mudah dan enteng. Bidang ini juga memerlukan kepada tahap keseriusan dan kecerdikan minda kelas pertama. Ini penting didalam menilai maklumat agama yang pelbagai dan memerlukan ketekunan yang tinggi.

Bidang ini bukanlah bertujuan untuk melahirkan para penceramah dimasjid atau surau yang hanya menjanjikan syurga atau neraka, apatah lagi mengambil kesempatan diatas kejahilan orang lain. Tetapi ia adalah amanah kepada ilmu. Mana mungkin mereka yang belajar bidang agama hanya terdiri daripada para pelajar yang hanya cukup-cukup makan?.

Sekiranya diperhatikan kebanyakan pelajar jurusan agama adalah yang mendapat kelulusan yang lebih rendah berbanding jurusan lain. Namun tidak dinafikan, masih ramai golongan pelajar yang cemerlang yang memilih jurusan agama untuk didalami ketika memasuki universiti. Golongan pelajar yang “kurang cemerlang” ini boleh dianggap bernasib baik kerana terdapat “jurusan agama” yang membolehkan mereka meneruskan pengajian.

Kesan daripada bidang agama yang dikuasai oleh para pelajar “cukup makan” maka ia telah menghumban generasi ini kepada pemikiran dan pengamalan agama yang jauh tersasar dari ruh syariat. Bahkan mereka sekadar menjadi pelengkap majlis, memenuhi masa terluang diantara maghrib dan isyak di masjid, tukang menyediakan air penawar, dan sebagainya.

Sekiranya mentaliti masyarakat dan khususnya para pelajar yang memiliki minda kelas pertama masih melihat bidang agama sebagai kelas kedua. Maka pada dekad yang akan datang Negara akan dipenuhi oleh golongan agamawan yang "mandul" dan tidak dapat menyumbang kearah kemaslahatan ummah.

Satu Aliran Semata.

Terdapat satu trend dikalangan sesetengah ibubapa yang melihat bidang agama adalah tempat untuk anak yang tidak mampu meneruskan dalam bidang-bidang yang lain. Ini ditambah pula dengan sikap anak yang kurang memuaskan. Para ibu bapa akan mengambil keputusan drastik menghantar anak-anak tersebut ke sekolah-sekolah agama atau di pusat-pusat tahfiz semata-mata sehingga terdapat anak-anak ini yang ketinggalan pelajaran terus mengambil peperiksaan besar Negara (UPSR, PMR, SPM). Hasilnya, pencapaian mereka tidak seberapa.

Namun, ada juga segelintir anak-anak ini yang berjaya membawa kedua-duanya sekali. Kita cukup berbangga mempunyai anak-anak yang mampu menghafal 30 juzuk Al-Quran malah boleh terus cemerlang di dalam pelajaran. Ini yang kita inginkan. Namun, hakikat yang pasti, tahap kemampuan diri mereka adalah berbeza.

Al-Quran dan agama itu sangat penting untuk bekalan akhirat. Namun dalam konteks serta dunia yang serba mencabar kini, anak-anak juga tidak boleh dinafikan hak mereka untuk mendapatkan pendidikan yang sewajarnya demi masa depan mereka. Agama dan ilmu terkini perlu berjalan seiring. Agar ilmu terkini dapat diterokai, bekalan Agama menjadi pelindung diri.

Apakah para ibubapa inginkan anak-anak mereka menyalahkan mereka kelak kerana tidak diberikan pendidikan yang sepatutnya?. Beri mereka pendidikan seimbang yang sewajarnya. Kemudian apabila sampai masanya, beri mereka pilihan untuk meneruskan bidang pengajian yang mereka cenderung.

Selain itu, sekiranya pemikiran “tidak boleh pergi jauh, maka masuk bidang agama” ini menjadi satu trend di dalam masyarakat, maka akan lahirlah ustaz dan ustazah yang akan membawa fitnah kepada agama. Kisah-kisah Israiliyat dicanang, hadith-hadith palsu dibaca, pemahaman serta fakta agama diputar belitkan mengikut pemikiran sendiri, berceramah dengan niat untuk menjual produk di surau dan masjid, malah sukar pula untuk memisahkan diri dari adat dan budaya masyarakat setempat walaupun hakikatnya sesuatu perkara itu bertentangan dengan agama.

Sekiranya ini yang berlaku, maka bahayanya perlu dipandang serius oleh masyarakat. Masyarakat perlu sedar dalam mengambil dan menerima sesuatu perkara yang datangnya dari golongan agama. Belajar untuk mempersoalkan kesahihan sesuatu perkara serta dari mana sumbernya kepada golongan agama ini. Bukannya mengambil sikap menerima sahaja kerana yang bercakap adalah golongan agamawan.

Sekadar untuk renungan, sekiranya di dalam bidang agama ini dipandang sepi dan remeh, cuba bayangkan keadaan yang berlaku sekiranya pelajar yang “kurang cemerlang” dilepaskan juga untuk menjadi Doktor dan pakar. Apa yang akan berlaku? Sudah pastinya akan berlaku banyak kesilapan dalam mengubati pesakit. Bahayanya perkara ini didalam bidang agama perlu dipandang serius sebagaimana seriusnya perkara yang berkaitan dengan bidang perubatan.

Ini kerana, para ustaz dan ustazah ini merupakan “duta agama” di dalam masyarakat. Banyak perkara yang melibatkan hukum hakam, aqidah, malah amat berkait rapat dengan dunia dan akhirat.

Duta Malaysia di Mesir, Datuk Zainal Abidin Abdul Kadir mendedahkan ketika Program khas Pra-Al-Azhar di Universtii Al-azhar, universiti kedua tertua di dunia pada 17 November 2008. Terdapat tiga masalah yang biasa berlaku kepada pelajar kita di sana, iaitu lemah Bahasa Arab, penghantaran pelajar yang kurang berkualiti dan masalah kewangan pelajar.

Oleh yang demikian, tindakan Al-Azhar untuk mengadakan peperiksaan khas kemasukan seperti TOEFL dan TESL seperti yang dijalankan oleh universiti di Amerika Syarikat dan England adalah sangat penting dan dipersetujui. Ini kerana, bagi memastikan hanya pelajar terbaik yang dapat melanjutkan pengajian ke universiti tersohor tersebut.




Dorongan dan Galakan.

Akhir kata, saranan saya kepada para ibu bapa dan pendidik, pelajar yang menunjukkan tahap kecemerlangan “yang kurang” diberi galakan dan dorongan untuk terus belajar. Mereka perlu diberi peluang untuk mengikuti pengajian yang diminati. Bukan hanya untuk terus kedalam bidang agama. Beri mereka pilihan kelak, supaya ilmu yang digarap adalah kerana keinginan mereka sendiri.

Yang kedua, pelajar yang cerdik dan cemerlang diberi galakan dan dorongan untuk menyambung pengajian di dalam bidang agama. Kita tidak menafikan keperluan Negara didalam bidang Sains dan Teknologi. Namun pada saya, jadikan juga keperluan untuk anak-anak yang cerdik dan bijak ini mendalami ilmu di dalam bidang agama. Ini kerana mereka yang bijak inilah yang akan membawa kembali fakta agama yang sebenar. Perkara sebenar walaupun mungkin akan dianggap asing oleh masyarakat. Pelbagai perkara akan dirungkaikan oleh mereka yang cerdik pandai ini. Agar generasi akan datang mewarisi dan mencurahkan segala keilmuan yang sejati dari para Sahabat dan Salafussaleh.


dinaluzriq

UIAM

No comments: