Monday, June 1, 2009

Surat Pembaca Berita Harian- 23 Mei 2009.

Salam diucapkan kepada semua. Lama sungguh saya tidak mencoretkan sesuatu di dalam blog. Seminggu dua ini agak sibuk. Sebenarnya entry kali ini sepatutnya hendak dimasukkan awal, tetapi disebabkan kekangan waktu ditambah pula dengan internet yang bermasalah. Jadi hari ini baru saya berkesempatan untuk meletakkan entry ini. Entry ini telah diterbitkan pada hari Sabtu 23 Mei 2009, di dalam Berita Harian. Di bawah ini tulisan saya yang telah diedit oleh pihak editor (mungkin sebab terlalu panjang), untuk bacaan yang panjang lebar itu telah saya masukkan di dalam entry sebelum ini.
Tujuan saya menulis artikel berkenaan bukan niat untuk menyindir mana-mana pihak. Sebaliknya untuk menyatakan kesedihan saya terhadap segelintir pandangan masyarakat terhadap golongan agamawan. "Tidak berkualiti", hanya pandai bercakap, cakap kosong tidak berisi, tidak berfakta, bercakap atas angin dan sebagainya. Kadang-kadang, disebabkan hasil segolongan agamawan sebegini yang menjadikan orang yang mengambil jurusan / bidang agama dipandang sebelah mata.
Syukran.
-----------------------------

Jurusan agama perlu diceburi pelajar minda kelas pertama.
-Berita Harian 23 Mei 2009 (Sabtu)

SYABAS dan tahniah diucapkan kepada ibu bapa yang anak mereka berjaya mendapat tempat di institut pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) sama ada dalam atau luar negara. Kita berbangga kerana mempunyai generasi pelapis yang semakin meningkat tahap kecemerlangan dari semasa ke semasa.
Namun, kecemerlangan bukan diukur atas kertas saja. Apa yang lebih penting adalah kecemerlangan aspek emosi, intelek, rohani dan jasmani perlu seiringan. Ingin dibangkitkan ialah ada segelintir masyarakat sejak dulu hingga kini menganggap pelajar atau anak yang kurang cemerlang patut dimasukkan dalam jurusan agama. Ia mungkin disebabkan pelajar itu tidak diterima mengikuti pengajian dalam bidang profesional dan komersial.

Ada benar penyataan yang menyatakan, daripada pelajar itu tidak mendapat apa-apa langsung, sekurang-kurangnya dengan mengikuti jurusan agama mereka dapat membekalkan diri dengan ilmu agama dan mampu mengajar kelak.
Jurusan agama dianggap jurusan kelas kedua, tidak memiliki nilai komersial dan ketinggalan zaman. Maka atas faktor itulah sukar untuk menemui pelajar cemerlang memilih jurusan agama sebagai pilihan utama. Jika ada pun, alasannya bidang agama subjeknya mudah untuk lulus.
Seharusnya kualiti pelajar yang diterima mempelajari bidang agama perlu seiring tahap kecemerlangan pelajar jurusan sains, perundangan dan jurusan lain. Untuk memahami agama memerlukan minda kelas pertama.

Pelajar yang bijak dan cemerlang bakal memahami agama dengan baik. Bahkan mereka boleh dianggap sebagai 'doktor' atau 'jurutera' pembangunan modal insan kepada masyarakat dan ummah keseluruhannya.
Hakikatnya, bidang agama bukan bidang picisan yang tidak mempunyai nilai. Apatah lagi dianggap bidang yang mudah. Bidang ini juga memerlukan keseriusan dan kecerdikan minda kelas pertama kerana untuk menilai maklumat agama yang pelbagai memerlukan ketekunan tinggi.
Bidang ini bukan bertujuan melahirkan penceramah di masjid atau surau yang hanya menjanjikan syurga atau neraka, apatah lagi mengambil kesempatan di atas kejahilan orang lain. Tetapi, ia adalah amanah kepada ilmu. Mana mungkin pelajar bidang agama terdiri daripada yang hanya cukup makan.
Jika diperhatikan kebanyakan pelajar jurusan agama mendapat kelulusan lebih rendah berbanding jurusan lain. Amat sedikit pelajar cemerlang memilih jurusan agama sebagai bidang pengajian pada peringkat lebih tinggi.

Kesan daripada bidang agama yang dikuasai pelajar 'cukup makan', ia menghumban generasi ini kepada pemikiran dan pengamalan agama yang jauh tersasar daripada roh syariat. Mereka sekadar menjadi pelengkap majlis, memenuhi masa terluang antara Maghrib dan Isyak di masjid atau tukang menyediakan air penawar.
Jika mentaliti masyarakat khususnya pelajar memiliki minda kelas pertama masih melihat bidang agama sebagai kelas kedua, maka pada dekad akan datang negara akan dipenuhi golongan agamawan yang mandul dan tidak dapat menyumbang ke arah kemaslahatan ummah.
MARDIANA MAT ISHAK,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

3 comments:

almuna said...

This is good.. Akak dan suami sebenarnya selalu bincang pasal ni. Kenapa yang top2 selalu ambik medic engineering dsbnya. Kenapa tak menjurus ke bidang agama..Antaranya ialah galakan ibu bapa sendiri. Brothers2 pun, kalau anak good result sibuk suruh anak jadi doktor. Tak langsung galak anak jadi ulamak ke... and then faktor reward/ gaji bidang agama ni saja je direndahkan, menjadikan ianya tak glamour dan bukan pilihan melainkan terpaksa...entah la...polok pangkal kita juga ibu bapa sebenarnya. thanks for the excellent writing, mar..

dinaluzriq said...

thanx kak alia..hmm kiranya mmg kita sama-sama selalu memikirkan perkara yg sama kan...disebabkan perkara itu yg selalu membelengu fikiran saya, so saya tulis. rasa bersalah selagi tidak menyatakan perasaan yang terpendam.. betul kak alia, antara fktor utamanya adlh parents juga... t.q 4 da comment..:)

qudsa said...

Mempelajari bidang agama sesuatu yg manusia pandang sebagai tidak bernilai ttp sebnrnya pada mata Allah adalah sangat berharga...saat di akhirat nanti org yg mempelajari Deen Allah merasakan teramatlah beruntungnya diri...jika tidak kenapa nabi Muhammad sendiri pernah berkata kpd para sahabat sekiranya kamu tahu ganjaran Allah terhadap orang yg berpenat lelah mmplajari agama Allah nescaya kamu sanggup berlapar dan dahaga melebihi drpd apa yg kamu alami sekarang..takpelah jika tidak mewah harta di dunia pun kerana belajar agama..yg penting adalah nilainya di akhirat....peringatan buat diri juga:)