Friday, September 30, 2011

“Manisnya Hempedu, Pahitnya Madu”…

Pasti kita pernah mendengar atau membaca kisah tentang poligami. Samada melalui media cetak, elektronik mahupun kenalan sendiri. Memang tidak salah di dalam Islam, tetapi, ianya merupakan satu perkara yang sangat sensitif bagi kebanyakan wanita. Samada berkahwin muda ataupun sebaliknya.

Suatu hari..

“ingat tak ******(Nama)”, tanya suami. 


“Ha’ah ingat”,  jawab saya ringkas.

“Tau tak, dia dah kahwin dua rupanya”. Sambung suami. (Terdetik juga dihati, “Eh, kenapa tiba-tiba sahaja ni”. InsyaAllah tidak. Sekadar memaklumkan perkembangan kenalan). 

Terkejut juga mendengarnya. Bagaikan tidak percaya. Bukan menyalahkan mana-mana pihak. Apatah lagi sebagai orang luar yang langsung tiada kena mengena dengan mereka untuk membuat pelbagai andaian, apatah lagi memberi hukuman. Bukannya buat salah.

Jika mereka yang berkahwin itu adalah bermula sebagai pasangan muda, atau pasangan yang tidak punya apa-apa. Susah senang bersama. Apa yang lebih menyentuh jiwa dan rasa, apabila hanya motosikal menjadi kenderaan rasmi mereka. Apa yang lebih meruntun jiwa, jikalau si isteri yang berbadan dua sudah terbiasa meredah bersama si suami melalui jalan yang terhentak-hentak yang tidak rata.

Yang kedua datang setelah si suami “steady”. Bukan ingin menyalahkan yang kedua, mungkin ada sebab utama mereka.

Ingin saya tekankan, persoalan berkahwin ketika belajar atau berkahwin muda tiada kena mengena dengan isu pologami ya. Justeru usah mengatakan itu adalah punca dan alasannya.

Lebah: "Manis ke Pahit nih?"

Saya teringat satu survey yang telah dilakukan keatas lelaki yang berpoligami (minta maaf saya tidak ingat siapa dan bila ia dibuat, maka usah dijadikan hujah), tetapi apa yang saya yakin dan pasti, survey itu mendapati peratusan tertinggi daripada mereka mengatakan bahawa tidak gembira dan bahagia seperti yang disangka selepas berkahwin lagi. Lebih bertambah “bala” dan sengsara lagi. Para lelaki jangan marah, para wanita jangan terlalu gembira ya..

Kenyataan Survey itu dikuatkan lagi dengan beberapa kes kenalan yang turut berhadapan dengan situasi yang sama. Seronok hanya sebelum dan di awal-awalnya sahaja. Selepas itu, berserabut otak kepala. Hmm tapi saya yakin dan pasti, disana juga masih terdapat mereka yang bahagia dan gembira dengan berpoligami. Tapi dipihak mana? Apakah sudah semestinya bahagia dan gembira atau perlu berpura-pura menyimpan rasa? Harapnya memang betul bahagia dan gembira.

Keinginan untuk berkahwin lebih  pasti menjadi keinginan setiap lelaki (apatah lagi tiada halangan didalam Islam). Wanita juga ada yang berperasaan begitu. Itulah sebabnya terdapat kisah isteri yang curang. Na’uzubillahiminzalik. Islam tidak benarkan wanita berkahwin lebih dari satu atas faktor nasab keturunan. Hanya wanita yang boleh melahirkan. Sudah pastinya masyarakat akan menjadi “caca-merba” dek ketidakpastian anak siapakah dia.

 Namun, bagi lelaki yang rasional, apabila difikirkan kembali tanggungjawab dan beban yang akan berganda malah berkekalan pula, berbanding seronoknya “berkahwin lagi” yang hanya bersifat sementara, menjadikan banyak juga lelaki lebih bahagia dan gembira dengan hanya seorang bidadari syurga dunianya. Gaji yang asalnya sudah cukup dan selesa terpaksa dihimpit kembali dengan “cawangan baru”. Stress pula berganda. (Marah orang yang berpoligami pada saya dengan kenyataan ini)..

Seronok dan excited untuk berkahwin baru ibarat seronok dan excited untuk berkahwin buat pertama kalinya suatu ketika dahulu. Namun dari semasa ke semasa perasaan biasa-biasa sahaja atau “suam-suam kuku” bersilih ganti. Itulah lumrah alam yang Allah ciptakan untuk semua perkara dunia. 

Sewaktu kita inginkan gadjet yang terbaru, ketika fasa-fasa awal bersamanya, itulah yang paling istimewa. Kemudian akhirnya, biasa sahaja. Mencari pula yang terbaru.

Anak kecil apabila mendapat mainan baharu, ketika fasa-fasa awal bermain bersama mainan tersebut, itulah yang sukar dilepaskannya. Kemudian akhirnya, biasa sahaja. Inginkan pula yang lain.

(( اعْلَمُوا أَنَّمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَزِينَةٌ وَتَفَاخُرٌ بَيْنَكُمْ وَتَكَاثُرٌ فِي الْأَمْوَالِ وَالْأَوْلَادِ كَمَثَلِ غَيْثٍ أَعْجَبَ الْكُفَّارَ نَبَاتُهُ ثُمَّ يَهِيجُ فَتَرَاهُ مُصْفَرًّا ثُمَّ يَكُونُ حُطَامًا وَفِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ شَدِيدٌ وَمَغْفِرَةٌ مِّنَ اللَّهِ وَرِضْوَانٌ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ))-الحديد: 20

“Ketahuilah, bahwa sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-bangga tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan keampunan dari Allah serta keredhaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu”. (QS, 57:20)

Itulah fitrah yang Allah ciptakan bagi nikmat dunia yang hanya bersifat sementara ini. Yang akan ditanggung adalah pahala atau dosa yang samada akan meringankan atau memberatkan mizan (neraca timbangan).

Justeru, hargailah si dia yang setia disisi. Susah senang bersama sanggup dilalui.  Saya bersimpati pada mereka yang terpaksa melalui. Derita atau bahagia hanya si dia yang merasai. Saya berdoa agar Allah menjauhkan diri dari diuji dengan ujian berat sebegini. .

Bagi lelaki, daripada melihat hanya kepada sunnah berpoligami itu, lihatlah pada fakta yang lebih utama yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw. Baginda memiliki hanya seorang isteri, Khadijah yang istimewa, semasa dalam hayat beliau. Hanya selepas Khadijah wafat, baharulah Nabi berpologami. Cemburu itu timbul dek kerana sayang. Di dalam sejarah, Aisyah juga cemburu bilamana Rasullulah saw seringkali teringat akan cinta pertama, suri hidupnya Khadijah, walaupun Khadijah telah tiada. Bahkan ada ketika, isteri-isteri baginda juga cemburu dengan yang lain. Itu adalah lumrah hati dan perasaan manusia. Namun, Hebatnya Rasulullah saw dalam memberi contoh kehidupan berumahtangga buat kita semua ..

Di dalam menjalin bahagia bersama, ia bukan hanya sekadar berhenti selepas diijabkabulkan sahaja. Tetapi sebaliknya rasa ingin terus mengenali dan mencintai pasangan seadanya. Mudah-mudahan kehidupan berkeluarga yang dilalui itu diredhai olehNya bahkan akan berkumpul pula di Syurga sana. 

Dr. Les Parrott di dalam bukunya “saving your marriage before it starts”, ada mengatakan  “dua pasangan yang berdikari mampu untuk membentuk dan menjalani satu kehidupan bersama walaupun terpaksa mengharungi segala kesusahan dan perlu untuk belajar cara menyesuaikan diri antara satu sama lain. Segala kesusahan serta kesungguhan dalam melalui satu fasa baru bagi setiap pasangan adalah berbeza namun mereka tetap akan menghadapi kesusahan tersebut. Dalam peringkat ini pasangan perlu bersedia untuk mengatakan “ya” dan menerima hakikat bahawa saya redha untuk menerima pasangan yang tidak sempurna dan percintaan dengan seseorang yang sempurna hanyalah satu khayalan semata-mata. Walaubagaimanapun saya tetap terpikat dan terpesona dengan “misteri” serta “rahsia” siapa awak dan saya bersedia untuk terus menyintai awak serta menjalani kehidupan bersama demi sebuah “cinta” yang lebih bermakna”.

Mardiana Mat Ishak
Batu Caves, 2011.

Monday, September 12, 2011

Musibah Syawal


Kami gembira kerana Syawal kali ini tiba bersamaan tarikh ulangtahun perkahwinan kami yang ke-5. Alhamdulillah. Namun, dalam kegembiraan tersebut juga, ada musibah yang telah menimpa.

Musibah Pagi 1 Syawal

Selepas selesai menunaikan solat sunat hariraya Aidilfitri di Masjid Sultanah Bahiyah Alor Setar, sambil mendengar khutbah hariraya. Umayr bermain dengan beberapa kanak-kanak yang lain. Main lari-lari. Tiba-tiba dia ke bahagian hadapan yang dipenuhi jemaah lelaki, di bahagian kiri koridor masjid. Dia nampak tangga dan kasut yang banyak agaknya,terus menuruni anak tangga tersebut. Memikirkan bahaya kalau dibiarkan takut Umayr lari ke jalan pula saya terus mendapatkannya. Tetapi terjatuh pula di tepi longkang. Ada calar sedikit di bahagian kiri kepalanya.

 selepas Solat Sunat Hariraya Aidilfitri 1432H


Musibah Petang 1 Syawal

Kami beraya di rumah tok saya, di Pokok Sena Kedah. Umayr teruja melihat kawasan lapang yang membolehkannya untuk bebas bergerak, bermain dan berlari. Peghak (bahasa kedah-kagum dan teruja seolah-olah tidak pernah lihat) tengok burung dalam sangkar. Siap nak pergi ke kawasan semut api.

(gambar: luka selepas 4 hari) Bertukar syif, Abi memantau Umayr pula. Tetapi malang tidak berbau, ketika Umayr ingin melangkah satu longkang kecil, Abi tidak sempat sambut, kepala Umayr terhantuk di atas tepi tiles. Agak tajam. Apa lagi, darah tak henti-henti keluar. Baju abi terkena darah, saya terus menerpa mendapatkannya. Tudung saya juga ada sedikit kesan darah. Menyirap darah saya melihat luka (yang pada saya agak dalam sehingga menampakkan isi). Apatah lagi dengan darah yang tak henti-henti. Semua orang menjadi kelam kabut.  Yang Umayr pula, sambil menangis (tidak pula meraung), menangis manja sambil memegang kepalanya dan menyebut, “ayi…ayi..” (lari…lari). Ingatkan nak sebut sakit. Umayr..Umayr.. 

Dari Pokok Sena, kami terus ke KMC (Kedah Medical Centre). Kami risau kalau jahitan pada luka diperlukan. Ya, pastinya kalau jahitan pada kulit, kesannya parut yang tidak akan hilanglah jawabnya. Habislah muka anak ummi ni.. na’uzubillah..

Alhamdulillah, doktor kata hanya diletakkan gam pada kulit untuk mencantumkan semula kulit yang terkoyak. Umayr ni pula kira nak tarik plaster kecil yang dilekatkan. Ada pernah satu malam (semasa menonton filem Nur Kasih), Umayr sedang menyusu, tiba-tiba dia tarik dan mungkin terkena pada jari tangan, luka berdarah kembali. Apa lagi, saya yang sangat risau terus mengajak suami untuk ke KMC untuk ditampal semula luka. Alhamdulillah tiada bayaran lebih dikenakan. Saya minta jururawat letakkan plaster yang lebih kuat dan lebih besar. Jadi, agak susah Umayr tarik. Perlu dibiarkan selama 4 hari, kepala juga jangan dibasahkan. Apabila dipesan agar jangan tarik, memang mengangguk sakan kawan kita nih. Tapi..banyak cubaan untuk melakukannya.. memang kami tambahkan lagi plaster dengan menyilang. Memang agak sukar Umayr menarik. Hehehe..

Selalunya orang kata, kalau tidak ada luka sini sana, bukan budaklah namanya. Hero pula...  Sementara menanti membesar dan faham bahasa seperti abang Uways ni, macam-macamlah lagi.. Hhhmmm


KPI rumah tangga bina perkahwinan bahagia (versi editor)

KPI rumah tangga bina perkahwinan bahagia
 (versi editor)

Berita Harian, 8 September 2011

LAPORAN akhbar baru-baru ini (Berita Harian 6 September) menyatakan lebih 200,000 pasangan mendaftar cerai. Kebanyakan laporan diterima membabitkan usia perkahwinan yang kurang daripada enam tahun. Perkara ini sangat merisaukan bahkan akan turut memberi kesan kepada institusi kekeluargaan seterusnya aspek pembinaan modal insan yang cemerlang.

Sama ada berkahwin atas faktor suka sama suka atau dicadangkan orang ketiga ia akan bertemu satu titik persamaan, iaitu membina cinta. Apakah pasangan yang berkahwin didasari cinta bersama akan berhenti sekadar menjadi pasangan dengan ikatan perkahwinan? Apakah pasangan diatur pihak ketiga akan berhenti sekadar menjadi pasangan yang berkahwin selepas diijabkabulkan? Tidak. Cinta itu bermula dengan tindakan dan perbuatan. Cinta dan perasaan belas kasihan perlu ada. Maka atas dasar itulah Allah meletakkan ‘mawaddah warahmah’ yang perlu menjadi dasar dalam sebuah perkahwinan. Mawaddah (cinta) itu seperkara dan disusuli rahmah (belas kasihan). Di saat sinar kebahagiaan muncul di dalam jiwa, cinta itu menjadi paksinya, dan pada saat marah, belas kasihan pula perlu menjadi paksi serta sabar.
Masalah tidak mempunyai keinginan terhadap pasangan atau wanita menurut seorang pensyarah bidang al-Quran dan hadis disebabkan tiga faktor utama iaitu, sama ada pernah melakukan zina sebelum berkahwin, atau seorang homoseksual atau memang mempunyai masalah kesihatan. Di dalam masalah kesihatan, tidak perlu dipersalahkan mana-mana pihak jika sekiranya masing-masing tidak mengetahuinya sebelum berkahwin.
Apa yang menjadi kesalahan adalah diteruskan perkahwinan jika sekadar menutup mulut orang mengenai persoalan masih belum berkahwin. Saya ingin mencadangkan dua perkara mudah-mudahan ia membantu pasangan yang berumah tangga untuk terus membina bahagia bersama.

Pertama, pastikan hubungan sebelum perkahwinan itu dijaga dengan sebaik-baiknya dengan mengikuti apa yang Islam sarankan seperti tidak keluar berdua-duaan sebelum berkahwin, bersentuhan melakukan perkara ringan serta adengan boleh membawa kepada zina. Kedua, sebaik-baiknya diadakan KPI rumah tangga (penunjuk aras) agar ia sentiasa menjadi audit dalaman untuk memberikan yang terbaik buat pasangan. Dalami ilmu agama dan ilmu rumah tangga serta kekeluargaan secara berterusan. Sentiasa jadikan diri untuk memberi yang terbaik, daripada ingin menerima yang terbaik. KPI ini seelok-elokknya dibuat pada saat pasangan masih di dalam proses untuk berkahwin atau tempoh perkahwinan yang masih baru.

Jadikan KPI ini sebagai satu muhasabah bersama dengan meletakkan apa yang diharapkan dapat dilakukan dan perkara yang perlu dielakkan dalam membina kebahagiaan. Mudah-mudahan ia membantu kita untuk terus memburu kebahagiaan yang abadi.

MARDIANA MAT ISHAK,
Pensyarah dan Penulis Buku. 


 http://www.bharian.com.my/bharian/articles/KPIrumahtanggabinaperkahwinanbahagia/Article

Jalan-jalan Cari Makan (JJCM) TV3.. Alkisahnya…

Kelakar apabila melihat wahaj sendiri dalam  rancangan JJCM episode 14 tempohari (Ahad, 4 September 2011- 12 tgh). Ia berlaku secara kebetulan. Alkisahnya…

Selepas maghrib, kami bersiap-siap untuk ke dePalma Hotel Ampang kerana saya perlu menghadiri workshop silibus buku baharu Bahasa Arab selama tiga hari berturut-turut (29-31  Julai 2011). Setelah berbincang dengan encik suami petang itu, pilihan untuk makan diluar sahaja memandangkan stok bahan mentah telah dihabiskan kerana tiga hari tiada dirumah dan sebelum memasuki fasa Ramadhan minggu hadapan. 

Selepas maghrib, dalam mencari tempat yang sesuai dan memenuhi keperluan perut yang berbunyi, saya mencadangkan mencuba kedai Spring Potato. Kedai ini telah dilihat lama kerana untuk kerumah saya, pasti melalui Sri Gombak. Dari jauh kedainya nampak agak menarik sekalipun berada dikawasan deretan kedai yang kurang menarik. Kedai yang selesa, bersih dan kemas dan yang lebih penting adalah tokeynya adalah Islam dan bumiputera. 



Sewaktu kami sampai, telah ada 4 meja makan yang telah selesai makan. Kami sahaja pelanggan yang baru sampai. Kami mencuba makanan Korea Bul-go-gi dan Spring Potato. Semasa menunggu order, kami perasan ada 4 orang krew tv selesai menikmati makanan mereka. Ingatkan telah selesai pengambaran, dan tidak sangka pula mereka adalah krew JJCM. Hanya mereka berempat, pengacara JJCM Qi dan Amy Mastura tiada. Saya rasa, pengambaran bersama pengacara dan artis jemputan dibuat lebih awal dan sesi kedua hanya untuk mendapatkan pandangan pelanggan sahaja. Kerana plak JJCM telah sedia ada diatas meja kaunter.

Kami adalah orang terakhir yang ditemuramah. Sewaktu menjamah hidangan yang memang sedap itu, kami disapa, “Abang, kakak, boleh kami temuramah sikit untuk JJCM?”. Saya dan suami ketawa dan bersetuju. “Siapa yang akan cakap? Abang ke akak?”. Dengan selamba, suami kata, “bagi akaklah..”.. Alamak..oklah, ok ja… “Akak cakap panjang-panjang sikit ok..”. Ok, boleh je.. Adik tu tanya beberapa soalan, “bagaimana rasa makanan yang kami makan tu, fresh ataupun tidak”, “apa pandangan tentang kedai tersebut” dan beberapa soalan lagi. Dia kata akan keluar tv insyaAllah selepas raya. 

Ketika menghabiskan cuti hariraya di rumah abang saya di Penang, adik saya perasan ada iklan JJCM untuk 4 September 2011 di tv3.  “Eh Nampak macam muka abang Nizamla kat iklan JJCM, hampa pi kedai Spring Potato ka”. Kalau iklan Spring Potato dan muka en. Suami, memang sahlah. Tak sangka pula sejurus selepas raya. 


(promo iklan JJCM Ahad, 4 September tv3)


Hari Ahad jam 12 memang kami tunggu untuk tengok betul atau tidak. Kami di Ipoh. Memang kelakar tengok muka sendiri dan diusik juga oleh abang saya sebagai kuat makan dan perut stokin. Hmm..memang saya boleh habiskan 2-3 kali tambah. Nak buat macam mana, sebab lapar dan mungkin kerana masih menyusu penuh adik Umayr. Kata en. suami, tak apa selagi berselera dan Allah bagi nikmat makan.. Alhamdulillah..

Kalau nak tengok JJCM episode 14 temohari, boleh lihat di tonton.tv3…


Thursday, September 8, 2011

"Perkahwinan bukan satu Persinggahan"- versi asal

Senario yang sering berlaku..

“saya tidak cintakan dia”

“kami tidak serasi”

“dia tidak bertanggungjawab”

“dia curang”

Ini adalah antara beberapa perkara yang sering menjadi punca pergolakan rumahtangga. Laporan akhbar baru-baru ini (BH- 6 September 2011) yang menyatakan bahawa lebih 200,000 pasangan mendaftar cerai. Kebanyakan laporan yang diterima adalah usia perkahwinan yang kurang dari 6 tahun. Perkara ini sangat merisaukan bahkan akan akan turut memberi kesan kepada institusi kekeluargaan seterusnya aspek pembinaan modal insan yang cemerlang.

Cinta Rela dan Cinta Dipaksa

Samada berkahwin atas faktor suka sama suka atau dicadangkan oleh orang ketiga ia akan bertemu satu titik persamaan, iaitu membina cinta. Apakah pasangan yang berkahwin didasari cinta bersama akan berhenti sekadar menjadi pasangan dengan ikatan perkahwinan? Apakah pasangan yang diatur pihak ketiga akan berhenti sekadar menjadi psangan yang berkahwin setelah diijabkabulkan? Tidak. Cinta itu bermula dengan tindakan dan perbuatan. Cinta dan perasaan belas kasihan perlu ada. Maka atas dasar itulah Allah meletakkan “mawaddah warahmah” yang perlu menjadi dasar dalam sebuah perkahwinan. Mawaddah (Cinta) itu seperkara dan disusuli rahmah (belas kasihan). Disaat sinar kebahagiaan muncul didalam jiwa, cinta itu menjadi paksinya, dan disaat api kemarahan membara dijiwa, belas kasihan pula perlu menjadi paksinya bahkan ia menuntut satu kesabaran. Marah itu adalah satu perkara yang normal bagi manusia, namun apakah dengan api kemarahan itu akan terus dibiarkan membakar dan marak seterusnya meranapkan sebuah rumahtangga? Rasulullah SAW telah memberikan solusinya. Jadikan rumahtangga baginda sebagai model ikutan kita semua dalam membina bahagia dalam kehidupan.

Bagi mereka yang berkahwin dengan cadangan pihak ketiga, alasan “saya dipaksa berkahwin” atau “tidak ada cinta” dijadikan sebab setelah berlakunya aqad yang sah adalah sesuatu yang tidak rasional. Pilihan untuk berkahwin atau tidak itu terletak pada tangan diri sendiri. Ia boleh sahaja diterima atau ditolak secara baik selagi belum berlakunya proses ijab dan kabul. Apatah lagi jika sebab tidak cintakan pasangan malah dikatakan dipaksa pula dijadikan hujah untuk menamatkan sebuah perkahwinan. Lebih-lebih lagi setelah kemeriahan perkahwinan yang diraikan telah berlaku.

Perkahwinan bukan satu persinggahan. Contohnya, ketika zaman persekolahan dan memasuki gerbang institusi pengajian tinggi. Apabila dirasakan tidak serasi, terus bertukar tempat dan melarikan diri. Jika ini yang berlaku didalam sebuah institusi perkahwinan, ia bukanlah datang dari mereka yang matang dan bijak berfikir tentang kehidupan. Keserasian itu perlu dibina dan dicarigali secara berterusan. Malah setiap hari yang dilalui bersama itulah pelajaran yang cukup berharga untuk membina keserasian. Sememangnya gabungan dua cara kehidupan yang berbeza itu perlu dicari titik persamaan dalam membina sebuah kehidupan berkeluarga yang menuju redhaNya.

Punca

Daripada laporan yang diterima peratusan daripada tidak bertanggungjawab sehinggalah kepada masalah seksual atau masalah kesihatan. Masalah tidak mempunyai keinginan terhadap pasangan atau wanita menurut salah seorang pensyarah bidang al-Quran dan Hadith adalah disebakan tiga faktor utama iaitu, samada pernah melakukan zina sebelum berkahwin, atau seorang homoseksual atau memang mempunyai masalah kesihatan. Na’uzubillahiminzalik. Saya pernah mendengar antara sebab penceraian yang dilakukan kajian oleh Timbalan Pengarah IKIM yang sekarang merupakan rektor baru UIAM, Prof. Dato’ Dr. Zaleha Kamaruddin, didalam slot Mahligai Kasih di IKIM.fm tentang masalah seksual ini. Pelbagai jenis ubat kuat yang ditampal iklan itu sebenarnya telah membuka keaiban dan menunjukkan kelemahan pihak lelaki. Menurutnya, biasanya ego pihak lelaki sukar untuk menerima punca ini dan simpati dan malu pihak isteri pula sukar untuk melaporkan seterusnya cuba membantu untuk membuat rawatan. Apatah lagi masalah kesihatan ini diketahui setelah berlakunya ijab dan kabul. Akhirnya, pasangannya terpaksa menjadi mangsa keadaan. Di dalam masalah ini, tidak perlu dipersalahkan mana-mana pihak jika sekiranya masing-masing tidak mengetahuinya sebelum berlakunya perkahwinan. Apa yang menjadi kesalahan adalah diteruskan perkahwinan jika diketahui sedari awal untuk menutup mulut orang tentang persoalan, “kenapa masih belum berkahwin”. Berkahwin dan kemudian memutuskan perkahwinan telah menjadi pilihan penyelesaian yang terbaik. Malah, mencanang pelbagai kesalahan pasangan untuk menutup keaiban diri. Lebih memburukkan keadaan, jika orang lain yang tiada kena mengena turut sama campur tangan dan memberi komen itu dan ini.

Cinta Terpelihara dan K.P.I Rumahtangga

Saya ingin mencadangkan dua perkara ini, mudah-mudahan ia membantu pasangan yang berumahtangga untuk terus membina bahagia bersama. Pertama pastikan hubungan sebelum perkahwinan itu dijaga dengan sebaik-baiknya dengan mengikuti apa yang Islam sarankan seperti tidak keluar berdua-duaan sebelum berkahwin, bersentuhan melakukan perkara-perkara ringan, apatah lagi adegan-adegan ringan yang boleh membawa kepada penzinaan. Kemungkinan besar kebahagiaan dan ketenangan yang dirasai sebelum berkahwin akan bertukar menjadi kesengsaraan dan keperitan setelah berkahwin sebagai balasan dari Allah. Kebahagiaan sebelum berkahwin telah dihiasi oleh panahan syaitan. Kerana itu kenikmatan dunia adalah syurga bagi mereka yang melakukan maksiat dan neraka bagi mereka yang bertaqwa. Namun, pastinya kenikmatan akhirat adalah syurga bagi mereka yang bertaqwa dan neraka bagi mereka yang melakukan maksiat.

Kedua, sebaik-baiknya diadakan K.P.I (Key Personal Indicator) Rumahtangga (pununjuk aras) agar ia sentiasa menjadi audit dalaman untuk memberikan yang terbaik buat pasangan. Dalami ilmu agama dan ilmu rumahtangga serta kekeluargaan secara berterusan. Sentiasa jadikan diri untuk memberi yang terbaik, daripada ingin menerima yang terbaik. K.P.I ini seelok-elokknya dibuat disaat pasangan masih didalam proses untuk berkahwin atau tempoh perkahwinan yang masih baharu. Ini kerana, tempoh ini yang dikatakan sebagai Musim Cinta Sayang, pasangan masih lagi teruja untuk membina kebahagiaan bersama. Baik dan buruk pasangan masih lagi boleh diterima. Jadikan KPI ini sebagai satu muhasabah bersama dengan meletakkan apa yang diharapkan dapat dilakukan dan perkara yang perlu dielakkan dalam membina kebahagiaan. Mudah-mudahan ia membantu kita untuk terus memburu kebahagiaan yang abadi.

Mardiana Mat Ishak,

Pensyarah dan Penulis Buku “Bahagianya menjadi Pengantin Sepanjang Masa” (PTS-2011)