Saya baru selesai menjalankan Oral Test BA untuk kelas saya semester 2, 2010/2011 yang lalu. Semester pertama untuk saya selepas saya dipindahkan dari PJ ke Gombak. Kelas ini untuk level 3 BA. Seorang pelajar datang untuk sesi oral.
Kemampuan Pelajar
Saya rasa sangat bersalah. Apakah saya menjadi punca kepada keadaan ini atau sebaliknya. Sehingga saya merasakan begitu teruk diri ini dalam memahamkan para pelajar tentang BA, bahasa al-Quran ini. Soalan oral yang saya kemukakan sangat senang, bahkan saya turut memberikan senarai soalan yang perlu dijawab, sekalipun tidak secara sepontan, peluang untuk menghafal juga dibenarkan. Namun, beliau tidak mampu untuk menjawab. Agak lama sesi bersamanya. Mencuba dan terus mencuba untuk membantunya menjawab sebagai syarat untuk perkiraan markah. Sesi oral untuknya agak mendukacitakan.
Saya bertanya kepada beliau, adakah cara saya selama ini boleh dikutinya atau tidak. Jawapannya, “saya agak susah untuk belajar BA ini, saya tidak sangka di UIA ada subjek wajib BA”. Level 1 beliau repeat, level 2 beliau lepas dan sekarang level 3, dengan saya. Allah, saya bertanya kepada beliau, kenapa beliau tidak nyatakan apa sahaja kemusykilan semasa sesi pengajaran saya dikelas, bahkan saya turut bertanya sekiranya ada apa-apa yang mereka tidak faham, malah saya turut pergi kepada seorang demi seorang. Kepada beliau jugalah saya memberi fokus sekiranya ada apa-apa yang tidak difahami dan amat mengalu-alukan untuk bertanya, namun, orang lain yang bertanya dan tidak pada beliau. Sehinggakan untuk membantunya membuka mulut didalam kelas, terpaksa saya minta beliau membacakan teks walaupun hanya satu ayat. Apa yang membuatkan saya berasa sedih adalah kesukaran beliau dan tidak mampu untuk membaca satu ayat daripada teks sekalipun berbaris.
Saya katakan bahawa jika tidak ingin bertanya kepada saya, beliau boleh bertanya kepada rakan-rakan yang lain, sekelas atau sebaliknya. Namun, katanya, beliau tiada kawan.Telahan saya sedari awal, memang tidak salah, beliau yang saya rasakan sering bersendirian mengakui bahawa beliau tiada kawan disekeliling untuk membantu. Hanya seorang roomate, yang itupun hanya biasa-biasa sahaja.
Apa yang malang juga, assignment yang perlu dihantar hari ini juga tiada. Katanya, “saya tiada kumpulan”. Allahuakbar.. Setelah seminggu baru beliau maklumkan bahawa beliau tiada kumpulan. Mungkin beliau ketinggalan kerana seminggu beliau tidak hadir atas sebab mempunyai masalah di kampung. Jika begitu, dimana ahli kumpulan yang sepatutnya? Saya telahpun berikan. Masalahnya disini, ahli kumpulan yang tidak memaklumkan kepadanya, tidak prihatin dengan rakan sekumpulan. Sedangkan saya sudah memberikan tugasan bersama kumpulan masing-masing. Maka untuk membantu beliau, saya berikan tugasan tambahan kepadanya.
Saya secara peribadi, saya tidak sangat risau sekiranya beliau sukar untuk mempelajari BA. Itu adalah normal bagi mereka yang baru mempelajarinya, namun apa yang membuatkan saya sangat sedih adalah kerana beliau tidak mampu untuk membaca al-Quran. Saya teringat akan kenyataan bahawa 80% pelajar IPT tidak faham maksud surah al-Fatihah. Itu faham maksud. Saya tidak pasti berapa jumlah pelajar IPT bahkan mereka yang mempunyai status “Islam” didalam Mykad yang buta al-Quran. Tidak perlu bertanya tentang maksud, hanya membaca. Kajian perlu dibuat dan penyelesaian perlu dilakukan.
Sesi Oral dan Sesi Kaunseling.
Akhirnya sesi oral bertukar menjadi sesi kaunseling. Saya bertanya kepada beliau beberapa perkara disebabkan kesukaran beliau untuk membaca teks BA yang berbaris. Ingin mencari sebab dan punca. Soalan pertama yang saya tanya adalah, adakah beliau membaca al-Quran dan sekerap mana beliau membacanya. Ini kerana, BA dan al-Quran adalah ibarat isi dengan kuku. Memang berkait rapat, tidak boleh dipisahkan. Mereka yang boleh membaca al-Quran, pasti insyaAllah boleh membaca teks BA yang berbaris.
Beliau menangis. “Saya sudah lama tidak baca al-Quran, saya tidak boleh baca al-Quran ustazah..saya sedih..”. Saya menahan sebak di dada.
Sambil memegang bahunya, saya berkata, “tak mengapa, Awak masih belum terlewat. Allah sayangkan awak sebenarnya. Peluang yang Allah berikan untuk belajar di UIA inilah yang perlu diambil, fikir positif, banyak hikmahnya yang kadang-kadang kita sendiri pun tidak sedar. Kalau Allah taqdirkan awak belajar ditempat lain, tidak pasti lagi awak akan dapat peluang macam ini ataupun tidak”. Saya turut bertanya beberapa perkara,
1) tentang mak dan ayah serta pekerjaan mereka. Ayah dan ibunya adalah Pegawai kerajaan dan kerani.
2) bilangan adik beradiknya. Beliau anak ke 4/9 org. Serta tempat belajar serta pekerjaan adik beradik yang lain.
3) dimana beliau belajar Al-Quran- ustz ke rumah seminggu sekali, itupun telah lama berhenti belajar.
Mencari Punca
Saya mencari punca dari kes pelajar saya tadi. Seorang Islam yang tidak mampu untuk membaca al-Quran. Seorang siswi yang bakal bergelar seorang isteri serta ibu. Seorang Ibu yang bakal mendidik anak-anaknya bermula dari dalam kandungan.
1) Adakah kerana adik beradik seramai 9 orang ini menjadikan dirinya terpinggir? Tidak mendapat kasih sayang dan perhatian yang secukupnya?. Jika ini antara sebabnya, kadang-kadang saya terfikir, biarlah anak sedikit tetapi berkualiti semuanya. Namun, sebab itu juga tidak kukuh kerana ramai juga yang mempunyai anak yang ramai tetapi kesemuanya menjadi dan berjaya, tiada seorang pun yang ketinggalan. Buktinya, kesan didikan tokoh para ibu mithali yang telah dinobatkan setiap tahun. Kesemua mereka mempunyai anak-anak yang ramai dan berjaya.
2) Adakah kerana kesibukan ibubapa bekerja maka mereka tiada masa untuk melihat dan membantu anak-anak membaca al-Quran?. Jawapan ini juga tidak kukuh kerana semua ibubapa bekerja dan terdapat mereka yang masih mempunyai masa untuk anak-anak. Bahkan, untuk mencari atau menyediakan orang yang boleh mengajar al-quran juga boleh.
3) Atau apakah beliau sendiri yang tidak ingin membaca kerana sudah lama tinggalkan al-Quran sehingga sudah lupa untuk membaca?
Allah…saya perlu membuat sesuatu..
Ibu, ajarkan anakmu Al-Quran.
Maka atas faktor itu, ia bertitik tolak dari asuhan serta didikan yang bermula dari rumah. Ibubapa. Bapa mempunyai peranan yang utama. Namun, jika kesibukan bapa yang membataskan proses pengajaran mereka, maka ibulah yang perlu memainkan peranannya.
Peranan ibu yang sangat penting dalam mendidik anak-anak. Saya juga mempunyai anak-anak yang masih kecil dan sangat memerlukan didikan dari seorang insan yang bergelar ibu. Melihat kepada dunia kini yang sangat mencabar menjadikan diri berasa sangat takut. Takut dan bimbang jika dengan alasan kesibukan kita menyebabkan anak-anak “membesar tanpa sedar”. Takut jika anak-anak akan mendakwa dihadapan Allah. “Ya Allah, ibubapaku inilah yang tidak mengajarku al-Quran, ibubapaku inilah yang tidak mengajarku Solat…”.
Buat para ibu, luangkanlah sedikit masa untuk mengajar mereka al-Quran dan Solat. Perkara asas dalam agama. Tidakkah kita inginkan harta anak soleh yang menjadi suatu amalan yang tidak akan putus setelah kita mati kelak? Sebagaimana hadis Rasulullah SAW…
Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘Anhu berkata, Rasulullah SAW telah bersabda : Jika anak Adam meninggal, maka amalnya terputus kecuali dari tiga perkara, sedekah jariah (wakaf), ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang berdoa kepadanya.'' (HR Muslim).
Sekiranya amanah ini sudah kita tunaikan, berdoalan agar ia menjadi sesuatu yang bermanfaat untuk masa hadapan mereka. Hak mereka telah kita tunaikan. Amanah dari Allah juga telah kita laksanakan, namun apa yang bakal berlaku dikemudian hari, kita tidak mungkin dipersalahkan. Semoga mereka menjadi insan serta generasi soleh. Anak soleh yang sentiasa mendoakan kita kelak.
Saya tidak menafikan peranan bapa didalam mendidik anak-anak. Bapa juga perlu, namun disebabkan kelapangan waktu bapa yang lebih disalurkan untuk mencari nafkah, mungkin juga berdakwah, maka pendidik yang perlu mengambil alih tempatnya adalah ibu.
Ibu yang bekerja?. Sibuk, Letih dan penat. Ya, memang. Tetapi adakah disebabkan keletihan dan kepenatan itu menjadi sebab anak-anak membesar tanpa sempat kita mendidik mereka. Yakinlah bahawa pahala dan kesannya jauh lebih berharga dari sebuah kerehatan. Jika kita sempat membacakan buku cerita sebelum anak-anak tidur, luangkanlah sedikit masa untuk membacakan dan mengajar mereka al-Quran. Luangkan sedikit waktu selepas solat maghrib untuk membaca al-Quran bersama. Atau bila-bila waktu yang berkesempatan untuk setiap hari. Mudah-mudahan mereka sedar bahawa al-Quran adalah makanan jiwa harian mereka. Al-Quran akan menjadi peneman di dalam kubur. Al-Quran akan memberi syafaat di akhirat kelak..
Masih ingatkan kita kepada adik Darwisha yang sudah boleh membaca al-Quran seawal usia 3 tahun? Menurut ibunya, sedari bayi, beliau akan menunjukkan dan membacakan kepada anaknya flash card dan iqra’ malah sering memperdengarkan bacaan al-quran kepada anaknya. (Saya berasa sangat cemburu, maka saya juga perlu meniru ibu hebat ini!!)
Justeru, saya menyeru kepada diri sendiri dan para ibu diluar sana. Ayuh kita mempersiapkan generasi dan pewaris kita ini dengan bekalan akhirat. Bermula dengan al-Quran dan Solat.
Apa yg blh dilakukan oleh ibubapa untuk menggalakkan anak-anak dengan al-quran?
1- Luangkn sedikit masa sekalipun hanya 20-30 minit untuk ajarkan mereka al-Quran. Ini juga adalah “quality time” untuk mereka. Bagi bayi dan kanak-kanak yang masih kecil, ditunjukkan flash card atau buku iqra’.
2- Jika tidak mampu, cari mereka yang boleh mengajar al-Quran. Ibubapa juga, jika tidak berkemampuan untuk membaca, juga perlu belajar, buangkan sikap ego dan malu kerana takut dikatakan sudah tua tetapi tidak boleh membaca al-Quran. Belajar dan perbaiki bacaan sebagai bekalan di kemudian hari.
3- Di dalam kenderaan, pasangkan CD al-Quran agar menjadi halwa telinga kita dan mereka.
4- usah berkira dalam menyalurkan belanja untuk pendidikan al-Quran anak-anak. Samada untuk mencari orang mengajar, atau membeli bahan bacaan atau seumpamanya.
5- Perbaiki diri sendiri agar menjadi tauladan untuk anak-anak. Membaca al-Quran bersama-sama mereka atau dihadapan mereka.
Didalam surah an-Nahl, ayat 78, Allah berfirman:
}وَاللهُ أَخْرَجَكُم مِّن بُطُونِ أُمَّهَاتِكُمْ لاَ تَعْلَمُونَ شَيْئًا وَجَعَلَ لَكُمُ الْسَّمْعَ وَالأَبْصَارَ وَالأَفْئِدَةَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ{
Yang bermaksud, ““Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam Keadaan tidak mengetahui sesuatupun, dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan hati, agar kamu bersyukur”.
Allah mendahulukan perkataan as-Sam’u (pendengaran), kemudian diikuti al-absar (penglihatan) dan al-afidah (hati). Ini kerana fitrah kejadian manusia itu dimulakan dengan pendengaran. Sebagaimana saranan Rasulullah untuk mengazankan ketelinga bayi sewaktu ia dilahirkan. Agar mudah-mudahan kalimah Allah yang mulia itu yang mula-mula masuk kedalam jiwa mereka.
Begitu juga dengan pendidikan al-Quran anak-anak. Sejak mereka kecil, mereka tidak tahu untuk membaca namun mampu untuk mendengar. Wahai para ibu dan bapa, usah jemu untuk membacakan kepada mereka sekurang-kurangnya bermula dengan buku iqra’ yang kita bacakan untuk mereka.
Jika kesempatan waktu boleh dicari untuk membacakan mereka pelbagai buku cerita, lakukanlah perkara yang sama dengan al-Quran ini. Perdengarkan kepada mereka aluann ayat-ayat al-Quran dan zikrullah ketika dalam kenderaan bersama-sama mereka. Mudah-mudahan mereka menjadi insan yang celik al-Quran, pemimpin hebat masa hadapan.
Allahuakbar!. Betapa besarnya AmanahMu ini untuk kami ya Allah…Berikan kami kekuatan, ketabahan, ketaqwaan dalam mendidik anak-anak kami agar menjadi insan Soleh, berjaya didunia dan di diakhirat.
Semoga Madrasah Ramadán adalah masa yang terbaik untuk kita terus mengorak langkah!!! Amiin, insyaAllah…
No comments:
Post a Comment