Monday, July 21, 2008

Sokongan Ibu bapa perlu demi kecemerlangan Akademik dan Syakhsiah anak-anak..

Hari Jumaat bulan lepas (20/6/2008) adalah merupakan hari Kad Laporan Kemajuan Pelajar Sek. Men. Islam Al-Amin Gombak. Sebenarnya saya agak terkilan sedikit sebab tidak dapat menghadirkan diri pada hari tersebut. Orang yang menjaga anak saya tidak ada pagi tu dan pada masa yang sama juga suami saya menggunakan kereta untuk ke UM dari pagi sampai petang. Jadi mahu tidak mahu saya perlu tinggal bersama Uways dirumah.

Saya sebenarnya dalam tempoh bercuti selama sebulan (Jun) atas sebab peribadi. Saya telah memohon cuti daripada pihak sekolah untuk bercuti selama 2 bulan dengan harapan dapat menyiapkan thesis sekurang-kurangnya 80%. Tetapi Alhamdulillah sekolah mengizinkan saya bercuti selama sebulan. Itupun amat besar maknanya kepada saya. Terima kasih banyak kepada Pengetua Tn. Haji Hasni dan k.Alia. Alhamdulillah, thesis proposal saya sudah siap dan insyaAllah akan dibawa masuk ke department seterusnya ke kuliah. Bertungkus-lumus saya mencari bahan dan maklumat berkenaan tajuk thesis. Seharian juga saya berada di Library UIA dan Al-Ghazali Research Centre, HS Building UIAM. Dari pukul 8 atau 9 pagi sampai 5 petang. Boleh dikatakan setiap hari. Saya tak dapat bayangkan sekiranya pada masa yang sama saya bekerja. Berat juga sebenarnya. Penat disiang hari terasa kesannya pada malam hari. Badan letih, Otak penat.. Tanyalah pada sesiapa yang bekerja sambil belajar. Kemungkinan besar proposal saya pun belum tentu dapat disapkan sepenuhnya. Alhamdulillah atas nasihat suami saya, saya mohon cuti. Alhamdulilah ‘ala kulli hal..

Berbalik kepada hari Kad Laporan Pelajar. Saya sebenarnya ingin sangat untuk bersama-sama bertemu dengan ibu bapa anak didik saya pada tahun ini, 2008. Saya juga ingin mengetahui prestasi mereka. Samada lebih baik “perfomance” mereka daripada pelajar kelas saya pada tahun lepas ataupun sebaliknya. Tahun ini merupakan tahun ke-2 saya menjadi guru kelas tingkatan 3 Ar-Razi.

Selama saya menjadi guru sekolah dalam tempoh 1 tahun 6 bulan ni, ada beberapa perkara yang dapat saya ambil iktibar. Maklumlah budak hingusan lagi dalam bidang pendidikan. Dan masih bertatih menjadi ibu bapa. Antaranya yang akan saya sentuh di dalam entri kali ini adalah :
1) Penglibatan ibu bapa sangat diperlukan di dalam aktiviti-aktiviti sekolah anak.

Penglibatan ibu bapa sangat diperlukan di dalam aktiviti-aktiviti sekolah.

Apa yang saya perhatikan, kebanyakan pelajar yang cemerlang dan baik akhlaq ataupun yang kurang perform namun baik akhlak adalah dikalangan anak-anak yang ibu bapa mereka sangat perihatin dengan aktiviti sekolah serta aktiviti anak-anak mereka di sekolah. Maknanya ibu bapa perihatin terhadap apa yang berlaku kepada anak-anak mereka di sekolah.

Satu contoh yang sangat jelas dihadapan saya. Anak kepada pensyarah saya ketika saya di UIAM, Ust. Fuad dan Ustz. Sofiah. Amir Fuhairah namanya. Saya sangat mengagumi ust. dan ustazah saya. Dalam kesibukan bekerja sebagai pensyarah, masih ada masa untuk mengambil berat tentang anak-anak dan aktiviti yang sekolah buat. Boleh dikatakan program penting sekolah saya akan jumpa samada ust sendiri atau ustz. Contohnya, Hari Kad Laporan Pelajar, Hari PIBG, Hari Anugerah pelajar dsb.. Mungkin juga sebab SMIAG hanya bersebelahan dengan UIAM. Namun, pada saya jauh atau dekat bukanlah satu alasan yang kukuh untuk ibu bapa tidak dapat menghadirkan diri di dalam program penting sekolah, walaupun tidak semua program.

Ada ibu bapa yang tidak dapat hadir pada hari kad laporan kemajuan pelajar. Alasan yang biasanya diberikan bila ditanya kepada anak-anak mereka. “Kenapa mak atau ayah kamu tak datang?”. “Mak ayah saya sibuk cikgu, kerja…”. Aduh..Sedihnya saya apabila ayat ini yang sering saya dengar. Apalah sangat nilai kerja sampai tidak boleh “lari” sekejap ke sekolah. Bukannya sehari diperlukan. Hari Jumaat antara pukul 2.00- 5.00 ptg. Itu pun cuma tempoh yang diberikan, terpulang kepada ibu bapa, pukul berapa yang boleh datang. Pada saya hari “report card” itulah masanya untuk ibu bapa mengetahui prestasi anak-anak mereka setelah sekian lama sibuk bekerja! Bukan prestasi akademik sahaja , namun yang lebih penting adalah prestasi akhlaq anak-anak mereka di sekolah. Mungkin di rumah ibu bapa nampak yang anak mereka seorang yang tiada masalah tetapi keadaan sebaliknya pula yang berlaku di sekolah.Yang pastinya, ada anak-anak yang gembira sekiranya ibu bapa mereka tidak datang. Takut kena marah. Namun ada juga yang beranggapan ibu bapa mereka tidak kisah banyak mana pun yang dapat. Ada juga yang merasakan ibu bapa mereka tidak mengambil berat tentang apa yang berlaku padanya di sekolah.

Ada juga sesetengah ibu bapa yang tidak hadir ke Hari Anugerah Pelajar ( Hari Takrim ). Mungkin sesetengah ibu bapa tersebut mempunyai alasan tersendiri. Apalah agaknya perasaan anak-anak ini sekiranya ibu bapa mereka tidak hadir pada hari yang amat bermakna itu pada mereka. Hari gembira yang patut diraikan bersama ibu dan ayah, namun terpaksa bergembira hanya bersama rakan-rakan dan guru-guru…

Saya yakin, ibu bapa tersebut pasti mempunyai alasan tersendiri kenapa mereka tidak “turun padang” bersama-sama dengan pihak sekolah untuk program penting sekolah. Kita tidak nafikan kesibukan ibu bapa mencari nafkah kepada keluarga. Namun masih ada ibu bapa yang walaupun sibuk bekerja sebagai jurutera, akauntan, businessman dsb masih boleh meluangkan masa untuk anak-anak dan pihak sekolah. Golongan ibu bapa seperti inilah yang amat saya kagumi. Orang lain boleh, kenapa yang lain tidak? Tepuk dada, tanyalah iman..

Walau apapun alasan yang diberikan, apa yang diharapkan adalah sokongan yang ditunjukkan daripada ibu bapa. Itu amat besar ertinya kepada pihak sekolah dan yang lebih penting kepada anak-anak. Sudah tentu anak-anak akan merasakan yang ibu bapa sangat mengambil berat tentang dirinya.

Saya teringat ketika zaman persekolahan dulu. Saya sangat excited menunggu ayah atau mak saya datang pada hari “report card”. Walaupun ada ketika result saya tidaklah cemerlang mana pun.. Tapi itu tidak penting pada saya. Yang penting, ayah atau mak saya hadir melihat dan memberi komen atas prestasi saya, serta berbincang dengan guru kelas saya. Hari yang paling bahagia adalah ketika saya telah dinobatkan sebagai Pelajar Mithali Sekolah ketika di Maktab Mahmud tahun 2001. Mak dan ayah serta family hadir bersama-sama meraikan kejayaan saya ketika itu. Saya dapat rasakan yang mak dan ayah sayangkan saya. Saya sayang mak dan ayah saya! Terima kasih atas didikan agama dan akademik yang telah diberikan!.


Apa yang dilontarkan sekadar ingatan untuk diri sendiri yang masih mentah dan bertatih dalam menjadi ibu bapa. Semoga ia menjadi satu muhasabah untuk diri kita semua. Allahua’alam.

Semoga Allah memberi kita petunjuk dan hidayahnya dalam mendidik anak-anak menjadi anak-anak yang Soleh dan Solehah. Kebanggaan ibu bapa, keluarga, agama dan negara.. Sokongan ibu bapa amat besar maknanya pada mereka..






-kenangan bersama Sultan Kedah ketika dinobatkan sebagai Pelajar Mithali tahun 2000 (Majlis 'Idul Ilmi Maktab Mahmud 2001)




“Ya Allah..berikanlah kami kekuatan, kesabaran, dan bantuan dalam mendidik anak-anak kami di zaman yang penuh cabaran ini”….

Anugerah Antara Pelajar Cemerlang Kedah SPM 2000 di Wisma Darulaman. Sultan Kedah : Sultan Abdul Halim Muadzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah

No comments: