Monday, June 23, 2008

Mudahnya memberi gelaran ustaz…



Panggilan serta gelaran ustaz sangat sinonim dengan imej seseorang yang berjanggut, memakai kopiah, berbaju melayu dan kadang-kadang berjubah. Didalam masyarakat melayu, gelaran ini sering digunakan untuk menghormati seseorang yang memiliki ciri-ciri imej agama. Gelaran ini timbul mungkin kerana imej berkopiah dan berjanggut adalah petanda kepada kealiman dan kebaikan seseorang dan ianya menjadi adat kebiasaan bagi orang baik-baik di dalam masyarakat.

Apabila seseorang berkebolehan untuk membaca doa, memimpin bacaan yasin dan tahlil, secara automatik gelaran ini akan terus kekal sehinggalah masyarakat sekitar memanggil individu tersebut Ustaz, Tuan Imam dan sebagainya.
Gelaran ini bukan terhenti sekadar gelaran semata-mata tetapi masyarakat sekitar akan mula melontarkan pelbagai persoalan yang berkaitan dengan hal-ehwal agama. Persoalan yang diajukan oleh masyarakat kepada “ustaz” kadang kala memerlukan satu kajian yang mendalam dan mungkin memakan masa yang lama untuk sampai kepada jawapan. Tidak mungkin kita mengiktiraf kesemua individu berkopiah dan berjanggut sebagai mahir agama dan layak untuk dipanggil ustaz. Ini sesuatu yang sangat berbahaya. Bayangkan jika kesemua individu yang memakai jubah Dr layak digelar Dr. Apa yang akan berlaku…??. Bayangkan sekiranya segala perubatan dan jaminan ubat-ubatan diberikan kepada kita, sedangkan dirinya tidak berkelulusan didalam bidang tersebut!
Ini kerana al-Quran telah memberikan garis dasar iaitu kita dilarang daripada memperkatakan tentang sesuatu yang kita tidak tahu mengenainya. Allah mengingatkan kita di dalam surah al-Isra’ ayat 36,

“ dan jangan kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya”.
Disini penulis cuba memberikan sedikit lontaran idea agar konsep penggunaan gelaran ustaz dapat diperbetulkan di dalam masyarakat. Bukannya dengan sewenang-wenangnya gelaran ini dapat diberikan kepada seseorang. Hanya berdasarkan imej berkopiah serta berjanggut.
Institusi keagamaan memerlukan ustaz-ustaz yang mempunyai tahap penguasaan ilmu yang mantap serta daya kepimpinan yang tinggi, seterusnya memberikan solusi kepada permasalahan umat. Perkataan ustaz berasal dari bahasa arab ustaz dan asatizah yang membawa maksud muallim, mudarris, dan mudabbir. Gelaran ini biasanya diberikan kepada individu-individu yang mempunyai keluasan ilmu di dalam bidang agama. Mereka ini biasanya adalah tokoh-tokoh akademik di dalam bidang agama. Ia juga boleh diaplikasikan untuk bidang-bidang yang lain.
Di dalam dunia moden kini, gelaran ustaz boleh disamakan dengan taraf profesor. Jika dinilai dari sudut dunia akademik, mereka ini telah memiliki ijazah, MA, ataupun PhD di dalam bidang agama. Ini menunjukkan untuk sampai kepada gelaran ini bukan sesuatu yang mudah. Begitu juga dengan gelaran Doktor, Ir dan sebagainya, gelaran ini tidak mungkin diberikan kepada sesiapa sahaja tanpa melalui proses yang sepatutnya kerana ia merupakan satu pengiktirafan yang memberikn ruang yang seluas-luasnya kepada individu yang layak untuk mempraktikkan ilmunya.
Apabila isu Dr palsu timbul di dalam masyarakat, ianya menjadi satu isu besar yang perlu diperangi. Ini membuatkan kesemua Dr perlu berdaftar dibawah satu badan khusus untuk memastikan gejala Dr palsu dapat dihapuskan. Doktor-doktor palsu ini boleh membahayakan masyarakat. Namun, apabila wujudnya Ustaz-ustaz yang mungkin tidak ada kelayakan ini timbul ianya tidak diperangi malah turut dipandang sebagai satu isu picisan. Isu ini hanya akan dipaparkan oleh media cetak apabila mereka memimpin ajaran sesat, menikahkan pasangan tanpa permit, ataupun terlibat dalam kes-kes jenayah. Dalam keadaan tertentu, ada juga “ustaz” yang ditonjolkan dengan imej artis (penghibur berunsur dakwah) dan sebagainya untuk melariskan sesuatu produk.
Bukan semua yang bergelar ustaz, tok lebai, tok imam dinilai atas kemampuan memimpin solat jamaah, berwirid secara kuat selepas solat, ataupun yang berjanggut sahaja. Bahkan lebih malang lagi, segelintir daripada mereka tidak mempunyai pengetahuan agama yang memuaskan. Kadangkala mereka hanya mampu untuk berceramah dan berpidato tetapi malangnya hadis yang dibaca adalah palsu!! Kisah-kisah yang mereka ceritakan kepada umum adalah kisah Israiliyyat dan mungkin menyalahi tabiat agama.
Jika dinilai dengan akal yang rasional dan matang, ustaz-ustaz segera ini perlu dibendung dan ditangani lebih dari Dr palsu. Kesalahan memberikan perskripsi ubat oleh Dr palsu mungkin menyebabkan sakit tidak sembuh ataupun mungkin pesakit kehilangan nyawa. Tetapi kesilapan di dalam memberikan pandangan tentang isu-isu agama mungkin membawa kita kepada kemurkaan Allah. Untuk mengatasi masalah ini maka hendaklah masyarakat mempunyai satu kesedaran iaitu merujuk permasalahan mereka kepada individu yang memang arif di dalam bidangnya.
Sepatutnya seseorang muslim yang cintakan agama sentiasa memastikan apa yang diamal dan dipercayainya berasaskan sumber-sumber Islam yang diiktiraf. Ini kerana sejarah salafussoleh dikalangan para sahabat contohnya, mereka adalah sebaik-baik kurun dan paling baik kefahaman di dalam urusan agama. Al-Bukhari meriwayatkan sebuah hadith “ sebaik-baik kurun adalah kurunku…” namun, mereka masih merujuk kepada individu-individu tertentu seperti ibnu umar sebagai faqih di Madinah, ibnu Mas’ud faqih di Iraq, Sufyan ath-Thaurie di Kufah dan sebagainya untuk mendapatkan jawapan yang tepat sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah dan Rasul. Ini kerana kemampuan mereka untuk memahami nas-nas agama adalah berbeza-beza.
Inikan pula kita yang hidup di zaman yang jauh dari Rasul dan sahabat. Gejala memberikan gelaran ustaz secara mudah ini mungkin disebabkan oleh masyarakat kita tidak mampu membezakan diantara ilmuan berkopiah, individu berjanggut memakai kopiah, ataupun yang berjanggut sebagai satu lambang semangat kerohanian yang tinggi tetapi tidak mempunyai tahap ilmu yang memuaskan.
Kesimpulannya penulis suka untuk memetik kata-kata tabi’ besar Muhammad bin Sirin (wafat 110H) “ sesungguhnya ilmu ini ( mengenai pemahaman al-Quran dan Sunnah ) adalah Din ( agama dan panduan hidup untuk sampai dan diterima oleh Allah). Oleh itu perhatilah daripada siapa kamu semua mengambil agama kamu”.
Kata-kata nasihat ini diucapkan oleh tabi’ ini sejak lebih seribu tahun dahulu mungkin kerana umat Islam tidak berupaya untuk menilai antara ustaz, orang yang berkopiah dan berjanggut. Oleh yang demikian, janganlah terlalu mudah untuk kita menggelar seseorang dengan gelaran ustaz tanpa mengetahui latar belakang bidang keilmuannya di dalam bidang agama. Sebaliknya martabatkanlah institusi agama dengan merujuk kepada ustaz-ustaz yang berkemampuan dari sudut keilmuannya dan bertaqwa kepada Allah. Semoga Allah sentiasa memberikan hidayahNya kepada kita semua.

1 comment:

Anonymous said...

ada seorang penyanyi..yg dah insaf dr sorang rockers pun dipanggil ustaz..sejauh mana kualiti label seoarng "ustaz"??