Wednesday, June 15, 2005

'back to the future..'

"Bingkisan Puteri Balqis" ni tercetus apabila sahabat dinaluzriq pernah mengadu hal pada dinaluzriq. Ala..biasala 'hal-hal yang sebegini'. Tapi Bingkisan ini pun bukan ditujukan khas buat dirinya sahaja, juga buat diri saya sendiri dan sahabat-sahabat yang lain. Ambil apa yang baik, dan tinggal apa yang tidak baik..ok.. ;)
Image hosted by Photobucket.com
Binkisan Puteri Balqis..

Semadah Kasih.. Sejambak Ikhlas dan Sayang dariku untukmu..

Salam perkhabaran ukhuwwah dariku. Moga dirimu tika ini bersulamkan kenikmatan Iman dan Islam dariNya. Di perkhabaran ini, izinkan kulayangkan secebis bingkisan ingatan buat tatapan arjunamu. Moga ia bak sinar pelita, bila kelam menyapa jua bak desiran angin lembut menderu bila taufan agung, laluannya ditingkah bisu. Pandanglah ia sebagai kata-kata ikhlas dari seorang sahabat untuk sahabatnya yang disayangi kerana Allah…

Saudariku yang dihormati,

Diri ini amat kerdil dan tidak layak kurasakan untuk menasihati insan lain. Walau diri ini penuh disaluti dosa dan noda, kugagahi jua tangan dan mindaku mencoretkan kalam terindah untuk tujuan yang satu buat teman yang kurasakan lebih mulia akhlak dan sempurna peribadinya.. Demi Allah! Apa yang bakal kutitipkan ini adalah keranaNYA. “Lihatlah pada apa yang disampaikan, bukan pada yang menyampaikan..” Namun sahabatku, renung-renungkanlah kata-kata ikhlasku ini. Untuk menerima mahupun tidak, terpulanglah pada dirimu..

Jua kutujukan khas buat diriku yang serba dhaif ini. Satu hakikat yang pasti, tangan yang menaip ini lebih dekat dengan keyboard di komputer dan hati yang berbisik ini lebih hampir dengan jiwa yang merasai…

Ukhti yang dirahmati Allah,

Aku meyakini, dirimu mendambakan keinginan disayangi dan menyayangi. Ia fitrah insani. Fitrah yang Allah lemparkan sebagai nikmat yang cukup berharga. Alangkah bahagianya diri andai ada insan yang sudi berkongsi cerita suka duka bersama. Insan yang berjanji kan sentiasa disamping. Insan yang boleh dirindui selalu. Insan sebagai pembakar semangat dan pengubat jiwa. Insan yang boleh dicurahkan segala kasih dan sayang. Insan yang boleh dijadikan teman pendamping setia dikala susah dan senang.

Namun saudariku, beringat-ingatlah ..

Usah terlalu mudah memberi dan menerima cinta. Simpan dan berilah sepenuhnya cinta itu kepada orang yang selayaknya sahaja. Bukan pada insan yang bergelar kekasih hati dan bukan yang bergelar teruna pujaan sukma. Tetapi, insan yang bukan sahaja bergelar kekasih hati, malah pendamping setia dan tempat rujukan serta berbincang segala perkara. Itulah suamimu, kekanda pujaan hati. Cinta dan sayang itu hanyalah untuk dirinya.

Terimalah diri suamimu seadanya. Allah pasti menjanjikan yang terbaik buat dirimu andai itu yang dipinta dan itu yang dido’akan. Tiada manusia yang sempurna di dunia ini termasuk juga dirimu. Insan biasa bukanlah para nabi, bukan para malaikat malah bukan juga Tuhan!.

Saudariku, “Tidak perlu mencari teman seindah Sulaiman jika diri tidak secantik Balqis, mengapa mengharap teman setampan Yusoff jika kasih tidak setulus Zulaikha, tidak perlu diri mencari teman seteguh Ibrahim jika diri tidak sekuat Sarah dan Hajar. Jangan mengharap teman sehebat Ali jika diri tidak semulia Fatimah, Mengapa mendamba teman sesempurna Rasulullah jika diri tidak seistimewa Khadijah …”
Ingat dan yakin satu sahaja pada firman Allah;
“Perempuan yang baik adalah untuk lelaki yang baik. Dan lelaki yang baik adalah untuk perempuan yang baik” –(An-Nur: 26)

Syurga Allah untuk dirimu segala-galanya terletak bagaimana dikau membina ‘syurga’ untuk dirinya. Oleh itu, jadilah seperti tanah yang berbakti. Tanah yang boleh dipijak oleh kedua tumit suamimu agar dia menjadi insan yang paling bahagia didunia.

Namun saudariku, aku amat pasti, apakan daya diri seandainya cinta itu datang tanpa diduga. Cinta itu hadir tanpa dipinta dan Cinta itu lahir tanpa dipaksa. Sekiranya itulah yang dikau hadapi, berpada-padalah dalam menerima kehadiran insan yang sudi menjadikan dirimu suri dan permaisuri hati di dalam hidupnya. Jagalah perhubungan yang dilalui dengan berpaksikan cintaNya yang satu. Perhubungan yang berniatkan ikhlas untuk memenuhi tuntutan Ilahi dan Sunnah Rasul junjungan.

Namun demikian, berwaspadalah wahai saudariku,
Syaitan sentiasa mencari peluang untuk menyuntik jiwa manusia dengan suntikannya yang tajam lagi berbisa. Suntikan pelalian yang bisa mengkhayalkan manusia dengan kemaksiatan. Khayalan yang bisa memalingkan cinta Ilahi kepada cinta duniawi. Ramai yang terkorban kerana cinta. Ramai yang hanyut dek gelodak asmara. Ramai yang rosak disebabkan cinta. Kerana kasih dan sayang yang diberikan bukan kepada insan yang belum lagi sah menjadi milikmu..

Saudariku yang dikasihi, ingatlah..
Memberi dan menerima cinta insani amat mudah berbanding memberi dan menerima cinta Ilahi. Cinta Ilahi.. Itulah hak yang perlu dikau tunaikan terlebih dahulu. Amanah dan tanggungjawab seorang hamba sebagai khalifah dimuka bumi. CintaNya itu memerlukan dikau supaya sentiasa muraqabah (sentiasa hampir denganNya) dan mujahadah diri (melawan hawa nafsu) sentiasa.

Ingatlah 5 wasiat Rasulullah yang telah ditiggalkan buat umatnya. Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abdullah bin Abbas r.s, katanya : Aku pernah menjadi pendamping Rasulullah s.a.w lalu baginda berkata :

“Wahai anak, sukakah engkau aku ajarkan beberapa kalimat yang dengannya Allah mendatangkan manfaat bagimu?” Aku menjawab: Tentu sekali, ya Rasulullah!” Maka baginda berkata: “Peliharalah (hak-hak) Allah, nescaya Allah memelihara engkau, peliharalah Allah maka engkau mendapati Dia mengadap kepadamu, kenalilah Allah ketika senang, maka Allah mengenalimu ketika susah. Dan jika engkau meminta, mintalah kepada Allah; dan jika engkau minta tolong, meminta tolonglah kepada Allah”.

Ya Ukhti alkarimah,
Namun, seandainya belum ada lagi insan yang sudi menjadikan dikau permata hatinya, usah resah dan gelisah. Usah terasa gersang dan gundah gulana. Allah ingin memelihara dirimu sebenarnya. Allah pasti menjanjikan yang terbaik buat dirimu selagimana dikau thabat dan yakin denganNya. Cuma masanya bukan sekarang. InsyaAllah, waktu dan saat itu pasti akan tiba.

Saudariku yang disayangi,

Usah jemu untuk meminta kepada Allah. Itu yang disukai Allah malah, jauh sekali untuk ditolak olehnya. Sebagaimana Allah menyebut didalam Al-Quran yang bermaksud, “Berdoalah kepadaku, nescaya akan aku perkenankanmu”. Dan Syair juga ada menyatakan, “Allah marah jika tidak memohon kepadanya; sedang manusia marah ketika ia sedang diminta.”

Berdoalah kepada Allah semoga Allah menemukan dirimu dengan insan yang sentiasa melabuhkan cintanya kepada Allah. Cintanya itu pula boleh membawa dirimu menemui cinta agung Ilahi. Seseorang yang sentiasa mengharapkan redha dan berkat dari Allah. Seseorang yang sentiasa hatinya terikat dengan rumah Allah. Seseorang yang sentiasa memikirkan dan membantu untuk kebaikan ummah. Seseorang yang sentiasa membaiki dirinya untuk mencapai maqam hasanah (kedudukan kebaikan yang mulia di sisi Allah). Yakinlah bahawa hanya Allah adalah penentu kejayaan sesuatu usaha dan ikhtiar.


Saudariku yang dirahmati Allah,

Kunoktahkan kalam hati ini dengan bunga puisi, moga taman ukhuwwah makin berseri…

Sayap kiri sejati,
(khas buat Srikandi Islam: Sayap kiri sejati)

Sayap kiri, srikandi sejati..,
Tunjangilah hatimu dengan Iman yang hakiki
Warisilah Akalmu dengan Ilmu duniawi dan ukhrawi..
Latihlah dirimu dengan Syariat dan Akhlak Islami..

Sayap kiri, srikandi mithali
Perkasailah Ilmu mendepani cabaran
Sebagai persediaan mengharungi rintangan
Untuk Malahirkan generasi yang berkualiti dan berperanan
demi mendaulatkan Islam yang suci..

Teguhkan pendirian..tingkatkan kekuatan..
Sematkan dijiwa..
Pahatkan diminda..
Bukan atas desakan cinta..
Bukan atas kelalaian jiwa
Bukan atas dorongan nafsu
Tetapi berpaksikan dorongan cintaNya yang satu..

Taati Allah..Taati Rasulullah..
membentuk dirimu menjadi Mujahidah Ansarullah..

Itulah sayap kiri yang sejati…

Semoga dirimu terus
“Istiqamah mendepani cabaran!”..

Puteri Balqis



- MMI-IIUM-(25 Mei 2005)- home

3 comments:

dinaluzriq said...
This comment has been removed by a blog administrator.
dinaluzriq said...

ada org tnya kenapa dinaluzriq guna gaya bahasa lama?mcm thn 40an / 50an..:)sebenarnya saja..tidak ada apa2 makna..

nak gun gaya bahasa sastera tak terer, sbb dinaluzriq bkn ahlinya..

p/s:lgpn suka menonton filem2 lama..lbh bermanfaat filemnya dan mendalam maksud lagu sbg pengajaran ..(kebanyakan filem2 lama mcm tu, berbanding skrg yg ntah apa2...)

- suka cerita 'gurindam jiwa'(yg lagu "tuai padi antara masak")

Anonymous said...

..tidaklah lama itu maksudnya ketinggalan..
..tidaklah lama itu kelam di arus kemodenan..
..yang lama itu itu..
..nyatanya penjelas seribu persoalan..
..buat menghakis riak insan..
..yg semata mengejar pembaharuan..