Pilihan artis atau selibriti untuk berhijrah
adalah sesuatu yang tidak asing lagi kini. Kalau dahulu, apabila telah berhijrahnya seseorang artis (biasanya selepas kembali dari tanah suci), pasti akan ada "cakap-cakap" orang yang mengatakan, "tengoklah tu, sekejap sahaja, nanti buka baliklah tudung tu". Samada orang kata atau tidak, memang itu yang selalunya akan berlaku. Namun, itu semua cerita dahulu.
Tetapi, kini, biasanya insyaallah dan alhamdulillah, apabila adanya artis atau selibriti yang berhijrah, insyaAllah hijrahnya itu akan kekal malah menjadi semakin baik. Alhamdulillah. Tindakan mereka yang memulakan tindakan itu saharusnya dipuji bukan dikeji walaupun pada permulaannya itu masih ada yang perlu diperbaiki. Itu tidak mengapa, mudah-mudahan mereka berkesedaran dan menjumpai apa yang sepatutnya. Kebaikan yang dilakukan itu perlu diraikan bersama. Kalau dikalangan manusia pun sudah dipuji, apatah lagi pada pandangan Allah dan Rasulnya.
Dakwah dan Pahala Free
Golongan ini menjadi golongan yang tindak
tanduknya pasti mendapat perhatian. Agak berat apabila segala perkara yang
mereka lakukan pasti akan ditiru peminat atau orang awam. Jika ianya sesuatu
yang positif, Alhamdulillah betapa banyak pahala free yang telah dijana.
Selibriti samada seorang lelaki mahupun
wanita, jika tindakan atau perbuatan baik yang mereka lakukan itu ditiru oleh
orang lain, betapa banyaknya MLM pahala yang dikumpul. Bukankah tempat didunia
ini untuk menjana pahala sebanyaknya? Jika bagi mereka yang yakin bahawa Allah
akan membalasnya di akhirat kelak.
Firman Allah S.W.T.:
Firman Allah S.W.T.:
مَنْ عَمِلَ صَالِحاً مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَى وَهُوَ
مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُم
بِأَحْسَنِ مَا كَانُواْ
يَعْمَلُونَ
“Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia
beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang
baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang
lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.” (Surah
an-Nahl: 97)
وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا
وَقَالَ إِنَّنِي مِنْ الْمُسْلِمِينَ
“Siapakah yang terlebih baik perkataannya dari orang
yang menyeru kepada Allah (agamaNya) dan beramal soleh.” (Surah Fussilat:
33)
Berdakwah dengan tindakan ini lebih berkesan
daripada dengan kata-kata. Dakwah ini bukan hanya milik para ustaz ustazah dan
orang agama sahaja. Secara umum, semua yang bergelar khalifah Allah
bertanggungjawab untuk menyeru orang lain juga ke arah kebaikan.
Bagi golongan selibriti ini, untuk meraih
dan menjana pahala sangat mudah dan banyak. Kuncinya satu sahaja, buat semua
yang baik-baik, nasihati orang lain untuk turut sama berbuat baik. Bayangkan
jika nasihat, perkara baik yang peminat lakukan, contohnya berubahnya seseorang
daripada kejahilan kepada kebaikan atas sebab selibriti tersebut, betapa “pahala
percuma” yang dia dapat. Apatah lagi betapa ramainya “follower” selibriti
tersebut.
Satu kisah mudah. Jika selibriti yang belum
menutup aurat. Beliau mengambil keputusan untuk menutup aurat dengan niat pada
asalnya bahawa, “ingin berubah dan berhijrah”. Sekalipun pada ketika itu belum
hadir “keikhlasan”. Namun atas keyakinan bahawa dia ingin patuh dan ikut
perintah Allah.
Perubahan berperingkat dan terus mencari ilmu. Bermula dari mula memakai tudung dan tidak memakai pakaian yang ketat, kemudian labuhkan tudung dengan menutup bahagian dada dan seterusnya.
- Tindakan :
berubah untuk menutup aurat
- Ilmu : usah
lekok untuk terus mempelajari ilmu. Hadiri usrah atau majlis ilmu.
- Sokongan:
mencari dan sentiasa bersama sahabat-sahabat yang turut mengambil langkah
untuk berubah. Untuk saling mengingati dan menguatkan.
- Doa :jangan lupa untuk terus berdoa agar Allah tetapkan hati dalam membuat kebaikan.
Izinkan saya mengambil satu sahaja contoh penghijrahan artis. Irma Hasmie:
"Alhamdulillah, sudah sampai masa untuk
saya bertudung, sukar nak jelaskan mengapa saya ambil keputusan secepat ini,
tetapi ini semua kerja Tuhan, dan bila sudah sampai seru-Nya, saya hanya
menerima.
"Kalau boleh, saya tidak mahu cerita
saya bertudung terlalu diberi perhatian sebab takut disalahertikan niat
sebenarnya, walaubagaimanapun saya yakin lambat laun semua orang akan
mengetahui juga."Saya bersyukur dan gembira dengan kehidupan saya
sekarang, saya lebih tenang dan lebih banyak belajar. Tiada siapa yang memaksa
saya tampil begini, semuanya berlaku secara natural. Alhamdulillah, setelah dua
minggu pulang ke Malaysia, ramai yang menerima baik niat saya ini,"
Mengerjakan umrah bersama ibu dan adiknya,
jelas Irma, dia mengambil kesempatan itu untuk berdoa sebanyak yang mungkin.
"Satu perkataan yang dapat saya
gambarkan tentang Mekah adalah Subhanallah. Saya sangat bersyukur diberi
peluang untuk menjejakkan kaki ke tanah suci ini."Memang seronok berada di
sana, saya dapat lihat sendiri betapa hebat dan ajaibnya ciptaan Tuhan. Saya
memang tidak mahu melepaskan peluang untuk berdoa, macam-macam doa saya minta.
"Selama 29 tahun saya hidup dibumi ini,
saya mohon diampunkan segala dosa yang pernah dilakukan, diberi rezeki dan
jodoh yang baik," jelas Irma yang turut memohon ditenangkan hati setiap
masa.
Musibah?
Apa yang ingin dikatakan disini, bukanlah musibah kerana selibriti itu telah berubah. Sebaliknya “musibah” kepada segolongan penggiat seni yang tidak suka untuk mereka ini berubah. Pada mereka mungkin “tidak boleh cari makan”, mungkin akan "membantutkan" industri seni tanah air, ataupun mungkin akan timbul perasaan ,"Nanti semua orang buat baik sahaja, ini tidak boleh, dan itu tidak boleh".
Musibah yang dimaksudkan juga adalah sebenarnya “dugaan,
ujian serta cabaran” yang perlu dihadapi oleh selibriti tersebut dalam
berhadapan dengan sesiapa yang tidak suka atau menyimpan hasad pada diri
mereka.
Yakin hanya satu, kita buat kebaikan itu
bukan untuk memenuhi keredhaan mereka, sebaliknya apa yang diburu adalah
keredhaan Allah yang lebih utama.
Saya pernah menonton satu rancangan
televisyen secara tidak sengaja yang memaparkan kembali lakonan dan program
bual bicara yang “sudah basi” itu. Ia menampilkan selibriti yang telah berubah
ini pada “zaman belum berhijrah” mereka. Satu sitcom "Spanar Jaya" lakonan Wardina Safiyyah dan satu
lagi program bual bicara (saya tak ingat tajuknya) bersama Nora.
Saya tidak pasti apa niat sebenar “orang
yang bertanggungjawab” itu menayangkan semula rancangan tersebut. Samada ia
dilakukan oleh orang Islam sendiri atau sebaliknya wallahu’alam. Apa yang pasti, selibriti tersebut sudah
tidak berdosa kerana mereka sudah berhijrah. Orang yang bertanggungjawab itulah
yang akan menaggungnya kelak.
Ada satu rancangan terbaru di Astro Ria.
“Hijrah Selibriti” yang dihos oleh Mawar yang baik niat programnya namun, pada saya ada
sedikit kelemahan yang perlu diperbaiki. Rancangan itu menceritakan detik
penghijrahan selibriti. Alhamdulillah, mudah-mudahan ramai yang mendapat manfaatnya. Namun, aspek
gambar yang tidak menutup aurat sebelum
ini, amat wajar tidak didedahkan untuk tatapan umum. Yang berlalu, biarkan
berlalu. Bukan kita ingin melihat selibriti tersebut pada kisah silamnya. Aspek
positif perubahan itulah yang perlu ditonjolkan.
Semoga lebih ramai selibriti berkesedaran
untuk berhijrah. Saya yakin ramai yang mempunyai niat tersebut, Namun ada
sedikit perasaan takut atau belum bersedia. Yakinlah untuk zahirkan niat kepada
tindakan. Disamping belajar dan terus belajar dalam memperbaiki diri. InsyaAllah bukan hanya akan disayangi manusia sekeliling, yang lebih utama, akan disayangi Allah. Insyaallah keredhaan Allah untuk kebaikan dunia dan akhirat.
1 comment:
terbaik...
Post a Comment