Monday, June 23, 2008

Mudahnya memberi gelaran ustaz…



Panggilan serta gelaran ustaz sangat sinonim dengan imej seseorang yang berjanggut, memakai kopiah, berbaju melayu dan kadang-kadang berjubah. Didalam masyarakat melayu, gelaran ini sering digunakan untuk menghormati seseorang yang memiliki ciri-ciri imej agama. Gelaran ini timbul mungkin kerana imej berkopiah dan berjanggut adalah petanda kepada kealiman dan kebaikan seseorang dan ianya menjadi adat kebiasaan bagi orang baik-baik di dalam masyarakat.

Apabila seseorang berkebolehan untuk membaca doa, memimpin bacaan yasin dan tahlil, secara automatik gelaran ini akan terus kekal sehinggalah masyarakat sekitar memanggil individu tersebut Ustaz, Tuan Imam dan sebagainya.
Gelaran ini bukan terhenti sekadar gelaran semata-mata tetapi masyarakat sekitar akan mula melontarkan pelbagai persoalan yang berkaitan dengan hal-ehwal agama. Persoalan yang diajukan oleh masyarakat kepada “ustaz” kadang kala memerlukan satu kajian yang mendalam dan mungkin memakan masa yang lama untuk sampai kepada jawapan. Tidak mungkin kita mengiktiraf kesemua individu berkopiah dan berjanggut sebagai mahir agama dan layak untuk dipanggil ustaz. Ini sesuatu yang sangat berbahaya. Bayangkan jika kesemua individu yang memakai jubah Dr layak digelar Dr. Apa yang akan berlaku…??. Bayangkan sekiranya segala perubatan dan jaminan ubat-ubatan diberikan kepada kita, sedangkan dirinya tidak berkelulusan didalam bidang tersebut!
Ini kerana al-Quran telah memberikan garis dasar iaitu kita dilarang daripada memperkatakan tentang sesuatu yang kita tidak tahu mengenainya. Allah mengingatkan kita di dalam surah al-Isra’ ayat 36,

“ dan jangan kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya”.
Disini penulis cuba memberikan sedikit lontaran idea agar konsep penggunaan gelaran ustaz dapat diperbetulkan di dalam masyarakat. Bukannya dengan sewenang-wenangnya gelaran ini dapat diberikan kepada seseorang. Hanya berdasarkan imej berkopiah serta berjanggut.
Institusi keagamaan memerlukan ustaz-ustaz yang mempunyai tahap penguasaan ilmu yang mantap serta daya kepimpinan yang tinggi, seterusnya memberikan solusi kepada permasalahan umat. Perkataan ustaz berasal dari bahasa arab ustaz dan asatizah yang membawa maksud muallim, mudarris, dan mudabbir. Gelaran ini biasanya diberikan kepada individu-individu yang mempunyai keluasan ilmu di dalam bidang agama. Mereka ini biasanya adalah tokoh-tokoh akademik di dalam bidang agama. Ia juga boleh diaplikasikan untuk bidang-bidang yang lain.
Di dalam dunia moden kini, gelaran ustaz boleh disamakan dengan taraf profesor. Jika dinilai dari sudut dunia akademik, mereka ini telah memiliki ijazah, MA, ataupun PhD di dalam bidang agama. Ini menunjukkan untuk sampai kepada gelaran ini bukan sesuatu yang mudah. Begitu juga dengan gelaran Doktor, Ir dan sebagainya, gelaran ini tidak mungkin diberikan kepada sesiapa sahaja tanpa melalui proses yang sepatutnya kerana ia merupakan satu pengiktirafan yang memberikn ruang yang seluas-luasnya kepada individu yang layak untuk mempraktikkan ilmunya.
Apabila isu Dr palsu timbul di dalam masyarakat, ianya menjadi satu isu besar yang perlu diperangi. Ini membuatkan kesemua Dr perlu berdaftar dibawah satu badan khusus untuk memastikan gejala Dr palsu dapat dihapuskan. Doktor-doktor palsu ini boleh membahayakan masyarakat. Namun, apabila wujudnya Ustaz-ustaz yang mungkin tidak ada kelayakan ini timbul ianya tidak diperangi malah turut dipandang sebagai satu isu picisan. Isu ini hanya akan dipaparkan oleh media cetak apabila mereka memimpin ajaran sesat, menikahkan pasangan tanpa permit, ataupun terlibat dalam kes-kes jenayah. Dalam keadaan tertentu, ada juga “ustaz” yang ditonjolkan dengan imej artis (penghibur berunsur dakwah) dan sebagainya untuk melariskan sesuatu produk.
Bukan semua yang bergelar ustaz, tok lebai, tok imam dinilai atas kemampuan memimpin solat jamaah, berwirid secara kuat selepas solat, ataupun yang berjanggut sahaja. Bahkan lebih malang lagi, segelintir daripada mereka tidak mempunyai pengetahuan agama yang memuaskan. Kadangkala mereka hanya mampu untuk berceramah dan berpidato tetapi malangnya hadis yang dibaca adalah palsu!! Kisah-kisah yang mereka ceritakan kepada umum adalah kisah Israiliyyat dan mungkin menyalahi tabiat agama.
Jika dinilai dengan akal yang rasional dan matang, ustaz-ustaz segera ini perlu dibendung dan ditangani lebih dari Dr palsu. Kesalahan memberikan perskripsi ubat oleh Dr palsu mungkin menyebabkan sakit tidak sembuh ataupun mungkin pesakit kehilangan nyawa. Tetapi kesilapan di dalam memberikan pandangan tentang isu-isu agama mungkin membawa kita kepada kemurkaan Allah. Untuk mengatasi masalah ini maka hendaklah masyarakat mempunyai satu kesedaran iaitu merujuk permasalahan mereka kepada individu yang memang arif di dalam bidangnya.
Sepatutnya seseorang muslim yang cintakan agama sentiasa memastikan apa yang diamal dan dipercayainya berasaskan sumber-sumber Islam yang diiktiraf. Ini kerana sejarah salafussoleh dikalangan para sahabat contohnya, mereka adalah sebaik-baik kurun dan paling baik kefahaman di dalam urusan agama. Al-Bukhari meriwayatkan sebuah hadith “ sebaik-baik kurun adalah kurunku…” namun, mereka masih merujuk kepada individu-individu tertentu seperti ibnu umar sebagai faqih di Madinah, ibnu Mas’ud faqih di Iraq, Sufyan ath-Thaurie di Kufah dan sebagainya untuk mendapatkan jawapan yang tepat sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah dan Rasul. Ini kerana kemampuan mereka untuk memahami nas-nas agama adalah berbeza-beza.
Inikan pula kita yang hidup di zaman yang jauh dari Rasul dan sahabat. Gejala memberikan gelaran ustaz secara mudah ini mungkin disebabkan oleh masyarakat kita tidak mampu membezakan diantara ilmuan berkopiah, individu berjanggut memakai kopiah, ataupun yang berjanggut sebagai satu lambang semangat kerohanian yang tinggi tetapi tidak mempunyai tahap ilmu yang memuaskan.
Kesimpulannya penulis suka untuk memetik kata-kata tabi’ besar Muhammad bin Sirin (wafat 110H) “ sesungguhnya ilmu ini ( mengenai pemahaman al-Quran dan Sunnah ) adalah Din ( agama dan panduan hidup untuk sampai dan diterima oleh Allah). Oleh itu perhatilah daripada siapa kamu semua mengambil agama kamu”.
Kata-kata nasihat ini diucapkan oleh tabi’ ini sejak lebih seribu tahun dahulu mungkin kerana umat Islam tidak berupaya untuk menilai antara ustaz, orang yang berkopiah dan berjanggut. Oleh yang demikian, janganlah terlalu mudah untuk kita menggelar seseorang dengan gelaran ustaz tanpa mengetahui latar belakang bidang keilmuannya di dalam bidang agama. Sebaliknya martabatkanlah institusi agama dengan merujuk kepada ustaz-ustaz yang berkemampuan dari sudut keilmuannya dan bertaqwa kepada Allah. Semoga Allah sentiasa memberikan hidayahNya kepada kita semua.

Sunday, June 22, 2008

Ku pohon kekuatan darimu Ya Allah…

Belajar, mengajar, berkahwin, ada anak dsb. Bukan setakat 3 in 1..tapi seolah-olah 1001 perkara dalam 1 badan.

Penat. Letih. Itulah kenyataan yang memang tidak dapat dinafikan lagi bagi sesiapa yang belajar sewaktu bekerja, dan lebih-lebih lagi bagi yang mempunyai family. Antara komitmen belajar, family, dan kerjaya.. Hanya kekuatan dan bantuan dari yang Maha Esa saja yang diperlukan.

Dinaluzriq memang seorang yang bercita-cita tinggi. InsyaAllah sekiranya masih diberikan kekuatan oleh Allah akan dinaluzriq teruskan perjuangan untuk menambah ilmu didada sehingga ke penghujungnya..InsyaAllah..

Saya menyambung pengajian di peringkat MA dalam Bahasa Arab (Arabic Linguistic Studies) pada hujung tahun 2006. Sejurus selepas tamat degree di UIAM didalam bidang yang sama. Pada masa yang sama, saya diterima masuk sebagai salah seorang tenaga pengajar di Sek. Men. Islam Al-Amin Gombak. Waktu tu saya belum mengandung. Ok lagi. Tak terasa sangat.

Masuk semester yang kedua, saya disahkan mengandung pada bulan Februari 2007. Waktu tu saya agak terasa bahang kekangan waktu, tenaga dan minda..Allah..dengan masalah X-Ray dan kerisauan yang amat sangat terhadap kandungan pada waktu itu. Pernah kadang-kadang saya terasa give up. Namun Alhamdulillah hubby banyak memberikan support dan semangat. Maka dengan kekuatan yang ada saya lalui kehidupan berumahtangga, belajar dan bekerja dengan penuh kesabaran. InsyaAllah saya akan pegang kata-kata hubby, “Biar susah-susah sekarang agar kemanisan kita akan rasa di kemudian hari. Rezeki diana, rezki baby kita tidak tau..”

Setiap hari yang dilalui terasa lama sangat..Tak sabar untuk menghabiskan subjek MA. Rutin harian terkejar-kejar ke kelas yang menjadikan diri kepenatan. Tenaga dan Minda. Saya pernah terfikir bagaimana saya akan lalui tempoh ini?Lambatnya…

Kelas MA tidak sama sepertimana waktu degree dulu. Masa hanya ke kelas. Kelas di MA banyak kerja dan banyak yang perlu dibaca. Banyak yang kita perlu usaha sendiri. Pernah satu hari sewaktu menghadiri mesyuarat PIBG di SMIAA, saya jatuh pengsan di sekolah! Waktu tu usia kandungan saya masuk 4 bulan. Namun dengan izin Allah, Alhamdulillah tiada apa-apa yang berlaku. Tekanan darah saya rendah. Kurang gula dalam darah. Kurang rehat. Manakan tidak, malam tu saya bertungkus lumus menyiapkan assignment yang perlu dihantar keesokan harinya. Sebab last minute pun samalah juga, sebab sibuk dengan kerja dan tidak sempat memberi ruang untuk diri. Allah saja yang mengetahui perasaan saya waktu itu…

Saya perlu bekerja. Gaji seorang untuk hidup di KL memang tidak cukup. Saya berniat untuk membantu hubby. Pada masa yang sama saya ingin mendapatkan pengalaman mengajar dan berada di alam pekerjaan.

Sewaktu usia kandungan saya dalam trimester ke-3 dan sering berulang-alik ke sekolah dan kelas di UIAM, saya sering terfikir dan risau macam mana nak study masa dalam pantang nanti? Boleh ke? Kalau buatnya anak meragam semalaman dan sepanjang hari?Allah.. Macam manalah keadaannya nanti pula kalau dah ada anak, mesti lagi penat. Saya risau kalau-kalau saya tidak boleh dapat result yang terbaik sebab sibuk dengan anak dan tidak sempat study!. Namun, Hanya Allah yang lebih mengetahui…

Kenangan bersama Hubby (Konvo UIAM 2007). Usia kandungan ketika itu 7 bulan lebih.



Memang Allah itu Maha Mengetahui mana yang terbaik untuk kita. Alhamdulillah kelas semester ke-3 sempat saya habiskan. Memang apa yang Allah aturkan itu cukup cantik. Kelas semester tersebut dapat saya habiskan dengan sempurna dan saya hanya perlu menduduki Special Exam pada minggu ke 3, semester ke-4 nanti. Saya terkenang sewaktu saya di dalam pantang. Orang didalam pantang boleh rest dsb. Tapi saya sebaliknya. Ada masa kosong, ketika uways tidur, saya perlu study!. Alhamdulillah Uways tidak banyak ragam. Mungkin dia tahu yang umminya perlu belajar. Terima kasih dekat Uways!. Alhamdulillah result saya semester ke-3 itu tidak saya jangkakan. Saya mendapat result yang lebih baik dari yang sebelum itu! Allah kareem..

Kerisauan saya jika ada anak, bekerja dan study pun telah terjawab. Memang Allah Maha Adil! Uways memang tidak banyak kerenahnya. Alhamdulillah. Saya boleh study dan bekerja. Kekuatan itu juga saya dapat hasil sokongan dan dorongan suami tercinta. Terima kasih abang!. Ada ketika dia tolong jagakan Uways dan membantu saya membuat kerja-kerja rumah. Padanya asalkan boleh memudahkan saya dan saya boleh study!. Terutamanya ketika hampir dengan exam. Alhamdulillah, Semester terakhir itu dapat disempurnakan walaupun dengan bertambahnya ahli keluarga menjadi 3 orang. Saya tidak percaya result yang saya dapat pada semester terakhir tersebut. Kerisauan itu terjawab. Alhamdulillah, result terakhir inilah yang terbaik yang pernah saya dapat. Result saya sekurang-kurangnya A-!, dan telah menaikkan pointer saya menjadi lebih baik dari yang sebelumnya. Allah..Syukur sangat..


Alhamdulillah ‘ala kulli hal. Berkat kesabaran dan sokongan dan dorongan dari suami tercinta, saya selesai menghabiskan subjek MA pada semester lepas. Dan selepas ini saya hanya boleh tumpukan hanya pada thesis. Semoga Allah memberi kekuatan…InsyaAllah.. Tidak perlu lagi terkejar-kejar ke kelas.

Terima Kasih yang tidak terhingga buat suami tercinta dan anak tersayang..


Entri ini sebagai Muhasabah dan Motivasi untuk mereka yang mempunyai Multi-Kerjaya (Bekerja, Belajar, Berumahtangga etc…). Ingatlah bahawa Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita! Kita hanya perlu Berusaha, Berdoa dan Bertawakkal. InsyaAllah bantuan Yang Maha Esa akan menyusul. Selagi mana kita ikhlas dengan apa yang kita buat, InsyaAllah bantuan Allah itu pasti ada… AllahuAkbar!.

Saturday, June 21, 2008

Tahniah kepada juara Akademi Al-Quran Musim ke-3!





JUARA AKADEMI FANTASIA


Rezeki Juara Akademi Fantasia Musim ke-6 milik Stacy :

- hadiah yang berjumlah lebih daripada RM700,000, termasuk sebuah rumah banglo empat bilik di A’Famosa Villa D’Lagos, Melaka, yang bernilai RM550,000, sebuah kereta Peugeot 307 XS yang berharga RM139,535, wang tunai sebanyak RM25,000 serta pakej percutian ke Itali.


JUARA AKADEMI AL-QURAN

Rezeki Juara Akademi Al-Quran Musim ke-3 milik Fakhrul Radzi Kamarudin ( Orang Kedah dan juga merupakan bekas pelajar Maktab Mahmud Alor Setar ) :

- membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM30,000 beserta sebuah kereta Proton Saga dan piala kristal berbentuk al-Quran.





P/s: Apapun tahniah kepada fakhrul radzi. Dari sekolah memang terkenal dengan kemerduan suara yang sungguh mengasyikkan!. Fakhrul ni jugak adik kpd kawan dinaluzriq, farihah..rehah ni tumpang sekaki sama kot..???hehehe..

Asalnya post ni nak letak semalam (20/6/2008), tp sibuk dengan benda lain..okla..

Sunday, June 15, 2008

Minda dan Teguran Mufti yang PATUT kita fikirkan BerSama...


Dan berikanlah kepada kaum keluargamu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membazir dengan pembaziran yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula sangat kufur kepada Tuhannya”. (Surah al-Isra: 26-27).


Saya tertarik apabila membaca membaca kisah al-Imam al-Nawawi (631-676H) yang diminta oleh Raja pada zamannya al-Malik al-Zahir untuk memberikan fatwa bagi mengharuskan Raja mengambil harta rakyat untuk digunakan memerangi musuh yang mengancam negara iaitu tentera Tatar. Tujuan itu pada zahirnya baik kerana mempertahankan negara dari ancaman musuh. Harta itu pun hendak digunakan untuk keperluan jihad.
Namun ramai ulama yang telah dibunuh ketika itu kerana enggan mengeluarkan fatwa berkenaan. Al-Nawawi juga enggan menulis surat sokongan terhadap tindakan Raja Zahir itu sekalipun beliau tahu pengambilan harta itu untuk kepentingan negara juga.
Apabila Raja bertanya kepada beliau mengapa beliau enggan menyokong? Beliau menjawab: Setahu saya engkau dahulunya seorang hamba, tidak mempunyai harta. Kemudian Allah memberikan kurniaan kepadamu lalu diangkat engkau menjadi seorang raja. Aku dengar engkau memiliki seribu hamba lelaki yang setiap mereka memiliki talipinggang daripada emas. Engkau juga ada memiliki dua ratus hamba perempuan, dan setiap mereka memiliki sebekas perhiasan. Jika engkau belanjakan itu semua, sehingga hamba-hamba lelakimu hanya memakai tali pinggang kain, dan hamba-hamha perempuanmu hanya memakai baju tanpa perhiasan, juga baitul mal sudah tiada simpanan wang, harta dan tanah lagi, maka aku akan fatwakan untukmu keharusan mengambil harta rakyat itu. Sesungguhnya yang menolong jihad dan selainnya ialah penyerahan diri kepada Allah dan mengikut jalan nabiNya s.a.w. (lihat: ‘Abd al-Ghani al-Daqar, al-Imam al-Nawawi, 144-145, Damsyik: Dar al-Qalam).
Saya suka dengan jawapan al-Imam al-Nawawi ini. Saya tahu, selepas ini banyak forum-forum perdana, ceramah-ceramah di radio dan televesyen akan memperkatakan tentang kewajipan berjimat cermat. Maka ustaz, ustazah dan penceramah pun –atas pemintaan penaja yang membayar harga ceramah- akan bersungguh-sungguh menyuruh orang-orang bawahan untuk berjimat cermat.
Dalil-dalil pun akan dibaca. Mungkin akan ada ustazah yang mencari cerita-cerita ajaib yang baru untuk dikaitkan dengan bab jimat cermat dan jangan membazir. Mungkin akan ada penceramah yang cuba menangis-menangis –seperti seorang pelakon berjaya yang menerima anugerah- bercerita kepada mak cik-makcik yang kusyuk menonton tentang azab seorang yang membazir ‘nasi lemaknya’.
Datanglah orang-orang kampung mendengar forum perdana dengan basikal atau motosikal sebagai menyahut seruan agar tidak membazir petrol. Adapun penceramah, datuk-datuk pengajur, YB-YB hanya menggunakan kenderaan mewah yang berkapasiti atas daripada 2000cc. Tujuannya untuk mengelakkan pembaziran wang kerajaan yang terpaksa dibayar kepada empunya kenderaan 2000cc ke bawah, lebih tinggi daripada 2000 ke atas.
Maka insaflah mak cik dan pak cik yang barangkali teringatkan tulang ikan yang pernah dibuangnya padahal masih ada sedikit sisa isinya yang melekat. Itulah membazir namanya. Maka, atas keinsafan dan taubat itu, mungkin ada yang akan mula mengurangkan makan nasi lemak daripada sebungkus seorang kepada sebungkus yang dikongsi bersama. Air kopinya yang memang sudah ‘ceroi’ akan ditukar kepada yang warna hitamnya antara kelihatan dan tidak. Maka selamat negara kita ini, disebabkan pakcik dan makcik, pak long dan mak long, pak lang dan mak lang di kampung sudah mengubah gaya hidup mereka.
Jika saya hadir ke forum yang seperti itu, saya ingin bertanya soalan, tapi soalan yang belum ‘dijakimkan’, “apakah agama ini dihantar oleh Allah untuk menghukum manusia bawahan dan menghalalkan yang lain tidur dalam kekenyangan dan kemewahan?”. Sebelum harga minyak naik, telah sekian mereka yang berada di teratak usang itu menjimat makan dan pakai. Saban hari mereka mengira belanja untuk memboleh mereka terus hidup di kala negara dunia belum menghadapi krisis harga minyak.
Saya tidak mahu membicarakan tentang kenaikan harga minyak dari sudut perjalanan ekonomi antarabangsa. Telah banyak pakar-pakarnya bicarakan. Tapi saya ingin bincangkan tentang soal pembaziran dan jimat-cermat. Ya, memang Islam memusuhi pembaziran. Bahkan al-Quran tidak pernah mempersaudarakan antara mana-mana pembuat dosa dengan syaitan, melainkan mereka yang membazirkan.
Allah menyebut dalam al-Quran: (maksudnya): “Dan berikanlah kepada kaum keluargamu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membazir dengan pembaziran yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula sangat kufur kepada Tuhannya”. (Surah al-Isra: 26-27).
Demikianlah Allah persaudarakan pembazir dengan syaitan. Kesan pembaziran sangat besar. Lihat negara kita yang kaya dengan berbagai hasil. Sepatutnya kita akan tetap kukuh dan setiap rakyat akan menikmati kekayaan ini dengan adilnya. Namun, disebabkan pembaziran, harta negara yang sepatutnya dapat dimakan puluhan tahun, tetapi surut mendadak dalam masa beberapa tahun.
Maka, yang patut mendapat bantuan dan hak, tidak cukup untuk sampai kepadanya. Barang keperluan pula bertukar menjadi mahal. Pembaziran memusnahkan kehidupan rakyat bawahan dan menghalang hak yang sepatutnya sampai kepada mereka. Maka betapa wajar untuk para pembazir itu dipersaudarakan dengan syaitan. Apatah lagi dalam banyak keadaan, pembaziran itu lahir dari keangkuhan dan kesombongan. Sifat-sifat itulah jua yang menjadi asas kepada kekufuran syaitan.
Soalannya, mengapakah apabila kita membicarakan tentang pembaziran, kita hanya terbayang orang-orang bawahan di kampung ataupun bandar. Jika kita ingin meminta supaya setiap warga negara ini berjimat dan jangan membazir, maka bermulalah daripada atas. Bukan sekadar untuk ‘mengenakan si miskin yang sekian lama telah berjimat dan sudah tidak tahu apa yang hendak dijimatkan lagi. Mengapa kita hanya terbayang rakyat yang berada dalam rumah persendirian dan berbelanja dengan wang poketnya yang sudah lelah?
Kita sepatutnya terlebih meneliti semula bagaimana perbelanjaan yang menggunakan harta negara dan rakyat yang sedang berjalan di istana-istana, kediaman-kediaman rasmi kerajaan di peringkat negara dan negeri?. Apakah wajar di kala ini keraian untuk orang-orang besar sama ada sultan atau menteri begitu mewah? Makanan yang dihidangkan untuk mereka, harga satu meja kadang-kala boleh dimakan oleh ratusan rakyat bawahan. Karpet yang dipijak oleh mereka harganya ribuan bungkusan nasi yang dimakan oleh ‘orang biasa’.
Apakah patut di saat yang sebegini, ada istana atau kediaman rasmi menteri yang hendak ditambahmewahkan? Apakah patut orang-orang besar ini diraikan dengan hiburan atau pertunjukan dan konsert yang menelan puluhan ribu ringgit sempena sesuatu kunjungan mereka. Wang itu, wang negara. Wang itu, wang rakyat.
Apakah dalam masa yang sebegini mereka masih mendapat peruntukan untuk bersantai, bermain golf dan ‘berhiburan’ dengan menggunakan wang rakyat bawahan yang disuruh menjimatkan nasi lemak dan air kopi mereka?. Pembaziran sebegini lebih rapat menjadi saudara syaitan dibanding wang persendirian yang dibelanjakan.
Meminjam falsafah al-Imam al-Nawawi yang saya sebutkan tadi, jika orang atasan telah benar-benar berjimat, maka wajarlah untuk dikurangkan subsidi rakyat. Al-Nawawi telah dibuang negeri kerana enggan bersekongkol dengan perkara yang seperti ini. Namun, jika itu tidak dilakukan, ulama bukan burung kakak tua.
Saya mengambil risiko menulis hal ini. Tanggungjawab di hadapan Allah lebih besar daripada segala-galanya. Para ulama dahulu jauh lebih mulia, tidak dibandingkan kedaifan saya ini. Pun mereka telah menunaikan tanggungjawab al-Amr bil Ma’ruf dan al-An-Nahy ‘an al-Munkar ini. Semoga Allah menimbang tinta para ulama dengan darah para syuhada.
Telah berlaku tahun kesusahan dan kelaparan yang amat sangat di Semenanjung Arab pada zaman Amirul Mukminin ‘Umar bin al-Khattab. Dikenali dengan ‘Am al-Ramadah kerana seakan bagaikan warna ramad atau abu disebabkan kekurangan hujan, warna tanah dan warna kulit manusia yang bertukar disebabkan kekeringan. Ini berlaku pada antara tahun 17H dan 18H selama sembilan bulan.
Amirul Mukminin telah berhempas pulas menguruskan harta negara ketika itu bagi mengatasi kesusahan rakyat. Di samping kecemerlangan pengurusan, yang ingin disebutkan di sini kecemerlangan pendirian dan sikap. Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan bahawa ‘Umar bin al-Khattab tidak memakan pada tahun berkenaan lemak haiwan, susu dan daging sehingga orang ramai dapat memakannya. Barangan makanan berkurangan di pasar.
Pada suatu hari pekerjanya dapat membeli untuknya lemak dan susu namun dengan harga yang agak tinggi. ‘Umar enggan makan bahkan berkata: “Engkau telah menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal, sedekahkan keduanya, aku bencikan pembaziran. Bagaimana aku dapat memahami keadaan rakyat jika tidak mengenaiku apa yang mengenai mereka?”. (Al-Tabari, 2/358, Beirut: Dar al-Fikr).
Juga diriwayatkan bahawa suatu hari pada tahun berkenaan disembelih unta lalu dimasak dan dibahagikan kepada orang ramai. Lalu diceduk masakan itu untuk dihidangkan juga buat ‘Umar. Tiba-tiba yang diceduk itu bahagian belakang unta dan hatinya. Lalu ‘Umar bertanya: “Dari mana diperolehi ini?”. Daripada unta yang kita sembelih hari ini. Kata ‘Umar: “Oh! Alangkah buruknya aku ini sebagai pemimpin, jika aku memakan bahagiannya yang baik lalu aku berikan rakyat makan yang sisa” (Ibn Sa’d, al-Tabaqat al-Kubra, 3/312, Beirut: Dar Sadir).
Maka alangkah buruknya seorang presiden, atau sultan, atau raja, atau perdana menteri, atau menteri besar, atau menteri yang makan dengan mewah daripada peruntukan harta negara atau negeri sedangkan rakyatnya dalam kesusahan. Ketika rakyat membilang butiran beras, helaian ringgit untuk persekolahan anak, keperitan membayar sewa rumah, api dan air, sementara mereka yang berkuasa ini pula menghadiri jamuan negara dan negeri itu dan ini.
Bermewahan dengan pertunjukan dan hiburan dari peruntukan wang negara. Kemudian bercuti rehat, tanpa rakyat ketahui apakah kepenatannya untuk rakyat. Kos cuti itu pula ditanggung oleh negara tanpa sebarang pulangan keuntungan buat rakyat. Alangkah zalim! Alangkah keji sikap yang sedemikian rupa.
Saya kadang-kala begitu hairan apabila seseorang dianggap ‘berjiwa rakyat’, hanya kerana makan nasi yang dijamu oleh rakyat, atau masuk ke kampung mendukung anak rakyat untuk beberapa minit bagi membolehkan wartawan mengambil foto. Apakah itu dinamakan berjiwa rakyat?
Jika hendak diiktiraf sebagai berjiwa rakyat, rasailah apa yang rakyat rasai. Orang seperti ‘Umar bin al-Khattab lebih mulia daripada segala keturunan atau pangkat yang ada di kalangan manusia. Kemuliaannya telah diiktiraf oleh Allah dan RasulNya. Dia ahli syurga dengan jaminan Allah dan RasulNya sementara politiknya tidak ada saingan yang menggugatnya. Namun tetap amanah dan jujurnya terhadap rakyatnya. Merasai penderitaan rakyat. Beliau idola kepimpinan kita sepatutnya. Walaupun beliau tidak pernah menyuruh orang menyembah atau menjulangnya, namun beliau dipuja oleh sejarah dan diangkat oleh Allah.
Kenaikan harga minyak menaikkan harga barang. Orang berpendapatan rendah menjadi mangsa. Agama berperanan untuk menyedarkan semua pihak tentang tanggungjawab terhadap rakyat. Dalam keadaan begini, antara perkara pertama yang patut dibentang kepada rakyat adalah pengurusan kemasukan dan pengagihan zakat. Zakat yang mungkin sampai kepada peringkat bilion ringgit di seluruh negara mesti diagihkan secara telus dan bijaksana.
Mengapa masih ada fakir miskin yang bagaikan meminta sedekat kepada pihak yang menguruskan zakat? Mengapa program tv lebih menjumpai si miskin dibanding pihak yang menguruskan zakat? Mengapa zakat masih berbaki dengan begitu banyak setiap tahun sedangkan kemiskinan masih banyak? Mengapa pihak yang menguruskan zakat kelihatan bertambah mewah, sementara yang patut menerima hak kelihatannya bertambah letih dengan keadaan sekarang?
Di masa inilah peranan zakat bagi memastikan setiap yang memerlukan memperolehinya tanpa kerenah birokrasi yang bukan-bukan. Jangan sampai untuk mendapat RM150 si miskin berulang alik berkali-kali dengan tambang sendiri, sementara yang mendakwa amil zakat mengisi minyak kereta dengan wang zakat atas nama amil! Ramai kata kita berjaya menguruskan zakat sebab kutipan yang tinggi. Saya katakan, pengurusan yang berjaya itu bukan sahaja kutipan semata, tetapi juga pengagihan secara telus, bijaksana dan bertanggungjawab.
Dalam usaha kerajaan menangani kemelut ekonomi hari ini, perkara-perkara yang disebutkan ini mestilah dipandang serius. Kejayaan sesebuah kerajaan menghayati penderitaan rakyat akan menjadikan mereka lebih disayangi dan disokong. Jika orang atas mengubah cara hidup, kita akan berkempen untuk semua agar mengubah cara hidup. Jika orang agama disuruh berkempen orang bawahan agar mengubah cara hidup, sementara melupai yang di atas, mereka sebenarnya cuba menjadikan agama sebagai candu agar seseorang melupai masalah yang sebenar.

Saturday, June 14, 2008

Jangan Lupa Lirik Vs Jangan lupa IMAN...


Program terbaru astro JLL merupakan satu lagi rancangan terbaru astro. rancangan ini mirip kepada WHO WANTS TO BE A MILLIONAIRE. Rancangan ini dilihat sebagai energy baru untuk menyemarakkan industri hiburan( dengan izin penggunaan perkataan industri.Layakke?) Rancangan ini menguji daya hafalan lirik para peserta...Persoalan yang sering saya tanyakan adalah " apakah hebatnya rancangan ini?apa kebaikannya untuk umat? bagaimana pula akhlak para peserta?mampukah mereka mengingati al-Quran dan hadis sebagaimana hebatnya mereka mengingati setiap bait-bait lirik??...bersambung


Nukilan perasaanku...

Bumi Hijau
Tanah tinggi
Bukit bersegi
Isinya api
Penduduk berbudi
dikelilingi padi-padi
lambai melambai diri
keheningan pagi
kuningnya hasil bumi
Rahmat Ilahi
pada umat ini
itulah BUKIT TINGGI...


Hafid Ibn Nusi
12/04/04
11.23am
Bukit tinggi Padang Indonesia

diari musafir..

Danau Maninjau yang mendatangkan Ilham...



Muzium hamka yang menjadi bukti kehebatan Ulama Nusantara..

Kuliah Fiqh Sunnah Siri 1( Keperluan Beribadah Mengikut Sunnah 100% )Tempat : Surau Dar Hidayah Gombak,Tarikh : 15.06.08


Secara umum dan mudah Islam dibina dari tiga unsur utama Aqidah, Syariah dan Akhlaq. Secara mudah Aqidah adalah unsur yang paling utama dan merupakan paksi dan teras Islam. Aqidah ini merupakan pintu masuk utama kepada agama Islam. Gagal untuk memasuki pintu ini secara sempurna dan tepat sepertimana yang diajar oleh Allah dan Rasul mengakibatkan kesemua amalan manusia tertolak. Pintu aqidah biasanya akan melibatkan hal-hal dalaman manusia iaitu “hati” dimana perbincangan mengenai tauhid, Syahadah, Iman dan sebagainya akan mengambil tempat. Setelah memiliki aqidah yang sahih dan tepat maka syariah pula diperlukan. Syariah merupakan unsur yang bersifat “Praktikal” dimana kita dapat memahami bahkan mampu untuk merasa dan melihat perbuatan dan pergerakannya menerusi pancaindera.Para ulama secara umum melabelkannya sebagai “ilmu fiqh” atau kita sering memanggilnya sebagai ilmu feqah. Skop perbincangan ilmu ini berkisar tentang perlakuan dan amalan anggota badan seperti solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya. Kesemua amalan ini lebih dikenali sebagai Ibadah khusus. Ia dilaksanakan sebagai amalan individu dan juga secara berjamaah. Kita sebagai umat Islam meyakini bahawa setiap inci dari amalan Ibadah telahpun disampaikan oleh Ar-Rasul s.a.w secara terperinci dan jelas. Ianya tidak perlu kepada sebarang bentuk modifikasi ataupun berubah mengikut zaman masa dan tempat. Ianya akan terus kekal diwarisi oleh umat Islam dari Nabi s.a.w sampai kiamat. Sunnah Nabi berperanan untuk menjelaskannya secara terperinci mengenai setiap gerak didalam ibadah. Sebagai contoh Quran tidak memberikan tatacara solat secara terperinci namun ar-Rasul s.a.w yang sifatnya sebagai insan yang paling memahami al-Quran akan menunjukkan perlaksanaannya secara jelas didalam hadis dan diwarisi oleh para sahabat dan generasi seterusnya. Unsur yang ketiga adalah pelengkap dari unsur sebelumnya. Akhlaq boleh diibaratkan buah yang baik hasil dari baja aqidah dan pokok yang subur syariah.
Ibadah dan sunnah tidak mungkin dapat dipisahkan. Ia seumpama kenderaan dan minyak. Apalah gunanya minyak jika tiada kenderaanya dan begitulah sebaliknya. (Kiasan ini sesuai dengan isu kenaikan harga minyak sekarang). Ibadah yang jauh dari cahaya sunnah akan tumpul dan tak mungkin diterima Allah azzawajal. Dalil-dalil dari sunnah amat mustahak untuk menjelaskan kesemua persoalan ibadah. Ibadah akan lebih terasa kemanisannya jika ia disertai dalil-dalil keterangan bersumberkan al-Quran dan hadis-hadis sahih. Bersambung…

Friday, June 13, 2008

Qiamulail itu Sunnah yang Mudah bagi anda…Jika…

Apabila anda ditanya bilakah kali terakhir anda bangun malam untuk solat malam? Pastinya pelbagai reaksi berbeza yang boleh diberikan. Ada yang mengerutkan dahi tanda kurang jelas dengan soalan yang diajukan. Adapula yang teragak-agak sambil mengatakan “eeer sussahla nak bangun tengah malam penat keje siang hari”. Dan mungkin juga ada yang kata “ tu sunat je tak buat pun tak pe”.. Mungkin bagi sesetengah individu qiamulalil itu berorientasikan program. Ada program bole qiam tak de program tidoq diam-diam. Disamping itu juga ada peserta yang terpaksa bertaubat dari melakukan qiamullail. Jawapannya mudah saja. “ Solat malam ni lama la…, kena baca surah panjang-panjang…, aku tak hafal surah panjang…, dan yang lebih parah lagi ada yang berkata imam tu solat lama sangat la aku tak bole nak ikut if aku ikut solat dengan dia esok aku tak bole nak fokus bila keje…nak pi kelas ngantuk +-@$..."
Ini adalah sebahagian dari jawapan-jawapan yang memberikan gambaran yang agak negatif dan susahnya untuk berqiamullail. Persoalannya adakah Nabi memberikan contoh amalan-amalan ibadah yang memberatkan umatnya? Adakah sunnah qiamulail yang disunnahkan oleh Baginda hanya untuk insan-insan terpilih sahaja? Semua persoalan ini akan cuba dikupas oleh penulis dengan menerusi soalan-soalan yang sering bermain difikiran umat melayu dan umat Islam umumnya mengenai ibadah sunat istimewa ini. Penulis cuba memberikan jawapan yang mudah beserta dalil yang jelas berpandukan dalil-dalil sohih dan menyelitkan motivasi untuk memberikan semangat untuk kita melaksanakan Qiamulail. Penulis mengharapkan selepas para pembaca memberikan masa meneliti tulisan ini, para pembaca akan merubah persepsi terhadap ibadah sunat istimewa ini yang menjadi amalan para anbiya dan orang-orang soleh. Penulis mengumpamakan tulisan ini sebagai minyak pelincir yang akan menggerakkan umat islam supaya mamandang qiamulail sebagai ibadah yang mudah. Bahkan lebih mudah dari menonton perlawanan bola sepak dimalam hari!!! bersambung...

Promosikan ISLAM itu mudah untuk Kita !!



"Betulker Islam tu Mudah?? Macam tak percaya je..." apa yang saya tengok orang-orang yang amalkan Islam ni hidup dia macam tersekat jerk..contoh tengokle artis-artis nasyid tu nyanyi pun cam control je..kadang-kadang bole dikatakan ala-ala dull..begitulah komen salah seorang pelajar saya masa di kolej.

Sedar ataupun tidak pelbagai jawapan dan reaksi yang mungkin kita dapati.Jawapan-jawapan ini mencerminkan tahap kefahaman Islam seseorang. Bagi yang memiliki ilmu agama pun kadangkala susah untuk memjawap secara pasti soalan ini. Apatah lagi bagi golongan dangkal dan cetek ilmu agamanya. Pasti jawapannya akan kedengaran agak negatif. “isk susahla islam..rigid..itu tak boleh ini tak boleh..” “eem perempuan kena sekatan macam-macam la.nak keluar rumah kena kelubung la.nak kena ada mahramla..ishh sempitnya Islam..takda kebebasan la.” Bagaimana pula jika anda diajukan soalan ini? “ adakah perkara yang haram lebih banyak ataupun yang halal??? Tentu soalan ini lagi sukar untuk dijawap secara pasti. Ada yang secara pasti mengatakan ishh Islam ni tentunya yang Haram lagi banyak!!! ada yang teragak-agak rasenye 50/50 kot.. jawapan-jawapan ini menimbulkan kerisauan yang amat sangat pada diri saya. Persoalan-persoalan ini bermain dijiwa saya "adakah pemahaman Agama umat ini terlalu tandus? Adakah sistem pengajian agama disemua peringkat tidak mampu mempromosikan kemudahan ajaran Islam?.Adakah siaran forum perdana pada setiap malam khamis gagal berfungsi?Oleh itu saya merasa terpanggil untuk menjelaskannnya dan menjadi satu tanggungjawap untuk golongan ilmuan Islam untuk memperbetulkan maklumat salah mengenai agama yang amat mudah bahkan sesuai sepanjang zaman masa dan tempat. Ini kerana Islam sesuai ditimur mahupun dibarat, tua ataupun muda, kaya ataupun miskin, sakit mahupun sihat.


Oleh itu penulis merasa terpanggil untuk membicarakan, mempromosikan bahkan memperbetulkan tanggapan terhadap agama suci lagi mudah ini. Disamping itu juga penulis melihat kesan yang amat besar terhadap umat ini apabila memahami Islam sebagai agama yang sempit dan mengongkong. Kewujudan gerakan-gerakan yang berbau anti hukum Islam terhadap wanita adalah implikasi dari salah faham ini. Salah faham ini juga menatijahkan oarang yang bukan Islam takut untuk menjadi muslim dan tidak berminat untuk mendekatinya bahkan mereka akan melihat Islam sebagai musuh manusia, agama yang tidak memahami jiwa dan kehendak mereka. Sebagai contoh simbol wanita bertudung dilihat sebagai penindasan, lambang kemunduran dan tidak “up to date” dan seribu satu gambarb negatif yang lain. Ia menjadikan da'wah sukar untuk disampaikan kepada golongan sasran...bersambung...