Mengikut laporan yang disediakan oleh Cif Inspektor Marina Hashim, Pegawai Siasatan Khas D9, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Kuala Lumpur pula, kaum Melayu mencatat bilangan tertinggi iaitu sebanyak 920 kes sejak tahun 2000 sehingga September 2004 yang melibatkan 665 orang dibawah usia 16 tahun.”- ( Kosmo- 7 Disember 2004)
Belia hari ini adalah penentu masa depan negara, nakhoda pengemudi bahtera Malaysia. Jika rosak generasi sekarang maka rosaklah generasi akan datang. Mengambil kata-kata seorang sarjana Islam “Jika ingin lihat masa depan sesebuah negara, lihatlah pada generasi muda mereka sekarang”. Untuk itu, perlu kita mengetahui punca sebenar kroniknya barah sosial dikalangan remaja dan belia pada hari ini.
Pada hemat saya, kemelut masalah sosial remaja pada hari ini sebenarnya berpunca dari solat. Solat: satu perkatan yang ringkas namun sangat mendalam pengertiannya. Seperti sabda Rasulullah SAW, “Yang pertama dihisab dari seorang hamba di hari kiamat adalah solatnya. Apabila solat itu baik, maka baiklah seluruh amalannya, tetapi jika solatnya rosak, maka rosaklah seluruh amalannya”.
Remaja masa kini menghadapi tekanan berbanding remaja zaman dahulu. Mereka kini lebih terdedah kepada pengaruh media massa yang membawa nilai asing dan pengaruhnya tersendiri. Maka disinilah bertitik tolaknya aspek dalaman atau spiritual yang menjadi benteng pertahanan dan antibiotik dari serangan penyakit sosial ini. Sememangnya Allah telah menekankan kepentingan solat didalam kehidupan seseorang dan mampu menjadi benteng pertahanan daripada melakukan perkara keji dan munkar. Sebagaimana firman Allah “Sesungguhnya solat itu dapat menghindarkan diri dari perbuatan keji dan munkar”( Al-Ankabut:95). Jika tidak penting masakan Allah telah mensyariatkan solat dengan apa cara sekalipun dan dalam keadaan mana sekalipun, hatta dikala waktu peperangan Allah tetap mewajibkan seorang Muslim untuk solat.
Solat juga merupakan tali pertautan hati antara seorang ‘abdi (hamba) dan khaliq (pencipta). Inilah sebenarnya benteng penghalang dan perisai keramat yang mampu menghalangi seseorang dari melakukan perkara-perkara yang menyalahi kehendak agama. Bilamana hati mayakini bahawa Allah yang menciptakan diri sentiasa mengawasi dan memperhatikan setiap gerak-gerinya, maka secara automatiknya akan lahirlah perasaan takut untuk melakukan sesuatu yang menyalahi kehendak agama. Malahan diri akan terasa sentiasa diawasi agar tidak melanggar batas-batas syariah yang telah ditetapkan.
Pengabaian terhadap solat adalah disebabkan tidak mengetahui hala tuju sebenar kehidupan sebagai seorang insan. Dari mana seseorang itu datang, dan kemana pula dia akan dikembalikan. Perlu dipahatkan diminda, dan disematkan dijiwa bahawa sesungguhnya daripada Allah kita datang dan kepada Allah jualah kita akan dikembalikan. Masih menyentuh persoalan solat, ia sebenarnya berlainan dengan sembahyang. Ini kerana semua agama menyuruh penganutnya bersembahyang: penganut agama Buddha bersembahyang, penganut agama Kristian bersembahyang, penganut agama Hindu bersembahyang dan begitu juga penganut Agama Islam. Namun, perlu diteliti disini, bagaimanakah cara : "sembah”-“yang” itu?. Bagi agama Buddha dan Hindu misalnya, mereka bersembahyang dihadapan tokong masing-masing. Namun dalam konteks seorang Muslim, “sembah”-“yang” Maha Esa, Yang Maha Pencipta; iaitu Allah, tuhan sekalian alam.
Solat itu merupakan doa dan senjata orang mukmin. Allah adalah tempat pergantungan dan tempat termakbulnya segala permintaan. Didalam surah A-Ghafir ayat 60, firman Allah Ta’ala yang bermaksud, “Berdoalah kepadaku nescaya akan aku perkenankan”. Apabila seseorang remaja atau belia itu sentiasa meletakkan pengharapan dan keyakinan yang tinggi dan utuh kepada Allah, pasti segala gerak geri dan pekerjaan akan sentiasa dipusatkan dan disasarkan kepada Allah. Sentiasa redha dengan Qada’ dan Qadar Allah. Malah sentiasa meyakini bahawa setiap perkara yang berlaku itu pasti ada hikmah disebaliknya.
Statistik jenayah dan kebejatan masalah sosial yang berlaku telah memperlihatkan peratusan remaja Melayu, Islam yang terlibat dalam masalah sosial melebihi kaum-kaum yang lain. Peratusan ini meningkat dari tahun ketahun. Peratusan menunjukkan, 69.38%(2000), 75.36%(2001), 76.25%(202), 78.53%(2003).Kenapa perkara ini boleh belaku?
Kita sebagai umat Islam, sejauh manakah kita menghayati ajaran agama kita sendiri? Sejauh manakah kita menjadikan Islam sebagai satu cara hidup kita?
Kita sering mendengar jawapan yang akan diberikan oleh saudara-saudara baru yang secara sukarela dan ikhlas mencari agama yang terbaik, rata-rata mereka akan mengatakan bahawa, “Islam telah mengubah cara hidup saya”, “Islam telah menjadikan hidup saya lebih berdisiplin dan sempurna”.Ya sememangnya Islam mempunyai peraturan hidup yang sempurna, dan Islam adalah satu cara hidup. Islam menjadikan diri individu yang menghayatinya supaya hidup lebih berdisiplin.”Sesungguhnya agama disisi Allah adalah agama Islam”.
Namun, kita tetap menyedari bahawa setiap negara sememangnya mempunyai pelbagai masalah sosial membabitkan golongan muda dan lazimnya fenomena ini tidak memilih kaum, jantina, dan anutan agama. Maka atas dasar inilah saya mengatakan bahawa semuanya bertitik tolak dari solat. Bagi bangsa, agama, dan kaum lain, mereka tidak mempunyai solat, maka sebab itulah mereka tidak mempunyai satu prinsip khusus didalam hidup mereka. Tiada satu pasakan dan ikatan terhadap agama. Namun bagi umat Islam pula, walaupun masih bersolat, perlu pula dilihat dari aspek penghayatan dalam solat. Solat yang sempurna hakikatnya mampu menjadi penghalang dari melakukan sebarang perkara yang menyalahi agama.
Jika dikatakan aspek agama yang menjadi keutaman, bagaimana pula kes pembunuhan yang melibatkan pelajar sekolah agama, Muhammad Farid yang heboh diperkatakan dulu? Kesemua mereka yang disabitkan kesalahan adalah pelajar Melayu beragama Islam. Maka disini, perlu dilihat dari segala aspek dan sudut, bukan dari sekolah yang menjadi punca, tetapi dari aspek penghayatan terhadap agama yang menjadi pokok persoalannya. Perkara ini bukan bergantung pada sekolah tempat dia belajar, tetapi bergantung pada individu itu sendiri, didikan sebagaimana yang diterimanya.
Justeru, tiada penghayatan terhadap agama merupakan antara pokok utama terjadinya masalah sosial. Pengalaman sebagai Fasilitator dalam satu program untuk remaja bermasalah telah membuka pekung yang selama ini tersembunyi. Kita dapat melihat bahawa inilah salah satu bukti pentingnya solat didalam kehidupan individu muslim. Batapa nilai agama, solat dan amal ibadat yang walaupun nampak kecil namun mampu memberi impak yang amat besar terhadap diri seorang.
Di dalam program tersebut, dalam salah satu slot bersama fasi, kami telah membuat “Survey” secara rawak didalam sebuah dewan. Program ini dihadiri oleh kira-kira seratus orang peserta pelajar tingkatan tiga dan lima. Dalam slot tersebut, para peserta diminta untuk mara kehadapan bagi : sesiapa yang tidak pernah meninggalkan solat setelah akil baligh, sesiapa yang tidak pernah meninggalkan solat subuh, dan begitulah seterusnya mengikut tertib setiap waktu solat. Apa yang menyedihkan saya pada waktu itu, bayangkan daripada lebih kurang 100 pelajar lalaki dan perempuan, bilangan perserta yang mampu sampai kegarisan hadapan boleh dikira dengan jari, tidak sampai sepuluh orang pun!
Kemudian sebahagian daripada mereka diminta membacakan bacaan dalam solat, memangambil wudhu’, membaca Al-Quran, dan memberi penerangan tentang mandi hadas. Perkara yang menambahkan kesedihan adalah, masih ada dikalangan mereka yang tidak tahu.
Maka di sini, ingin saya menyatakan sedikit perkaitan perkara ini dengan solat. Walaupun dikatakan pelajar-pelajar ini solat namun, dengan keadaan dan situasi yang sebegini adakah kita yakin bahawa solat itu sah dan sempurna?. Bermula dari aspek mandii wajib yang tidak tahu, mengambil wudhu’ yang hanya sekadar membasahi setiap anggota wudhu’ dan solat yanag hanya melakukan pergerakan ketika solat, seolah-olah sepert “burung belatuk”, maka bagaimana pula untuk melahirkan khusyu’ ketika solat. Ilmu fardhu ain mempunyai kaitan yang rapat antara satu sama lain. Jika tidak sempurna salah satu perkara yang wajib, maka perkara-perkara lain akan turut terbatal.
Maka atas faktor inilah tidak salah penilaian saya jika dikatakan aspek solat itulah yang sebenarnya menjadi punca masalah sosial dikalangan remaja dan belia hari ini. Ia adalah rentetan dan bertitik tolak dari faktor benih yang tidak elok. Ini baru dilihat dari sebahagian pelajar dari salah sebuah sekolah di Malaysia. Belum lagi dibuat bancian dari keseluruhan pelajar diseluruh Malaysia. Sekiranya inilah generasi harapan bangsa dan agama kita, bagaimana pula dengan generasi akan datang dan generasi seterusnya? Jika aspek penghayatan terhadap agama masih kosong, bagaimana persiapan mereka untuk mendidik generasi mereka yang akan datang? Tidak mustahil jika dikatakan kita akan melahirkan generasi yang “buta dan sifar agama”.
Dalam masyarakat Islam dewasa ini, solat itu telah diabaikan oleh kebanyakan individu muslim. Bukan sahaja solat, malah sumber rujukan utama kita, Al-Quran juga amat jarang dilazimi oleh sebahagian besar umat Islam. Menurut Sahibussamahah Dato’ Harussani Zakaria, menteri besar Perak dalam Forum MIHAD, Kolej kediaman pertama UM98, “Hanya 10-20% dari 13 juta Muslim tidak menunaikan solat 5 waktu, manakala bilangan yang tidak membayar zakat dan buta Al-Quran sentiasa bertambah” .
Disini, ingin saya tekankan perkaitannya dengan kebejatan masalah sosial dan kepincangan masalah moral dikalangan masyarakat. Kita lihat saja contoh menghadiri konsert-konsert hiburan tertentu.. Kita dapat menyaksikan ramai dikalangan mereka adalah golongan remaja Melayu, Islam. Persoalannya disini, adakah dapat diyakini bahawa solat mereka diberi keutaman? Masuk dewan bermula jam 6 atau 7 petang. Konsert akan bermula pada jam 8 atau 8.30 malam. Kemasukan awal penting untuk berada dibarisan hadapan supaya dapat bersalaman dan melihat artis-srtis kesayangan mereka beraksi secara lebih dekat. Bilakah waktu mereka luangkan untuk solat dan bilakah fikiran dan hati mereka akan dipusatkan kepada Allah? Sedangkan Allah sering berfirman supaya sentiasa ingat kepadaNya pada setiap waktu dan ketika. Mana waktu maghrib mereka dan mana waktu isyak mereka? Walaupun waktu isyak adalah lebih panjang, namun solat itu perlu dilakukan pada awal waktunya, jika tiada sebarang keuzuran dan masalah. Kita lihat pula remaja-remaja yang berpeleseran dan melepak. Bermula dari pagi sampai masuk waktu zohor dan kemudian sambung ke asar, dan seterusnya maghrib. Kebiasaanya mereka masih bergembira, kadang-kadang masih berada ditempat yang sama. Berborak-borak dengan rakan, tiada batasan antara lelaki dan perempuan. Persoalannya juga, bila waktu mereka luangkan untuk solat? Meskipun mereka solat namun adakah kita yakin solat mereka dilakukan dengan khusyu’?Sememangnya manusia tidak mampu menilai khusyu’ seseorang yang bersolat. Namun kita dapat menilai dari aspek perilaku sebelum dan selepas seseorang itu mengerjakan solat.
Justeru solat itu sebenarnya mampu menjadi penghalang dari sebarang kemungkaran. Bilamana setiap individu Muslim menghayati apa yang diucapkan dibibir dan apa yang dipasakkan didalam hati. Petikan dari nasyid kanak-kanak ini wajar kita renung sejenak, "Kemungkaran dapat dijaga, jika solat terpelihara, pahala pula bertambah, agama Allah dapat dibela”. Ikrar kita setiap waktu dihadapan Allah perlu kita hayati bersama;”Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matikau hanyalah untuk Allah tuhan semesta alam tiada sekutu baginya dan demikianlah akau diperintahkan dan aku adalah termasuk didalam golonagn orang-orang Islam”.
Dalam pada itu saranan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi bahawa kerajan akan memperkukuhkan dan menggabungkan pendidikan Islam dengan sistem pendidikan kebangsaan amat wajar disokong. Malah, cadangan perlaksanaan Pendidikan Jawi, Al-quran, Fardhu ‘ain, dan Bahasa Arab (J-QAF) diperingkat sekolah rendah yang akan dilaksanakan pada tahun hadapan adalah amat perlu . Semoga dengan ini, usaha kita untuk melahirkan masyarakat dan generasi Islam yang serba boleh akan menjadi kenyataan. Ini lebih penting untuk menjayakan Islam Hadhari disetiap peringkat dan dari akar umbi.
Justeru adalah menjadi tanggungjawab kita bersama, seluruh entiti masyarakat baik pihak kerajaan, pihak swasta, NGO, pihak media massa dan masyarakat serta keluarga untuk sama-sama menggerak gempurkan kepentingan solat dalam kehidupan. Semoga dengan hasil kita memberi keutamaan kepada Allah, Allah akan memudahkan segala gerak kerja kita, dan menyelesaikan sebarang kemelut yang melanda. Maka dengan itu, akan lahirlah sebuah masyarakat Islam yang cemerlang, gemilang dan terbilang...Insyaallah...