Monday, September 2, 2013

25 OGOS 2013- Hari Wanita Kebangsaan



Menjadi Wanita Hebat: Super Women

Kerjaya apakah yang paling mencabar di dunia ini? Pasti ada yang akan menjawab tentera di medan perang, pemburu dan penjinak binatang liar, nelayan laut dalam, dan berbagai-bagai lagi jawapan yang seangkatan dengannya. Namun, jarang sekali yang akan menyebut suri rumah sebagai kerjaya yang paling mencabar. Mahu rasakan cabaran dan kesusahannya? Cubalah sendiri. Pasti ramai lelaki yang akan mengalah dan barulah mereka mahu mengakui kehebatan wanita.

Tambah mencabar lagi, ramai wanita sekarang yang perlu bekerja di pejabat, menyambung belajar di universiti, mengurus rumah tangga, memenuhi tanggungjawab sosial bersama masyarakat, dan pada masa yang sama perlu memenuhi keperluan peribadi. Mereka memikul lebih banyak tanggungjawab berbanding masa yang ada. Menjadi wanita itu sendiri adalah satu cabaran yang besar bagi mereka.
 
Tangan mereka yang mengayun buaian mampu menggoncang dunia dan kelembutan mereka menyebarkan kasih sayang ke seluruh dunia. Mereka selayaknya digelar sebagai “Super Woman”.

Buku “Super Woman” ini terbit tepat pada masanya. Dalam dunia moden yang penuh dengan kekalutan dan kesibukan, terlalu ramai wanita yang mencari-cari manual lengkap untuk mencapai keseimbangan dalam kehidupan.

Dengan berlandaskan bimbingan wahyu dan hadis, buku ini memberi panduan untuk menjadi super woman yang cemerlang di dunia dan di akhirat. Dengan pengalaman peribadi penulis dan himpunan kisah inspirasi tokoh wanita yang hebat, buku ini menjadi berkesan dan praktikal untuk diamalkan.
Kita akan ketawa, tersenyum, dan menangis membacanya. Kita terinspirasi dan hidup menjadi lebih bermakna.

Kerjaya dan rumah tangga, manakah yang lebih penting? Perlukah kita mengorbankan salah satu daripada untuk menjadi super woman? Memilih antara kerjaya dan rumah tangga, bagaikan kita memilih untuk mengerat tangan kiri atau tangan kanan kita sendiri.

Dengan panduan dalam buku ini, kita akan dibimbing untuk mencapai keseimbangan tanpa perlu mengorbankan perkara penting dalam hidup kita. Kuncinya adalah prioriti dan teknik yang berkesan untuk mengurusnya.

Buku ini adalah sebuah perjalanan bagi menuju keseimbangan dan kecemerlangan bersama. Ia adalah perjalanan yang berterusan sekalipun kita sudah selesai menghadam buku ini.

Buku ini bukanlah langkah demi langkah yang gerenti jadi seperti buku masakan, tetapi proses pembelajaran yang berterusan. Perjalanan ini sangat panjang dan penghujungnya adalah masuk syurga bersama-sama suami dan anak-anak yang dicintai. Semoga Allah meredhai kita sekeluarga.


Sempena Hari Wanita Kebangsaan yang diisytiharkan pada 25 Ogos, buku ini amat sesuai untuk dijadikan teman pendamping untuk pembacaan dalam memajukan diri wanita untuk kebaikan dunia dan akhirat, insya Allah.. :)

Thursday, July 11, 2013

Buku "Super Woman"





Bismillahirrahmanirrahim. Sungguh, "kelahiran" buku ini sangat mendebarkan saya. "Super Women" itu bukanlah merujuk kepada saya, tetapi kepada insan-insan yang telah menginspirasikan saya! Semoga buku ini akan memberikan manfaat buat seluruh kaum wanita. Manfaatnya dapat dirasa seluruh ahli keluarga, masyarakat, dan negara keseluruhannya!. Insya Allah..

Allah telah menganugerahkan wanita "kekuatan" untuk melaksanakan Multi-Tasking. Samada diri cikpuan sendiri sebagai wanita, ataupun isteri saudara (sekiranya saudara adalah seorang suami), itulah "Super Women".

2 tahun yang lalu saya tercari-cari buku yang boleh memberikan "jawapan" terhadap persoalan demi persoalan yang sering bermain di fikiran saya di dalam isu tersebut. Sekiranya dahulu ada insan yang sudi berkongsi perkara-perkara tersebut didalam sebuah buku, mungkin saya tidak akan menulis mengenainya.

Ketika niat untuk "mencari penyelesaian dan penyesuaain" terhadap Multi-Tasking atau isu "Keseimbangan Antara Rumahtangga dan Kerjaya" (walaupun untuk mereka yang bergelar seorang suri rumah), Alhamdulillah Allah telah menyalurkan jalannya. Kehadirannya agak memakan masa. Saya cuba untuk meraikan kepelbagaian latar belakang golongan wanita, dari mereka yang bergelar pelajar, bekerja di dalam sektor kerajaan, swasta, suri rumah, ikon masyarakat dan sebagainya.

Oleh yang demikian, atas niat untuk membantu diri sendiri, juga bagi mereka yang turut menghadapi "cabaran" yang sama didalam isu Rumahtangga & Kerjaya, buku ini hadir untuk membantu. Semoga kehadirannya kelak akan memberi manfaat buat diri kita semua Insya Allah...

Untuk maklumat lanjut mengenai buku ini yang bakal terbit Insya Allah (15 Julai 2013), sila layari Portal Rasmi PTS: http://pts.com.my/buku/super-woman/

Sunday, June 16, 2013

“Ummi, Uways tak nak ummi mati..”

Syahdu


Hari ini sedikit lain dari hari-hari biasa.


Sengaja ummi abadikan “saat” ini agar Uways dan Umayr ingat insyaAllah bila sudah besar nanti.. Waktu ini hanya kita bertiga (berempat kalau dikira sekali baby yang abang Uways dan Umayr tak sabar2 menanti ni, insyaAllah). Abi ada kuliah maghrib seperti biasa.

13.6.13 (Rabu)-9.22pm


Sesi pengulangan bacaan ayat baru Surah Hafazan untuk ayat 25-26 surah Luqman. 

A025



“Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian - tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik).”


 A026


“Allah jua yang memiliki segala yang ada di langit dan di bumi; sesungguhnya Allah Dia lah jua yang Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.”



Tiba-tiba ummi terasa untuk berpesan kata-kata ini kepada uways.


“Uways, nanti bila ummi dah tak ada, Uways ingatlah yang ummi pernah ajar Al-Quran kat Uways, ajar hafazan kat Uways. Uways jangan tinggal solat, kena baca Al-quran selalu dan hafaz al-Quran na”..


Pada ummi, walaupun hero sulung ummi ini memang seorang yang “aktif” dan kental tetapi disudut kecil hatinya ada terselit perasaan sensitif, berbanding Umayr. 


Kata-kata ummi itu menyebabkan mata Uways sedikit kemerah-merahan dan mempunyai “air takungan”. Sambil tangan Uways menggosok-gosok mata comel itu. Ummi perasan.


Tiba-tiba uways terus memeluk ummi dan manangis samahu-mahunya sambil berkata, “Ummi, uways tak nak ummi mati”…


Hati dan perasaan ummi turut sama cair. Kita sama-sama menangis. 


“Uways sayang ummi”, kata Uways sambil memekup muka di bahu ummi. Menangis teresak-esak. 


Umayr yang tadi leka bermain kereta tidak semena-mena datang juga memeluk ummi. Sambil mengikut kata-kata si abang, “Umayr sayang ummi”.


Ciuman ummi singgah di pipi Uways dan Umayr.


 “Ummi pun sayang uways dan umayr. Kalau uways dan umayr sayang ummi, uways kena ingatlah yang ummi pesan ok, jangan tinggal solat, kena baca al-Quran selalu, hafaz al-Quran, jadi anak soleh, doakan ummi dengan abi na”.


“Ummi, Uways tak nak ummi mati”…


“Iyalah, kita semua tak tahu kita akan mati bila. Allah je yang tahu. Cuba uways tengok Amni, kan ummi Amni dah taka da. Kalau Allah kata ummi mati dulu, ummi tak adalah”…


“Ummi, nanti kalau malaikat dah tiup angin, ummi peganglah tangan uways kuat-kuat”.  Kata Uways


“Uways, nanti bila hari kiamat, semua orang akan fikir diri sendiri je. Kita tak dapat nak fikir orang  lain dah. Nanti yang kita akan fikir, Ya Allah, macam manalah aku ni,  aku ni masuk syurga ke neraka,”


Khusyuk Uways dan Umayr mendengar.


Sambung ummi, “ kalau kita banyak  buat baik, nanti timbang kita berat sebelah kanan ni, masuklah syurga, kalau kita buat jahat, nanti berat sebelah kiri ni, masuklah neraka, kawan dengan syaitan”…


“Uways tak nak kawan dengan syaitan”. Sambung Uways lagi.


“Ok kalau tak nak kawan dengan  syaitan, nak masuk syurga kita kena banyak buat baik ok?”. 


Uways dan Umayr pun mengangguk tanda faham.


“InsyaAllah, Ok dah jom kita sambung baca”. Balas Ummi.


Sambil ummi mengesat air mata Uways dan menghadiahkan “kucupan sayang dan doa” buat anakanda tersayang”…


Semoga Uways dan Umayr  membesar menjadi hamba Allah yang Soleh, hafiz al-Quran dan pemimpin bagi orang2 yang bertaqwa…Amiin… 


Buat Uways dan Umayr, inilah video kenangan malam tu… Ummi sayang Uways dan Umayr! Semoga Allah memberkati kalian…





Salam sayang dari ummi buat Uways dan Umayr...

BUKU @ PTS

 Pertama kali untuk membuat promosi buku di Shopping Complex. Agak menggerunkan tapi Alhamdulillah segalanya berjalan  lancar. Ada sedikit forum dibuat diruang legar sempena Pesta Buku Alpha Angel pada 12-24 Mac 2013. Forum ini pada 17 Mac 2013, jam 2.00-4.00 ptg.

Pertama kali juga dijemput oleh  pihak PTS untuk berkongsi sedikit pengisian. Berdebar-debar kerana dikelilingi oleh "orang-orang buku". Sudah pasti banyak info mereka dari saya. Alhamdulillah, Allah memberi peluang untuk "memberi". Mudah-mudahan ianya bermanfaat.



Selesai sesi bergambar di CELPAD. Hmm saya sebenarnya agak keberatan untuk pihak editor dan penerbit memasukkan gambar saya kedalam buku kedua insyaAllah. Bersungguh saya ingin menolaknya. Selepas berbincang dan meminta pandangan suami, dan meminta pandangan jr saya, Fatimah Syarha, saya "memaksakan" juga diri juga untuk menerima. Bersabar dan berdebar menanti kelahiran buku kedua, insya Allah. Semoga ada kebaikan dan manfaatnya untuk ummat, insya Allah Amiin..

Pn. Mazniza dan Pn. Nora Herni

Sunday, May 5, 2013

PRU 13: Harapan dari Rakyat Biasa


Sila baca tanpa ada sebarang sentimen kepartian.


Ibarat beginilah.. Biasanya kalau seorang wanita itu di “tackle” oleh seorang lelaki. Dia sangat tidak suka dan membenci si lelaki itu dengan sebenci-bencinya. Selalu orang akan berpesan, “kalau benci pada seseorang itu biarlah berpada-pada, kelak kita akan jatuh cinta dan terus akan sukakanya. Kalau sayang pada seseorang itu juga biarlah berpada-pada kelak takut kita pula akan membencinya tanpa ada maaf untuknya pula”.

Jadi, saya lebih suka untuk bersedarhana.

Yang BENAR tetap BENAR, Yang SALAH tetap SALAH. Baik untuk mana-mana parti.

Lihat apa yang berlaku sekarang. Tidak perlu saya sebutkan siapa. Dahulu beridealime sakan, bukan main menghentam, “kutuk rapat”, punya pihak yang satu lagi. Tengok-tengok sekarang, aik? Lain pula jadinya. .. Allah boleh bolak-balikkan hati-hati kita..

Itu sudah cukup menjadi peringatan buat saya. Suka dan tidak suka itu biarlah berpada-pada. Takut apabila terlampau suka,akan berubah menjadi terlampau benci dek sedikit kesilapan yang dilakukan.

Namun tidaklah bermakna saya tidak mempunyai pendirian terhadap parti politik yang ada sekarang. Setiap orang mempunyai pandangan dan pendirian masing-masing. Pilihan sendiri, untuk diri sendiri dan masa depan generasinya.

PRU 13 & Manifesto Parti

5 Mei 2013 hari penentu. Kita akan menunaikan amanah untuk memilih pemimpin kita. Perbandingan Manifesto menjadi pilihan saya. Kerana pada saya, Pilihanraya adalah medan untuk rakyat membuat pilihan, wakil mereka. Kita yang menghantar wakil, jadi kitalah yang berkuasa!

Pilihan kita kepada mereka yang boleh memberi kaedah terbaik dalam mengurus Negara. Biarlah kekayaan Negara itu rakyat dapat rasai bersama...

Secara umumnya, BN saya lihat lebih kepada PEMBERIAN. PR lebih kepada PEMBERIAN DAN PENJIMATAN. Pada saya rakyat golongan biasa, manifesto PR lebih dekat dihati dan memahami keperluan kami seisi keluarga. Pengurangan kos, disamping pengawalan perbelanjaan diri sendiri dan seterusnya penambahan tabungan masa hadapan.

Ingin disentuh hanya beberapa perkara. Dalam bentuk pemberian, situasi saya. Saya tidak dapat BR1M, saya tidak dapat BB1M, saya tidak ke KR1M (kerana kos kenderaan untuk kesana, lebih baik di kedai runcit berdekatan rumah sahaja). Ya memang benar, ada iklan di TV “kecil pemberian pada kita tapi besar nilainya pada mereka”. Ya, bagus untuk memberi, malah harapnya lebih lagi. RM 500 setahun bersamaan RM 41.66 sen sebulan.

Namun, situasi saya, saya tidak menikmati “kekayaan” Negara yang saya sayangi ini.

Manifesto PR, ada pemberian dan penjimatan. Dalam situasi saya, suami berulang setiap hari dari Gombak ke USIM, dengan kos Tol dan Minyak hampir RM 1000 setiap bulan!. Allah, betapa saya boleh membuat penjimatan, dan menambah tabungan masa hadapan kami setiap bulan!. Ini saya yakin, lebih menepati kos sara hidup zaman kini.

Isu Pembangunan.

Kadang-kadang saya agak kecewa. Isu pembangunan yang tidak habis-habis dimainkan di TV. Yang terbaru tadi saya lihat kata seorang wakil rakyat BN, “kita akan membina Hospital Pakar di sini”. Saya sabagai rakyat biasa ini terfikir, “buat hospital pakar, baguslah, tapi siapa yang dapat duit sampingan pembinaannya? Kami rakyat apabila ke hospital pakar, bukannya secara percuma, kos hospital pakar tersangatlah mahal!”, “siapa pula yang untung dan siapa pula yang rugi?”. Adakah hanya sekadar berbangga dengan hospital pakar yang ada?

Siapa yang tidak ingin melihat Negara pesat membangun? Alhamdulillah.. cantik mata memandang, sejuk hati melihat. Tetapi kami sebagai rakyat, adakah hanya dapat berbangga, sekadar pergi ambil gambar, posing2 di hadapan bangunan tersebut sahaja? Apa pulangan untuk kami pula? Siapa yang dapat untung dari projek pembangunan tersebut? Sedih juga kadang-kadang apabila isu ini dimainkan sebegitu rupa. Kami rakyat biasa ini boleh berfikir…

Justeru, buat rakan-rakan diluar sana, ayuh berfikir dengan mata hati… Kekayaan Negara yang kita cintai ini ingin juga kami sebagai rakyat merasai. Sekurang-kurangnya, hasil kekayaan tersebut dapat kami nikmati melalui pengurangan kos sara hidup kami. Bukan sekadar pemberian RM yang hanya akan habis begitu sahaja, berbanding penjimatan yang boleh dilakukan setiap bulan…

Ayuh rakan-rakan, kita memilih dengan bijak. Bagi yang masih atas pagar, buatlah istikharah. Bukan hanya istikharah untuk berkahwin sahaja.. :) Apabila esok Allah tetapkan hati yang itu, itulah pilihan kita, insyaAllah…

Setiap parti ada pro dan kontranya. Tiada yang maha sempurna melainkan Allah. Pohonlah agar Allah tunjukkan pilihan pemimpin yang lebih cenderung kepada kebenaran dan keadilan. Sebagai seorang Islam, pemimpin yang boleh membimbing dan menunjuk rakyat jalan kearah kebaikan, yang Ikhlas dan ada usaha dalam menjunjung syariat Islam, bukan hanya sekadar syiar Islam… 


Selamat Mengundi… :)

Saturday, March 16, 2013

Forum Sebarkan Ilmu @ PTS @ Pesta Buku Alpha Angel 12-24 Mac 2013

Hebahan.



InsyaAllah saya (Penulis Buku "Bahagianya Menjadi Pengantin Sepanjang Masa") dan Puan Sakinah Salleh, penulis buku "Apabila Dia Menyapa Jodohkan Namanya") akan berforum di dalam slot Sebarkan Ilmu di bawah tajuk "Sebelum Jodoh Menyapa" sempena Pesta Buku Alpha Angel pada 17 Mac 2013 jam 2.00 - 4.00 pm.


Bagi saudara/i yang berkelapangan, dijemput hadir untuk sama-sama memeriahkannya..Jumpa disana InsyaAllah ;)

Saturday, March 2, 2013

Trial

Percubaan mengupdate blog nenggunakan perisian blogger apps untuk hp.

Ok, tapi tak berapa friendly user sangat. Tak macam di laptop.

sikit-sikit oklah. Gunapun hp abi...beria macam hp sendiri..ahaksss...hehe

Ok, try masukkan gambar pula..

Wednesday, January 23, 2013

Tip Didik Anak: Teori 1H-1H


Sebelum ini saya ada menyentuh soal tip didik anak yang bermula dengan al-Quran.  Boleh baca sini.


Perkara kedua yang perlu dititikberatkan oleh kedua ibubapa yang mementingkan pendidikan Islam untuk anak adalah untuk mencintai baginda Nabi SAW. 

Bagaimana untuk ibubapa yang masih mempunyai anak kecil boleh mendiidk mereka untuk mencintai Nabi?

Teori yang diambil daripada buku “Motivasi Gaya Rasulullah” ini mudah-mudahan menjadi satu suntikan motivasi bagi diri si anak dan ibubapa yang ditanam sejak kecil. 

 FB: http://www.facebook.com/MotivasiGayaRasulullah
Blog: http://www.motivasigayarasulullah.blogspot.com/


Teori 1H ini bermakna: 1 Hari, 1 Hadis.

Saya ingin mengambil 2 contoh ini. Saya ada terbaca kisah mengenai Beliau yang sangat hebat ini. Ibunya sejak kecil seringkali membacakan hadis  kepadanya. Akhirnya apa yang berlaku, beliau menjadi pengumpul hadis-hadis Sahih baginda Nabi SAW. Beliau yang saya maksudkan adalah Imam Bukhari.

Motivasi dari hadis Nabi SAW yang sentiasa disebut oleh ibunya untuk si anak ini sejak kecil. Beliau selalu dibawa oleh ibunya diatas sebuah bukit sambil melihat kepada kota itu sambil membacakan hadis tersebut. Dorongan tersebut menjadikan beliau bersemangat dan termotivasi untuk merealisasikannya!. Hadisnya:

(لتفتحن القسطنطينية، خير الأمير أميرها وخير الجيش جيشها)

"...Konstantinopel (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera..." (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Beliau yang saya maksudkan, siapa lagi kalau bukan Sultan Muhammad Al-Fateh. Bukankah kerana termotivasi oleh hadis Nabi Saw, serta galakan dan sokongan dari ibu tercinta menjadikan beliau semangat untuk merealisasikan menawan Kota Konstantinopel? Akhirnya Kota tersebut Berjaya ditaklukinya.

Jadi, buat diri saya yang menulis dan semua ibubapa diluar sana, ayuh kita tanamkan kecintaan anak-anak kita terhadap baginda Nabi SAW dengan mengamalkan apa yang baginda tinggalkan. Bermulanya dari tindakan kita sekarang, sekalipun kesannya kita belum terzahir sekarang, insyaAllah, pasti dimasa akan datang! InsyaAllah…

Sebagaimana didalam Hadis Nabi ada menyebut:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ. (الإمام مالك)

Dari Abu Hurairah, r.a., dari Nabi s.a.w., bahawa Baginda bersabda: "Aku tinggalkan pada kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepada kedua-duanya, iaitu kitab Allah (al-Quran) dan sunnah Rasulullah (s.a.w.)”.

Langkah-langkah:

1.         1. Baca Hadis sebelum tidur

Jadikan aktiviti  membaca sekurang-kurangnya 1 hadis sudah memadai. Dalam masa 5 minit sudah mencukupi. Ingat ibubapa tidak perlu menjadi seperi pemberi tazkirah ya. Saya tahu ramai ibubapa sibuk. Jangan pening-pening kepala memikirkan, "macam mana ni, ABC belum diajar, Alif Ba Tapun tak habis lagi, buku yang lain pun tak baca lagi, banyaknya nak ajar"..Hehe..Usah pening-peningkan kepala. Ambil masa sedikit sahaja untuk membaca Hadis, samada selepas solat berjemaah atau sebelum tidur dan sebagainya,  insyaAllah ada manfaatnya.. :)

2. Bercerita sebelum baca Hadis

Sebelum memulakan sesi membaca Hadis, ajukan beberapa soalan untuk dijawab., Contohnya, “Siapa Nabi Muhammad?”, “Hadis Nabi itu apa?”, “Sayang tak pada nabi?”, “Kenapa kita perlu sayang dan ikut nabi?”, juga boleh bercerita tentang sahabat-sahabat baginda, kisah-kisah nabi yang sayangkan kanak-kanak dan sebagainya. Apabila mereka menjawab, puji dan terangkan serba sedikit tambahan dari ibubapa.

  1. Cuba mengingati
Ini bagi kanak-kanak yang lebih besar (lingkungan 3 tahun keatas). Boleh menyebut dengan mereka bersama hadis tersebut. Jika tidak, memadai ibubapa yang membaca.

  1. Penjelasan dan Penerangan
Penjelasan dan penerangan tidak perlu panjang jela. Hanya sebut poin yng penting sahaja daripada gambar (Buku Hadis Bergambar Kanak-kanak). Namun jika tidak memungkinkan untuk ibubapa memberikan penjelasan, memadai hanya membaca.

  1. Hadis Buku Bergambar
Buku Hadis bergambar untuk kanak-kanak insyaAllah dapat membantu. Ia bukan sahaja menarik, malah hadis sahih terpilih itu juga amat sesuai sebagai pendedahan awal untuk kanak-kanak mencintai hadis Nabi.

Cadangan Buku:


(Buku ini versi Indonesia yang telah dibeli ketika mengikuti program Twins of Faith 2011. Isi kandungan dan cara persembahannya sangat menarik!)

Jika para pembaca inginkan versi Bahasa Melayu, boleh dapatkan buku ini terbitan PTS:


Aktiviti bukan sahaja bermanfaat insyaAllah untuk si anak pada masa sekarang dan masa hadapannya, malah untuk ibubapa sendiri dalam mengingati hadis nabi dan mengikuti apa yang baginda SAW tinggalkan.

Semoga dengan membaca hadis-hadis baginda Nabi SAW ibarat menjemput baginda ke dalam rumah kita untuk memberi peringatan dan nasihat buat kita seisi keluarga. 

Ayuh hidupkan kecintaan kita sekeluarga terhadap Nabi SAW serta para sahabat, isteri-isteri serta mereka yang mencintai baginda dengan mengikuti sunnah baginda. 

 
Semoga kita akan tergolong dikalangan ummatnya yang terpilih.. 

We LOVE You MUHAMMAD SAW… Allahummasalli'ala Muhammad wa'ala 'ali Muhammad...


 Salam Maulidurrasul 1434H/2013