Seandainya kita diberikan oleh Allah peluang untuk hidup sehingga usia 40-an, perkara yang ingin saya kongsikan ini amat perlu untuk ditikberatkan dan sebagai persediaan di hari kemudian.
Life
begins at 40s…
Apakah benar "life begins at 40s"? Apabila
memasuki usia 40 tahun, pasti orang akan mengatakan kehidupan sebenar baru
bermula. Kita yang belum mencapai usia 40-an pasti belum jelas dengan apa yang
dimaksudkan sebenarnya. Namun, bagi mereka yang baru dan telah melepasi fasa
40-an, pasti mampu memberikan jawapannya. Jawapan itu sebenarnya menentukan dan
menggambarkan siapa dirinya.
Di
dalam al-Quran, Allah juga telah menyebut tentang usia 40-an ini. Allah berfirman,
“dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada
kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya Dengan menanggung susah payah dan
telah melahirkannya Dengan menanggung susah payah. sedang tempoh mengandungnya
beserta Dengan tempoh menceraikan susunya ialah Dalam masa tiga puluh bulan.
setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa Yang sempurna kekuatanNya dan
sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia Dengan
berkata: "Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur
akan nikmatMu Yang Engkau kurniakan kepadaKu dan kepada ibu
bapaku, dan supaya Aku tetap mengerjakan amal soleh Yang
Engkau redai; dan Jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk
ke Dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya Aku bertaubat
kepadaMu, dan Sesungguhnya Aku dari orang-orang Islam (yang
tunduk patuh kepadaMu)". (al-Ahqaf:15)
Apabila
manusia mencapai umur 40, pasti akan timbul didalam hati mereka perkara-perkara
yang telah disebutkan Allah itu. Namun, Ia bukanlah dari semua manusia. Ia
hanyalah untuk mereka yang beriman dan telah melakukan amal soleh bahkan
kebaikan yang berterusan yang bermula sewaktu mereka masih muda.
Sepatutnya,
apabila seseorang itu telah melewati usia 40-an, Allah menyatakan, ada 5
perkara yang akan didoakan iaitu:
1) Berikan kita agar tetap bersyukur dengan
nikmatNya yang telah dikurniakan kepada kita
dan kepada kedua ibu bapa kita. Nikmat rezeki dan kehidupan yang telah kita
lalui sepanjang 40 tahun kehidupan sebelum ini.
2) Doakan
agar supaya kita tetap mengerjakan amal soleh Yang Allah redai, bukan
amal kebaikan yang Allah murkai dan tiada keberkatan ilahi .
3) Jadikanlah
sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunan kita. Ini
bermakna, berdoa agar perkara-perkara buruk dan negatif tidak akan masuk
kedalam jiwa mereka, namun jika sekalipun ia termasuk, tetapi ia tidak akan
melekat lama dan akan hilang.
4) Mohon untuk kita terus bertaubat kepadaNya.
Bertaubat dan terus bertaubat dalam menjadikan kita hamba yang disayangi Tuhan.
5) Akhirnya, berdoa agar kita sentiasa
ditempatkan dari kalangan orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadaNya).
Agar kita mati dalam Islam. Itulah jaminan dan kunci kecemerlangan dan
kebahagiaan.
Semaian
diwaktu muda itulah bekalan yang bakal dibawa ketika hari tua. Jika sewaktu
muda, kita hanya bergelumang dengan maksiat dan tidak bertaubat sebelum sampai
umur 40 tahun, itulah bekalan yang bakal diwarisi apabila usia menginjak 40-an
dan seterusnya.
Hidup akan terkapai-kapai tanpa arah tujuan dan matlamat hidup
dan mati yang jelas. Namun, jika sebaliknya jika semaian yang dituai dan
dibajak setiap hari dengan kebaikan dan taubat, insyaAllah bekalan itulah yang
dibawanya kelak. Mudah-mudahan insyaAllah kita akan mati dengan Husnul
Khatimah (penutup yang baik), insyaAllah.
Oleh
kerana itu, Allah telah menunjukkan contoh yang cukup jelas. Nabi saw menerima
wahyu pertama ketika baginda berusia 40 tahun. Tetapi sebelum itu, baginda
telah dididik dan dilatih oleh Allah sedari kecil dengan pelbagai dugaan,
cabaran, yang telah membentuk karakternya untuk menjadi seorang Nabi dan Rasul
terakhir.
Kerana
itulah, sewaktu muda ini, Input yang baik perlu dimasukkan agar ia sebati
dengan jiwa dan mesra dengan kehidupan. Bukan menanti untuk bertaubat pada usia
tua yang mungkin akan hilang dipertengahan jalan.
Mati tidak pernah mengenal
usia. Jika kita mati disaat diri bertaubat dan melakukan kebaikan,
mudah-mudahan Allah menerima itu sebagai penyesalan seorang hamba dan akan
dimasukkan kita kedalam syurga. Itulah yang kita harapkan dan impikan.
Namun,
jika kita mati tanpa sempat untuk bertaubat, nau’zubillahiminzalik, kita
takut jika sekiranya amalan kebaikan kita sangat kurang apatah lagi yang
melibatkan kewajipan sebagai seorang hamba dengan tuhannya. Bahkan maksiat yang
kita lakukan tanpa taubat, bakal mengheret kita ke neraka jahannam sebagai
balasan.
Semoga Allah sentiasa memberikan hidayahnya buat kita semua...
No comments:
Post a Comment