Thursday, May 17, 2012

Training dari si Ibu, Latihan untuk si Anak





Kami adik beradik berada didalam kategori bertuah, Alhamdulillah. Masakan tidak, setiap kali cuti sekolah, ayah dan emak juga akan turut bercuti, kerana mereka adalah guru. Memang sangat seronok apabila cuti, dapat bersama. Pasti saudara/i juga merasainya.

Saya yakin dengan pendidikan dan fokus ibubapa terhadap perkembangan Emosi, Intelektual, Fizikal dan Spiritual anak-anak yang bermula dari rumah. Malah setiap hari yang dilalui itu merupakan latihan tanpa sedar yang akan disedari kemudian hari.

Latihan Menulis

Berjalan, melihat dan mengambil pengajaran disebalik setiap ciptaan Allah.

Setiap kali cuti sekolah, ayah dan emak akan membawa kami adik beradik bercuti. Memang sejak dari kecil pusingan dari satu negeri ke satu negeri telah kami jelajahi kecuali Sabah dan Sarawak.  Perkara penting yang masih segar didalam kotak ingatan saya adalah,  setiap kali menziarahi mana-mana tempat, pasti emak akan berpesan, “Balik nanti tulis karangan!”.

Ya, mahu atau tidak, kerana “terpaksa”, karangan itu perlu siap ditulis untuk disemak oleh Cikgu Siti Rohani Abdullah. Habis sahaja karangan ditulis, terus saya mendapatkan emak yang sedang membaca akhbar, atau kadang-kadang selalu sahaja menjawab Peraduan Teka Silang Kata di dalam Berita Harian.

Saya fikir kerana tindakan “paksaan” emak yang menyuruh saya menulis telah menimbulkan minat saya untuk menulis, dan Alhamdulillah boleh bergelar seorang penulis. Walaupun setelah beberapa tahun lamanya, buku pertama ini baru dihasilkan, “Bahagianya Menjadi Pengantin Sepanjang Masa”. Tindakan ibu dahulu hasilnya baru sekarang.

Latihan Matematik

Hari cuti hujung minggu terutamanya, apabila telah selesai melakukan kerja-kerja rumah. Emak akan kata, “ni ayah dah ada, ambil matematik buat, Tanya apa yang tak tau”. Dalam keadaan terpaksa juga, latihan demi latihan akan dibuat. Pelbagai jenis buku latihan emak belikan. Kerja perlu diselesaikan terlebih dahulu, kemudian baru boleh menonton TV.

Hasilnya, Alhamdulillah, matematik skor A. Pelajaran yang lain, dengan bantuan guru-guru, hadiri tuisyen, dan usaha sendiri, Alhamdulillah juga, walaupun ada juga yang tidak cemerlang..Huhu..

Latihan Ilmu Agama

Alhamdulillah emak dan ayah memang tidak pernah silap menghantar saya bersekolah beraliran agama. Sejak dari tadika (bermula di Taski Abim Jalan Pegawai kemudian berpindah ke Taman Berjaya), bersambung pula ke Sek. Ren. Islam Abim kemudian ke Maktab Mahmud Alor Setar. Banyak perkara yang saya pelajari yang telah menjadikan saya bersyukur dengan nikmat kehidupan yang diberikan. Ada perkara yang dipelajari ketika di Taski masih segar dalam ingatan

Emak bawa mengaji dari kecil

Saya sering dibawa oleh emak yang gemar mengaji kitab di Pondok Derang. Bermula sejak usia 5 tahun sehinggalah sekolah menengah. Maka, daripada itu timbul minat untuk belajar dan terus belajar.

Aspek solat juga sangat dititikberatkan. Ada masanya ketika bersekolah rendah emak menyuruh untuk solat dihadapan emak dengan bacaan saya yang kuat. Emak mengajar apa yang betul dan apa yang salah didalam pergerakan dan juga bacaan. Gabungan pendidikan Islam yang diterapkan di sekolah serta berkesinambungan pula di rumah adalah suatu didikan yang sangat indah mudah-mudahan akan beroleh barakah. 

Kemahiran Kehidupan

“mak bapak dah bagi pelajaran, makan pakai dari kecil, apa lagi yang tak cukup?”. Rungut si bapa kepada anak yang “membuat” sesuatu yang tidak disukainya.

Ya ternyata, makan pakai serba serbi bukanlah jaminan untuk si anak untuk membesar dan terus hidup sebagai seorang manusia yang berguna.

Pemberian ibubapa bukan hanya terhenti setakat memberi pakaian, tempat tinggal, hantar ke sekolah namun lebih dari itu. Perkara yang sering terlepas pandang oleh kebanyakan ibubapa adalah perhatian. Saya teringat nasihat dan pesanan pakar serta penulis buku parenting, Pn . Jamilah Samian, “Anak-anak ini membuat masalah kerana inginkan perhatian, mereka kekurangan perhatian”. Dengan membuat pelbagai masalah, mereka mendapat perhatian ibubapa. Itu perkiraan mereka.

Ilmu Asas seorang Wanita; Memasak dan Mengemas

Kalau dahulu ketika remaja, saya tidak suka masuk dapur, tetapi masuk dapur kerana “terpaksa”.

Suka saja mengelat.

Emak: Diana buat sotong cabai (sotong masak merah).
Saya: Tak gheti (tak pandai) la mak, mak buat la diana tengok na
Emak: Ha, sebab tak gheti tula yang mak nak ajaq ni..
Saya: Dalam hati (hmm kena jugak…)

Jangan harap boleh mengelat. Haha.. Ya, belajar bukan hanya dengan melihat, tetapi lebih berkesan dengan membuatnya sendiri.

Mengemas pun suka mengelat juga, samada tolak kepada adik atau kakak.

Konklusinya,disebabkan segala “keterpaksaan” itulah telah menjadikan saya sukakan dapur dan mengemas.

Nah, ternyata, Latihan dari si ibu merupakan satu training untuk si anak. Ibu adalah madrasah (sekolah) pertama anak-anak. WasilahNya adalah pada  dia si ibu.. Selamat Hari Ibu buat semua para ibu, dan Selamat Hari Guru kepada seluruh warga guru!! Terima kasih kerana membantu kami menjadi seperti kami sekarang..Semoga Allah membalasnya dengan Syurganya amiin… 


 Syawal 1432-2011

Besar harapan Ummi serta para ibu diluar sana, menyimpan azam dan niat, insyaAllah untuk mempraktikkan kemahiran kehidupan yang sesuai untuk kehidupan masa hadapan anak-anak, insyaallah. Semoga Allah memberi kekuatan dan kesabaran dalam membantu kita menggalas amanah besar ini. Ya Allah jadikan anak-anak zuriat keturunan kami manusia yang bermanfaat dalam menggalas amanah sebagai khalifahMu di muka bumi…

No comments: