Kami adik beradik
berada didalam kategori bertuah, Alhamdulillah. Masakan tidak, setiap kali cuti
sekolah, ayah dan emak juga akan turut bercuti, kerana mereka adalah guru.
Memang sangat seronok apabila cuti, dapat bersama. Pasti saudara/i juga merasainya.
Saya yakin dengan
pendidikan dan fokus ibubapa terhadap perkembangan Emosi, Intelektual, Fizikal
dan Spiritual anak-anak yang bermula dari rumah. Malah setiap hari yang dilalui
itu merupakan latihan tanpa sedar yang akan disedari kemudian hari.
Latihan Menulis
Berjalan, melihat dan mengambil
pengajaran disebalik setiap ciptaan Allah.
Setiap kali cuti
sekolah, ayah dan emak akan membawa kami adik beradik bercuti. Memang sejak
dari kecil pusingan dari satu negeri ke satu negeri telah kami jelajahi kecuali
Sabah dan Sarawak. Perkara penting yang
masih segar didalam kotak ingatan saya adalah,
setiap kali menziarahi mana-mana tempat, pasti emak akan berpesan, “Balik
nanti tulis karangan!”.
Ya, mahu atau tidak,
kerana “terpaksa”, karangan itu perlu siap ditulis untuk disemak oleh Cikgu
Siti Rohani Abdullah. Habis sahaja karangan ditulis, terus saya mendapatkan
emak yang sedang membaca akhbar, atau kadang-kadang selalu sahaja menjawab
Peraduan Teka Silang Kata di dalam Berita Harian.
Saya fikir kerana
tindakan “paksaan” emak yang menyuruh saya menulis telah menimbulkan minat saya
untuk menulis, dan Alhamdulillah boleh bergelar seorang penulis. Walaupun
setelah beberapa tahun lamanya, buku pertama ini baru dihasilkan, “Bahagianya
Menjadi Pengantin Sepanjang Masa”. Tindakan ibu dahulu hasilnya baru sekarang.
Latihan Matematik
Hari cuti hujung minggu
terutamanya, apabila telah selesai melakukan kerja-kerja rumah. Emak akan kata,
“ni ayah dah ada, ambil matematik buat, Tanya apa yang tak tau”. Dalam keadaan
terpaksa juga, latihan demi latihan akan dibuat. Pelbagai jenis buku latihan
emak belikan. Kerja perlu diselesaikan terlebih dahulu, kemudian baru boleh
menonton TV.
Hasilnya,
Alhamdulillah, matematik skor A. Pelajaran yang lain, dengan bantuan guru-guru,
hadiri tuisyen, dan usaha sendiri, Alhamdulillah juga, walaupun ada juga yang
tidak cemerlang..Huhu..
Latihan Ilmu Agama
Alhamdulillah emak dan
ayah memang tidak pernah silap menghantar saya bersekolah beraliran agama.
Sejak dari tadika (bermula di Taski Abim Jalan Pegawai kemudian berpindah ke
Taman Berjaya), bersambung pula ke Sek. Ren. Islam Abim kemudian ke Maktab
Mahmud Alor Setar. Banyak perkara yang saya pelajari yang telah menjadikan saya
bersyukur dengan nikmat kehidupan yang diberikan. Ada perkara yang dipelajari
ketika di Taski masih segar dalam ingatan
Emak bawa mengaji dari
kecil
Saya sering dibawa oleh
emak yang gemar mengaji kitab di Pondok Derang. Bermula sejak usia 5 tahun
sehinggalah sekolah menengah. Maka, daripada itu timbul minat untuk belajar dan
terus belajar.
Aspek solat juga sangat
dititikberatkan. Ada masanya ketika bersekolah rendah emak menyuruh untuk solat
dihadapan emak dengan bacaan saya yang kuat. Emak mengajar apa yang betul dan
apa yang salah didalam pergerakan dan juga bacaan. Gabungan pendidikan Islam
yang diterapkan di sekolah serta berkesinambungan pula di rumah adalah suatu
didikan yang sangat indah mudah-mudahan akan beroleh barakah.
Kemahiran Kehidupan
“mak bapak dah bagi
pelajaran, makan pakai dari kecil, apa lagi yang tak cukup?”. Rungut si bapa
kepada anak yang “membuat” sesuatu yang tidak disukainya.
Ya ternyata, makan
pakai serba serbi bukanlah jaminan untuk si anak untuk membesar dan terus hidup
sebagai seorang manusia yang berguna.
Pemberian ibubapa bukan
hanya terhenti setakat memberi pakaian, tempat tinggal, hantar ke sekolah namun
lebih dari itu. Perkara yang sering terlepas pandang oleh kebanyakan ibubapa
adalah perhatian. Saya teringat nasihat dan pesanan pakar serta penulis buku
parenting, Pn . Jamilah Samian, “Anak-anak ini membuat masalah kerana inginkan
perhatian, mereka kekurangan perhatian”. Dengan membuat pelbagai masalah,
mereka mendapat perhatian ibubapa. Itu perkiraan mereka.
Ilmu Asas seorang
Wanita; Memasak dan Mengemas
Kalau dahulu ketika
remaja, saya tidak suka masuk dapur, tetapi masuk dapur kerana “terpaksa”.
Suka saja mengelat.
Emak: Diana buat sotong
cabai (sotong masak merah).
Saya: Tak gheti (tak
pandai) la mak, mak buat la diana tengok na
Emak: Ha, sebab tak
gheti tula yang mak nak ajaq ni..
Saya: Dalam hati (hmm
kena jugak…)
Jangan harap boleh
mengelat. Haha.. Ya, belajar bukan hanya dengan melihat, tetapi lebih berkesan
dengan membuatnya sendiri.
Mengemas pun suka
mengelat juga, samada tolak kepada adik atau kakak.
Konklusinya,disebabkan segala
“keterpaksaan” itulah telah menjadikan saya sukakan dapur dan mengemas.
Nah, ternyata, Latihan
dari si ibu merupakan satu training untuk si anak. Ibu adalah madrasah
(sekolah) pertama anak-anak. WasilahNya adalah pada dia si ibu.. Selamat Hari Ibu buat semua para
ibu, dan Selamat Hari Guru kepada seluruh warga guru!! Terima kasih kerana
membantu kami menjadi seperti kami sekarang..Semoga Allah membalasnya dengan
Syurganya amiin…
Syawal 1432-2011
Besar harapan Ummi
serta para ibu diluar sana, menyimpan azam dan niat, insyaAllah untuk
mempraktikkan kemahiran kehidupan yang sesuai untuk kehidupan masa hadapan
anak-anak, insyaallah. Semoga Allah memberi kekuatan dan kesabaran dalam
membantu kita menggalas amanah besar ini. Ya Allah jadikan anak-anak zuriat
keturunan kami manusia yang bermanfaat dalam menggalas amanah sebagai
khalifahMu di muka bumi…