Friday, February 19, 2010

"Expectation" dan Realiti di dalam Perkahwinan


(gambar diambil dari muhtarsuhaili.wordpress)

Tiba-tiba saya terasa ingin menulis tentang perkahwinan. Mungkin kerana terpengaruh dengan cerita-cerita tidak elok tentang lumrah kehidupan berumahtangga.

Sebelum berkahwin dan ketika memikirkan siapakah calon yang terbaik untuk dijadikan teman hidup, seringkali saya berfikir, “Apakah betul calon pilihan yang aku buat ini?”. Perasaan takut dan bimbang menyelubungi perasaan ketika itu. Takut sekiranya tersalah di dalam percaturan hidup. (Alhamdulillah pilihan tersebut tidak salah malah adalah yang terbaik untuk diri).

Lebih menakutkan, cerita-cerita tidak elok tentang realiti perkahwinan yang sering dilaporkan. Perasaan tidak bahagia dan rasa jemu terhadap pasangan. Realiti kehidupan yang dilalui tidak seperti yang dijangkakan dan diharapkan.

Nilaian Bahagia.

Apakah bahagia itu boleh diukur? Nilai bahagia itu terletak kepada pemiliknya. Ada pasangan yang dilihat bahagia tetapi hakikat yang dilaluinya tidak. Namun ada juga pasangan yang kelihatan tidak bahagia tetapi melalui kehidupan rumahtangga yang cukup bahagia. Bahagia hingga ke akhir hayat dan bahagia yang akan terus membawa ke Syurga.

Nilaian bahagia adalah sesuatu yang sangat subjektif. Seringkali saya terfikir, apakah mereka yang dikatakan hidup bahagia itu tidak pernah mengalami konflik di dalam rumahtangga? Apakah mereka sentiasa “sekepala” di dalam membuat sesuatu keputusan?

Adalah suatu yang mustahil dan dusta sekiranya ukuran bahagia diletakkan pada ketidakwujudan konflik dan masalah di dalam rumahtangga. “Happy Ending” seperti dalam fantasi kisah-kisah cinta di telivisyen.

“Expectation” terhadap pasangan.

Saya pernah “bersembang” dengan suami berkenaan “expectation” beliau terhadap saya dan “expectation” saya terhadap beliau. Suami tidak menjawab persoalan saya tetapi sebaliknya, kata-katanya yang insyaAllah akan saya ingat sampai bila-bila. “Perkahwinan bukan berdiri diatas paksi “expectation” tetapi adalah suatu yang realiti. Kita berhadapan dengan realiti, bukan atas “expectation”.

Semua orang boleh meletakkan “expectation” terhadap pasangan masing-masing. Sebelum berkahwin, kita tidak akan mengenali pasangan. Suatu yang tipu sekiranya dikatakan “bercinta” dan “berdua-duaan” sebelum berkahwin untuk mencari keserasian.

Sebenarnya “expectation” itulah yang akan mengeruhkan lagi hubungan di antara pasangan. Lebih-lebih lagi dengan meletakkan “expectation” yang tinggi terhadapnya. Apa yang diharapkan dan diimpikan lain dari realitinya. Samada berkahwin atas pilihan sendiri, pilihan jemaah, pilihan orang tua, bantuan orang tengah dan sebagainya.

Apabila berlakunya sesuatu konflik, perasaan kecewa menyelubungi. Maka timbullah segala macam perasaan tidak elok terhadap pasangan. Pelbagai “expectation” lama datang bertamu. Syaitan pula datang menyuntik. Sedangkan diwaktu awal perkahwinan, segala macam nikmat bahagia dirasakan. Tidak pula timbul soal “expectation” terhadap pasangan.

Justeru, buang segala macam “expectation” dan berinteraksi dengan realiti dihadapan dengan sebaiknya. Perbaiki diri sendiri dan pada masa yang sama perbaiki diri pasangan. Saling tegur menegur demi mencapai kebahagiaan bersama dalam menuju RedhaNya..

Terima diri pasangan seadanya adalah kunci segalanya. Tiada manusia yang sempurna termasuk diri kita sendiri. Memetik kata-kata dari kumpulan Scorpion, “What you give, you get back”.

Satu Misi dan Visi berpaksikan Taqwa.

Di dalam Al-Quran Allah berfirman, “Hai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Rabb-mu yang telah menciptakan kamu dari yang satu, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya; dan dari keduanya Allah memperkembangbiakkan laki-laki dan perempuan yang banyak. Dan bertaqwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.” (QS. 4:1)

Rasulullah saw menjadi Qudwah atau contoh terbaik untuk diikuti. Perkahwinan yang didasari Taqwa dan menuju cinta yang satu terhadap Allah dan Islam.

Apabila berlakunya sesuatu konflik, ingat semula bahawa salah satu tujuan perkahwinan adalah untuk mencari Redha Allah. Itulah juga niat sebelum kita berkahwin dengan pasangan. Wasilah atau jalan untuk mendapatkan Redha Allah adalah melalui pasangan kita sekarang. Hargai diri pasangan masing-masing.

Cintailah orang yang telah dikahwini, bukan “berkahwin” dengan orang yang dicintai. Kerana syaitan sentiasa mencari jalan untuk mengeruhkan sesebuah perkahwinan. Perasaan “cinta segera” yang hadir dari tipu daya syaitan itu adalah salah satu muslihatnya.

“Ya Allah suburkanlah cinta kami terhadap pasangan kami agar kami dapat terus mencintaiMu.. Rabbana hablana min azwajina wazurriyatina qurrataa’yun waj’allana lilmuttaqinaimama..”

2 comments:

debu86 said...

salam. kak,ada benda nk tanya..ape ye emel kak? sgt2 perlukan panduan

dinaluzriq said...

wslm debu86..i.Allah blh..emel: dinaluzriq@gmail.com