Thursday, January 1, 2015

Basikal Impian Saya

Bismillahirrahmanirrahim.

Saja ummi nak abadikan kenangan ini. :) InsyaAllah mudah-mudahan ianya menjadi antara kenangan yang paling manis dan ada kebaikannya didunia dan akhirat. InsyaAllah

Sudah lama Uways minta untuk belikan basikal baharu. Iyalah basikal yang lama tu pun sudah kecil sangat. Memang bagi pada Umayr saja. Alhamdulillah Umayr pula menerima seadanya. Tidak pula meminta yang baru. Alhamdulillah dia pun faham basikal masih elok dan boleh digunakan. Tidak perlu membazir membeli yang baru.

Alkisahnya, 26 September 2014.

Uways menyebut lagi tentng basikal baru. Ummi berpesan untuk Uways berdoa agar Allah berikan rezeki untuk ummi abi belikan basikal.

Keyakinan 100% pada Doa

Sememangya tiada masalah untuk Abi Ummi belikan basikal baru untuk Uways, tetapi apa yang  lebih penting, Abi dan Ummi mahu Uways belajar bahawa doa itu adalah sumber kekuatan dan Allah akan mudahkan urusan apa jua yang kita minta. Allah akan memakbulkan apa yang kita minta sebagaimana firman Allah:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِين
Maksudnya: Dan Tuhanmu berfirman: “Mohonlah (mintalah) kamu kepadaku, pasti aku perkenankan (permintaan) kamu itu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombong diri dari menyembahku akan memasuki  neraka Jahannam dalam keadaan hina dina”, (Surah al-Ghafir:60)

Allah PASTI akan memakbulkan apa sahaja doa kita itu, tetapi kemungkinan:
1)      Allah akan berikannya segera
2)      Allah tangguhkan waktunya pada waktu yang lebih tepat dan sesuai
3)      Allah gantikannya dengan sesuatu yang lebih baik

Khamis selepas solat maghrib, usai mengangkat pakaian dijemuran untuk dilipat, tiba-tiba ummi terdengar Uways berdoa, “Ya Allah, bagilah Abi dan Ummi beli basikal baru HARI SABTU”. Banyak kali uways ulang. Memang bersungguh-sungguh berdoa. Siap sebut hari sabtu tu! :)

Bila Abi balik dan ummi ceritakan pada Abi, tahu tak apa yang berlaku? Abi kata, “patutlah sepanjang perjalanan balik dari office tadi Abi teringatkan Uways dan tergerak hati nak belikan uways basikal!”. Subhanallah, memang benar doa seorang anak kecil itu tiada hijab antara Tuhan dan seorang hamba yang tiada dosa!. Jadi, Abi pesan pada ummi, esok bawa Uways pergi tengok basikal mana yang dia berkenan dan tulis karangan tajuk, “Basikal Impian Saya”. Banyak betul “cabaran” untuk mendapatkan basikal baru ni ya!? :)

Jadi keesokannya selepas ummi ambil uways dari sekolah, ummi ambik jalan simpang ke Ong Tai Kim. Uways macam pelik. Biasanya kalau balik sekolah, tak lalu jalan ni. Ummi nak buat surprise ni.

“Kita nak pegi mana ni ummi?”
“adalah…ikut saja.Rahsia..”.
Bila dah masuk simpang kedai basikal…
“Oh Uways tau! Nak beli basikal??!!”
Ummi senyum. Mengangguk.
“tapi kita tak beli harini, kita tengok saja dulu, nanti i.allah hari sabtu kita datang dengan Abi beli, ok?”

Muka tersangatlah terharu. Menangis kegembiraan!Sayang anak ummi ni!
“terima kasih ummi!’’

Masuk kedai basikal, belek pi belek mai… Uways berkenan basikal ini…





Balik ke office ummi, Uways tulis karangan seperti yang diminta.. inilah karangan pertama budak darjah satu ni..hehe…Halalllah kan..Tahniah!




Alhamdulillah, Abi dan Ummi pesan, hadiah basikal ini bukan kerana hadiah harijadi 15/10/2014 Uways, tetapi Abi dan Ummi belikan hadiah basikal atas sebab:

1)      Uways tak tinggal solat
2)      Uways beri komitmen untuk hafaz al-Quran
3)      Uways selalu tolong ummi
4)      Uways tolong jaga adik

Untuk Umayr yang 4 tahun ni pula. Bersemangat waja mahu menunggang basikal abangnya. Sudah lama teringin. Cari punya cari roda tepi yang lama, tak jumpa pula dalam stor. Nak beli rasa membazir. Jadi, pada hari yang sama juga ummi “pulun ajaq” Umayr kayuh dan control handle. Fuh..memang jenuh jugak sampai sakit pingganglah dibuatnya! Tapi Alhamdulillah berbaloi! Hikmah roda tepi tak jumpa, tak beli baru, ummi pulun ajaq, Alhamdulillah boleh kayuh sendiri!

Video ini boleh menerangkan serba sedikit apa yang berlaku.. (Sebenarnya, ummi belajar try buat video sendiri ni). hehe..



Ok, semoga Uways, Umayr dan Sofieyya terus membesar menjadi anak soleh dan solehah insyaAllah. Semoga anak-anak semua faham apa yang Abi dan Ummi mahu sampaikan…

Salam sayang…