27-MAC-2012. Saya
serba salah dalam menulis entri ini. Pertama apabila memikirkan saya masih
tiada hasil untuk menyampaikan (sebagai proof/bukti) perkongsian ini. Yang
kedua, namun jika difikirkan kembali, jika tidak “direkodkan” sekarang,
tiadalah apa-apa yang ditinggalkan jika saya dijemput ilahi. Apatah lagi,
anak-anak pasti tidak akan tahu apa yang telah berlaku sepanjang kehidupan
mereka sewaktu kecil. Kegusaran ini dikongsi dengan meminta pandangan suami.
“Abang rasa wajar atau
tidak kalau Diana masukkan entri tentang perjalanan Uways dan Umayr, apa yang
mereka lalui, iaitu apa yang Diana sebagai ibu mereka telah berusaha lakukan
untuk mereka?”. Sebab kadang-kadang timbul perasaan serba-salah. Jika dikongsi,
ia masih belum ada hasil, takut dan segan juga sebenarnya, namun jika tidak
dikongsi, jika suatu hari nanti insyaallah hasil yang baik untuk Uways dan
Umayr, itu sudah terlambat jika ada mereka diluar sana yang sepatutnya turut
sama-sama melakukan perkara yang sama dan menampakkan hasil yang sama pada masa
yang sama”. Suami saya memberikan pandangan, maka entri ini dimasukkan sebagai permulaan.
Point utama saya
adalah, faktor dan pengaruh ibu dalam membentuk masa hadapan anak-anak. Ya sudah
pasti hasil yang terbaik yang diinginkan. Pasti semua ibubapa menginginkan
anak-anak mereka lahir dan membesar sebagai anak yang soleh, mereka yang hafiz
al-quran bahkan turut cemerlang didalam pelajaran dan seterusnya didalam
kehidupan. Sekalipun apa jua bidang yang mereka pilih, perisai utama yang
tumbuh sebati di dalam jiwa mereka adalah bekalan al-Quran. Sekalipun mereka
adalah seorang ustaz/ah, Doktor, Peguam, Usahawan, malah Artis sekalipun,
bekalan yang dibawa bersama adalah ruh al-Quran dan nilai Islam serta sunnah
junjungan mulia Nabi Muhammad SAW sebagai panduan. Bidang yang diceburi itu
dibawa bersama perjuangan Islam.
Saya mengimpikan sebuah
masyarakat yang suatu hari nanti insyaallah adalah sebuah masyarakat yang generasi
pelapisnya iaitu hasil yang dipersiapkan sekarang adalah generasi Islam yang
bakal memimpin Malaysia, malahan dunia. Samada ianya terlalu idealistic atau
realistic, hakikatnya ia kembali kepada perkara basic, iaitu bermula dari
SENTUHAN DIDIKAN SEORANG IBU yang bersifat Holistik (menyeluruh). Saya yakin
diluar sana ramai para ibu yang turut sama melakukan perkara yang sama, namun
samada ianya disimpan menjadi rekod keluarga atau ianya turut dikongsi untuk
kebaikan yang boleh diambil manfaat bersama.
Sesungguhnya Islam telah mencipta zaman-zaman kegemilangannya tersendiri, dan insyaallah akan kembali gemilang. Keizzahan Islam hasil usaha keras insan hebat Muhammad bin Abdullah (Rasulullah saw), Penaklukan Konstantinanpol oleh remaja hebat Muhammad al-Fateh, Kegeniusan Imam as-Syafie, Kepandaian dan kebijaksanaan Urwah dan ramai lagi insan hebat di dalam sejarah. Siapakah disebalik kehebatan insan-insan hebat ini? Ya, IBU yang bersifat Holistik bahkan IBU yang bercita-cita Besar.
Ada rahsia disebalik insan-insan
hebat yang telah menjadikan Islam ini gemilang. Membaca kisah-kisah para ulama,
individu-individu hebat sejak zaman Rasulullah saw sehingga kini, saya telah
menemui beberapa titik pertemuan yang sama dimana titik persamaan itulah yang telah
menjadikan mereka sebagai insan hebat yang telah mengizzahkan (menghebatkan)
Islam. Itulah yang akan dikongsi bersama didalam entri ini dan entri yang akan
datang insyaallah.
Namun, mengapakah
keizzahan Islam itu semakin hari semakin tidak berisi? Ibarat hanya berbangga
dengan masa silam kita namun kita tidak bangkit mengizzahkan ia kembali?
AL-QURAN PERISAI DIRI
Menyoroti Kelemahan
Diri: Bekalan dari Generasi ke Generasi
Sejak saya di sekolah,
Maktab Mahmud Alor Setar, ketika kami menganjurkan program Khemah Ibadah untuk
pelajar sekolah luar samada dibawah Badan Pengawas dan Tatatertib atau Badan
Dakwah dan Kebajikan, saya berhadapan dengan perkara ini. Kemudian apabila
melanjutkan pelajaran di UIA sejak dari matrikulasi sehinggalah degree, ketika
diamanahkan memegang jawatan sebagai Naqibah dibawah program Study
Circle/Halaqah CCAC, saya juga berhadapan dengan perkara ini. Sejak saya mula
berkhidmat di UIA, mengajar Bahasa
al-Quran (Bahasa Arab) ini kepada pelajar-pelajar, saya turut berhadapan dengan
perkara yang sama.
Seringkali saya bersedih. Kesedihan yang hanya
dipendam didalam hati. Sering juga dikongsi bersama suami. Saya cuba sedaya
upaya untuk membantu. Perkara yang sama yang disedihkan itu adalah “apabila
berhadapan dengan bilangan pelajar yang tidak boleh / sukar membaca al-Quran
didalam jumlah yang ramai”. Na’uzubillahiminzalik.
Jika mereka yang
berprogram bersama saya ketika disekolah itu saya yakin, kini telah menjadi ibu
dan bapa. Manakala orang yang berada dihadapan saya kini pula adalah bakal ibu
dan bapa. Ibubapa yang bakal mendidik anak-anak mereka dengan bekalan al-quran.
Ini adalah bekalan paling utama yang perlu diajar oleh ibubapa kepada
anak-anak. Mengajar mereka al-Quran adalah hak setiap anak dan tangunggjawab
ibubapa terhadap mereka.
Ketika seorang anak
datang bertanya kepada Amirul Mu’min Umar r.a, ia bertanya kepadanya, “Apa hak
seorang anak keatas orang tuanya wahai Amirul Mu’minin?”. Kemudian Amirul
Mu’minin menjawab, “Iaitu agar dia memilih ibunya dengan baik, memilih namanya
dengan baik, dan mengajarkannya Kitab Allah”.
Bagaimana mereka nanti
akan mengajarkan kepada anak-anak mereka? Carikan ustaz untuk mengajar? Hantar
ke tuisyen al-Quran? Hakikatnya faktor pengaruh ibubapa itulah yang paling
dominan. Sekalipun mereka dihantar berguru dengan ustaz yang hebat dengan
bayaran yang mahal sekalipun, namun, jika tidak disusuli dengan pemantauan
serta contoh dari ibubapa dirumah, ianya hanyalah sia-sia.
Daripada
pelajar-pelajar itu, saya terfikir beberapa perkara:
1)
Saya tidak 100%
menyalahkan mereka. Mungkin ibubapa mereka terlepas pandang di dalam soal al-Quran
ini. Na’uzubillahiminzalik.
2)
Kemungkinan juga
ibubapa mereka telah memberikan bekalan al-quran dengan mengajar sendiri atau
menghantar mereka belajar dari mana-mana ustaz/ah. Namun, mereka sendiri yang
tidak terus menjadikan al-Quran sebagai makanan harian hati mereka. Nau’zubillahiminzalik.
Berbalik kepada
kehebatan Ummat Islam dahulu, Titik pertemuan yang sama oleh insan-insan hebat tersebut
adalah bekalan al-Quran yang diperolehi sejak dari kecil. Maka, tidak peliklah
jika generasi Islam kini semakin hilang izzahnya kerana tiadanya bekalan dan
sentuhan al-Quran yang memagari.
Oleh yang demikian,
saya sangat berharap dan berdoa agar mudah-mudahan anak-anak saya bahkan
generasi Islam pada masa akan datang (yang masih kecil kini), iaitu anak-anak
saudara/i yang membaca, tidak akan lagi berlaku perkara yang sama. Ayuh para
ibu dan bapa, kita masih belum terlambat!. Perbaiki diri dengan mempelajari
al-Quran dan pada masa yang sama, kita hidangkan kepada anak-anak bekalan
al-Quran sejak mereka kecil. Jadikan al-Quran sebagai halwa telinga mereka
setiap hari. Luangkan masa untuk bersama mereka membaca dan mempelajari
al-Quran.
Entri yang saya muatkan
ini hanyalah satu perkongsian. Hasrat saya didalam entri ini mudah-mudahan
ianya akan menjadi panduan dalam beberapa perkara yang mungkin boleh turut
sama-sama dilakukan.
Kita mempunyai
tanggungjawab dan amanah yang cukup besar dalam membentuk generasi Islam
terbaik ini. Ayuh kita sama-sama berkongsi pengalaman dan sebarkannya demi
kebaikan umat Islam keseluruhannya.
Sekalipun anak kita dirasakan agak ketinggalan, namun yakinlah para ibu dan bapa bahawa insyaAllah kita akan mendapat hasilnya jika ia dimulakan sekarang, walau sebesar manapun usia mereka.
Semoga video hasil perkongsian ibu hebat ini, Pn.Mazlina, ibu kepada adik Darwisya&Darwisy (TAHNIAH buat ibu ini, semoga Allah merahmatinya dan seluruh ahli keluarganya serta apa yang telah diusahakannya, serta membalasnya dengan segala kebaikan) menjadi inspirasi dan kekuatan untuk semua para ibubapa. Yakinlah dengan bekalan al-Quran itu mempunyai ruhnya yang hebat untuk generasi ummat Islam...insyaAllah Amiin YARABB..
Info: Memperdengarkan al-quran dapat Meningkatkan IQ bayi: klik sini
(Entri ini masih ada
sambungan- Persiapan apa yang perlu kita sediakan?)