Sunday, May 16, 2010

Cinta Adam Maya vs Cinta Adam Hawa

Kisah Adam Maya







Hendak dikatakan mengikuti seratus peratus cerita slot Akasia drama bersiri TV3, Adam Maya tidaklah sangat. Hanya jika berkesempatan, sambil melipat baju, berehat, atau menjeling-jeling tengok ketika memasak.

Kisah Adam Maya memberi satu gambaran yang jelas banyak kisah pergolakan rumahtangga yang berlaku kesan gangguan pihak ketiga. Tetapi gangguan pihak ketiga juga tidak akan berterusan jika hanya sebelah pihak sahaja yang bertepuk sebelah tangan. Kes yang biasa berlaku adalah sikap suami yang bermain kayu tiga dibelakang isteri. Kisah Adam Maya pula adalah sebaliknya.


Kisah Adam Maya menceritakan sikap isteri yang bermain kayu tiga dengan bekas teman lelakinya. Walaupun Maya telah dijodohkan dengan Adam. Maya masih ‘melayan’ bekas teman lelakinya yang juga telah berkahwin dan mempunyai anak. Dani yang tidak bersyukur kerana telah berkeluarga menghabiskan banyak masa dan tenaga dalam usaha memiliki kembali Maya.
Dia lupa bahawa dia hanya bermain dengan alam maya sahaja. Segala-galanya yang dilakukan hanya untuk sesuatu yang bersifat ilusi dan fantasi bukannya realiti. Realitinya dia telah berkeluarga. Keluarga yang sepatutnya diberi komitmen sepenuhnya.
Kecurangan yang sering berlaku antara pasangan adalah disebabkan faktor diri sendiri. Mahu atau Tidak. Setiap pasangan perlu memahami batas pergaulan yang sepatutnya. Sebab itulah pentingnya setiap pasangan perlu saling melengkapkan diri dengan ilmu agama.
Ukuran mendidik dengan ilmu agama bukan hanya sekadar pandai bersolat tunggang terbalik dan pandai mengaji sahaja. Malah lebih dari itu. Bahkan mencari dan terus mencari ilmu perlu berterusan.
Faktor melengkapkan diri selepas berkahwin itulah yang lebih utama. KESEDARAN serta KEMAHUAN untuk berubah menjadi lebih baik. Dari solat tidak cukup, cukupkan solat 5 waktu, dari solat berseorangan solat secara berjemaah, dari sikap panas baran belajar untuk banyakkan bersabar.

Penulis novel terkenal Indonesia, Habiburrahman El-Syirazi pernah menjelaskan bahawa pentingnya faktor Misi dan Visi yang seiringan antara suami dan isteri dalam mengemudi rumahtangga.
Pengakhirannya adalah untuk menjadi hamba Allah yang Soleh. Jika berlainan Misi dan Visi, akibatnya akan musnahlah perkahwinan tersebut. Seorang Soleh@Solehah(baik) yang seorang lagi Toleh@Tolehah (jahat).
Namun tidak semua orang bernasib baik. Bagaimana pula jika sekiranya sudah puas berdoa tetapi masih mendapat suami yang tidak penyayang, tidak beragama?.


Yakinlah bahawa setiap ujian yang Allah berikan itu banyak hikmah yang lebih besar terselindung disebaliknya. Tuan empunya badan lebih memahami. Allah tidak akan memberikan sebarang ujian berat keatas hamba-hambanya melainkan dengan kemampuan dirinya sendiri. Allah lebih memahami kebaikan yang akan diberikan untuk hamba yang dikasihinya.




Sebagaimana Allah memberi jaminannya kepada mereka di dalam surah al-Baqarah ayat 286,


((لاَ يُكَلِّفُ اللهُ نَفْسًا إِلاَّ وُسْعَهَا ))
“Allah tidak memberi bebanan kepada seseorang hamba melainkan apa yang terdaya olehnya” .







Bahkan sesuatu ujian yang diberikan oleh Allah itu boleh jadi dari ujian yang baik atau yang buruk.




Di dalam Lisanu al-‘Arab, Ibn Manzur telah menyatakan bahawa bala’ merupakan ujian samada yang baik atau yang buruk. Allah juga telah menjelaskan perkara tersebut didalam surah al-Anbiyaa’;



(( وَنَبْلوكُمْ بٍالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً وَإِلَيْنَا تُرْجَعُوْنَ ))




“Dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai dugaan; dan kepada Kami-lah kamu semua akan dikembalikan". [Al-Anbiyaa’: 35]


Sebenarnya Allah ingin menguji hambanya dengan setiap musibah atau nikmat untuk melihat samada kita bersyukur atau kufur, kita sabar atau putus asa sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Al-Hafiz Ibn Katsir.


Menurut tafsiran pada ayat tersebut daripada Ibnu ‘Abbas bahawa Allah menguji hamba-hambanya melalui pelbagai cara. Dengan kecelakaan dan kesenangan, dengan kesihatan dan kesakitan, dengan kemewahan dan kemiskinan, dengan ketaatan dan kemaksiatan dengan perkara yang halal dan yang haram, serta dengan hidayah dan kesesatan. [Tafsir al-Quran al-‘Adzim, Ibn Katsir, Abu al-Fida’.]



Kisah Adam Hawa




“Kisah Adam dan Hawa sering dijadikan ikon cinta sesama manusia. Buktinya lagu Cinta Adam dan Hawa hasil nyanyian Misha Omar”. Kata seorang teman.
Saya sekadar membalas, "Ikon tunjuk jalan yang betul buktinya Cinta Adam dan Hawa kekal ke akhirnya dan kena dengan garis panduan syariat akan tetapi cinta kita pula bagaimana?".

Kisah suami isteri yang seiring dan sejalan dalam melayari kehidupan berumahtangga. Hasil Cinta Adam dan Hawa lahirnya dan membiaknya anak cucu cicit Adam dan Hawa yang berbilang bangsa, agama.
Sama-sama berdoa memohon keampunan dari Allah kerana telah menzalimi diri sendiri. Sama-sama telah melanggar larangan Allah dari memakan buah pohon Khuldi.



قَالَا رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا وَإِنْ لَمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ
“wahai tuhan kami! kami telah menganiaya diri sendiri,
dan jika engkau tidak mengampunkan kami
dan memberi rahmat kepada kami,
maka jadilah kami daripada golongan orang-orang yang rugi”

-Al A’raaf: 23

Kesan daripada taubat dari kesilapan yang telah mereka lakukan telah menjadikan diri mereka hamba-hamba Allah yang soleh. Belajar dari kesilapan untuk menuju kebaikan. Takut untuk menghadapi lagi sebarang kemurkaan.

Bagaimana pula dengan diri kita? Apakah kesilapan yang telah dilakukan menjadi titik permulaan bagi sebuah kehidupan yang lebih baik dan diredhai. Atau kesilapan tersebut menjadi titik noktah tanpa penambah baikan bagi episod sebuah kehidupan yang dimurkai?.


Kisah percintaan dan rumahtangga manakah yang ingin dijdikan
panduan?
Kisah Adam Maya atau Kisah Adam Hawa?

Tuesday, May 4, 2010

Anak-anak; Anugerah dan Amanah

“Sayang cuba teka dengan siapa abang berforum tadi?”. Tiba-tiba suami mengajukan soalan sewaktu beliau menghubungi saya sejurus tamat forum di Universiti Malaya pada28 Mac 2010 yang lalu. Ketika itu saya cuti berpantang di Alor Setar. Memang setiap malam beliau akan menghubungi saya. “Hmm forum di UM pasal Cinta Nabi, mesti dengan abang Hasrizal (Ustaz Hasrizal) kan?. Ustaz hasrizal merupakan seniornya sewaktu di Izzuddin Shah. “Pandailah isteri abang ni teka”, Mulalah si suami bergurau. “hehehe..biasalah..chewah”.


Buku yang diberi percuma. Saya juga mendapat manfaat daripadanya.



Banyak perkara yang dikongsi bersama saya, terutamanya dalam bab mendidik anak-anak. Kadang-kadang perasaan takut menyelubungi diri terutamanya dalam menelusuri sebuah perjalanan yang panjang dalam mendidik anak-anak. Suami dan isteri perlu sama-sama seiringan dalam membentuk mereka.

Saya masih ingat sepertimana yang Ustaz Hasrizal pernah menyebut, “biar mereka menangis sekarang daripada kita menangis kemudian”. Dalam bab menonton TV misalnya, kadang-kadang ibubapa merasakan dengan membuka siaran kartun menjadikan mereka “duduk diam”. Mereka tidak tahu memilih. Ibubapa yang sepatutnya memilih siaran untuk mereka. Banyak aksi-aksi kartun yang sebenarnya mendidik mereka menjadi seperti kartun. Aksi melompat, memukul dan sebagainya. Dalam usia 1 tahun sehingga 5 tahun adalah waktu yang paling kritikal dalam membentuk peribadi mereka.


Sekalipun kita menjaga dalam bab menonton TV, tetapi kemungkinan ruang untuk mereka terikut-ikut dengan kawan-kawan masih luas terbuka. Saya sringkali termenung memikirkan amanah besar yang dipikul dalam mendidik mereka. Saya takut dengan tahap kesabaran yang ada. “Hanya padaMu ya Allah aku memohon kesabaran dan ketabahan dalam mendidik anak-anak menjadi insane Soleh yang bermanfaat untuk ummat dan Islam”.


Saya ingin berkongsi dengan tetamu ziarah sekalian persoalan dalam mendidik anak-anak yang saya lontarkan berkenaan mendidik anak-anak kepada Prof. Dr. Sidek Baba sewaktu beliau membentangkan tajuk “The Role of an outstanding Murabbi in realizing Islamization of Knowledge”. Ketika saya berkampung di Felda Residence Trolak menghadiri kursus Ta’aruf and Intellecual Discourse (TIDE) pada 12-15 April 2010. Walaupun soalan saya agak sedikit tersasar daripada topik yang dibentangkan, namun saya tidak ingin melepaskan peluang dalam mengambil nasihat daripada seorang yang sangat berpengalaman. Saya ingin menjadi Murabbi kepada anak-anak saya dahulu sebelum saya menjadi Murabbi kepada anak-anak orang lain.


Di dalam mendidik anak-anak beberapa perkara perlu dititikberatkan oleh ibubapa, iaitu:


1) Tunjukkan kepada mereka “the real term” di dalam Islam contohnya Solat, bukan sembahyang, Rasulullah sebagai Qudwah.


2) Mulakan daripada peringkat umur yang masih muda.


3) Tunjukkan kepada mereka perkara-perkara yang elok dari aspek sikap dan cara kita.


4) Husband and wife relation. Biar mereka Nampak yang zahir dihadapan mereka sebuah keluarga yang baik, solehah, elok. Hubungan antara bapa dan ibu akan membentuk peribadi mereka. Mereka adalah apa yang mereka lihat.


Amanah Allah dalam mendidik anak-anak menjadi muslim yang sejati amat berat dan memerlukan tahap kesabaran dan ketabahan yang tinggi. Apakah kita hanya sekadar inginkan anak-anak yang cemerlang di dalam pelajaran tetapi hancur di dalam akhlak dan kelakukan? Nau’zubillahiminzalik. Ya Allah jadikan anak-anak kami penyejuk mata dan penawar hati kami, anak-anak yang Soleh berguna untuk masyarakat dan Islam.