Wednesday, January 6, 2010

Antara Nur Kasih dan Cinta Sempurna



“Nur..Nur janji dengan abang, Nur tak akan tinggalkan Abang?”.. “Nur tak akan tinggalkan abang, tapi abang mungkin akan tinggalkan Nur…”.(lebih kurang dialognya) Adam mengesat air mata Nur, Nur mencium tangan Adam. Tangisan beriringan dan berakhir dengan pelukan (sebagai suami isteri dalam cerita).


Saya masih ingat dialog dan babak ini (lebih kurang ayatnya) dalam drama Nur Kasih. Babak dan dialog antara Nur dan Adam tatkala timbulnya Katrina selepas majlis perkahwinan Aidil dan Aliya. Nur risau sekiranya Adam memilih Katrina dan akan meninggalkannya. Babak dihadapan sawah padi yang terbentang dihadapan rumah Adam. Saya tidak pasti kenapa tiba-tiba emosi saya terusik dalam babak tersebut. Sehinggakan saya boleh menitiskan air mata!.

Saya bukanlah seorang hantu drama. Agak sukar untuk saya menonton sesuatu drama, melainkan drama tersebut berjaya menambat hati saya untuk menontonnya. Saya tidak berminat menonton Nur Kasih pada awalnya, sangkaan saya seperti drama-drama biasa yang biasa saya tonton. Mungkin faktor UIAM yang menjadikan saya sedikit demi sedikit berminat untuk menontonnya.

Saya bukanlah orang yang terlibat dengan pengarahan drama atau filem. Entri kali ini hanya sekadar perkongsian pandangan peribadi sebagai seorang penonton.

Bukan juga niat untuk membandingkan antara drama Nur Kasih dan Cinta Sempurna. Mencari mana yang terbaik. Setiap drama ini mempunyai mesej tersendiri dan mempunyai kekuatan dan kelemahan tersendiri. Sekadar melontarkan beberapa aspek yang boleh diperbaiki (pada pandangan saya) atas nama “drama berunsur Islam” atau “drama islamik”.
Nur Kasih.

Nur Kasih telah menimbulkan satu fenomena baru dalam dunia “drama islamik”. Sempena hari raya korban 1430H tempohari ramai yang “terkorban” gara-gara Nur Kasih. Drama Nur Kasih menerima sambutan yang cukup menggalakkan.
Saya secara tidak sengaja saya juga telah “terjatuh hati” dengan jalan cerita serta lakonan watak yang ditonjolkan.
Cinta Sempurna.

Apa yang menarik minat saya untuk menonton drama ini setelah diwar-warkan oleh AbuSaif@Saiful Islam. Saya ingin melihat mesej yang ingin disampaikan. Agak teruja pada awalnya dan tidak sabar untuk menontonnya. Tetapi ada sedikit kecewa setelah menontonnya.

Antara beberapa faktor yang menjadi kekuatan dan kelemahan antara dua drama ini:

1) Jalan cerita

2) Masej

Masej Nur Kasih adalah hubungan kekeluargaan dan Isu Poligami yang ditonjolkan. Kemungkinan besar saya “terlekat” dengan drama ini atas faktor ini. Orang yang telah berkahwin lebih merasainya. Kalau saya meletakkan diri ditempat Nur (watak utama). Mugnkin itulah yang telah menyebabkan saya menitiskan air mata. Tidaklah terlalu menghayati jalan cerita, tetapi ianya berlaku secara sepontan sewaktu saya menontonnya berseorangan. Pengarah berjaya bermain dengan emosi penonton (Mungkin ini yang menjadi daya tarikan, kerana drama yang bermain dengan emosi dan perasaan lebih dekat dengan hati penonton). Tetapi pada saya agak meleret-leret. Mungkin juga untuk memanjangkan cerita. Ada saja perkara yang berlaku selepas satu.
Cinta Sempurna menampilkan masej Skeptik terhadap Agama atau Religious Skepticism sebagaimana yang telah dinyatakan oleh ustaz Hasrizal. Namun pada saya, masej utama agak tenggelam dan yang lebih menonjol dan ketara adalah cinta bersegi-segi antara watak-watak utama. Situasi berdua-duaan antara seorang ustaz dan madu’ juga saya rasa tidak sesuai, walaupun dengan niat untuk berdakwah.

3) Pelakon

Kedua-dua drama ini pada saya mempunyai pelakon yang cukup berbakat dan berjaya membawa watak masing-masing.
Watak-watak dalam Nur Kasih sesuai dengan gandingan pelakon yang dipilih. Semestinya saya sukakan gandingan Adam (lakonan Remy Ishak) dan Nur (Tiz Zaqiyah) walaupun hakikatnya pelbagai cerita artis yang kita dengar tentang mereka ini. Watak Sarah pula kena dengan pelakonnya. Perasaan benci penonton dengan sikapnya yang mengada-ngada itu telah membuktikan bahawa dia berjaya membawakan watak tersebut.
Saya memuji watak (pelakon wanita) yang ditampilkan dengan pakaian yang kebanyakan bertudung atau menutup aurat. Walaupun ada beberapa babak Katrina dan Adam pada zaman jahil mereka di permulaan cerita. Kalau tidak, macam mana? Itu logiknya.
Gandingan para pelakon dalam watak-watak untuk drama Cinta Sempurna tidak kurang juga hebatnya. Tetapi adakalanya cara watak tersebut ditonjolkan agak “mengada-ngada”. Terutamanya watak Shila (lakonan Quiara ). Walaupun mesej yang ingin ditonjolkan adalah sikap seorang anak orang kaya yang tidak pernah tahu tentang Islam itulah timbulnya Religious Skepticism. Gaya percakapan agak over, sehingga timbulnya persoalan benarkah wujudnya lagak dan gaya tersebut pada realitinya?.
Pada saya watak pelakon lain boleh diterima, cuma watak Shila yang agak ketara. Pada saya cara pemakaian yang ditonjolkan agak kurang sesuai. Rasa saya, walaupun rating penonton adalah ramai (menurut Ustaz Hasrizal sebanyak 109,000 orang penonton), tetapi rasa saya kebanyakan yang menonton adalah mereka yang “sudah baik”. Kemungkinan besar mereka ini kebanyakannya terdiri daripada peminat setia Ustaz Hasrizal (berdasarkan komen pembaca di blog saifulislam). Malah tayangannya juga pada bulan Ramadhan. Kebanyakannya tidak mahu melepaskan peluang untuk menonton drama yang cerita asalnya adalah Ustaz Hasrizal. Tidak putus-putus Ustaz Hasrizal mempromosikan drama Cinta Sempurna.

4) Tempoh Masa

Tempoh masa juga pada saya sangat mempengaruhi mood penonton. Nur Kasih ditayangkan seminggu sekali (Jumaat) dalam tempoh satu jam. Cinta Sempurna setiap Isnin sehingga Jumaat sepanjang Ramadhan dalam masa setengah jam. Walaupun Nur Kasih ditayangkan seminggu sekali, namun penonton masih boleh berpuas hati dengan episod setiap minggu itu dan menanti sambungan episod seterusnya. Cinta Sempurna walaupun ditayangkan setiap hari tapi dalam tempoh setengah jam (belum ditolak iklan kopi, selingan lagu Yuna dan sebagainya) sedikit sebanyak telah menganggu mood penonton. Sekejap sahaja menonton, tiba-tiba bersambung. Mungkin sasarannya untuk menghabiskan satu drama bersiri sepanjang Ramadhan, cukup-cukup dan “ngam-ngam” dengan masa. Mungkin pada masa akan datang, perlu difikirkan samada slot itu dibuat setengah jam bebas iklan ataupun satu jam dan beriklan.
5) Siaran TV / Channel

Sasaran “drama berunsur Islam” atau “drama islamik” antaranya adalah untuk mengubah persepsi atau sikap penonton terhadap sesuatu isu. Itulah dakwah melalui media. Pada saya Nur Kasih ditayangkan di TV3 adalah satu pemilihan yang cukup bijak. TV3 mampu menarik “crowdnya” atau peminatnya tersendiri. Setiap isi rumah yang mempunyai TV, sekalipun tidak mempunyai siaran tv berbayar Astro, pasti akan memilih TV3 kerana TV3 adalah channel yang terbaik antara channel-channel yang sedia ada (pada saya).
Cinta Sempurna ditayangkan melalui siaran tv berbayar Astro pada saya telah menyempitkan sedikit ruang dakwahnya. Ini kerana tidak semua isi rumah yang mempunyai TV melanggan Astro. Apatah lagi siarannya pula di saluran Astro Oasis (channel 106). Hanya mereka yang insaf dan ingin baik sahaja yang akan menonton saluran Astro Oasis. Banyak saluran yang lain yang menjadi saingan untuk mereka memilih. Namun pemilihan lagu daripadaYuna (Cinta Sempurna) sedikit sebanyak telah menarik peminatnya menonton Cinta Sempurna. Walaupun nyanyiannya adalah daripada suara seorang wanita. Niat untuk berdakwah, bolehkah? Anda cari jawapannya.

Sudut manakah yang Islamik?
Cuma persoalan yang ingin saya ajukan. Apakah yang dimaksudkan dengan “drama berunsur Islam” atau “drama islamik” ini? Apakah dengan jalan ceritanya sahaja? Atau pelakon yang ditonjolkan menutup aurat sebagaimana yang Islam kehendaki? Atau jalan cerita dan pelakon yang ditonjolkan menepati sebagaimana yang Islam inginkan? Atau apakah tiada langsung unsur-unsur yang bercanggah dengan Islam seperti lakonan sebagai pasangan suami isteri yang berpegangan tangan dan sebagainya? Anda berhak untuk menjawabnya.
Pada pandangan saya, jalan cerita, cara lakonan dan pemakaian pelakon itu yang memainkan peranan penting dalam meletakkan sesuatu drama itu sebagai islamik ataupun tidak. Mungkin akan timbul pula persoalan, sekiranya semuanya tidak boleh dan terbatas, tidak sampailah mesej dan tidak “real” pula kisahnya. Anda rasa bagaimana?
Apapun, syabas diucapkan kepada semua krew dan para pelakon yang terlibat dalam kedua-dua drama bersiri ini. Juga kepada Ustaz Hasrizal yang telah menyumbang idea untuk mengetengahkan isu Religious Skepticism ditengah masyarakat melalui medium hiburan. Diharap dapat diperbanyakkan lagi drama yang mempunyai mesej baik seperti ini. Media menjadi wasilah untuk berdakwah. Wallahua'lam.

Saturday, January 2, 2010

Istiqamah, Azam Sempena Tahun Baharu 2010

Istiqamah, azam sempena tahun baharu 2010 (Utusan Malaysia 1 Januari 2010 (Jumaat)/Rencana-Wacana Islam

Oleh MARDIANA MAT ISHAK

TAHUN baharu 2010 sudah membuka tirai. Dengan itu, ramai yang sibuk memasang azam masing-masing. Membuka diari hidup baru dan meninggalkan diari hidup yang lama.

Semua orang boleh berazam. Senarailah sebanyak mana sekalipun azam mereka. Satu hakikat yang pasti, semuanya bergantung kepada kekuatan diri mereka untuk terus istiqamah dalam melaksanakan sesuatu perkara.

Orang yang beristiqamah bermaksud seorang yang gigih tekun dan komited dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan sehingga tercapai matlamat yang telah dirancang.

Islam amat mementingkan istiqamah. Banyak hadis dan ayat al-Quran yang menyebut tentang istiqamah. Dalam konteks istiqamah dalam beribadah, ia merujuk kepada aspek tunduk, patuh, tekun dan taat dalam melaksanakan amal ibadah dalam kehidupan.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Sufian bin Abdilah, beliau berkata kepada Rasulullah SAW: "Wahai Rasulullah, jelaskan kepada saya mengenai Islam, supaya saya tidak perlu lagi bertanyakan kepada orang lain. Baginda menjawab, "(Islam itu adalah) kamu berkata 'Aku beriman kepada Allah dan beristiqamah'."

Ini bermakna, dua fokus utama yang ditekankan oleh hadis ini ialah keimanan kepada Allah dan komited serta konsisten dengan keimanan tersebut.

Kaitan Azam, Matlamat dan Istiqamah
Dalam konteks kehidupan sekarang, ia menuntut kita beristiqamah untuk terus berjaya. Menjadi seorang anak dan pelajar yang berjaya, pekerja yang berjaya, suami dan isteri yang berjaya. Semuanya memerlukan tahap kekuatan dan gerak kerja yang konsisten dan bukan sekerat jalan.

Setiap azam dan matlamat tidak akan dicapai tanpa kehadiran istiqamah. Azam akan menjadi suntikan semangat untuk mencapai matlamat. Maka dengan itu sifat istiqamah iaitu konsisten, tekun dan gigih berusaha perlu ada demi mencapai matlamat yang diimpikan.

Orang yang istiqamah adalah seorang yang mulia. Seperti kata Hamka, "Sebesar-besar karamah adalah memegang istiqamah".
Kalau para Nabi dan Rasul ditugaskan untuk menyampaikan dakwah dan beriman kepada Allah, itu adalah tugas mereka. Mereka terus beristiqamah dalam merealisasikan visi mereka. Hasilnya kita mendapat nikmat Islam dan iman yang kita kecapi kini.

Sebagaimana saranan dan galakan Allah kepada Nabi Muhammad SAW di dalam Surah Hud, ayat 12, "Maka beristiqamahlah engkau sebagaimana engkau diperintahkan."

Prasyarat kekal istiqamah
Untuk kekal konsisten beristiqamah menjadi cabaran untuk setiap orang. Sama ada berjaya atau tidak menyahut cabaran itu, lima aspek ini boleh dijadikan ukuran dan panduan untuk terus kekal beristiqamah seterusnya mencapai impian dan matlamat yang diimpikan setelah menetapkan azam.

1) Kemahuan
Sebanyak manapun azam atau niat yang disenaraikan, tanpa kemahuan yang bersungguh-sungguh, ia tidak akan tercapai. Bak kata pepatah, "Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan".

2) Percaya diri sendiri
Pastikan setiap apa yang direncanakan itu berpijak di bumi yang nyata. Yakin dan percaya pada diri sendiri bahawa kita mampu untuk merealisasikannya.

3) Motivasi
Mencari dan membaca bahan bacaan atau segala bentuk bahan motivasi yang boleh menyuntik semangat untuk terus berjaya agar semangat itu tidak pudar di tengah jalan.

4) Meletakkan tempoh dan masa
Meletakkan sasaran waktu dan tempoh tertentu akan menjadikan seseorang itu berdisiplin dengan kerjanya. Setiap orang mempunyai tanggungjawab yang lebih banyak daripada masa yang mereka ada. Setiap orang mempunyai masa 24 jam sahaja, tidak lebih daripada itu.

Dengan membahagi waktu dengan baik, ia akan menjadikan diri seseorang berbeza dengan yang lain. Jika diperhatikan, Islam juga mendidik umatnya dengan waktu.

Di mana syariat sembahyang lima waktu sehari semalam telah mengajar manusia untuk menghormati waktu.

Sebagaimana pesanan Rasulullah dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas'ud tentang sebaik-baik pekerjaan adalah solat pada awal waktunya.

5) Fokus
Dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan, anggota dan fikiran perlu bergerak seiringan. Jika anggota sahaja yang bergerak, akan menghasilkan kerja yang berkemungkinan besar tiada kualiti, kerana membuat sesuatu pekerjaan tanpa berfikir.

Sekiranya hanya berfikir dengan otak, tetapi tidak pula digerakkan dengan anggota, kerja langsung tidak akan berjalan. Pusatkan perhatian dan gerak kerja terhadap setiap pekerjaan yang sedang kita lakukan.

Percayalah bahawa walau hanya meletakkan satu atau dua sahaja azam tetapi kita tetap konsisten dalam merealisasikannya, itu adalah lebih baik daripada menyenaraikan sebanyak mungkin azam tetapi langsung tidak kita laksanakan.

Jangan jadi seperti pepatah, "Hangat-hangat tahi ayam", azam yang sama diulang pakai setiap tahun.



Penulis ialah Pensyarah Jabatan Bahasa Al-Quran, Pusat Asasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia


UTUSAN MALAYSIA-RENCANA-WACANA ISLAM
( 1 Januari 2010)-Jumaat