Wednesday, August 3, 2005

gelombang 'tsu-shin chan' dan pengaruh 'ShinChanisme'

Image hosted by Photobucket.com
Image hosted by Photobucket.com
Image hosted by Photobucket.com
Kartun Shin Chan rosakkan pemikiran kanak-kanak

Saudara Pengarang,
KITA pernah mendengar istilah Tsumawi. Itu kisah gelombang Mawi peserta Akademi Fantasia 3 yang disanjungi oleh segenap lapisan usia kerana imej yang dibawanya.

Namun sedarkah kita bahawa gelombang Tsu-ShinChan atau pengaruh ShinChanisme semakin menular kini? Siaran kartun Shin Chan yang ditayangkan pada setiap hari Sabtu pukul 7 malam di salah sebuah stesen televisyen ini amat digemari oleh segenap lapisan masyarakat.

Comel dan kelakar adalah antara maklum balas bagi sesiapa yang menonton dan memandang siri kartun ini dari satu aspek. Pengotor dan gatal pula bagi mereka yang memandang dari suatu aspek yang lain.

Kebanyakan orang yang menonton siri kartun Shin Chan ini akan geli hati apabila melihat keletah Shin Chan. Rentak gaya bahasa yang senada dan selamba menjadikan gaya bahasa dan cara Shin Chan seringkali ditiru. Sehinggakan gambarnya turut menjadi muatan logo telefon bimbit!

Begitu besar pengaruh Shin Chan terhadap masyarakat. Namun, apa yang amat merisaukan saya adalah pengaruh Shin Chan terhadap pemikiran dan pembentukan akhlak dan peribadi kanak-kanak. Sedar ataupun tidak, pengaruh Tsu-Shin Chan atau Shin Chanisme ini telah memberi impak negatif yang amat besar terhadap pembentukan pemikiran dan akhlak mereka.

Pernah berlaku di salah sebuah sekolah rendah, di mana seorang anak murid telah mengajuk cikgu yang menulis di papan tulis sekolah sambil berkata dengan rentak dan gaya bahasa Shin Chan, ``Cikgu, punggung cikgu besarlah.''

Nah! Apakah kita tidak terkejut? Kata-kata tidak sopan ini telah terpacul dari seorang murid sekolah rendah? Adakah patut seorang anak murid mengatakan sedemikian kepada gurunya sendiri di dalam kelas?

Kita mendukung usaha kerajaan untuk memupuk budaya murni, soal budi bahasa, sopan-santun, dan adab tatasusila di dalam masyarakat. Namun, persekitaran yang telah meracuni pemikiran anak-anak generasi kita ini sebenarnya telah menjadi api dalam sekam. Bahkan telah menyekat usaha murni tersebut. Bagaimana slogan budi bahasa budaya kita mampu disemai dan dibajai sekiranya ini yang berlaku.

Justeru, semua pihak harus berperanan. Siri kartun seperti ini amat wajar disekat. Pihak televisyen tersebut wajar menilai semula segala bentuk rancangan kartun yang sesuai dengan kanak-kanak. Nilai positif yang perlu diambil kira, bukan sekadar hiburan semata-mata.

Di samping itu, ibu bapa harus berperanan dalam menghalang anak-anak mereka daripada terpengaruh dengan budaya negatif yang dibawa oleh Shin Chan ini. Anak-anak perlu dididik sedari awal. Benteng pertahanan perlu dipasak ketika usia mereka masih di peringkat rebung. Akhlak dan budi pekerti mulia perlu dipupuk. Anak-anak yang berkelakuan sedemikian perlu ditegur agar mereka mengetahui mana yang baik dan mana yang buruk.

Perkara ini pasti merisaukan kita semua terutamanya ibu bapa. Sekiranya dibiarkan dan tidak dibendung dari awal, kita takut pengaruh Shin Chan ini akan semakin menular dan merosakkan akhlak dan pemikiran generasi kita.
- BALQIS INSYIRAH, UIAM Gombak.
utusan malaysia, 2 Ogos 2005.

3 comments:

Anonymous said...

Muwafiq dgn dinaluzriq.
Shin Chan...nilai2 adab pun di abaikan.

Anonymous said...

hai dinaluzriq..sejak bila tukar nama ni?? ;p

-put3

Anonymous said...

This is very interesting site... » » »