Menjadi Wanita Hebat: Super Women
Kerjaya apakah yang paling mencabar di dunia ini? Pasti 
ada yang akan menjawab tentera di medan perang, pemburu dan penjinak 
binatang liar, nelayan laut dalam, dan berbagai-bagai lagi jawapan yang 
seangkatan dengannya. Namun, jarang sekali yang akan menyebut suri rumah
 sebagai kerjaya yang paling mencabar. Mahu rasakan cabaran dan 
kesusahannya? Cubalah sendiri. Pasti ramai lelaki yang akan mengalah dan
 barulah mereka mahu mengakui kehebatan wanita.
Tambah mencabar lagi, ramai wanita sekarang yang perlu 
bekerja di pejabat, menyambung belajar di universiti, mengurus rumah 
tangga, memenuhi tanggungjawab sosial bersama masyarakat, dan pada masa 
yang sama perlu memenuhi keperluan peribadi. Mereka memikul lebih banyak
 tanggungjawab berbanding masa yang ada. Menjadi wanita itu sendiri 
adalah satu cabaran yang besar bagi mereka.
Tangan mereka yang mengayun buaian mampu menggoncang 
dunia dan kelembutan mereka menyebarkan kasih sayang ke seluruh dunia. 
Mereka selayaknya digelar sebagai “Super Woman”.
Buku “Super Woman” ini terbit tepat pada masanya. Dalam 
dunia moden yang penuh dengan kekalutan dan kesibukan, terlalu ramai 
wanita yang mencari-cari manual lengkap untuk mencapai keseimbangan 
dalam kehidupan.
Dengan berlandaskan bimbingan wahyu dan hadis, buku ini 
memberi panduan untuk menjadi super woman yang cemerlang di dunia dan di
 akhirat. Dengan pengalaman peribadi penulis dan himpunan kisah 
inspirasi tokoh wanita yang hebat, buku ini menjadi berkesan dan 
praktikal untuk diamalkan.
Kita akan ketawa, tersenyum, dan menangis membacanya. Kita terinspirasi dan hidup menjadi lebih bermakna.
Kerjaya dan rumah tangga, manakah yang lebih penting? 
Perlukah kita mengorbankan salah satu daripada untuk menjadi super 
woman? Memilih antara kerjaya dan rumah tangga, bagaikan kita memilih 
untuk mengerat tangan kiri atau tangan kanan kita sendiri.
Dengan panduan dalam buku ini, kita akan dibimbing untuk
 mencapai keseimbangan tanpa perlu mengorbankan perkara penting dalam 
hidup kita. Kuncinya adalah prioriti dan teknik yang berkesan untuk 
mengurusnya.
Buku ini adalah sebuah perjalanan bagi menuju 
keseimbangan dan kecemerlangan bersama. Ia adalah perjalanan yang 
berterusan sekalipun kita sudah selesai menghadam buku ini.
Buku ini bukanlah langkah demi langkah yang gerenti jadi
 seperti buku masakan, tetapi proses pembelajaran yang berterusan. 
Perjalanan ini sangat panjang dan penghujungnya adalah masuk syurga 
bersama-sama suami dan anak-anak yang dicintai. Semoga Allah meredhai 
kita sekeluarga.
Sempena Hari Wanita Kebangsaan yang diisytiharkan pada 25 Ogos, buku ini amat sesuai untuk dijadikan teman pendamping untuk pembacaan dalam memajukan diri wanita untuk kebaikan dunia dan akhirat, insya Allah.. :) 

 
