Monday, June 18, 2012

Tip Didik Anak: Tinggalkan Alasan dan Cari Panduan dalam Mendidik Anak dengan al-Quran





Saya bukanlah seorang pakar untuk bercakap dan berhujah dalam selok belok urusan mendidik anak.  Namun perkongsian atas dasar pengalaman yang sedikit sebagai seorang ibu, mudah-mudahan jika ada kebaikan yang boleh dikongsi dan diambil panduan, serta kesilapan yang wajar dielakkan oleh pembaca budiman.

Manusia sering bermain dengan pelbagai jenis alasan di dalam kehidupan seharian. Di dalam urusan rumahtangga, urusan tempat kerja, hatta dalam urusan pendidikan anak-anak. Kali ini fokus saya adalah dalam mendidik anak dengan al-Quran.

Diri bermain dengan Alasan

Saya adalah antara manusia yang sebelum ini suka beralasan. Suka mencari perbandingan itu dan ini untuk tidak melakukan apa yang sepatutnya saya lakukan. Namun, Alhamdulillah Allah telah gerakkan hati saya untuk berhenti memberi alasan kepada mencari penyelesaian. 

Dalam bab mendidik anak dengan al-quran, memang niat dihati suami isteri ini sejak diawal mula kandungan pertama ingin melahirkan anak-anak yang celik bahkan hafiz al-Quran. Besar syafaatnya kelak dihari kiamat buat ibubapa. Namun ianya hanya tinggal niat kerana tidak nampak caranya. Pandangan ketika itu, hantar apabila sudah besar nanti.
 Keratan akhbar yang disimpan sehingga kini sebagai inspirasi

Momentum pertama yang telah mencetuskan sedikit kesedaran tersebut adalah selepas saya terbaca di dalam akhbar metro bertarikh 15 Jun 2010 tentang adik Darwisya yang boleh membaca al-Quran seawal usia 3 tahun malah mampu menghafaz 30 surah pendek. Subhanallah! Tetapi amat malang sekali, saya hanya melihat, membaca dan memuji dirinya serta ibunya. Hanya setakat itu. 

Alasan saya, “tidak mengapalah, saya sibuk, tidak sempat”. Walhal, fakta yang tepat “Macamlah orang lain tidak sibuk!”. Alasan lagi, “tak apalah, ibunnya bekerja sendiri, banyak masa”. Walhal jawapannya, “Adakah dengan berhenti kerja dan bekerja sendiri untuk saya, saya akan temui penyelesaiainnya?”, “Adakah dengan bekerja sendiri atau menjadi surirumah juga mempunyai banyak masa?”. 

Ibu adik Darwisya memulakannya sejak bayi. Kadang-kadang terasa agak kecewa dan “cemburu”. Ibunya bukanlah seorang ustazah. Kalau ustazah, mungkin alasan orang, “tak apalah, sebab dia ustazah”. Hikmahnya besar. Wasilah Allah untuk memberi kesedaran kepada yang lain melaluinya. Beliau telah membuktikan bahawa, ustazah atau tidak, berlatar belakang agama atau tidak, yang penting kemahuan dan keinginan ibubapa untuk mendidik generasi islam dengan bekalan al-quran. Itu yang lebih penting dan utama.

Saya pula sebelum ini tidak konsisten. Cuma bacaan al-quran setiap hari dan mengkhatamkan al-quran sebanyak mungkin, yang berjaya adalah 2 kali khatam sewaktu mengandung yang sulung. Apatah lagi dalam urusan membacakan buku dan cuba mengajarkan apa-apa yang perlu sangat kurang waktu itu. Malah mungkin masa setiap malam hanya dihabiskan dengan perkara lain yang saya sendiri tidak pasti kesibukan apa yang sebenarnya disibukkan. Mungkin juga kerana masih belajar dan bekerja waktu itu, tetapi itu bukanlah alasan. Kesedaran juga timbul, dengan menyatakan, “Apakah anak ini hanya akan terus membesar dengan rutin yang tiada apa-apa diberikan untuknya setiap hari?”. Sedangkan madrasah (sekolah) pertama bagi seorang anak adalah ibunya. Silibus apa yang umi berikan?”.

Kalau difikirkan kembali, sewaktu itu, usia anak saya yang sulung tidak jauh beza jarak umur dengan Darwisya. Uways ketika itu 2 tahun 8 bulan (2010). “Kalau” (Elakkan kalau) saya mulakannya awal, pasti sudah dapat hasilnya insyaallah sekarang.

Mulakan SEKARANG

Momentum  kedua yang semakin tercetus adalah ketika usia Uways hampir mencecah 4 tahun. Pada waktu itulah, kesedaran kedua mula timbul. Betapa ruginya masa saya sejak 2010 sehinggalah 2011 saya tiada tindakan yang konsisten. Saya katakan, tak apalah kalau anak orang lain dapat mulakannya sejak bayi, yang penting kita mulakannya sekarang. Daripada saya menyesal kemudian hari kerana anak membesar hanya sekali. Tiada istilah terlambat, yang penting sebagai hamba Allah, kita mengakui kesilapan dan kelemahan di hadapan Allah dan memohon agar Allah berikan petunjuk terbaik buat kita.

Nota untuk anak umi: Sepanjang uways sebelum empat tahun, maafkan umi, umi sangat kurang pengetahuan dalam bab mendidik anak-anak. Malah juga kurang membaca berkenaan parenting skills. Umi sebenarnya agak menyesal, tetapi Alhamdulillah Allah telah sedarkan umi bahawa umi masih belum terlambat. 

Namun setelah usia uways 4 tahun, umi memang berazam untuk memulakannya. Kerana umi yakin, umi masih belum terlambat!!Insyaallah..jika ibu adik Darwisya yang memulakannya seawal anaknya masih bayi, dan hasilnya adalah pada anaknya berusia 3-4 tahun (dalam tempoh 3-4 tahun), insyaallah, jika ummi mulakannya pada Uways yang berusia 4 tahun maka hasilnya insyaallah, pada usia 6-7 tahun. Dan adik Umayr insyaallah hasilnya pada  4-6 tahun. InsyaAllah. Itulah fasa yang sangat mencabar untuk mendidik dengan akhlak dan bekalan ilmu yang sepatutnya, Al-Quran 1st. Insyaallah, umi cuba lakukan yang terbaik. Ya Allah bantulah hambamu ini…

Setakat ini yang berjaya umi lakukan:

1)      Setiap hari sebelum kesekolah didalam kereta, umi wajibkan dipasangkan cd al-Quran. Umi mulakannya dengan cd juzuk Amma.

-          Yang terdetiknya untuk umi lakukan ini, dahulu setiap hari, cd Maher Zain sahaja yang akan dibuka atas permintaan Uways. Sehinggakan boleh dikatakan keseluruhan lagu itu sudah hafal. Pernah terdetik didalam hati, “daripada dengar dan hafal lagu, lebih baik hafal al-Quran. Hendak dijadikan cerita, pada masa yang sama juga, abi juga memikirkan perkara yang sama “cuba sayang pasangkan cd quran pula, muda-mudahan dia akan hafal, daripada dia hafal lagu Maher Zain, lebih baik dia hafal al-quran”.  Ya betul, daripada uways dan umayr berterusan menghafal lagu, walaupun lagu yang baik, tetapi adalah lebih baik untuk hafal al-quran. Jadi, umi dan abi mengambil langkah drastic, menyembunyikan cd yang lain. Yang ada di dalam kereta umi hanyalah cd al-quran. Tetapi umi pasti, naluri manusia juga inginkan hiburan lagu yang lain, jadi setiap kali menaiki kereta, kita akan pasangkan dahulu cd al-quran, kemudian baru boleh dibuka cd yang lain.
Didalam kereta perjalanan ke sekolah...hmm tapi yang bab suka sakat adik sebagai seorang abang tu memanglah tak tau nak kata macam mana dah...:)

2)      Untuk bacaan al-quran, umi mulakan dengan buku iqra biasa. Alhamdulillah cepat sahaja uways boleh tangkap. Tetapi penggunaan buku iqra itu macam agak lambat, jadi umi gunakan pula buku al-barqi. Lagipun buku iqra’ sudah digunakan oleh cikgu Uways dan dirumah hanya memantau apa yang dibaca di sekolah. 

3)      Setiap malam, kita akan “bermain tiket-tiket”. Sebenarnya waktu ini, kita sedang menghafaz dan membaca al-quran. Dengan sword mainan yang ada, umi buat macam palang halangan, siapa yang akan lalu perlu bacakan dahulu apa yang umi tunjukkan (flashcard dari buku al-barqi). Alhamdulilla Uways boleh. Umayr pula hanya mengikut apa yang umi tunjukkan. Hebat betul anak-anak umi ni! Ada kalanya umi akan meminta hafalkan surah-surah yang telah dihafal. Kalau dah boleh hafal, baru boleh jalan. Seperti sudah difahami, setiap malam uways dan umayr akan meminta untuk bermain “tiket-tiket”. Kita bermain di bilik library.

 Library tempat yang kita selalu main

4)      Sedar atau tidak, setakat ini, Alhamdulillah Uways 4 tahun 7 bulan sudah boleh menghafal beberapa surah pendek (ada yang lancar, ada yang tersekat-sekat, tak mengapa, yang penting melekat dikepala dan hati insyaallah.  Pada masa yang sama juga uways dan umayr tahu untuk sambung)
1.       Alfatihah /Annas/ Alfalaq / Al-ikhlas / Almasad / An-nasr / Al-kafirun / Al-kauthar / Al-quraisy / Al-fiil / Al-’asr / Al-insyirah / Al-Maaun / al-Humazah/ at-takathur / at-tin / as-sharhu / Ayat Kursi / beberapa ayat permualaan surah Yasin dan ar-Rahman..

Panjang dan jauh lagi perjalanan Uways dan Umayr…

Umi pun tidak pasti bagaimana Uways menghafal tetapi umi yakin dengan memperdengarkan bacaan al-Quran selalu. Uways dan Umayr juga jarang minta cd lain. Cuma kadang-kadang sahaja minta cd yang lain, dan kita dengar selepas dengar cd al-Quran. Setakat hafazan yang boleh itu juga, umi yakin kerana bantuan di sekolah juga. Alhamdulillah terasa berbaloi dipindahkan ke sekolah yang baru ini.

5)      Ada juga waktu malam, umi akan pasangkan al-Quran sewaktu Uways dan Umayr bermain. Biarkan sahaja alunan itu masuk kedalam telinga dan jiwa. Perasan atau tidak, kadang-kadang bacaan tersebut diikut dan disambung sedang asyik leka bermain. Yang masih belum berjaya dengan konsisten dilakukan adalah untuk memperdengarkan ketika waktu tidur. Kerana uways dan umayr tidur dibilik umi, 2 plug yang berdekatan itu rosak. Itu sahaja plug yang ada. Insyaallah akan diusahakan.

Tiada alasan bagi Ibu Mithali

Imam Syafie lahir di Gaza (Palestin). Ibunya Fatimah binti Ubaidillah yang kematian suami ketika si anak masih kecil terpaksa membesarkan dan mendidik anak seorang diri. Ibunya berkorban dan mengambil inisiatif untuk berhijrah ke Makkah untuk mencari guru terbaik buat dirinya serta mencari jaminan suasana yang baik untuk si anak. Kalaulah si ibu tunggal ini memberi alasan, “tak apalah, saya ibu tunggal terpaksa besarkan anak seorang diri, susah nak merantau jauh seorang diri..”, maka, saya yakin tiadalah Imam Syafie yang hebat ini.

Kalaulah ibu Imam Bukhari, pengumpul hadith sahih terkenal dengan Kitab Sahih Bukhari ini tidak mengambil tindakan dan tidak melupakan segala kepenatan untuk membacakan hadith kepadanya sejak kecil, maka tiadalah pengumpul hadith yang hebat ini. Semuanya dari inisiatif dan pengorbanan besar dari si ibu.

Ayuh para ibu, hentikan alasan kita dan bertukar kepada mencari penyelesaian. Mudah-mudahan ada kebaikannya insyaallah untuk dunia dan akhirat. Jangan sampai satu tahap, apabila anak sudah besar panjang, waktu itu baru kita menyesal kerana kita tidak bertindak dan mulakannya dahulu. Berikan didikan al-Quran dan beri didikan yang terbaik, yang selebih itu, kita bertawakkal kepada Allah mudah-mudahan Allahlah yang akan menjaganya kelak dan mengelakkan mereka dari terjebak kedalam perkara yang tidak elok, na’uzubillahiminzalik.

Apakah didikan hanya pada ibu, tidak pada bapa?

Pesanan kepada ibu ini bukanlah menafikan peranan dan tanggungjawab bagi si bapa. Tidak sama sekali. Dalam urusan mendidik, kedua-duanya memainkan peranan yang sama penting. Namun, bagi ibu, kerana fitrah kelembutan yang Allah berikan itu menjadikan si ibu lebih bertanggungjawab untuk mendidik mereka.

Mungkin juga kita meraikan kesibukan bapa dalam mencari nafkah, walaupun zaman sekarang ibu juga turut sama keluar membantu mencari nafkah. Kita lakukan yang terbaik, dan hanya mengharapkan redha Allah. Yakin dan percaya dengan “the power of desire”. Kepenatan akan hilang jika kebaikan darinya yang kita harapkan. Moga Allah hitung titik peluh yang membasahi dahi sebagai salah satu kebaikan yang akan melayakkan kita ke syurganya. Amiin. Ayuh kita merebut pahala mudah yang Allah ingin berikan kepada kita duhai wanita...


P/S : Untuk maklumat lanjut tentang cara didikan ibu adik Darwisya, boleh layari blognya.. 

Saya juga mengalu-alukan bagi mereka yang ingin berkongsi apa sahaja berupa pandangan, info, atau untuk mendapatkan maklumat berkenaan Wanita, Rumahtangga dan Kerjaya boleh like Sukses Multi-Kerjaya- Superwomen, Superwife, Supermom.. 

Mudah-mudahan bermanfaat untuk kita semua insyaallah..