Thursday, April 12, 2012

Daulat Tuanku!


Baginda mungkin tidak mengenali saya. Namun, saya mengenali baginda.

Sebagai rakyat Kedah, saya amat berbangga dan ingin merakamkan jutaan tahniah atas Pelantikan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah sebagai Yang Dipertuan Agong ke-14 pada 13 Disember 2011.

Ia telah melakar sejarah istimewa apabila baginda Sultan muncul sebagai Sultan pertama di Malaysia yang dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong buat kali kedua.

Tuanku Abdul Halim diputerakan pada 28 November 1927 di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah. Pendidikan awal baginda ialah di Sekolah Melayu Alor Merah dan Sekolah Melayu Titi Gajah sebelum menyambung pengajian di Kolej Sultan Abdul Hamid. Seterusnya, baginda ke Wadham College, Oxford untuk mendalami bidang sains kemasyarakatan dan pentadbiran awam.

Baginda bertemu jodoh dengan puteri Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Almarhumah Tuanku Bahiyah pada tahun 1956 di Istana Seri Menanti. Baginda berdua bersemayam di istana negara mulai 21 September 1970 hingga tamat penggal lima tahun. Kali ini, Raja Permaisuri Agong yang bakal mendampingi baginda ialah Tuanku Hajah Haminah binti Hamidun yang berasal dari Bagan Serai, Perak. 

Institusi Yang Di-Pertuan Agong ialah pemerintah negara yang menjadi tonggak sistem raja berpelembagaan yang diamalkan di Malaysia. Semua urusan negara dijalankan atas nama baginda, termasuklah pelantikan kakitangan awam.

Kuasa-kuasa khas Yang Di-Pertuan Agong, sebagaimana yang diperuntukkan dalam perlembagaan sangat penting, walaupun urusan pentadbiran negara disandang oleh eksekutif (jemaah menteri yang dikuasai oleh parti politik yang memenangi pilihan raya umum).


Semoga Allah mengurniakan kesihatan dan kekuatan kepada baginda untuk memikul amanah sabagai “Payung Negara” dan hari ini 11 April 2012 (Rabu) secara rasminya beliau ditabalkan bagi menggantikan Sultan Mizan Zainal Abidin yang telah tamat tempoh pemerintahan pada 12 November tahun lalu.







Kenangan bersama Sultan Kedah ketika dinobatkan sebagai Pelajar Mithali tahun 2000 (Majlis 'Idul Ilmi Maktab Mahmud 2001) dan Anugerah Pelajar Cemerlang Kedah SPM 2000. Saya masih ingat, antara kata-kata akhir baginda ketika di pentas selepas bertanya beberapa soalan, “Semoga terus berjaya ya”.. Amiin..