Tuesday, April 1, 2014

Aurat Isteri dan ISO Suami

Jika ditanya kepada mana-mana wanita, apakah ciri-ciri suami yang menjadi idamannya?

Pasti salah satu jawapannya adalah, “Suami Soleh dan Beriman”.

Bagi seorang lelaki pula, apabila telah jatuh cinta dari raut wajah manis dan comelnya seorang wanita, sekalipun beliau tidak kisah (belum lagi) dengan aurat wanita tersebut, akan mengatakan, “tidak mengapa, dia akan mengahwininya dan akan mendidiknya nanti untuk menjadi seorang wanita muslimah dan solehah”.

Apabila Allah telah memakbulkan doa wanita tersebut untuk berkahwin dengan “suami soleh dan beriman”, Maka “suami soleh dan beriman” itu tadi dengan penuh rasa tanggungjawab cuba memperbaiki diri untuk menjadi seorang ketua keluarga dan suami terbaik. Lebih-lebih lagi beliau berpegang kepada ayat Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ
“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan”.- At Tahrim (66 : 6)

Di dalam Tafsir Ibnu Katsir ada menyebut mengenai firman Allah subhanahu wa ta’ala,  قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا  “Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api Neraka”.

Mujahid (Sufyan As-Sauri mengatakan, “Apabila datang kepadamu suatu tafsiran dari Mujahid, hal itu sudah cukup bagimu”) mengatakan : “Bertaqwalah kepada Allah dan berpesanlah kepada keluarga kalian untuk bertaqwa kepada Allah”. 

Manakala Qatadah pula mengemukakan : “Yakni, hendaklah engkau menyuruh mereka berbuat taat kepada Allah dan mencegah mereka durhaka kepada-Nya. Dan hendaklah engkau menjalankan perintah Allah kepada mereka dan perintahkan mereka untuk menjalankannya, serta membantu mereka dalam menjalankannya. Jika engkau melihat mereka berbuat maksiat kepada Allah, peringatkan dan cegahlah mereka.”

Demikian itu pula yang dikemukakan oleh Adh Dhahhak dan Muqatil bin Hayyan, dimana mereka mengatakan : “Setiap muslim berkewajiban mengajari keluarganya, termasuk kerabat dan budaknya, pelbagai hal berkenaan dengan hal-hal yang diwajibkan Allah Ta’ala kepada mereka dan apa yang dilarang-Nya.”

Betapa besarnya peranan dan tanggungjawab seorang suami!.

Aurat Isteri : Jika kita seorang suami

Para suami buat isteri, ayah buat anak perempuan dan abang buat adik perempuan atau adik buat si kakak, ketahuilah bahawa dibahu kalian terpikulnya satu amanah yang cukup besar.  Perhatikan samada aurat isteri dan keluarga itu mengikut sebagaimana yang Allah inginkan atau sebaliknya.

Secara asasnya, sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Imam Syafie, “seluruh tubuh badan kecuali kedua tapak tangan”.

Suruhan Allah didalam al-Quran cukup jelas.

وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَىٰ عَوْرَاتِ النِّسَاءِ ۖ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِن زِينَتِهِنَّ ۚ وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

“Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung kedadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau Kita-kita laki-laki mereka, atau putera-putera kita lelaki mereka, atau putera-putera kita perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau budak- budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. dan janganlah mereka memukulkan kakinyua agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.” (An-Nur:31)

Nasihati mereka. Itu perkara utama, untuk diterima atau tidak itu perkara kedua. Anda sudah melaksanakan tugas anda dan sudah terlepas.

Dilema suami pada aurat isteri

Jika seorang suami telah berkahwin dengn wanita yang telah faham dengan aurat dan mempraktikkannya, Alhamdulillah, tugasnya mudah.  Namun, jika sebaliknya, cabarannya agak besar.

MUNGKIN “Suami Soleh dan beriman” yang telah berkahwin dengan seorang wanita itu berada di dalam dilema untuk menasihati isteri tentang cara pemakaianannya. MUNGKIN:

1-      Isterinya itu bekas pelajar sekolah agama dan pada suami, pasti dia sudah faham bagaimana tatacara pemakaian dalam menjaga aurat.
2-      Takut si isteri berkecil hati jika ditegur cara pemakaiannya. Mungkin akan timbul isu, “dulu you tak kisah pun I pakai macam ni, sekarang baru nak tegur i?”
3-      Jika tersilap cakap dengan menunjukkan cara pemakaian wanita lain, berkata pula si isteri, “kalau macam tu, you kahwin sajalah dengan perempaun tu, kenapa kahwin dengan i?”. Sudah…. Ke situ pula…

Maka bagi suami, letakkan ISO dalam pemakaian ahli keluarga kita. ISO atau nama singkatan kepada INTERNATIONAL ORGANISATION FOR STANDARDISATION ( ISO ). Ia adalah satu standard bertulis yang menetap dan menerangkan elemen keperluan asas yang perlu ada dalam SISTEM KUALITI bertujuan bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan oleh sesebuah organisasi dapat memenuhi kehendak pelanggan.

Oleh itu, di dalam isu ini, mungkin boleh dikatakan, ISO adalah satu standard  dalam menetap dan menerangkan elemen pemakaian wajib yang perlu ada dalam KUALITI pemakaian dengan bertujuan bagi memastikan pemakaian yang dipakai oleh isteri dan ahli keluarga memenuhi kehendak Allah dan Rasul.

Betapa baiknya Allah. Allah tidak menetapkan “uniform khas” untuk dipakai, sebaliknya, Allah dan Rasul hanya memberikan guideline untuk diikuti.


1) Memakai pakaian yang tidak ketat dan tidak jarang (samada ia adalah kain atau seluar, perlu dipastikan kainnya longgar dan tidak menampakkan bentuk tubuh badan kerana ia dilarang keras oleh Nabi SAW). (ada maksud Hadith Riwayat Muslim, Hadis no 212 di bawah).

2) Memakai tudung yang tidak jarang, tudung yang menutup keseluruhan bahagian rambut dari kepala sehingga ke dada (pastinya dada wanita lain dari lelaki), iaitu bukan hanya sekadar menutup rambut.(ada didalam Surah an-Nur:31)

Apa pun, gunalah cara yang paling berhikmah untuk menyedarkan isteri dan keluarga berkenaan aurat mereka. InsyaAllah dari hati akan turun ke hati. Hanya suami yang tahu bagaimana caranya.

Aurat Isteri: Jika Kita seorang Isteri

Jika suatu ketika dahulu kita merupakan seorang wanita yang pernah berdoa untuk mendapat suami soleh dan beriman itu, Alhamdulillah Allah telah memakbulkan doa kita untuk memilikinya. Apabila dinasihati tentang aurat, sekalipun ia tidak “sebulu “ dengan fesyen semasa yang kita sukai, tanya pada diri, adakah itu “Apakah itu juga  yang Allah suruh ataupun tidak? Jika sekiranya ya, maka itulah sebenarnya yang terbaik buat kita insyaAllah dunia dan akhirat.

BERSYUKUR dan BERTERIMA KASIH lah pada suami apabila suami menegur cara kita berpakaian. Mungkin kita tersilap. Beliau pasti sedar bahawa menjadi tanggungjawabnya untuk menegur supaya dapat sama-sama mendapat redha Allah. Agar dapat bersama-sama ke syurga Allah. 

Supaya sama-sama dapat merasai bahagia, insyaallah bahagia dunia yang akan membawa kepada bahagia akhirat, maka:

  1. Berlapang dada.
Jangan berkecil hati atau meninggi suara apabila ditegur suami. Mungkin cara dan skill nya yang tersilap, tetapi maksudnya itu jelas.

  1. Tanya pandangan suami tentang pakaian dan tudung yang dikenakan sebelum keluar rumah
“Abang, kalau saya pakai macam ni ok tak?” . Kalau lepas ISO Suami (pastinya ISO suami yang mengikut piawaian Allah dan Rasul), maka lepaslah cara pemakaian tersebut. Jika cara berpakaian isteri pada pandangan suami “sangat menarik perhatian lelaki lain” pula, maka suami, berilah cadangan pemakaian yang lebih sopan untuk si isteri. Pastinya suami menginginkan “hanya apa yang menarik itu” menjadi  hak eksklusif dirinya sahaja yang tidak ingin dikongsi dengan orang lain. Elakkan segala bentuk bonjolan (maaf ya, samada atas atau bawah) apabila keluar dari rumah. Samada ke pejabat, ke pusat membeli-belah, berjogging dan sebagainya. Ingat pesanan Nabi SAW, “Wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang”. Na’uzubillahiminzalik.
 
Rasulullah s.a.w bersabda:

“dua golongan penghuni neraka yang mana aku sendiri belum pernah melihat keadaan mereka didunia: golongan yang membawa cemeti seperti seekor lembu lalu menggunakannya untuk memukul manusia dan juga kaum wanita yang berpakaian seperti bertelanjang, menggoyangkan badan dan berlenggang-lenggok, kepala mereka ada suatu seperti bonggol di kepala unta yang bergoyang-goyang. Mereka tentu tidak akan memasuki syurga atau mencium baunya sedangkan bau syurga itu dapat dihidu dari jarak perjalanan begitu dan begini” –Hadith Riwayat Muslim. Hadith no 212.


(Gambar yang di post oleh ayah dalam group Wassup keluarga)

Sejarah telah merakamkan sikap seorang isteri,
1-      Isteri yang mengingkari nasihat baik seorang suami: Isteri Nabi Nuh dan Lut
2-      Isteri yang mengingkari suruhan jahat seorang suami: Isteri Firaun (Asiah)
3-      Isteri yang bersama-sama suami mengingkari suruhan Allah: Isteri Abu Jahal (Ummu Jamil)
4-      Isteri yang menuruti setiap inci nasihat baik seorang suami: Isteri Rasulullah SAW (Khadijah RA)

Letakkan diri kita dimana dan pengakhiran sebagaimana yang kita inginkan?

Pilihan ditangan kita, tepuk dada, tanya Iman. Mudah-mudahan kita semua tergolong dikalangan hamba-hambanya yang bertaqwa dan mendapat kebaikan di dunia dan akhirat insyaallah.


Petikan dari buku “Super Woman” (PTS) dengan beberapa pengolahan.

Monday, September 2, 2013

25 OGOS 2013- Hari Wanita Kebangsaan



Menjadi Wanita Hebat: Super Women

Kerjaya apakah yang paling mencabar di dunia ini? Pasti ada yang akan menjawab tentera di medan perang, pemburu dan penjinak binatang liar, nelayan laut dalam, dan berbagai-bagai lagi jawapan yang seangkatan dengannya. Namun, jarang sekali yang akan menyebut suri rumah sebagai kerjaya yang paling mencabar. Mahu rasakan cabaran dan kesusahannya? Cubalah sendiri. Pasti ramai lelaki yang akan mengalah dan barulah mereka mahu mengakui kehebatan wanita.

Tambah mencabar lagi, ramai wanita sekarang yang perlu bekerja di pejabat, menyambung belajar di universiti, mengurus rumah tangga, memenuhi tanggungjawab sosial bersama masyarakat, dan pada masa yang sama perlu memenuhi keperluan peribadi. Mereka memikul lebih banyak tanggungjawab berbanding masa yang ada. Menjadi wanita itu sendiri adalah satu cabaran yang besar bagi mereka.
 
Tangan mereka yang mengayun buaian mampu menggoncang dunia dan kelembutan mereka menyebarkan kasih sayang ke seluruh dunia. Mereka selayaknya digelar sebagai “Super Woman”.

Buku “Super Woman” ini terbit tepat pada masanya. Dalam dunia moden yang penuh dengan kekalutan dan kesibukan, terlalu ramai wanita yang mencari-cari manual lengkap untuk mencapai keseimbangan dalam kehidupan.

Dengan berlandaskan bimbingan wahyu dan hadis, buku ini memberi panduan untuk menjadi super woman yang cemerlang di dunia dan di akhirat. Dengan pengalaman peribadi penulis dan himpunan kisah inspirasi tokoh wanita yang hebat, buku ini menjadi berkesan dan praktikal untuk diamalkan.
Kita akan ketawa, tersenyum, dan menangis membacanya. Kita terinspirasi dan hidup menjadi lebih bermakna.

Kerjaya dan rumah tangga, manakah yang lebih penting? Perlukah kita mengorbankan salah satu daripada untuk menjadi super woman? Memilih antara kerjaya dan rumah tangga, bagaikan kita memilih untuk mengerat tangan kiri atau tangan kanan kita sendiri.

Dengan panduan dalam buku ini, kita akan dibimbing untuk mencapai keseimbangan tanpa perlu mengorbankan perkara penting dalam hidup kita. Kuncinya adalah prioriti dan teknik yang berkesan untuk mengurusnya.

Buku ini adalah sebuah perjalanan bagi menuju keseimbangan dan kecemerlangan bersama. Ia adalah perjalanan yang berterusan sekalipun kita sudah selesai menghadam buku ini.

Buku ini bukanlah langkah demi langkah yang gerenti jadi seperti buku masakan, tetapi proses pembelajaran yang berterusan. Perjalanan ini sangat panjang dan penghujungnya adalah masuk syurga bersama-sama suami dan anak-anak yang dicintai. Semoga Allah meredhai kita sekeluarga.


Sempena Hari Wanita Kebangsaan yang diisytiharkan pada 25 Ogos, buku ini amat sesuai untuk dijadikan teman pendamping untuk pembacaan dalam memajukan diri wanita untuk kebaikan dunia dan akhirat, insya Allah.. :)

Thursday, July 11, 2013

Buku "Super Woman"





Bismillahirrahmanirrahim. Sungguh, "kelahiran" buku ini sangat mendebarkan saya. "Super Women" itu bukanlah merujuk kepada saya, tetapi kepada insan-insan yang telah menginspirasikan saya! Semoga buku ini akan memberikan manfaat buat seluruh kaum wanita. Manfaatnya dapat dirasa seluruh ahli keluarga, masyarakat, dan negara keseluruhannya!. Insya Allah..

Allah telah menganugerahkan wanita "kekuatan" untuk melaksanakan Multi-Tasking. Samada diri cikpuan sendiri sebagai wanita, ataupun isteri saudara (sekiranya saudara adalah seorang suami), itulah "Super Women".

2 tahun yang lalu saya tercari-cari buku yang boleh memberikan "jawapan" terhadap persoalan demi persoalan yang sering bermain di fikiran saya di dalam isu tersebut. Sekiranya dahulu ada insan yang sudi berkongsi perkara-perkara tersebut didalam sebuah buku, mungkin saya tidak akan menulis mengenainya.

Ketika niat untuk "mencari penyelesaian dan penyesuaain" terhadap Multi-Tasking atau isu "Keseimbangan Antara Rumahtangga dan Kerjaya" (walaupun untuk mereka yang bergelar seorang suri rumah), Alhamdulillah Allah telah menyalurkan jalannya. Kehadirannya agak memakan masa. Saya cuba untuk meraikan kepelbagaian latar belakang golongan wanita, dari mereka yang bergelar pelajar, bekerja di dalam sektor kerajaan, swasta, suri rumah, ikon masyarakat dan sebagainya.

Oleh yang demikian, atas niat untuk membantu diri sendiri, juga bagi mereka yang turut menghadapi "cabaran" yang sama didalam isu Rumahtangga & Kerjaya, buku ini hadir untuk membantu. Semoga kehadirannya kelak akan memberi manfaat buat diri kita semua Insya Allah...

Untuk maklumat lanjut mengenai buku ini yang bakal terbit Insya Allah (15 Julai 2013), sila layari Portal Rasmi PTS: http://pts.com.my/buku/super-woman/

Sunday, June 16, 2013

“Ummi, Uways tak nak ummi mati..”

Syahdu


Hari ini sedikit lain dari hari-hari biasa.


Sengaja ummi abadikan “saat” ini agar Uways dan Umayr ingat insyaAllah bila sudah besar nanti.. Waktu ini hanya kita bertiga (berempat kalau dikira sekali baby yang abang Uways dan Umayr tak sabar2 menanti ni, insyaAllah). Abi ada kuliah maghrib seperti biasa.

13.6.13 (Rabu)-9.22pm


Sesi pengulangan bacaan ayat baru Surah Hafazan untuk ayat 25-26 surah Luqman. 

A025



“Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian - tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik).”


 A026


“Allah jua yang memiliki segala yang ada di langit dan di bumi; sesungguhnya Allah Dia lah jua yang Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.”



Tiba-tiba ummi terasa untuk berpesan kata-kata ini kepada uways.


“Uways, nanti bila ummi dah tak ada, Uways ingatlah yang ummi pernah ajar Al-Quran kat Uways, ajar hafazan kat Uways. Uways jangan tinggal solat, kena baca Al-quran selalu dan hafaz al-Quran na”..


Pada ummi, walaupun hero sulung ummi ini memang seorang yang “aktif” dan kental tetapi disudut kecil hatinya ada terselit perasaan sensitif, berbanding Umayr. 


Kata-kata ummi itu menyebabkan mata Uways sedikit kemerah-merahan dan mempunyai “air takungan”. Sambil tangan Uways menggosok-gosok mata comel itu. Ummi perasan.


Tiba-tiba uways terus memeluk ummi dan manangis samahu-mahunya sambil berkata, “Ummi, uways tak nak ummi mati”…


Hati dan perasaan ummi turut sama cair. Kita sama-sama menangis. 


“Uways sayang ummi”, kata Uways sambil memekup muka di bahu ummi. Menangis teresak-esak. 


Umayr yang tadi leka bermain kereta tidak semena-mena datang juga memeluk ummi. Sambil mengikut kata-kata si abang, “Umayr sayang ummi”.


Ciuman ummi singgah di pipi Uways dan Umayr.


 “Ummi pun sayang uways dan umayr. Kalau uways dan umayr sayang ummi, uways kena ingatlah yang ummi pesan ok, jangan tinggal solat, kena baca al-Quran selalu, hafaz al-Quran, jadi anak soleh, doakan ummi dengan abi na”.


“Ummi, Uways tak nak ummi mati”…


“Iyalah, kita semua tak tahu kita akan mati bila. Allah je yang tahu. Cuba uways tengok Amni, kan ummi Amni dah taka da. Kalau Allah kata ummi mati dulu, ummi tak adalah”…


“Ummi, nanti kalau malaikat dah tiup angin, ummi peganglah tangan uways kuat-kuat”.  Kata Uways


“Uways, nanti bila hari kiamat, semua orang akan fikir diri sendiri je. Kita tak dapat nak fikir orang  lain dah. Nanti yang kita akan fikir, Ya Allah, macam manalah aku ni,  aku ni masuk syurga ke neraka,”


Khusyuk Uways dan Umayr mendengar.


Sambung ummi, “ kalau kita banyak  buat baik, nanti timbang kita berat sebelah kanan ni, masuklah syurga, kalau kita buat jahat, nanti berat sebelah kiri ni, masuklah neraka, kawan dengan syaitan”…


“Uways tak nak kawan dengan syaitan”. Sambung Uways lagi.


“Ok kalau tak nak kawan dengan  syaitan, nak masuk syurga kita kena banyak buat baik ok?”. 


Uways dan Umayr pun mengangguk tanda faham.


“InsyaAllah, Ok dah jom kita sambung baca”. Balas Ummi.


Sambil ummi mengesat air mata Uways dan menghadiahkan “kucupan sayang dan doa” buat anakanda tersayang”…


Semoga Uways dan Umayr  membesar menjadi hamba Allah yang Soleh, hafiz al-Quran dan pemimpin bagi orang2 yang bertaqwa…Amiin… 


Buat Uways dan Umayr, inilah video kenangan malam tu… Ummi sayang Uways dan Umayr! Semoga Allah memberkati kalian…





Salam sayang dari ummi buat Uways dan Umayr...

BUKU @ PTS

 Pertama kali untuk membuat promosi buku di Shopping Complex. Agak menggerunkan tapi Alhamdulillah segalanya berjalan  lancar. Ada sedikit forum dibuat diruang legar sempena Pesta Buku Alpha Angel pada 12-24 Mac 2013. Forum ini pada 17 Mac 2013, jam 2.00-4.00 ptg.

Pertama kali juga dijemput oleh  pihak PTS untuk berkongsi sedikit pengisian. Berdebar-debar kerana dikelilingi oleh "orang-orang buku". Sudah pasti banyak info mereka dari saya. Alhamdulillah, Allah memberi peluang untuk "memberi". Mudah-mudahan ianya bermanfaat.



Selesai sesi bergambar di CELPAD. Hmm saya sebenarnya agak keberatan untuk pihak editor dan penerbit memasukkan gambar saya kedalam buku kedua insyaAllah. Bersungguh saya ingin menolaknya. Selepas berbincang dan meminta pandangan suami, dan meminta pandangan jr saya, Fatimah Syarha, saya "memaksakan" juga diri juga untuk menerima. Bersabar dan berdebar menanti kelahiran buku kedua, insya Allah. Semoga ada kebaikan dan manfaatnya untuk ummat, insya Allah Amiin..

Pn. Mazniza dan Pn. Nora Herni

Sunday, May 5, 2013

PRU 13: Harapan dari Rakyat Biasa


Sila baca tanpa ada sebarang sentimen kepartian.


Ibarat beginilah.. Biasanya kalau seorang wanita itu di “tackle” oleh seorang lelaki. Dia sangat tidak suka dan membenci si lelaki itu dengan sebenci-bencinya. Selalu orang akan berpesan, “kalau benci pada seseorang itu biarlah berpada-pada, kelak kita akan jatuh cinta dan terus akan sukakanya. Kalau sayang pada seseorang itu juga biarlah berpada-pada kelak takut kita pula akan membencinya tanpa ada maaf untuknya pula”.

Jadi, saya lebih suka untuk bersedarhana.

Yang BENAR tetap BENAR, Yang SALAH tetap SALAH. Baik untuk mana-mana parti.

Lihat apa yang berlaku sekarang. Tidak perlu saya sebutkan siapa. Dahulu beridealime sakan, bukan main menghentam, “kutuk rapat”, punya pihak yang satu lagi. Tengok-tengok sekarang, aik? Lain pula jadinya. .. Allah boleh bolak-balikkan hati-hati kita..

Itu sudah cukup menjadi peringatan buat saya. Suka dan tidak suka itu biarlah berpada-pada. Takut apabila terlampau suka,akan berubah menjadi terlampau benci dek sedikit kesilapan yang dilakukan.

Namun tidaklah bermakna saya tidak mempunyai pendirian terhadap parti politik yang ada sekarang. Setiap orang mempunyai pandangan dan pendirian masing-masing. Pilihan sendiri, untuk diri sendiri dan masa depan generasinya.

PRU 13 & Manifesto Parti

5 Mei 2013 hari penentu. Kita akan menunaikan amanah untuk memilih pemimpin kita. Perbandingan Manifesto menjadi pilihan saya. Kerana pada saya, Pilihanraya adalah medan untuk rakyat membuat pilihan, wakil mereka. Kita yang menghantar wakil, jadi kitalah yang berkuasa!

Pilihan kita kepada mereka yang boleh memberi kaedah terbaik dalam mengurus Negara. Biarlah kekayaan Negara itu rakyat dapat rasai bersama...

Secara umumnya, BN saya lihat lebih kepada PEMBERIAN. PR lebih kepada PEMBERIAN DAN PENJIMATAN. Pada saya rakyat golongan biasa, manifesto PR lebih dekat dihati dan memahami keperluan kami seisi keluarga. Pengurangan kos, disamping pengawalan perbelanjaan diri sendiri dan seterusnya penambahan tabungan masa hadapan.

Ingin disentuh hanya beberapa perkara. Dalam bentuk pemberian, situasi saya. Saya tidak dapat BR1M, saya tidak dapat BB1M, saya tidak ke KR1M (kerana kos kenderaan untuk kesana, lebih baik di kedai runcit berdekatan rumah sahaja). Ya memang benar, ada iklan di TV “kecil pemberian pada kita tapi besar nilainya pada mereka”. Ya, bagus untuk memberi, malah harapnya lebih lagi. RM 500 setahun bersamaan RM 41.66 sen sebulan.

Namun, situasi saya, saya tidak menikmati “kekayaan” Negara yang saya sayangi ini.

Manifesto PR, ada pemberian dan penjimatan. Dalam situasi saya, suami berulang setiap hari dari Gombak ke USIM, dengan kos Tol dan Minyak hampir RM 1000 setiap bulan!. Allah, betapa saya boleh membuat penjimatan, dan menambah tabungan masa hadapan kami setiap bulan!. Ini saya yakin, lebih menepati kos sara hidup zaman kini.

Isu Pembangunan.

Kadang-kadang saya agak kecewa. Isu pembangunan yang tidak habis-habis dimainkan di TV. Yang terbaru tadi saya lihat kata seorang wakil rakyat BN, “kita akan membina Hospital Pakar di sini”. Saya sabagai rakyat biasa ini terfikir, “buat hospital pakar, baguslah, tapi siapa yang dapat duit sampingan pembinaannya? Kami rakyat apabila ke hospital pakar, bukannya secara percuma, kos hospital pakar tersangatlah mahal!”, “siapa pula yang untung dan siapa pula yang rugi?”. Adakah hanya sekadar berbangga dengan hospital pakar yang ada?

Siapa yang tidak ingin melihat Negara pesat membangun? Alhamdulillah.. cantik mata memandang, sejuk hati melihat. Tetapi kami sebagai rakyat, adakah hanya dapat berbangga, sekadar pergi ambil gambar, posing2 di hadapan bangunan tersebut sahaja? Apa pulangan untuk kami pula? Siapa yang dapat untung dari projek pembangunan tersebut? Sedih juga kadang-kadang apabila isu ini dimainkan sebegitu rupa. Kami rakyat biasa ini boleh berfikir…

Justeru, buat rakan-rakan diluar sana, ayuh berfikir dengan mata hati… Kekayaan Negara yang kita cintai ini ingin juga kami sebagai rakyat merasai. Sekurang-kurangnya, hasil kekayaan tersebut dapat kami nikmati melalui pengurangan kos sara hidup kami. Bukan sekadar pemberian RM yang hanya akan habis begitu sahaja, berbanding penjimatan yang boleh dilakukan setiap bulan…

Ayuh rakan-rakan, kita memilih dengan bijak. Bagi yang masih atas pagar, buatlah istikharah. Bukan hanya istikharah untuk berkahwin sahaja.. :) Apabila esok Allah tetapkan hati yang itu, itulah pilihan kita, insyaAllah…

Setiap parti ada pro dan kontranya. Tiada yang maha sempurna melainkan Allah. Pohonlah agar Allah tunjukkan pilihan pemimpin yang lebih cenderung kepada kebenaran dan keadilan. Sebagai seorang Islam, pemimpin yang boleh membimbing dan menunjuk rakyat jalan kearah kebaikan, yang Ikhlas dan ada usaha dalam menjunjung syariat Islam, bukan hanya sekadar syiar Islam… 


Selamat Mengundi… :)